Categories
AGENDA NASIONAL

Selesai aduan pelanggan atau didenda, SKMM tegur syarikat telekomunikasi

KUALA LUMPUR, 9 JULAI: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini mengingatkan bahawa syarikat telekomunikasi (telco) boleh dikenakan penalti jika terbukti gagal memberi respon terhadap aduan pelanggan mengikut ketetapan standard mandatori kualiti dan perkhidmatan.

Pengerusinya, Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata penyedia perkhidmatan terbabit lazimnya dikenakan denda dalam jumlah sewajarnya.

“Penyedia perkhidmatan ini sudah pasti tidak mahu didenda bagi kesalahan seperti perkhidmatan yang tidak bagus dan boleh menjejaskan kemampuan mengurus pelanggan sendiri.

“Sehubungan itu, jumlah penalti itu bukanlah perkara besar tetapi faktanya adalah wujudnya (tindakan) penalti sedemikian.

“Malah, dengan penguatkuasaan sedemikian, adalah diharapkan pihak penyedia perkhidmatan ini akan sentiasa berusaha untuk memastikan perkhidmatan masing-masing di tahap terbaik demi manfaat pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat media secara maya mengenai laporan suku ketiga MCMC yang memperincikan kemajuan terkini pelan infrastruktur digital negara, Jalinan Digital Negara (JENDELA) di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Fadhlullah Suhaimi berkata adalah sukar bagi perkhidmatan teknikal untuk mengelak daripada sebarang masalah berkaitan.

“Sebagai contoh, komputer yang kita gunakan ini juga perlu kita ‘reboot’ (menghidupkannya semula) dari semasa ke semasa. Begitu jugalah dengan rangkaian (telco) ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, sebaik menerima aduan, MCMC akan bertindak memaklumkan penyedia perkhidmatan terbabit yang turut diberi masa untuk menyelesaikan masalah atau isu berbangkit.

“Antara komitmen penyedia perkhidmatan ini adalah tiada lagi keadaan yang mana aduan itu dianggap sebagai selesai tanpa pihak pengadu sendiri yang bersetuju atau memaklumkan bahawa isu itu telah diselesaikan oleh pihak terbabit.

“Inilah salah satu perkara paling positif yang berlaku sejak kita memulakan perjalanan JENDELA,” katanya.

Fadhlullah Suhaimi berkata sebagai rekod, Celcom Axiata Bhd mendahului dengan menerima sebanyak 12,056 aduan pada Jun, 2021.

Di peringkat industri pula, MCMC mendapati peningkatan ketara jumlah aduan yang berkaitan dengan perkhidmatan rangkaian, terutama berikutan amalan bekerja dari rumah serta keperluan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, sebagai asas perbandingan bulanan, bilangan aduan terhadap Celcom pada Jun telah melonjak kepada 12,056 daripada 3,780, sebelum itu.

Maxis Bhd di kedudukan kedua dengan mencatat 8,926 aduan pada Jun berbanding 2,796 pada Mei lepas manakala Digi.Com Bhd menerima 8,056 aduan bagi tempoh sama.

“Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan merupakan satu keadaan luar biasa untuk negara dan jumlah aduan telah meningkat dalam tempoh mencabar tersebut.

“Jika tidak, keadaan lebih cenderung ke arah aliran penurunan,” katanya.

Fadhlullah Suhaimi juga menjangkakan jumlah aduan terbabit akan berkurangan sejurus negara beralih dari Fasa Pertama ke Fasa Kedua dan Fasa Ketiga dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

SKMM: Waspada akaun palsu di media sosial, elak jadi mangsa

KUALA LUMPUR, 4 DIS: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberi peringatan kepada orang ramai supaya sentiasa menjauhi dan berwaspada dengan kewujudan akaun-akaun palsu yang berleluasa di laman media sosial.

Jabatan Komunikasi Korporat SKMM dalam kenyataan menasihatkan pengguna untuk tidak mengambil mudah terhadap kewujudan akaun palsu berkenaan dan perlu mengambil tindakan segera jika mereka menemukan akaun sedemikian.

