Categories
AGENDA EKONOMI

Eksport minyak sawit turun 41.7 peratus sepanjang PKP

KUALA LUMPUR, 30 APRIL: Prestasi keseluruhan eksport produk sawit sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April, 2020 mencatatkan penurunan signifikan 34.8 peratus atau 793,257 tan kepada 1,486,521 tan berbanding 2,279,778 tan bagi tempoh yang sama pada 2019.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata eksport minyak sawit iaitu minyak sawit mentah dan minyak sawit proses menyusut 41.7 peratus atau 636,847 tan kepada 890,331 tan berbanding 1,527,178 juta tan bagi tempoh yang sama.

Sehubungan itu, beliau berkata Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan meningkatkan usaha penerokaan pasaran baharu melalui pelbagai strategi yang bersesuaian dengan negara berkenaan.

“Malaysia juga bersedia untuk melaksanakan urusan berkongsi kepakaran dan kemahiran melalui misi perdagangan, penganjuran seminar berkaitan isu teknikal dan ekonomi, pelaksanaan program pengenalan industri sawit Malaysia serta berkongsi tadbir urus industri sawit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas selanjutnya, beliau berkata selain pasaran sedia ada yang akan terus diperkukuhkan terutamanya di India, China dan Kesatuan Eropah, KPPK telah mengenalpasti pasaran baharu yang berpotensi dibangunkan melalui pelaburan langsung atau pelaburan secara usaha sama.

Mohd Khairuddin berkata antara negara yang berpotensi adalah dari rantau Asia Pasifik (Filipina, Vietnam dan Myanmar), Timur Tengah (Mesir, Arab Saudi dan Jordan), negara rantau Afrika (Djibouti, Ethiopia, Somalia dan Mozambique) serta dari Asia Tengah (Afghanistan, Uzbekistan dan Kazakhstan) dengan anggaran pasaran dua juta tan setahun.

Menurutnya sebilangan besar negara tersebut telah menunjukkan minat berkaitan aspek pembekalan atau terlibat dalam pengembangan serta pembuatan industri minyak dan lelemak menggunakan minyak sawit Malaysia.

“Perkembangan ini menunjukkan keyakinan negara-negara tersebut terhadap kualiti minyak sawit Malaysia. Ia juga membuktikan kelebihan Malaysia sebagai pembekal minyak sawit dan boleh dipercayai sebagai rakan kerjasama dalam membangunkan industri minyak sawit dan lelemak berasaskan sawit di negara mereka,” kata Mohd Khairuddin.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tarik lebih ramai pelancong Timur Tengah ke Tasik Kenyir

KUALA BERANG, 27 JUL: Tasik Kenyir perlu dibangunkan sebagai destinasi pelancongan yang mampu menarik kedatangan lebih ramai pelawat termasuk dari Timur Tengah.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa berkata ke arah itu, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) disaran merancang pelbagai inisiatif baharu untuk meningkatkan lagi kebolehpasaran Tasik Kenyir dalam kalangan pelancong.

“Ketengah perlu melihat pasaran baharu terutama negara Timur Tengah dengan mengembangkan daya tarikan elemen air di Tasik Kenyir,” katanya ketika berucap merasmikan Festival Kenyir 2019 dengan mewakili Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun, hari ini.

Majlis yang diadakan di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir di sini itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman dan Pengerusi Ketengah, Datuk Zulkifli Mohamad.

Sivarasa berkata, kementerian melalui Ketengah memperuntukkan RM38 juta bagi pelaksanaan projek infrastruktur komersial dan program ameniti sosial untuk dinikmati pengunjung Tasik Kenyir selari dengan hasrat menjadikannya destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.

“Dalam masa terdekat juga kami akan menaik taraf jaringan jalan raya di Pengkalan Gawi ini…serta menaik taraf landskap bagi menghidupkan lagi elemen flora di Tasik Kenyir ini,” katanya.

Sivarasa menasihati penduduk sekitar Tasik Kenyir mengambil peluang ekonomi dengan menceburi bidang keusahawanan seperti perusahaan makanan, penjualan cenderahati dan kraf, rumah bot dan bot laju.

Festival bermula Khamis lalu hingga esok itu menyasarkan kehadiran 80,000 pengunjung dengan sasaran jualan dan pendapatan RM1.6 juta.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata sehingga Jun tahun ini, Tasik Kenyir menerima 257,192 pengunjung.

