Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dijangka naik semula disokong sentimen pasaran lebih baik

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Ringgit dijangka meningkat semula berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan, dipacu oleh sentimen pasaran yang lebih baik dengan didorong harga minyak mentah global yang berpotensi lebih tinggi.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata susulan wujud kaitan kukuh di antara ringgit dengan harga minyak mentah maka, unit tempatan berpotensi cerah untuk mencatatkan kenaikan kepada RM4.12 hingga RM4.13 berbanding dolar AS minggu depan.

“Bagaimanapun, sebarang perkembangan lanjut yang negatif berkaitan sekatan yang dikenakan ke atas China oleh pihak barat boleh memberi tekanan kepada ringgit,” katanya kepada Bernama.

Harga minyak mentah meningkat pada Jumaat selepas mengalami penyusutan ketara sehari sebelumnya.

Ia berikutan kebimbangan bahawa kapal kontena berskala besar yang terkandas di Terusan Suez di Mesir mungkin menghalang laluan perkapalan penting bagi tempoh seminggu, dan ini sekali gus menjejaskan bekalan kepada pasaran global.

Semasa laporan ini ditulis, harga minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras global meningkat dua peratus kepada US$63.19 setong.

Bagi dagangan yang berakhir minggu ini, ringgit mencatatkan penurunan selama lima hari berturut-turut berikutan minat risiko dipengaruhi oleh hasil pulangan ke atas bon AS yang lebih tinggi, kebimbangan baru terhadap hubungan perdagangan AS-China, perintah sekatan pergerakan di benua Eropah dan keadaan berhati-hati terhadap pemulihan pertumbuhan global.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, ringgit susut berbanding dolar AS kepada 4.1445/1485 daripada 4.1050/1100 pada minggu lepas.

Unit tempatan juga diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0778/0814 daripada 3.0564/0603 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas serta lemah berbanding yen Jepun kepada 3.7853/7900 daripada 3.7712/7762.

Ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.7153/7224 daripada 5.7150/7228 dan rendah berbanding euro kepada 4.8872/8927 daripada 4.8813/8884.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Ringgit dibuka tinggi 4.2700/2770 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada awal dagangan hari ini, didorong sentimen pasaran yang lebih memberangsangkan terhadap mata wang tempatan susulan kenyataan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengenai ekonomi negara semalam.

Bagaimanapun pergerakan meningkat ringgit itu dihadkan oleh harga minyak mentah yang mengalami penyusutan.

Pada 9.15 pagi, ringgit berada pada 4.2700/2770 berbanding dolar AS daripada 4.2710/2770 ketika ditutup semalam.

Semalam, Tengku Zafrul berkata dedahan Malaysia terhadap risiko turun naik mata wang asing adalah amat terhad memandangkan 97 hingga 98 peratus hutang negara adalah hutang dalam negara.

Semasa membentangkan Laporan ke-10 Unit Pelaksanaan Dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional bagi Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi PRIHATIN dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara, beliau berkata tahap hutang negara mungkin mencecah had berkanun 55 peratus pada akhir 2020 daripada 52 peratus ketika ini.

Ia berikutan pelaksanaan langkah-langkah perlu untuk menyelamatkan nyawa, kehidupan serta merangsang ekonomi, katanya.

Tengku Zafrul bagaimanapun menegaskan kerajaan amat komited dalam memastikan disiplin fiskal dapat diteruskan.

Sementara itu mengenai penurunan harga minyak mentah global yang mengehadkan kenaikan ringgit, peniaga berkata peserta pasaran dijangka menyaksikan inventori minyak mentah meningkat lagi, sekali gus memberi tekanan ke atas harga.

Justeru, dagangan minyak mentah Brent susut 0.20 peratus kepada US$40.29 setong dan minyak mentah WTI turun 0.09 peratus kepada US$42.59 setong.

Ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0744/0805 daripada 3.0671/0723 ketika ditutup semalam dan rendah berbanding yen kepada 4.0064/0141 daripada 3.9875/9942.

Ringgit lemah berbanding pound Britain kepada 5.3503/3595 daripada 5.3165/3261 semalam dan susut berbanding euro kepada 4.8319/8416 daripada 4.8203/8283.

-BERNAMA