Jelas jabatan itu, orang ramai boleh menangani kewujudan akaun yang diragui ketulenannya dengan melaporkannya melalui ruangan Laporan Akaun Palsu yang disediakan pihak penyedia platform media sosial, bagi penelitian dan tindakan lanjut berdasarkan pelanggaran Piawaian Komuniti yang ditetapkan.

“Tindakan sedemikian adalah perlu bagi mengelakkan berlakunya penyebaran kandungan tidak baik seperti berita yang mengelirukan, ucapan kebencian dan kandungan berbentuk provokasi yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

“Tatkala pihak penyedia platform media sosial sedang giat mengimbas dan mengesahkan ketulenan akaun-akaun pengguna, masih wujud ketirisan daripada mereka,” demikian menurut kenyataan itu.

Sungguhpun begitu, jabatan tersebut berkata pengguna patut sentiasa berwaspada dengan kewujudan akaun palsu kerana kadangkala ia tidak menunjukkan tanda palsu atau berniat jahat pada mulanya, maka penyedia platform memberi mereka keraguan yang munasabah sehingga mereka menunjukkan tanda aktiviti yang tidak baik.

“Penyedia platform akan menemui akaun-akaun ini apabila sistem pengesanan mereka mengenal pasti tingkah laku yang tidak baik atau jika ada pengguna yang melaporkannya kepada mereka.

“Mencegah akaun palsu adalah satu daripada cara untuk menghentikan penyalahgunaan dan perlindungan lain juga harus diberikan sebaik sahaja kandungan dihasilkan dan interaksi berlaku dengan akaun-akaun palsu ini,” menurut jabatan itu.

Sehubungan itu, jabatan tersebut berkata SKMM menasihatkan pengguna supaya berwaspada, kekal selamat serta bertanggungjawab selain mengelakkan diri daripada menjadi mangsa kepada akaun palsu dan menyalahgunakan rangkaian media sosial.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Akaun parodi: Agensi, individu terkesan boleh ambil tindakan sivil

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Agensi atau individu yang terkesan dengan akaun parodi atau palsu boleh mengambil tindakan undang-undang sivil, kata Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek.

Beliau berkata tindakan itu adalah hak masing-masing dan negara juga mempunyai undang-undang lain yang boleh diguna pakai bagi menangani mereka yang menyalahgunakan teknologi untuk kepentingan tertentu selain bertujuan menjejaskan masyarakat.

“Akaun parodi bukan sahaja masalah di Malaysia, akaun parodi ini memang berlaku berleluasa baik dalam dan luar negara. Semua adalah sama.

Akaun parodi ini merupakan trend baharu dalam menyampaikan berita palsu, mengejek atau mencerca di media yang menggunakan nama, jenama atau logo yang hampir serupa dengan badan atau pertubuhan yang dikenali ramai atau orang kenamaan.

“Akaun parodi ini selalunya dinaikkan melalui platform global iaitu Twitter atau Facebook yang berpangkalan di luar negara. Jadi akta dan undang-undang negara sama ada di Malaysia atau mana-mana negara lain ada limitasinya iaitu mengikut sempadan,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

“Yang di luar negara memang susah nak banteras tetapi untuk individu dalam negara kita cuba buat pendekatan agar kita sebagai rakyat untuk lebih bermoral iaitu nak cakap apa-apa boleh tetapi jangan menipu. Freedom of speech but not freedom to lie.

Fadhlullah Suhaimi memberikan beberapa contoh akaun parodi di Malaysia seperti ‘BERMANA’ yang ramai menyangka ia adalah Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan baru-baru ini Jakim@MyJAKIM turut menjadi mangsa dengan logonya yang nampak sama tetapi ditambah dengan perkataan ‘Just Kidding’.

