Categories
NASIONAL SELANGOR

Mahasiswa UM gesa pentadbiran universiti umum tarikh pilihan raya kampus

Pilihanraya kampus

SHAH ALAM, 30 OKT : Mahasiswa Universiti Malaya (UM) masih menanti tarikh Pilihan Raya Kampus 2013-2014 (PRK 2013-2014) disaat hampir semua universiti awam di negara itu membentuk Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) masing-masing.

Pengerusi Pro M UM, Abdul Muqit Muhammad berkata, setakat ini mereka hanya berkempen tanpa mengetahui bila tarikh penamaan calon dan pembuangan undi serta sistem pengundian PRK yang bakal digunakan.

Katanya, tarikh PRK bakal dilangsungkan hanya bergantung kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (TNC HEP) Datuk Rohana Yusuf dan penangguhan ini menunjukkan rasa tidak yakin pihak pentadbiran.

Mengikut tarikh yang diberikan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), PRK UM sepatutnya diadakan pada 23 Oktober lalu, sama tarikh dengan hari pengundian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Keyakinan kami untuk menang cerah selepas berlaku tsunami di beberapa kampus seperti Universiti Utara Malaysia (UUM) dan kita yakin di UM juga kita mampu untuk tawan balik kampus.

“Dari sudut kampen penerimaan pelajar UM memang rata-rata menyokong kuat Pro-M,” katanya kepada TV Selangor.

Sementara itu, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Safwan Anang menggesa agar pihak pentadbiran Universiti Malaya mengumumkan segera tarikh pilihan raya kampus dengan segera.

“Hal Ehwal Pelajar kena umumkan segera, umumkan segera kerana para pelajar akan bercuti untuk pertengahan semester,” kata beliau ketika dihubungi TVSelangor.

Pada PRK 2012-2013, Pro-M tewas kepada Pro-Aspirasi pada kerusi penentuan Majlis Tertinggi apabila calon tunggal kerusi Bebas mengambil keputusan menyokong Pro-Aspirasi sekaligus menjadikan kedudukan 22-21.

Sebelum ini, Pro-M UM mendedahkan mendedahkan wujud campur tangan Hal Ehwal Pelajar UM dan Umno dalam Pilihan Raya Kampus (PRK) UM.

-EZY