Categories
PENDAPAT RENCANA

Ekologi Tasik Kenyir masih purba

KUALA BERANG, 26 NOV: Meskipun Tasik Kenyir adalah tasik buatan manusia, ia unik kerana mempunyai ekologi perikanan berciri purba sehingga memungkinkan ikan primitif seperti kelisa atau arowana boleh hidup di dalamnya.

Ikan kelisa yang terdapat di tasik ini adalah daripada spesies bernilai tinggi iaitu Kelisa Mutiara, Kelisa Merah dan Kelisa Emas.

Kemampuan ikan ini hidup di Tasik Kenyir membuktikan ekologi yang terbentuk di sini adalah stabil dan berciri purba meskipun tasik ini adalah tasik buatan manusia.

“Kualiti air di Tasik Kenyir memang tidak boleh ditandingi. Airnya tidak bertukar keruh meskipun hujan turun.

“Di tempat lain kalau hujan sudah tentu air tasik boleh bertukar keruh tetapi di sini tidak.”

Perkara ini dikongsikan oleh Dr Mohd Fazrul Hisam Abd Aziz, pensyarah kanan bidang Teknologi Alatan Perikanan dan Ekologi Perikanan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan sekumpulan wartawan Bernama yang dibawa melawat sekitar Tasik berkenaan baru-baru ini termasuk pusat penyelidkan universiti itu di Pengkalan Lawit.

Antara ciri kualiti air di Tasik Kenyir termasuk rasa airnya yang betul-betul tawar dan tidak payau, mempunyai kedalaman yang cukup serta ekosistem rantaian makanan yang baik dengan kehadiran phytoplankton, zooplankton dan serangga di pinggir tasik yang menjadi makanan kepada ikan.

Spesies istimewa

Menurut Mohd Fazrul, selain kelisa, terdapat beberapa spesies ikan lain yang amat sensitif terhadap persekitaran seperti kelah dan siakap air tawar juga boleh didapati di Tasik Kenyir.

Beliau berkata, ikan kelah sememangnya amat sensitif terhadap persekitarannya untuk membiak kerana habitatnya mesti air semula jadi yang bersih.

Sekiranya, ada pihak yang berhajat menternak ikan kelah secara komersial, mereka perlu mengeluarkan kos yang amat tinggi untuk membina replika persekitaran semula jadi termasuk mencipta arus air terjun yang amat diperlukan kelah.

Atas sebab itulah satu sanktuari khusus diwujudkan di sini sejak Januari 2006 untuk memelihara populasi ikan kelah di kawasan ini. Sanktuari ini dibuka kepada pelancong yang boleh merasai sendiri keseronokan bermain dengan ribuan ikan kelah yang hidup bebas di tasik ini.

Namun sesiapa pun tidak dibenarkan untuk menangkap ikan kelah walaupun seekor. Ranjer ditempatkan di sini untuk memeriksa pengunjung termasuk memeriksa beg yang mereka bawa untuk memastikan tiada kelah dibawa keluar dari kawasan ini.

Semua ikan kelah di sanktuari ini dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perikanan 1985, Kaedah-Kaedah Perikanan Darat Terengganu 1988 (Kaedah 21).

Di bawah Akta itu, mana-mana orang yang didapati menangkap, membunuh dan memiliki ikan dalam kawasan tutup yang dinyatakan jika sabit kesalahan akan dikenakan denda tidak melebihi RM 1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali dengan perintah pegawai perikanan darat.

Tambah Mohd Fazrul, spesies ikan lain yang yang terdapat di Tasik Kenyir yang menjadi kegemaran orang ramai untuk dijadikan hidangan adalah ikan tapah, baung, sebarau dan lampam jawa.

Perikanan unik

Di samping mempunyai ekologi ikan yang menarik, Tasik Kenyir turut menyaksikan kaedah penangkapan ikan secara kecil-kecilan dan bersifat tradisional “artisanal”, yang sukar ditemui di tempat lain yang, terutamanya dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

“Alat memancing tradisional, peralatan perikanan lama dan teknik menangkap ikan era dahulu masih ada di sini. Penggunaan pukat hanyut, bubu, serampang, lembing dan panah ikan masih lagi digunakan di sini,”

“Rawai yang mereka gunakan juga istimewa kerana tidak menggunakan mata kail tetapi digantikan dengan buah ara untuk menangkap Kelah. Teknik ini melindungi ikan daripada cedera kerana buah ara yang lekat di insang ikan,” kata Mohd Fazrul.

Aktiviti tuba ikan di sini juga lain dari yang lain. Masyarakat Orang Asli menggunakan akar pokok tertentu untuk menuba berbanding aktiviti tuba di tempat lain yang menggunakan bahan kimia beracun.