Akaun parodi Twitter ‘BERMANA’ @bermanadotcon itu yang mempunyai 24.6k pengikut menyampaikan berita palsu manakala akaun Twitter palsu Jakim itu pula menyeleweng ayat al-Quran dan hadis, kesemuanya atas nama parodi yang menimbulkan masalah bagi pemilik nama sebenar iaitu Bernama dan Jakim.

“Sebagai pengikut, mereka tidak perasan dan bila kita tengok kandungan itu dia bukan sahaja berbentuk jenaka tetapi pada masa sama mengelirukan orang ramai, ia berselindung dalam tema parodi,” katanya.

Beliau berkata siasatan memerlukan sedikit masa dan pihaknya telah berhubung dengan Twitter dan Facebook selain meminta orang ramai memahami bahawa syarikat platform global berkenaan tidak berada di Malaysia, maka apa-apa yang dimohon adalah berdasarkan nilai negara mereka iaitu negara barat.

Pada 5 Oktober Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri meminta Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) mengambil tindakan sewajarnya berhubung parodi membabitkan satu akaun Twitter palsu yang menggunakan nama dan logo jabatan itu.

SKMM menerusi laman web rasminya pada 6 Oktober telah mengemas kini status akaun Twitter @MyJAKIM yang telah digantung dan menggesa orang ramai untuk lebih berwaspada dengan akaun parodi.

“SKMM ingin merakamkan penghargaan kepada pihak Twitter atas kerjasama pantas yang diberikan dalam menggantung akaun Twitter JAKIM@MyJAKIM yang mewujudkan akaun palsu dengan niat untuk memuat naik hantaran bersifat menghina serta mengandungi ucapan kebencian terhadap agama.

“Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dengan kewujudan akaun palsu sedemikian dan laporkannya kepada pihak berkuasa untuk penelitian dan tindakan selanjutnya,” menurut SKMM.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Isu kelajuan pakej Unifi: TM digesa perbetul maklumat promosi

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Telekom Malaysia Berhad (TM) diberi Surat Amaran Akhir serta digesa membetulkan semua bahan promosi dan iklan di semua saluran, selain membuat pelan komunikasi untuk pelanggan terjejas berhubung isu perubahan kelajuan muat naik pakej Unifi 500Mbps.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan semalam, amaran berkenaan bagi mematuhi Seksyen 1.2 Kod Amalan Am Pengguna (GCC) dan suruhanjaya itu juga memandang berat kelemahan kawalan dalaman di TM hingga mencetuskan kekeliruan itu.

“Seksyen itu menghendaki pemberi perkhidmatan memberi maklumat yang mencukupi, tepat, benar, terbaharu dan dalam bahasa yang mudah serta tanpa berselindung kepada pengguna.

“SKMM akan memastikan bahawa hak pelanggan yang terjejas oleh kekeliruan yang timbul akibat perubahan maklumat pakej Unifi 500Mbps ditangani secara adil oleh TM.

“SKMM berharap kejadian ini menjadi peringatan kepada semua syarikat pemberi perkhidmatan agar memastikan kepentingan pengguna terus menjadi asas kepada semua amalan perniagaan,” menurut kenyataan itu.

SKMM berkata kegagalan mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan boleh menyebabkan tindakan diambil di bawah Seksyen 242, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

SKMM juga mengingatkan syarikat telekomunikasi itu agar mengamalkan cara perniagaan beretika sepanjang masa dengan memastikan bahan iklan dan promosi adalah tepat.

TM turut diingatkan untuk memastikan pelanggan menikmati kualiti perkhidmatan seperti dalam pakej langganan dan memaklumkan pelanggan mengenai isu yang mungkin menyebabkan pengalaman penggunaan perkhidmatan mereka terganggu.

SKMM kini sedang menyemak semula GCC agar pemberi perkhidmatan lebih prihatin dalam amalan berkaitan pengguna sekali gus menambah baik perlindungan terhadap pengguna.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rujuk laman berita yang disahkan, elak maklumat palsu – SKMM

KUALA LUMPUR, 8 SEPT: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menasihati orang ramai agar memastikan sebarang maklumat yang diperoleh adalah daripada laman media sosial yang mendapat lencana pengesahan daripada penyedia platform berkenaan.

