Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Tilawah al-Quran peringkat antarabangsa tangguh

PUTRAJAYA, 15 MAC: Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran (MTHQA) Peringkat Antarabangsa Tahun 1441H dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 6 hingga 11 April ini ditangguhkan ke tarikh dimaklumkan kelak.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Paimuzi Yahya dalam kenyataan berkata langkah itu diambil susulan keputusan kerajaan agar semua perhimpunan termasuk acara melibatkan penyertaan dalam dan luar negara ditangguhkan berikutan Covid-19.

Jakim adalah urus setia MTHQA yang merupakan acara tahunan negara sejak 61 tahun lepas, katanya.

Setiap tahun acara itu disertai oleh lebih 60 negara dari seluruh dunia bagi memperdengarkan bacaan dan hafazan ayat-ayat suci al-Quran al-Karim.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Pendidikan berteras al-Quran bentuk generasi berakhlak

SHAH ALAM, 18 JAN: Pendidikan berteraskan al-Quran terbukti membentuk generasi berakhlak mulia dan bertanggungjawab, kata Setiausaha Kerajaan Negeri.

Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata dengan menjadikan al-Quran sebagai `santapan’ harian, ia mampu membangunkan minda positif sekali gus melahirkan sahsiah umat Islam terunggul.

“Ini membolehkan negara melahirkan umat Islam yang mempunyai sifat terpuji seperti tolenrasi, menghormati dan saling membantu.

“Oleh itu, kita perlu bertadabbur untuk mendalami isi dan maksud yang disampaikan bagi memastikan kita tidak tersesat dalam kehidupan mahupun akhirat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sembah ucapan Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Selangor 1441H/2020 yang disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah di Masjid Negeri malam tadi.

Hadir mengiringi baginda Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Mohd Amin berkata pembacaan yang khusyuk turut mampu menggerakkan hati individu itu menyahut dan melaksanakan perintah Allah.

Justeru, beliau menganggap penganjuran program setiap tahun adalah simbol komitmen berterusan Kerajaan Negeri bagi memartabatkan ilmu al-Quran.

Seramai 69 peserta lelaki dan wanita dari sembilan daerah memperdengarkan bacaan tilawah dan hafazan pada 14 hingga 17 Januari.

Categories
AGAMA NASIONAL

Kedah juara keseluruhan tilawah al-Quran peringkat kebangsaan jabatan bomba

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 16 MEI: Kedah diumumkan sebagai juara keseluruhan Pertandingan Tilawah al-Quran, Alunan Azan dan Qasidah Peringkat Kebangsaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tahun 1440H/ 2019M, semalam.

Kemenangan itu susulan daripada dua wakil JBPM Kedah iaitu Mohd Juwaidi Shahbudin dan Siti Aisyah Md Arif dinobatkan sebagai qari serta qariah terbaik.

Bomba Selangor dalam satu kenyataan berkata, tempat kedua pertandingan itu dimenangi JBPM Pulau Pinang sementara tempat ketiga menjadi milik JBPM Pahang.

“Mohd Juwaidi menewaskan peserta JBPM Johor dan Selangor bagi kategori qari, sementara bagi kategori qariah, Siti Aisyah mengatasi peserta dari JBPM Negeri Sembilan juga Perak.

“Bagi kategori alunan azan, Mohd Saiful Shamsudin dari JBPM Pahang dinobat sebagai juara. Bagi kategori qasidah dimenangi JBPM Pulau Pinang,” katanya.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah yang berlangsung di Auditorium Haji Mansur, Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Tengah itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Dato’ Amer Yusof.

Pertandingan yang berlangsung selama tiga hari bermula 13 Mei lalu adalah anjuran bersama Bahagian Pengurusan Korporat JBPM dan Biro Kebajikan dan Kebudayaan MASKAB turut membabitkan penyertaan daripada kakitangan jabatan bomba seluruh negara.