Categories
NASIONAL

Sokong cadangan hasil tenaga daripada bahan buangan

OLEH NADIAH ZAMLUS

TANJUNG SEPAT, 15 JUL: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyambut baik cadangan bagi menghasilkan tenaga menggunakan bahan buangan.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, KPKT telah melakukan pelbagai kaedah untuk menguruskan bahan buangan agar mendatangkan impak yang paling minimum terhadap alam sekitar.

“Justeru cadangan untuk menghasilkan tenaga dengan bahan buangan ini adalah satu cadangan yang amat baik.

“Dengan perancangan sedia ada, KPKT akan berusaha untuk mengurangkan kebergantungan terhadap tapak pelupusan sampah dan mengambil inisiatif menggunakan teknologi terbaru seperti menggubah bahan buangan kepada tenaga, teknologi bio mass dan juga teknologi bio ‘digester’,” katanya kepada media.

Zuraida berkata demikian bagi mengulas kenyataan Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar berhubung pihaknya bersedia bekerjasama dalam projek pengurusan sisa bagi menghasilkan tenaga di negara ini.

Antara negara yang menggunakan kaedah tenaga daripada sisa termasuk Jepun, Denmark dan Singapura.

=EZY=

Categories
NASIONAL SELANGOR

Sistem Pengurusan Polis Perlu Diperbaiki Bagi Pencegahan Jenayah

sivarasa pc stripped 02

SHAH ALAM 3 OGOS : Sistem pengurusan pihak polis seharusnya diubah dan diperbaiki agar sumber, tenaga dan tanggungjawab anggota keselamatan dapat ditumpukan dalam usaha pencegahan jenayah.

Menurut Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa, masalah jenayah yang semakin menular ketika ini bukan berpunca daripada kekurangan undang-undang berkaitan, sebaliknya berpunca daripada pembahagian tugas dan tanggungjawab anggota polis yang dilihat tidak relevan.

“Perkara ini sudah lama dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat (PR) di mana kita mendesak agar pasukan polis diperbanyakkan untuk mencegah jenayah kerana buat masa sekarang terlalu kurang anggota ditugaskan dalam pencegahan jenayah.

“Sebaliknya, kebanyakkan sumber (polis) diletakkan dalam unit pentadbiran, logistik, gerakan am dan sebagainya; lebih-lebih lagi menumpukan pada hal-hal politik Pakatan Rakyat.

“Inilah yang mesti diubah agar pengurusan polis lebih baik dan mengutamakan perkara yang lebih penting untuk kesejahteraan dan keselamatan rakyat, bukan nafsu politik pihak-pihak tertentu,” ujar beliau yang dihubungi TVSelangor.

Sehubungan itu, beliau berkata tiada asas untuk mengembalikan semula Akta Darurat (EO) sepertimana disarankan sesetengah pihak kerana undang-undang sedia ada dilihat berkeupayaan mengawal aktiviti jenayah.

“Dahulu pun ketika EO wujud, ia tidak dibuktikan berkesan mencegah jenayah dan kita tentang kerana ia adalah penahanan tanpa perbicaraan serta terdedah kepada penyalahgunaan oleh kerajaan.

“Tidak perlu EO sekarang ini kerana undang-undang sedia ada seperti Kanun Acara Jenayah yang memberi kuasa penahanan selama 15 hari terhadap mana-mana suspek sudah dilihat besar berbanding negara-negara lain yang mempunyai tempoh penahanan yang kurang.

“Jika negara lain mampu mengurangkan kadar jenayah dengan akta yang terhad, mengapa tidak kita di Malaysia; soalnya kembali kepada pengurusan pembahagian tugas anggota polis sendiri,” tegas Sivarasa lagi.

Mengulas perkembangan kejadian jenayah yang semakin menjadi-jadi, beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR berkata PR bersedia memberikan kerjasama dengan Kerajaan Pusat membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil.

“Kerajaan boleh menubuhkan jawatankuasa khas dalam isu ini jika benar-benar ikhlas dan komitmen dalam usaha mencegah jenayah.

“Ini bukan hal politik, ini demi kesejahteraan, keselamatan dan keamanan yang melibatkan rakyat,” ujar Sivarasa.