Jurucakap SKMM Muhammad Amirul Hafiz Rosly berkata dengan cara itu, segala berita atau informasi yang diperoleh adalah dipastikan sahih dan datang daripada organisasi serta individu sebenar di sebalik laman sosial seperti Twitter, Facebook, Instagram, YouTube dan sebagainya.

“Terlalu banyak page (laman) yang sengaja dicipta untuk menyebarkan berita palsu. Jadi SKMM menasihati orang ramai untuk pastikan terlebih dahulu sama ada terdapat ‘blue tick’ atau ‘grey tick’ (lencana pengesahan) pada laman sosial itu.

“Dengan cara ini juga, pemilik akaun yang telah disahkan dengan mendapat tanda blue tick atau grey tick akan lebih bertanggungjawab dalam berkongsi atau membuat sebarang posting (hantaran) di laman media sosial mereka,” katanya kepada Bernama selepas memberi taklimat kepada peserta kursus ‘Memerangi Berita Palsu’ di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Angkasapuri di sini.

Kursus anjuran unit kluster Komunikasi Strategik IPPTAR itu yang akan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini, disertai oleh peserta daripada pelbagai agensi dan jabatan seluruh negara sebagai usaha mendalami landskap media baharu di negara ini khususnya memerangi maklumat palsu.

Muhammad Amirul Hafiz berkata lencana pengesahan itu biasanya boleh dilihat bersama-sama di sebelah nama pemilik akaun media sosial berkenaan.

“Biasanya hanya terdapat satu lencana pengesahan iaitu blue tick di Twitter, YouTube, Instagram sementara di Facebook pula memiliki dua jenis pengesahan iaitu ‘blue tick’ dan ‘grey tick’.

“Bezanya ‘blue tick’ diberikan kepada main organisation (organisasi utama) dan grey tick pula kepada agensi di bawahnya, tapi yang pastinya kedua-dua lencana pengesahan ini adalah sah dan mendapat pengesahan daripada penyedia platform terbabit,” katanya.

Muhammad Amirul Hafiz yang juga Ketua Unit Media Baharu SKMM yang mengendali dan bertanggungjawab pada portal semak fakta, Sebenarnya.my berkata senario media baharu di Malaysia ketika ini menunjukkan kebergantungan maklumat yang sangat kritikal dalam kalangan pengguna media sosial.

“Portal sebenarnya.my menerima 48.7 peratus iaitu 791 maklumat tidak sahih daripada keseluruhan 1,624 (maklumat) dalam tempoh enam bulan tahun ini.

“Malah kita menjangkakan jumlah berita palsu itu akan naik dua kali ganda pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata purata seseorang melayari internet adalah tujuh jam sehari dengan peratusan penggunaan sosial media adalah paling tinggi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SKMM laksana pelan simulasi hadapi musim banjir

CYBERJAYA, 8 DIS: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama industri telekomunikasi, melaksanakan beberapa pelan simulasi sebagai persiapan berhadapan musim banjir yang sedang melanda beberapa negeri.

SKMM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, simulasi itu memberi penekanan kepada sektor komunikasi, pos dan kurier bagi memastikan impak ke atas aset dan perkhidmatan telekomunikasi adalah minimum dan seterusnya menjamin kesalinghubungan ketika banjir.

“Langkah-langkah proaktif seperti memastikan bilangan penjana mudah alih adalah mencukupi, menaik taraf infrastruktur komunikasi di pusat-pusat pemindahan serta meninggikan tapak-tapak yang terdedah kepada banjir telah pun diambil.

“Sektor pos dan kurier pula telah mengenal pasti lokasi-lokasi alternatif untuk penghantaran dan aset, kerahan tenaga manusia, bekalan tenaga sandaran dan bekalan-bekalan kecemasan,” katanya.

