Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor titah pelbagaikan sumber ekonomi negeri

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 27 MAC: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya usaha mempelbagaikan sumber pendapatan negeri perlu ditingkatkan dengan mencari sumber baru dan tidak hanya bergantung kepada hasil tanah.

SK - PNSB Sultan Bday 12th copyBaginda bertitah, peranan dan fungsi syarikat milik Kerajaan Negeri dimantapkan melalui rasionalisasi aset.

Titah baginda, ia termasuk menyatukan dan menyusun semula aset serta menetapkan strategi perniagaan untuk penciptaan nilai mampan (sustainable value creation).

“Sebagai contoh, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sewajarnya mempunyai keupayaan bersaing dengan pemaju swasta secara strategik dan mengekalkan matlamat penubuhan PKNS menyediakan perumahan mampu dimiliki dan berkualiti,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor yang ke-13, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Sultan Selangor memuji kecekapan Kerajaan Negeri mentadbir Selangor hingga menjadi negeri termaju di Malaysia.

“Malaysia Institute of Economic Research (MIER) melaporkan antara kekuatan Selangor adalah kestabilan dan penyatuan dalam pentadbiran, cekal dan berpandangan jauh serta melaksanakan dasar juga program mengutamakan rakyat.

“Kerajaan Negeri beta tuntas melaksanakan program meningkatkan tahap sosioekonomi rakyat supaya kemakmuran negeri ini dapat dinikmati osemua rakyat,” titah baginda.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Sistem Pengurusan Polis Perlu Diperbaiki Bagi Pencegahan Jenayah

sivarasa pc stripped 02

SHAH ALAM 3 OGOS : Sistem pengurusan pihak polis seharusnya diubah dan diperbaiki agar sumber, tenaga dan tanggungjawab anggota keselamatan dapat ditumpukan dalam usaha pencegahan jenayah.

Menurut Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa, masalah jenayah yang semakin menular ketika ini bukan berpunca daripada kekurangan undang-undang berkaitan, sebaliknya berpunca daripada pembahagian tugas dan tanggungjawab anggota polis yang dilihat tidak relevan.

“Perkara ini sudah lama dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat (PR) di mana kita mendesak agar pasukan polis diperbanyakkan untuk mencegah jenayah kerana buat masa sekarang terlalu kurang anggota ditugaskan dalam pencegahan jenayah.

“Sebaliknya, kebanyakkan sumber (polis) diletakkan dalam unit pentadbiran, logistik, gerakan am dan sebagainya; lebih-lebih lagi menumpukan pada hal-hal politik Pakatan Rakyat.

“Inilah yang mesti diubah agar pengurusan polis lebih baik dan mengutamakan perkara yang lebih penting untuk kesejahteraan dan keselamatan rakyat, bukan nafsu politik pihak-pihak tertentu,” ujar beliau yang dihubungi TVSelangor.

Sehubungan itu, beliau berkata tiada asas untuk mengembalikan semula Akta Darurat (EO) sepertimana disarankan sesetengah pihak kerana undang-undang sedia ada dilihat berkeupayaan mengawal aktiviti jenayah.

“Dahulu pun ketika EO wujud, ia tidak dibuktikan berkesan mencegah jenayah dan kita tentang kerana ia adalah penahanan tanpa perbicaraan serta terdedah kepada penyalahgunaan oleh kerajaan.

“Tidak perlu EO sekarang ini kerana undang-undang sedia ada seperti Kanun Acara Jenayah yang memberi kuasa penahanan selama 15 hari terhadap mana-mana suspek sudah dilihat besar berbanding negara-negara lain yang mempunyai tempoh penahanan yang kurang.

“Jika negara lain mampu mengurangkan kadar jenayah dengan akta yang terhad, mengapa tidak kita di Malaysia; soalnya kembali kepada pengurusan pembahagian tugas anggota polis sendiri,” tegas Sivarasa lagi.

Mengulas perkembangan kejadian jenayah yang semakin menjadi-jadi, beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR berkata PR bersedia memberikan kerjasama dengan Kerajaan Pusat membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil.

“Kerajaan boleh menubuhkan jawatankuasa khas dalam isu ini jika benar-benar ikhlas dan komitmen dalam usaha mencegah jenayah.

“Ini bukan hal politik, ini demi kesejahteraan, keselamatan dan keamanan yang melibatkan rakyat,” ujar Sivarasa.