Berdasarkan penjelasan Mohd Fazrul, dapat juga difahami antara sebab sumber ikan di Tasik Kenyir kekal lestari adalah kerana mentaliti nelayan tempatan khususnya daripada masyarakat Orang Asli yang tidak melakukan penangkapan berlebihan.

Jelas beliau, keutamaan mereka adalah untuk makanan harian dan bila ada hasil yang lebih barulah mereka jual untuk menampung kelangsungan hidup seharian.

Saiz pukat yang digunakan juga bersaiz dua inci ke atas untuk mengelakkan anak ikan terperangkap di dalam pukat.

Aktiviti perikanan turut menjadi daya tarikan kepada industri pelancongan di sini. Penggunaan rumah bot untuk memudahkan pergerakan kaki pancing ke sana sini amat meluas. Di samping itu penjualan peralatan perikanan turut menjana pendapatan penduduk tempatan.

Manusia purba

Selain ekosistem perikanan purba, Tasik Kenyir turut dikenali sebagai tapak kehidupan manusia di masa lampau.

Penemuan rangka manusia purba ‘Bewah Man’ pada tahun 2009 adalah satu titik penting dalam sejarah Tasik Kenyir kerana rangka ini dianggarkan berusia 16,000 tahun iaitu 5,000 tahun lebih tua daripada rangka manusia purba tertua negara ‘Perak Man’ berusia 11,000 tahun yang ditemui pada 1991 di Lenggong, Perak.

Di samping itu, pada 2014, sekumpulan penyelidik dan pensyarah beberapa universiti tempatan menemui fosil dinasour termasuk tapak kaki, tulang dan gigi di taman negara di Gunung Gagau, di sini.

Kewujudan perkampungan Melayu tradisional di Kampung Jenagor dekat sini turut menjadi satu perkara menarik kerana lokasi ini dikatakan pernah menjadi pusat perkembangan Islam di rantau ini pada masa lampau.

Mengulas perkara ini, Dr Hazman Samsudin, pengerusi Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari, UMT berkata, pihak UMT sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan tahap sosio-ekonomi penduduk Tasik Kenyir dan kawasan sekitarnya.

“Komuniti ini mempunyai budaya unik dan komuniti itu tidak ramai. Mereka terdiri daripada anak muda yang sanggup mengorbankan cita-cita mereka demi menjaga budaya tradisi Melayu…jadi kami di UMT bersama beberapa lagi pihak seperti Perhilitan dan MOTAC melatih mereka untuk melibatkan diri dalam bidang pelancongan menggunakan translation grant,” kata beliau.

Untuk makluman, translation grant adalah dana pembiayaan diperolehi daripada Kementerian Pengajian Tinggi (kini Kementerian Pendidikan) untuk kajian yang diaplikasikan terus kepada masyarakat kumpulan sasaran.

Pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) mengeluarkan lencana hijau yang membolehkan warga komuniti setempat menjadi pemandu pelancong selepas melalui sesi latihan yang diperlukan.

Samsudin turut menegaskan bahawa sudah sampai masanya Tasik Kenyir diisytihar sebagai Taman Geopark agar dapat merancakkan lagi industri pelancongan di kawasan ini yang akan dapat meningkatkan status ekonomi masyarakat tempatan.

“Apabila ada aktiviti ekonomi di kawasan ini, golongan muda tidak lagi perlu berhijrah ke bandar untuk mendapatkan pekerjaan dan ini dapat memastikan budaya masyarakat tempatan yang selama ini terpelihara dapat dikekalkan hingga masa depan,” jelas beliau.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Isytihar Tasik Kenyir sebagai Taman Geo

KUALA BERANG, 2 SEPT: Kerajaan Terengganu disaran mengambil tindakan proaktif menjadikan kawasan Tasik Kenyir sebagai Taman Geo (Geo-Park) bagi memastikan warisan semula jadi serta kesan sejarah terus kekal.

Pengerusi Program Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Hazman Samsudin berkata, tindakan itu juga mampu menjana pendapatan penduduk sekitar melalui aktiviti eko-pelancongan.

Bercakap kepada Bernama selepas melakukan tinjauan di Gua Bewah, yang berada di sekitar Tasik Kenyir, di sini baru-baru ini, beliau berkata pelan menjadikan Tasik Kenyir sebagai Taman Geo wujud sejak 2011, namun belum direalisasikan sehingga kini.

“Pengisytiharan Tasik Kenyir sebagai Taman Geo akan menarik minat pelabur asing selain membuka peluang perniagaan dan pekerjaan kepada penduduk.

“Berdasarkan kajian demografi yang dijalankan oleh UMT terhadap komuniti Tasik Kenyir, golongan belia semakin berhijrah ke kawasan bandar bagi mencari peluang ekonomi yang lebih baik dan ini memberi kesan negatif terhadap pembangunan sosio-ekonomi setempat,” katanya.

Hazman berkata, berikutan penghijrahan itu banyak tanah kebun terbiar dan tidak diusahakan, malah ada yang terpaksa mengupah warga Indonesia dan Bangladesh.

