Categories
AGENDA NASIONAL

Nilai moratorium dianggarkan RM74.3 bilion setakat 14 Ogos

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Nilai moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan dianggarkan berjumlah RM74.3 bilion setakat 14 Ogos 2020, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak RM26.0 bilion telah dimanfaatkan oleh sektor perniagaan manakala jumlah yang dimanfaatkan oleh rakyat bernilai RM48.3 bilion.

Moratorium yang berkuat kuasa pada 1 April lepas akan berakhir pada 30 September depan.

“(Bagaimanapun) institusi perbankan akan terus membantu peminjam yang terjejas akibat Covid-19 menerusi pelaksanaan bantuan bersasar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) ke-18 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jalan Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang dikeluarkan hari ini.

Tengku Zafrul juga mengingatkan mereka yang masih terjejas itu agar tidak menunggu sehingga ke saat-saat akhir untuk menghubungi institusi perbankan masing-masing bagi membincangkan sebarang permintaan membabitkan pilihan pembayaran balik berkenaan.

“Menerusi pembukaan semula ekonomi secara berperingkat sejak Mei 2020, pelaksanaan bantuan bank bersasar yang bermula 1 Oktober, 2020 adalah wajar untuk mereka yang masih terjejas. Inisiatif ini adalah untuk memastikan bahawa sistem perbankan negara kekal kukuh dan utuh,” katanya.

Malah, tegas beliau, sistem perbankan yang kukuh adalah penting bagi menyokong usaha pemulihan ekonomi dengan terus menyediakan akses pembiayaan kepada kalangan perniagaan dan isi rumah selain sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan ketidaktentuan pada masa akan datang.

Selain itu, industri perbankan juga mempunyai obligasi dalam membayar keuntungan kepada tabungan deposit pelanggannya, kata beliau.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Malaysia berada di landasan tepat pemulihan ekonomi – Tengku Zafrul

BATU KAWAN, 8 OGOS: Ekonomi Malaysia berada di landasan yang tepat untuk mencapai pemulihan pada 2021, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata negara berkedudukan baik untuk mencatatkan peningkatan semula pada 2021 berlandaskan rancangan ke arah menyaksikan keluk pemulihan ekonomi berbentuk ‘V’.

“Kita lihat unjuran Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang amat kukuh terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2021 Malaysia iaitu enam hingga lapan peratus, namun ia bergantung kepada bagaimana kita dan dunia menangani krisis kesihatan pandemik Covid-19.

“Kita memantau rapat keadaan ini namun saya amat optimistik setelah melihat fakta dan angka yang dibentangkan kepada kita khususnya bagi Jun dan Julai,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan rasmi ke syarikat Vitrox Technologies Sdn Bhd di sini, hari ini.

Beliau berkata selain itu kadar pengangguran Malaysia yang susut 0.4 mata peratusan kepada 4.9 peratus pada Jun 2020 daripada paras tertinggi 5.3 peratus pada Mei 2020 mengikut Jabatan Perangkaan juga satu petanda yang baik.

“Ini bermakna apabila ekonomi dibuka semula pada 4 Mei dan industri pula dibuka semula secara beransur-ansur…pekerjaan juga bertambah baik. Ini merupakan petanda awal bahawa kita berada di landasan yang betul untuk pulih,” katanya.

Tengku Zafrul berkata sebagai perbandingan, pada Jun 2020, kadar pengangguran di Filipina mencecah 17.7 peratus, India (11 peratus), Amerika Syarikat (11.1 peratus) dan China (5.7 peratus).

“Kebanyakan negara Eropah juga mencatatkan angka pengangguran dua digit tetapi bagi Malaysia kadar pengangguran masih terkawal,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan prestasi KDNK negara bagi suku kedua 2020 mencatatkan penurunan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata suku kedua 2020, yang prestasinya dijadual dibentangkan Bank Negara Malaysia (BNM) pada Jumaat depan, adalah tempoh mencabar kerana ketika itulah PKP dilaksanakan selain penutupan ekonomi negara sehingga 4 Mei.

“Oleh yang demikian, saya jangka ekonomi ini mengalami penguncupan pada suku kedua 2020. Bagaimanapun kita tidak sendirian kerana ini adalah kesan pandemik secara global, lebih 150 negara di dunia akan menghadapi penguncupan ekonomi pada 2020,” katanya.

Mengenai suku ketiga 2020, Tengku Zafrul berkata prestasi ekonomi Malaysia bagi tempoh itu akan bergantung kepada usaha negara menguruskan dan menangani pandemik Covid-19.

“Sekiranya kita berjaya mengekalkan pertumbuhan, suku ketiga 2020 sewajarnya lebih baik daripada suku kedua 2020.

“Namun suku keempat juga bergantung kepada bagaimana langkah ekonomi global untuk meningkat kerana seperti yang anda ketahui, kita merupakan ekonomi yang sangat terbuka dan Malaysia adalah sebahagian daripada rantaian bekalan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Ringgit dibuka tinggi 4.2700/2770 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada awal dagangan hari ini, didorong sentimen pasaran yang lebih memberangsangkan terhadap mata wang tempatan susulan kenyataan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengenai ekonomi negara semalam.

Bagaimanapun pergerakan meningkat ringgit itu dihadkan oleh harga minyak mentah yang mengalami penyusutan.

Pada 9.15 pagi, ringgit berada pada 4.2700/2770 berbanding dolar AS daripada 4.2710/2770 ketika ditutup semalam.

Semalam, Tengku Zafrul berkata dedahan Malaysia terhadap risiko turun naik mata wang asing adalah amat terhad memandangkan 97 hingga 98 peratus hutang negara adalah hutang dalam negara.

Semasa membentangkan Laporan ke-10 Unit Pelaksanaan Dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional bagi Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi PRIHATIN dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara, beliau berkata tahap hutang negara mungkin mencecah had berkanun 55 peratus pada akhir 2020 daripada 52 peratus ketika ini.

Ia berikutan pelaksanaan langkah-langkah perlu untuk menyelamatkan nyawa, kehidupan serta merangsang ekonomi, katanya.

Tengku Zafrul bagaimanapun menegaskan kerajaan amat komited dalam memastikan disiplin fiskal dapat diteruskan.

Sementara itu mengenai penurunan harga minyak mentah global yang mengehadkan kenaikan ringgit, peniaga berkata peserta pasaran dijangka menyaksikan inventori minyak mentah meningkat lagi, sekali gus memberi tekanan ke atas harga.

Justeru, dagangan minyak mentah Brent susut 0.20 peratus kepada US$40.29 setong dan minyak mentah WTI turun 0.09 peratus kepada US$42.59 setong.

Ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0744/0805 daripada 3.0671/0723 ketika ditutup semalam dan rendah berbanding yen kepada 4.0064/0141 daripada 3.9875/9942.

Ringgit lemah berbanding pound Britain kepada 5.3503/3595 daripada 5.3165/3261 semalam dan susut berbanding euro kepada 4.8319/8416 daripada 4.8203/8283.

-BERNAMA