Menurut SKMM, antara kawasan yang terlibat dalam simulasi itu ialah Bukit Tampin, Negeri Sembilan dengan kerjasama Telekom Malaysia; Bukit Jelutong, Selangor (Celcom); Felda Berabong, Pahang (Digi); Mak Mandin Jetty, Pulau Pinang (Maxis); dan MSU Shah Alam, Selangor (U Mobile).

Simulasi secara besar-besaran turut diadakan di Kemaman, Terengganu dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), industri telekomunikasi, agensi-agensi tempatan, serta pos dan kurier, jelasnya.

Selain itu, SKMM serta industri telekomunikasi, pos dan kurier buat pertama kali telah berganding bahu dalam misi penghantaran bantuan kemanusiaan kepada mangsa banjir di Pantai Timur.

Menurut SKMM, misi berkenaan yang dilaksanakan dengan kerjasama NADMA, berlepas dari Depoh Simpanan Pertahanan, Sungai Buloh pada Jumaat bersama muatan 52 tan barangan bantuan untuk lebih 5,000 mangsa banjir.

“Mereka telah menyumbangkan ‘power bank’, air minuman, selimut, kit penjagaan diri, serta barang kegunaan harian yang lain. Bantuan kemanusiaan ini telah tiba di Pasir Mas dan Tumpat, Kelantan, pada Sabtu (semalam),” katanya.

Menurut SKMM, antara yang memberi sumbangan ialah City-Link Express, GD Express Sdn Bhd, J&T Express, Line Clear Express and Logistics Sdn Bhd, Pos Malaysia, Skynet Malaysia, Digi dan U Mobile.

Pada masa sama, suruhanjaya itu menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan semasa musim banjir antaranya mengelak daripada menggunakan peranti mudah alih untuk aktiviti penstriman atau muat naik dan muat turun bagi mengurangkan kesesakan rangkaian.

“Hadkan panggilan yang ingin dibuat kepada panggilan yang penting sahaja bagi mengelakkan kesesakan rangkaian suara dan hanya menggunakan telefon bimbit dan power bank untuk hal-hal penting sahaja,” katanya.

SKMM turut menasihatkan orang ramai supaya menjimatkan bateri telefon dengan mengurangkan kecerahan skrin dan tutup aplikasi yang tidak digunakan, mendapatkan maklumat terkini melalui hebahan semasa dan mengikuti akaun media sosial agensi-agensi kerajaan tempatan dan badan-badan berkaitan untuk maklumat terkini.

Orang ramai juga dinasihatkan tidak panik dan membuat sebarang spekulasi di media sosial dan menghubungi talian 999 hanya jika menghadapi situasi yang mengancam nyawa.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

58 kelengkapan komunikasi tidak diperakui dirampas – SKMM

CYBERJAYA, 18 NOV: Sebanyak 58 kelengkapan komunikasi tidak diperakui dirampas dalam beberapa serbuan di 12 lokasi di empat negeri antara Julai hingga awal Oktober tahun ini, demikian menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Antara kelengkapan komunikasi yang dirampas di Kuala Lumpur, Kedah, Perak dan Pulau Pinang itu ialah antena, signal booster dan repeater, sistem pemancar TV tanpa wayar dan penghantar AV, kotak TV Android, walkie-talkie dan RF Repeater, katanya.

Menurut SKMM dalam kenyataan hari ini, kesemua barang rampasan disita Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum diserahkan kepada SKMM untuk tujuan analisis bagi membantu siasatan.

Kes berkenaan disiasat di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.

“Usaha membanteras penggunaan atau penjualan kelengkapan komunikasi tidak diperakui giat dijalankan ketika ini dan akan diperhebatkan lagi,” menurut SKMM.

Menurut SKMM, 19 kes berkaitan pemilikan atau penjualan kelengkapan komunikasi tidak standard membabitkan 66 pertuduhan telah dibawa ke muka pengadilan antara Januari hingga September tahun ini, yang melibatkan nilai denda berjumlah RM432,000.