“Jadi kalau tiada campurtangan kerajaan, peluang ekonomi makin tidak ada di sini dan yang tua makin ‘hilang’, siapa yang akan tinggal di sini Lama kelamaan warisan kita di sini akan hilang,” katanya.

Mengambil contoh Pulau Langkawi, Hazman berkata, jumlah kemasukan pelancong di pulau itu melonjak tinggi selepas ia diisytiharkan sebagai Taman Geo.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan pengisytiharan Tasik Kenyir sebagai Taman Geo tidak akan membebankan mana-mana pihak atau menjejaskan pendapatan sedia ada kerana tidak melibatkan pewartaan.

“Tidak membabitkan pewartaan. Berbeza dengan Warisan Dunia yang melibatkan pewartaan, perniagaan akan berjalan seperti biasa. Maknanya kalau ada kita ada kuari di sana, tempat membalak teruskan membalak. Tapi janganlah membalak di kawasan yang dikenal pasti ada sejarahnya seperti Gua Bewah ini.

“Ini kita dah kenal pasti sebagai tapak warisan Gua Bewah, ada ‘Bewah Man dan sebagainya, jadi janganlah membalak. Tapi kawasan lain nak membalak, membalaklah”, katanya.

Sehubungan itu, Hazman berharap cadangan terbabit dapat diberi perhatian serius oleh pihak kerajaan negeri terutama dalam memastikan kelangsungan sumber warisan dan peningkatan industri pelancongan.

Tasik Kenyir yang mempunyai keluasan 209,199 hektar merupakan tasik buatan terbesar di Asia Tenggara dan menjadi habitat kepada ribuan spesis flora dan fauna.

Ia juga adalah lokasi fosil dinosaur ditemukan selain penemuan rangka manusia tertua di Malaysia dikenali sebagai ‘Bewah Man’ – yang berusia 16,000 tahun.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tarik lebih ramai pelancong Timur Tengah ke Tasik Kenyir

KUALA BERANG, 27 JUL: Tasik Kenyir perlu dibangunkan sebagai destinasi pelancongan yang mampu menarik kedatangan lebih ramai pelawat termasuk dari Timur Tengah.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa berkata ke arah itu, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) disaran merancang pelbagai inisiatif baharu untuk meningkatkan lagi kebolehpasaran Tasik Kenyir dalam kalangan pelancong.

“Ketengah perlu melihat pasaran baharu terutama negara Timur Tengah dengan mengembangkan daya tarikan elemen air di Tasik Kenyir,” katanya ketika berucap merasmikan Festival Kenyir 2019 dengan mewakili Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun, hari ini.

Majlis yang diadakan di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir di sini itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman dan Pengerusi Ketengah, Datuk Zulkifli Mohamad.

Sivarasa berkata, kementerian melalui Ketengah memperuntukkan RM38 juta bagi pelaksanaan projek infrastruktur komersial dan program ameniti sosial untuk dinikmati pengunjung Tasik Kenyir selari dengan hasrat menjadikannya destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.

“Dalam masa terdekat juga kami akan menaik taraf jaringan jalan raya di Pengkalan Gawi ini…serta menaik taraf landskap bagi menghidupkan lagi elemen flora di Tasik Kenyir ini,” katanya.

Sivarasa menasihati penduduk sekitar Tasik Kenyir mengambil peluang ekonomi dengan menceburi bidang keusahawanan seperti perusahaan makanan, penjualan cenderahati dan kraf, rumah bot dan bot laju.

Festival bermula Khamis lalu hingga esok itu menyasarkan kehadiran 80,000 pengunjung dengan sasaran jualan dan pendapatan RM1.6 juta.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata sehingga Jun tahun ini, Tasik Kenyir menerima 257,192 pengunjung.

– BERNAMA / Foto – malaysia.travel

Gempa bumi 2.7 di Tasik Kenyir

Gempa bumi lemah 2.7 skala Richter di Tasik Kenyir dikesan jam 9.25 malam tadi.

Categories
NASIONAL

Tasik Kenyir alami gegaran lemah

TERENGGANU, 24 FEB: Beberapa kawasan di Tasik Kenyir, Terengganu, gempar susulan gempa bumi lemah bermagnitud 2.7 pada skala Richter dikesan malam tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan berkata, gegaran boleh dirasai di Kuala Berang.

T_Kenyir_Trip_mapPusat gempa bumi itu terletak di 5 darjah Utara dan 102.9 darjah Timur, iaitu 16km Barat Daya dari Kuala Berang.

Menurut kenyataan itu, tiada ancaman tsunami berikutan gempa yang berlaku pada 9.25 malam itu, namun agensi itu sedang memantau perkembangan dan akan memaklumkan sebarang maklumat terkini.

Tasik Kenyir adalah tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara dengan keluasan 260,000 hektar.