Categories
AGENDA NASIONAL

Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri lindungi pemandu – Mahfuz

ALOR SETAR, 28 JUL: Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri yang diwajibkan ke atas pemandu teksi, e-hailing dan pemandu bas persendirian bukan bertujuan untuk menekan golongan itu, sebaliknya bagi melindungi mereka.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, skim itu yang disediakan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyediakan insentif bagi menjaga kebajikan pemandu dan keluarga mereka sekiranya berlaku kejadian tidak diingini semasa bekerja.

“Undang-undang ini tidak boleh dilihat sebagai menekan mereka tetapi ia adalah untuk melindungi mereka sekeluarga tetapi mungkin masih ada yang kurang jelas.

“Sebab itu, PERKESO pergiatkan lagi usaha dengan turun ke semua negeri untuk beri taklimat dan penjelasan mengenai skim berkenaan.

“Sehingga 24 Julai hanya 26,653 pemandu di seluruh negara direkodkan sudah mendaftar skim tersebut dan angka itu dilihat sangat sedikit berbanding jumlah keseluruhan pemandu teksi, e-hailing dan bas persendirian yang ada di negara kita iaitu 318,283 orang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri program dan sesi dialog mengenai skim itu bersama Persatuan Pemandu Teksi, Kereta Sewa dan Bas Sekolah negeri Kedah.

Sementara itu, Mahfuz berkata, walaupun terdapat beberapa rungutan daripada pemandu semasa sesi dialog hari ini, ada juga antara mereka yang bersedia mencarum skim tersebut bagi menerima manfaatnya.

Menurutnya, antara rungutan itu ialah kesukaran untuk pemandu hadir ke pejabat Perkeso setiap kali mahu membuat caruman bulanan.

“Jadi selepas perbincangan, PERKESO dan persatuan pemandu bersetuju untuk turun padang sekali sebulan sebagai usaha untuk memudahkan pemandu bayar caruman.

“Tetapi, saya cadangkan kalau tidak boleh bayar setahun, paling tidak buat bayaran tiga bulan terus kerana kalau setiap sebulan pegawai PERKESO hendak turun ke kawasan mereka susah sebab tidak cukup kakitangan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pemandu teksi, Grab diingat carum Perkeso

ALOR SETAR, 16 JUN: Pemandu teksi dan perkhidmatan e-hailing, Grab diingatkan supaya segera mendaftar dan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi membolehkan mereka mendapat perlindungan keselamatan sosial.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, sehingga kini dianggarkan hanya sekitar 13,000 pemandu teksi dan Grab telah berbuat demikian dan jumlah tersebut masih rendah.

“Jumlah itu masih rendah walaupun mereka menyedari manfaat yang banyak akan diperolehi daripada caruman di bawah Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri.

Antara faedah yang diperolehi ialah perubatan, hilang upaya kekal atau sementara, elaun layanan sentiasa, orang tanggungan, pemulihan, pinjaman pendidikan dan pengurusan jenazah,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penutup Program Seranta dan Penyampaian Faedah Perkeso di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata Perkeso akan mengadakan pertemuan dengan persatuan-persatuan teksi di negeri ini bagi menjelaskan dan menggalakkan pemandu teksi mendaftar dengan skim itu.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, walaupun beberapa pertemuan telah diadakan sebelum ini untuk menjelaskan perkara itu kepada pemandu teksi di sini, ia perlu dilakukan lagi agar mereka benar-benar memahami kepentingan skim tersebut dan mendaftar.

“Tahun lepas beberapa kali pertemuan diadakan tetapi alasan yang diberi ialah mereka tidak mampu, saya fikir itu bukan alasannya kerana caruman dikenakan adalah murah selain telah melonggarkan pembayaran secara bulanan dan bukan lagi tahunan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa terdapat empat kadar caruman yang disediakan mengikut anggaran pendapatan bulanan dan kadar yang paling rendah sebanyak RM157.20 setahun.

“Dulunya orang yang ada majikan sahaja dibolehkan untuk mencarum dengan Perkeso, tetapi kerajaan amat prihatin dan mengiktiraf golongan yang bekerja sendiri untuk diberi perlindungan dan berharap (mereka) memanfaatkan peluang ini bukan untuk diri sahaja tetapi untuk tanggungan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

270,000 peluang pekerjaan baharu dalam tempoh 8 bulan

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Sebanyak 270,000 peluang pekerjaan baharu berjaya diwujudkan dalam tempoh hanya lapan bulan selepas Pakatan Harapan (PAKATAN) memerintah, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, jumlah berkenaan melebihi sasaran awal kerajaan yang menganggarkan hanya dapat mewujudkan sekitar 240,000 peluang pekerjaan dalam tempoh setahun.

“Ini berdasarkan kepada data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, sasaran itu dicapai bagi tempoh Julai 2018 sehingga Februari 2019,” katanya pada sesi soal jawab lisan, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Sabani Mat yang mahu tahu tindakan diambil kerajaan bagi merealisasikan manifesto PAKATAN dalam mewujudkan satu juta peluang pekerjaan.

Bagaimanapun, Mahfuz berkata cabaran kerajaan hari ini bukan hanya daripada segi mencapai kuantiti yang disasarkan tetapi mewujudkan pekerjaan berkualiti dan berkemahiran yang boleh menawarkan gaji lebih tinggi.

“Ini yang harus kita lihat, kalau tidak nanti peluang pekerjaan itu akan diisi oleh rakyat asing. Sebab itu kerajaan sentiasa membuat galakan ke arah penghasilan ‘high value job’ ataupun ‘knowledge workers’ yang bertepatan dengan kelayakan kemahiran,” katanya.

Mahfuz berkata kerajaan juga yakin sasaran satu juta pekerjaan dalam tempoh lima tahun akan dicapai melihat kepada prestasi semasa.

Beliau berkata kerajaan turut mengalakkan majikan menyerap perkerja latihan industri di organisasi masing-masing.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

OKU digalak sertai latihan kemahiran untuk persijilan

BATU GAJAH, 17 JAN: Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dinasihatkan supaya mengikuti program latihan kemahiran disediakan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan bagi membolehkan mereka memperoleh persijilan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, latihan atau pembiayaan diberikan kepada golongan itu akan menjadikan kehidupan mereka stabil sepanjang masa dan lebih maju, pada masa akan datang.

“Kita juga mengharapkan pertubuhan bukan kerajaan dan pihak pembangunan usahawan menyediakan program latihan kemahiran serta memberikan modal atau geran pembiayaan untuk OKU memulakan atau mengembangkan perniagaan serta bidang keusahawanan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pekerjaan, Kemahiran dan Keusahawanan Insan Istimewa di Kampung Batu Enam, Jalan Tanjung Tualang di sini hari ini.

Katanya, antara pusat latihan kemahiran yang menawarkan pelbagai kursus termasuk Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia di Batu Gajah dan di Nibong Tebal, Pulau Pinang; Pusat Latihan Teknologi Tinggi, Taiping; serta Institut Teknikal Jepun-Malaysia (JMTI) di Seberang Perai, Pulau Pinang.

Pada majlis itu, Mahfuz turut menyampaikan geran bantuan perniagaan kepada 11 penerima yang layak membabitkan peruntukan lebih RM300,000 di bawah Skim Bantuan Galakan Perniagaan Orang Kurang Upaya serta Program Pembangunan Usahawan Mikro Bumiputera

*Sumber: BERNAMA