Sepanjang 2018 pula, 10 kes membabitkan 15 pertuduhan dibawa ke mahkamah yang kesemua pertuduhan disabitkan kesalahan dengan jumlah denda RM55,500, katanya.

Mengingatkan agar membeli dan menggunakan kelengkapan komunikasi yang memaparkan label SKMM sahaja, orang ramai boleh memanfaatkan aplikasi mudah alih Check Your Label atau layari laman https://ecomm.sirim.my bagi kepastian kelengkapan komunikasi yang digunakan adalah sah dan diperakui.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

SKMM: Hina Nabi, dua individu disoal siasat

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

CYBERJAYA, 30 APR: Dua individu disoal siasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berikutan menghina Nabi Muhammad SAW, isteri baginda, Aisyah RA dan kesucian agama Islam menggunakan Facebook peribadi mereka.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan dan Siasatan SKMM, Dato’ Mohd Shafie Harun berkata, siasatan dijalankan susulan laporan yang diterima daripada orang ramai supaya tindakan segera diambil.

Katanya, kedua-dua individu terbabit dirakamkan soal siasat mereka dalam satu serbuan serentak yang dikendalikan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Semporna, Sabah dan Kajang, Selangor.

Kesalahan yang dilakukan kedua suspek menjurus kepada perbuat memuat naik kandungan bersifat jelik dan menghina dengan niat mengganggu serta menyakitkan hati orang lain, katanya.

“Dalam kes pertama membabitkan pengguna akaun Facebook bernama ‘Auni Zaara’, suspek memuat naik mesej menghina Nabi Muhammad dan isteri baginda.

“Manakala, kes kedua membabitkan pengguna akaun Facebook ‘Fadhillah Abdulhamid’, suspek memuat naik kandungan bersifat jelik terhadap Islam dan Nabi Muhammad dengan kata-kata yang cukup menghina,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dan tindakan tegas bakal diambil terhadap mana-mana individu yang didapati menyalahgunakan laman media sosial bagi menyebarkan hantaran berbaur penghinaan yang boleh mengundang kemarahan orang awam.

Difahamkan, dalam serbuan terbabit, dua buah telefon bimbit, tiga kad SIM dan satu kad memori dirampas bagi siasatan lanjut.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. Sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Categories
NASIONAL

Salah laku warga maya perlu dijelaskan andai tiada tindakan

KUALA LUMPUR, 22 APR: Sebarang salah laku netizen (warga maya) perlu dijelaskan andai tiada tindakan daripada pihak berkuasa, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata, ini kerana Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah sedaya upaya membantu pihak berkuasa dalam sebarang siasatan berkaitan salah laku netizen dan tiada kuasa untuk menangkap dan seterusnya membawa pelaku jenayah ke mahkamah.

“Kami perlu bertindak pantas. Kerap kali kalau tidak setiap kali, kita memberikan respons dengan pantas. Tetapi selepas dari itu kita lihat tidak ada tindakan. Jadi, saya telahpun maklumkan kepada pihak polis. Adalah penting bagi anda memberi penjelasan kepada rakyat.

“Tidak boleh ada keadaan di mana kita dilihat berlakunya muat naik yang tidak sepatutnya, kemudian tidak ada tindakan. Bagi saya kalau kita nak wujudkan undang-undang, ianya perlu efektif. Kalau ada undang- undang, kita perlu bersedia untuk menggunakan undang-undang tersebut.

“Jadi bila laporan polis dibuat, kita perlu ambil tindakan cepat. Setakat mana yang SKMM boleh, kita akan laksanakan, tapi kuasa untuk tangkapan, kuasa untuk keputusan, tuduh dan sebagainya, ini di luar bidang kementerian saya. Saya fikir rakyat patut tahu soal kenapa tiada tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media sempena ulang tahun pertama pentadbiran kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan di pejabatnya di Wisma Angkasapuri hari ini.