– BERNAMA / Foto – malaysia.travel

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Persidangan meja bulat teliti semula skop penghantaran pelajar ke Timur Tengah

OLEH NURUL FARINA NAZLAN

KAHERAH, 13 OKT: Kerajaan Negeri sudah berbincang bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di bawah bahagian pendidikan agama dan semua agensi yang terbabit dengan pendidikan untuk melaksanakan persidangan meja bulat khas.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ia bagi meneliti semula beberapa perkara membabitkan pengkhususan terutama penghantaran pelajar ke Timur Tengah.

Beliau berkata, antara yang bakal diberikan penekanan adalah melebarkan jumlah universiti yang disarankan, menyeimbangkan jumlah pelajar di semua tempat dan meningkatkan pengurusan pelajar, di sana.

“Di Mesir sahaja, kita ada kira-kira 2,000 pelajar yang berdaftar di bawah Kerajaan Negeri dan akan melihat kaedah bagi mendaftarkan mereka yang belum mendaftar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas kunjungan hormat ke Pejabat Atase Pendidikan (Selangor) dan Pelancaran Projek Naik Taraf Kafeteria Asrama Selangor kepada Pusat Aktiviti Pelajar Selangor, di sini, semalam.

Turut hadir adalah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Zamani Ahmad Mansor; Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar, Soffan Affendi Aminudin; Timbalan Pengarah (Pengurusan) JAIS, Azlinda Azman; Pemangku Pengurus Besar Yayasan Selangor, Zahura Zakry dan Atase Pendidikan (Selangor), Mohd Yasser Abdul Ghani.

Terdahulu, Amirudin diberikan taklimat khas oleh Mohd Yasser berhubung perkembangan terkini pelajar negeri itu di Mesir selain dibawa melihat keadaan asrama yang menempatkan kira-kira 300 pelajar.

Pada masa sama, beliau turut melawat sekitar tapak projek naik taraf kafeteria dan beramah mesra dengan pelajar juga pimpinan Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Komited perluas kemahiran pelajar Selangor di Timur Tengah

OLEH NURUL FARINA NAZLAN

KAHERAH, 13 OKT: Kerajaan Negeri komited memastikan nasib pelajar Selangor di Timur Tengah khususnya Mesir, Jordan dan Maghribi terus diperkasa serta diperkukuhkan, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Katanya, Kerajaan Negeri turut menyalurkan sumbangan kepada pelajar di tiga negara terbabit supaya mereka dapat melaksanakan aktivit sosial atau program kemasyarakatan, sepanjang pengajian.

“Di samping itu, kita cuba untuk menyediakan beberapa peluang dan potensi pekerjaan kepada mereka seperti menjadi eksekutif bahagian halal yang akan dilaksanakan Halal International Selangor.

“Saya juga turut menyarankan mereka untuk keluar daripada pemikiran terhad yang tertumpu kepada bidang dipelajari sahaja dengan beralih kepada industri lain seperti kemahiran dengan skop lebih meluas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas kunjungan hormat ke Pejabat Atase Pendidikan (Selangor) dan Pelancaran Projek Naik Taraf Kafetaria Asrama Selangor kepada Pusat Aktiviti Pelajar Selangor, di sini, semalam.

Turut hadir adalah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Zamani Ahmad Mansor; Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar, Soffan Affendi Aminudin; Timbalan Pengarah (Pengurusan) Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Azlinda Azman; Pemangku Pengurus Besar Yayasan Selangor, Zahura Zakry dan Atase Pendidikan (Selangor), Mohd Yasser Abdul Ghani.

Terdahulu, Amirudin dalam lawatan kerjanya selama seminggu ke Timur Tengah turut ke Maghribi juga Jordan bagi bertemu pelajar Selangor di negara berkenaan sebelum mengadakan pertemuan dengan kelompok sama, di Kaherah.

Pada masa sama, Amirudin juga yakin pelajar di Timur Tengah mempunyai nilai tambah terhadap profesion baru yang bakal mereka ceburi selepas tamat pengajian jika mengikuti latihan atau kursus dalam bidang teknikal juga industri lain.

