Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Isu kelajuan pakej Unifi: TM digesa perbetul maklumat promosi

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Telekom Malaysia Berhad (TM) diberi Surat Amaran Akhir serta digesa membetulkan semua bahan promosi dan iklan di semua saluran, selain membuat pelan komunikasi untuk pelanggan terjejas berhubung isu perubahan kelajuan muat naik pakej Unifi 500Mbps.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan semalam, amaran berkenaan bagi mematuhi Seksyen 1.2 Kod Amalan Am Pengguna (GCC) dan suruhanjaya itu juga memandang berat kelemahan kawalan dalaman di TM hingga mencetuskan kekeliruan itu.

“Seksyen itu menghendaki pemberi perkhidmatan memberi maklumat yang mencukupi, tepat, benar, terbaharu dan dalam bahasa yang mudah serta tanpa berselindung kepada pengguna.

“SKMM akan memastikan bahawa hak pelanggan yang terjejas oleh kekeliruan yang timbul akibat perubahan maklumat pakej Unifi 500Mbps ditangani secara adil oleh TM.

“SKMM berharap kejadian ini menjadi peringatan kepada semua syarikat pemberi perkhidmatan agar memastikan kepentingan pengguna terus menjadi asas kepada semua amalan perniagaan,” menurut kenyataan itu.

SKMM berkata kegagalan mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan boleh menyebabkan tindakan diambil di bawah Seksyen 242, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

SKMM juga mengingatkan syarikat telekomunikasi itu agar mengamalkan cara perniagaan beretika sepanjang masa dengan memastikan bahan iklan dan promosi adalah tepat.

TM turut diingatkan untuk memastikan pelanggan menikmati kualiti perkhidmatan seperti dalam pakej langganan dan memaklumkan pelanggan mengenai isu yang mungkin menyebabkan pengalaman penggunaan perkhidmatan mereka terganggu.

SKMM kini sedang menyemak semula GCC agar pemberi perkhidmatan lebih prihatin dalam amalan berkaitan pengguna sekali gus menambah baik perlindungan terhadap pengguna.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Status Pengerusi dan CEO TM diputuskan PM – Guan Eng

GEORGE TOWN, 1 JUN: Kedudukan jawatan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Telekom Malaysia Bhd (TM) adalah kekal pada masa ini sehingga ia diputuskan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kelak.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, sehingga kini pihaknya tidak mendapat sebarang arahan daripada Perdana Menteri untuk menggantikan penyandang jawatan tersebut.

“Jawatan Pengerusi dan CEO yang dilantik oleh Kementerian Kewangan adalah selepas mendapat surat dan catitan daripada Perdana Menteri sendiri dan sehingga kini arahan belum diterima daripada Perdana Menteri bagi pertukaran maka jawatan Pengerusi dan CEO TM masih orang sama, ” katanya semasa sidang media di Perpustakaan Digital Pulau Pinang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai artikel bertajuk ‘Stand-Off CEO Telekom’ yang disiarkan media kewangan, The Edge Financial Daily, semalam.

Laporan itu antara lainnya memetik sumber yang mendakwa Pengerusi TM Rosli Man enggan meneruskan pelantikan pemangku CEO, Imri Mokhtar bagi menggalas tugas itu walaupun pelantikan beliau telah diluluskan oleh pemegang saham khas TM, Menteri Kewangan (Diperbadankan).

Dalam pada itu Guan Eng berharap agar isu berhubung lantikan kedua-dua jawatan itu kini jelas dan ia bukannya berdasarkan daripada pihak sumber kedua atau ketiga.

— BERNAMA

Categories
NASIONAL

SKMM: TM terima aduan pengguna tertinggi

KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) mencatatkan jumlah aduan tertinggi iaitu sebanyak 7,946 kes setakat tahun ini berbanding syarikat penyedia jalur lebar yang lain.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, jumlah aduan TM meningkat 43 peratus berbanding 4,528 kes diterimanya tahun lalu.

SKMM berkata, aduan terhadap TM menguasai pasaran 85.97 peratus memberikan impak kepada rakyat termasuk perniagaan yang kebanyakannya bergantung kepada rangkaian syarikat itu dalam rutin harian mereka.

“Pengguna menuntut perkhidmatan lebih baik untuk bayaran bulanan dibayar kepada TM. Berdasarkan jumlah purata aduan bagi setiap 1,000 pelanggan, TM mencatatkan bilangan aduan tertinggi berbanding dengan penyedia perkhidmatan lain.

“Aduan itu termasuk ketidakpuasan mengenai caj yang dikenakan (21 peratus, liputan UNIFI yang tidak memuaskan (16 peratus), gangguan perkhidmatan UNIFI (13 peratus), pertikaian bil (14 peratus), penyampaian perkhidmatan (14 peratus) serta kategori lain sebanyak 22 peratus.

“Kerajaan melihat penurunan perkhidmatan TM ini sebagai satu perkara yang serius,” katanya dalam kenyataan, semalam.

SKMM berkata, pendekatan pengendalian TM dalam menangani aduan seperti keterbatasan teknikal dan meminta pengguna untuk bersabar adalah tindakan yang tidak wajar.

Suruhanjaya itu berkata, membiarkan pelanggan tanpa penyelesaian yang wajar tidak seharusnya berlaku dalam operasi syarikat bertaraf multinasional seperti TM.

Sementara itu, TM dalam satu kenyataan berkata, sebagai penyedia jalur lebar tetap terbesar negara, pihaknya sentiasa komited meningkatkan pengalaman pelanggan dan sentiasa berinteraksi dengan SKMM berkongsi inisiatif pengalaman pelanggannya.

TM juga mempelawa kerajaan untuk berbincang bagi mencapai keputusan segera untuk memberi manfaat bersama dalam peningkatan kualitinya.

“TM mengharapkan pendekatan menang-menang secara kolaboratif dengan kerajaan dalam menangani cabaran ini,” katanya.