Gobind ditanya mengenai peranan agensi di bawah kementeriannya, SKMM dalam mendepani pelbagai cabaran sejak setahun lepas berkaitan media sosial dan salah laku netizen seperti menghina Nabi Muhammad SAW dan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Tegasnya, apabila ada kekangan atau tiada tindakan daripada polis dan Jabatan Peguam Negara, ia harus dimaklumkan kepada semua tentang apa yang sebenarnya berlaku agar tiada gambaran seolah-olah SKMM yang tidak mengambil tindakan.

“Walhal kita sudah ambil tindakan, dan saya pun tertunggu-tunggu kenapa lambat sangat ambil tindakan dan apa masalah yang berlaku,” katanya.

Apabila ditanya bagaimana hendak mengimbangi antara gesaan untuk mengambil tindakan terhadap penghinaan dan kebimbangkan akan dikritik rakyat mengenai hak kebebasan media dan kebebasan bersuara, Gobind berkata, buat masa ini pihak berkuasa ada pelbagai peruntukan di bawah undang-undang yang boleh digunakan seperti Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membolehkan tindakan diambil terhadap sebarang salah laku di media sosial.

Beliau juga menegaskan bahawa kerajaan pimpinan Pakatan Harapan komited terhadap kebebasan media, tetapi ia mempunyai batasan yang dinyatakan dengan jelas dalam undang-undang.

“Akhir-akhir ini, kita menyaksikan peningkatan kes di mana Internet digunakan untuk tujuan yang boleh mengakibatkan, kalau boleh saya katakan secara terus-terang, salah guna. Kita dapati berlaku penghinaan, terdapat juga orang yang menghasut kepada kebencian, orang yang mengugut orang lain, yang juga secara terbuka menghina institusi raja. Ini sesuatu yang perlu ditangani.

“Dan di mana terdapat kesalahan dilakukan, sudah tentu tindakan undang-undang akan diambil. Kita sudah melihat bagaimana penyalahgunaan media sosial boleh membawa kepada kesan buruk di seluruh dunia. Bukan sahaja di Malaysia. Negara-negara lain juga menghadapi cabaran serupa.

“Singapura, UK (United Kingdom) dan Australia juga menggesa supaya diwujudkan lebih banyak peraturan dan sudah tentu menekankan supaya ada pertimbangan secara amat berhati-hati mengenai banyak mana kebebasan atau sokongan yang mahu kita beri apabila membabitkan media,” tambah beliau.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Gobind mahu dua dana SKMM diaudit

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 21 JUN: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan menjalankan audit ke atas dua kumpulan dana yang diuruskan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, dua dana tersebut adalah dana SKMM yang ditubuhkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (Dana USP) yang ditubuhkan mengikut Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Pemberian Perkhidmatan Sejagat) 2002.

“Penyata kewangan SKMM menunjukkan dana SKMM adalah RM800 juta manakala mengikut penyata kewangan dan USP berjumlah RM8.5 billion setakat 31 Disember 2016.

“Audit terhadap dua dana ini adalah untuk mengesahkan jumlah dalam akaun-akaun tersebut dan meningkatkan ketelusan dalam penggunaan dana,” katanya dalam kenyataan.

Gobind berkata, dana SKMM diadakan untuk kewangan SKMM seperti ditetapkan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, manakala dana USP digunakan mengurangkan jurang digital dengan memberi perkhidmatan komunikasi dan akses internet luar bandar dan kawasan perkhidmatan terhad, melalui projek infrastruktur.

“Syarikat-syarikat telekomunikasi (telco) wajib menyumbang sebahagian peratusan daripada perolehan mereka tahun ini kepada Dana ini yang diuruskan oleh SKMM.

“Saya berharap audit berkenaan akan mengutarakan kelemahan sekiranya ada dalam penggunaan kedua dana tersebut, serta masalah dalam proses penganugerahan dan pelaksanaan projek di bawah dana tersebut sehingga hari ini,” katanya.