Categories
AGENDA NASIONAL

KEMAS disaran sentiasa tambah baik kokurikulum, pembelajaran tabika

GEORGE TOWN, 7 SEPT: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) perlu sentiasa membuat penambahbaikan dalam aspek kokurikulum dan kaedah pembelajaran Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) mengikut peredaran masa.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa berkata, penambahbaikan itu juga perlu mengikut keperluan kanak-kanak.

“Kita mahu kokurikulum yang kita ajar di Tabika Kemas ini sentiasa ditambah baik dan perlu yang terkini. Ia perlu ditambah baik dari semasa ke semasa dan perlu mengikut keperluan anak-anak.

“Cara pendidikan pada masa kini tidak sama dan ia berbeza dengan zaman 20 atau 30 tahun dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Hari Potensi KEMAS Peringkat Kebangsaan Tahun 2019 di Universiti Sains Malaysia (USM), di sini, malam tadi.

Sivarasa berkata, KEMAS kini sedang melaksanakan program perintis di beberapa tabika dengan memasukkan elemen pembelajaran tambahan seperti Sains, Teknologi, Agama, Kejuruteraan, Seni dan Matematik.

Beliau berharap Tabika KEMAS dapat bersaing dan setanding dengan tabika-tabika swasta yang terdapat di negara ini.

Selain itu, beliau berkata kakitangan KEMAS juga perlu melaksanakan tugas dengan profesional dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik.

“Perlu ada tahap profesionalisme dalam kalangan kakitangan KEMAS di mana saya berharap kakitangan di sini dapat membuat tugasan dan menggalas tanggungjawab secara profesional, menjadikan institusi ini satu institusi yang hebat dan tidak memihak kepada mana-mana politik,” katanya.

Hari Potensi KEMAS adalah aktiviti kokurikulum Tabika KEMAS yang dilaksanakan secara tahunan sejak 2006.

Ia membabitkan pertandingan acara bakat atau sukan yang dilaksanakan secara giliran setiap tahun bermula dari peringkat Parlimen, daerah, negeri hingga ke peringkat kebangsaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tarik lebih ramai pelancong Timur Tengah ke Tasik Kenyir

KUALA BERANG, 27 JUL: Tasik Kenyir perlu dibangunkan sebagai destinasi pelancongan yang mampu menarik kedatangan lebih ramai pelawat termasuk dari Timur Tengah.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa berkata ke arah itu, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) disaran merancang pelbagai inisiatif baharu untuk meningkatkan lagi kebolehpasaran Tasik Kenyir dalam kalangan pelancong.

“Ketengah perlu melihat pasaran baharu terutama negara Timur Tengah dengan mengembangkan daya tarikan elemen air di Tasik Kenyir,” katanya ketika berucap merasmikan Festival Kenyir 2019 dengan mewakili Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun, hari ini.

Majlis yang diadakan di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir di sini itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman dan Pengerusi Ketengah, Datuk Zulkifli Mohamad.

Sivarasa berkata, kementerian melalui Ketengah memperuntukkan RM38 juta bagi pelaksanaan projek infrastruktur komersial dan program ameniti sosial untuk dinikmati pengunjung Tasik Kenyir selari dengan hasrat menjadikannya destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.

“Dalam masa terdekat juga kami akan menaik taraf jaringan jalan raya di Pengkalan Gawi ini…serta menaik taraf landskap bagi menghidupkan lagi elemen flora di Tasik Kenyir ini,” katanya.

Sivarasa menasihati penduduk sekitar Tasik Kenyir mengambil peluang ekonomi dengan menceburi bidang keusahawanan seperti perusahaan makanan, penjualan cenderahati dan kraf, rumah bot dan bot laju.

Festival bermula Khamis lalu hingga esok itu menyasarkan kehadiran 80,000 pengunjung dengan sasaran jualan dan pendapatan RM1.6 juta.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata sehingga Jun tahun ini, Tasik Kenyir menerima 257,192 pengunjung.

– BERNAMA / Foto – malaysia.travel