“Ini juga sebahagian cadangan kita kepada golongan pelajar ini supaya mereka dapat mengisi ruang diperlukan oleh pasaran pekerjaan selaras dengan konsep ‘Maju Bersama’ yang selalu saya ketengahkan dalam pertemuan bersama rakyat,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Lawatan ke Timur Tengah buah hasil, teliti kebajikan pelajar

OLEH NURUL FARINA NAZLAN

KAHERAH, 13 OKT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, lawatan kerja beliau ke Timur Tengah membuahkan hasil penting khususnya bagi meneliti dan membantu pelajar negeri itu yang melanjutkan pengajian di sana khususnya Mesir, Jordan dan Maaghribi.

Amirudin turut merakamkan perhargaan dan terima kasih kepada pihak kedutaan Malaysia di negara itu kerana kerjasama berterusan khususnya dalam menjaga kebajikan pelajar Selangor.

“Mesir contohya mempunyai sejarah yang begitu panjang, bahkan Universiti Al-Azhar antara universiti tertua, di dunia. Sudah pasti, universiti ini menjadi rujukan utama kepada ramai pihak khususnya cendiakawan Islam yang lahir, di Malaysia.

Katanya, Kerajaan Negeri juga sedang mengkaji untuk menambah kakitangan di negara itu dalam usaha memberikan yang terbaik kepada pelajar Selangor, di sana.

“Apa yang saya laksanakan ini juga adalah kesinambungan daripada apa yang sudah dilakukan mantan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, untuk melihat dan meneliti bagaimana perkembangan pelajar kita di Timur Tengah termasuk meningkatkan kualiti prasarana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Minum Petang Dato’ Menteri Besar bersama Duta Besar Malaysia ke Republik Arab Mesir, Tuan Yang Terutama, Mohd Haniff Abdul Rahman, di Intercontinental Cairo Citystar, di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Zamani Ahmad Mansor; Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar, Soffan Affendi Aminudin; Timbalan Pengarah (Pengurusan) Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Azlinda Azman; Pemangku Pengurus Besar Yayasan Selangor, Zahura Zakry dan Atase Pendidikan (Selangor), Mohd Yasser Abdul Ghani.

Terdahulu, Amirudin yang dalam lawatan kerjanya ke Timur Tengah turut ke Maghribi juga Jordan bagi bertemu pelajar Selangor di negara berkenaan dan kemudian mengadakan pertemuan dengan kelompok sama, di Kaherah.

Sementara itu, Mohd Haniff berkata, beliau mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama antara kedutaan dengan Kerajaan Negeri dalam usaha meningkatkan keselesaan juga penambahbaikan untuk pelajar.

“Setakat ini, kami mendapat kerjasama yang baik daripada pelbagai agensi dan semua Kerajaan Negeri. Setiap sekali atau dua kali sebulan, kita akan adakan mesyuarat dengan wakil setiap negeri bagi membincangkan masalah sama ada pentadbiran atau pelajar.

“Selain itu, kita juga dapat sumbangan jitu daripada Pejabat Dato’ Menteri Besar, JAIS dan Majlis Agama Islam Selangor untuk bantu pelajar Selangor, di sini. Pertemuan singkat ini juga dapat menjalinkan silaturrahim antara Pejabat Dato’ Menteri Besar Selangor dan kedutaan demi manfaaat pelajar,” katanya.

 

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Pelajar Selangor di Timur Tengah tidak diabaikan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 28 APRIL: Sejumlah RM2 juta disalurkan Kerajaan Negeri bagi membiayai pengajian pelajar Selangor di Mesir, Jordan dan Morocco.

Ketua Sektor Pengurusan Pendidikan, Mohd Jaafar Komari berkata, peruntukan itu bertujuan membantu pelajar yang melanjutkan pelajaran di sana mengikut keperluan dan syarat ditetapkan.

“Bantuan khas Siswa Selangor sebanyak RM1,594,500 akan disalurkan kepada siswa yang berada di sana mengikut syarat tertentu.

“Baki peruntukan itu akan digunakan sebagai Program Khas Universiti Al-Azhar berbentuk pinjaman boleh ubah, bagi siswa yang sedang mengikuti pengajian dalam tahun satu,” katanya mewakili Pengarah JAIS, Dato’ Haris Kasim.

Terdahulu, beliau hadir ketika perasmian Majlis Anugerah Kecemerlangan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK), Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Tinggi Agama MAlaysia (STAM) JAIS bagi 2016 di Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah (SAMTTAJ), di sini, semalam.