Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

TPM: Kerajaan sedar naratif politik semasa

PUTRAJAYA, 29 OGOS: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan sedar mengenai naratif politik semasa yang menyaksikan rakyat mengharapkan sesuatu luar biasa dilakukan dalam memenuhi harapan masyarakat.

“Itu memang biasa dalam apa-apa situasi dan bagi kita kemenangan yang dicapai juga merupakan satu kejutan.

“Apabila sudah mengambil alih kerajaan, barulah kami dapat tahu realiti sebenar bagaimana situasi dana dan hutang yang dimiliki negara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Wacana Ilmu Sri Satria: Politik Melayu Islam Pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di sini, hari ini.

Dr Wan Azizah akur kekurangan pengalaman pentadbiran yang dimiliki anggota Kabinet sekarang kecuali Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memaksa mereka mendepani naratif semasa politik dalam keadaan mencabar.

Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan terus belajar serta mengambil kira semua aspek dan yakin pada akhirnya harapan rakyat boleh ditunaikan.

“Ini kali pertama kita (Malaysia) mengubah kerajaan, jadi berikan kami peluang dan masa untuk melaksanakan apa yang dihasratkan rakyat,” katanya.

Berkenaan sama ada kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN)sedia menghadapi PRU-15 jika mengambil kira naratif semasa politik tanah air, Dr Wan Azizah berkata, ia masih awal untuk diperkatakan kerana tempoh untuk pilihan raya umum diadakan masih jauh.

Mengenai piagam UMNO-PAS yang akan dimeterai pada 14 September ini, Timbalan Perdana Menteri berkata, kerjasama itu hanyalah satu perjanjian politik atas kepentingan parti politik berkenaan semata-mata, bukannya mencerminkan aspirasi rakyat.

Ia nyata berbeza dengan PAKATAN yang mahu melakukan yang lebih baik melibatkan aspirasi rakyat keseluruhannya, katanya.

Wacana Ilmu Sri Satria hari ini menampilkan Timbalan Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berlangsung di Sri Satria, kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

TPM: Agensi urus bencana diminta perkemas sistem amaran awal

JITRA, 24 OGOS: Semua agensi terlibat dalam pengurusan bencana diminta supaya memperkemaskan lagi sistem amaran awal bagi memastikan tahap kesiapsiagaan dapat ditingkatkan setiap kali menghadapi sebarang bencana.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, sistem yang lebih pantas dan berkesan dalam mengesan bencana sangat penting bagi memastikan maklumat segera sampai kepada semua pihak supaya persediaan dapat dilakukan secukupnya.

“Saya diberitahu semasa kejadian (ribut akibat taufan Lekima) baru-baru ini, pihak MET (Jabatan Meteorologi Malaysia) ada keluarkan amaran, namun pada masa itu nelayan sudah turun ke laut.

“Keadaan sebelum itu aman, tidak ada apa-apa dan amaran ribut dikeluarkan selepas itu, mereka (nelayan) dah ada di laut,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi kediaman keluarga Marziah Che Omar, 27, yang meninggal dunia dalam kemalangan semasa kejadian Lekima pada 9 Ogos lepas di Taman Bersatu di sini, hari ini.

Beliau turut menemui keluarga Azimat Hasan, 62, yang meninggal dunia selepas dikatakan terjatuh dari bot fiber akibat keadaan cuaca buruk dan laut bergelora di perairan berhampiran Jeti Tok Arab, dekat Jerlun pada hari sama.

Azizah juga turut meluangkan masa meninjau keadaan rumah dan menyampaikan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada seorang penduduk, Saad Doon, 61, di Kampung Alor Batu, Mukim Gelong dekat sini yang kediamannya terjejas teruk akibat ribut sama.

Sementara itu, menurut Azizah mesyuarat Kabinet pada 14 Ogos lepas juga bersetuju menyalurkan peruntukan RM17.025 juta melalui Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara bagi membantu mangsa terjejas akibat ribut berkenaan.

“Peruntukan ini digunakan untuk membiayai perolehan sama ada barangan atau perkhidmatan yang berkaitan dengan kerja membaik pulih kediaman mengikut penilaian kerosakan,” katanya.

Setiap keluarga yang terjejas akibat Lekima juga menerima wang ihsan berjumlah antara RM200 hingga RM500 mengikut tahap kerosakan rumah masing-masing.

“Bantuan ini ihsan Kerajaan Persekutuan bagi meringankan beban mangsa dan bukanlah sebagai ganti rugi kerana kehilangan nyawa, kerosakan harta benda dan kesedihan akibat bencana seumpama ini tidak ada ganti rugi yang mampu dibayar,” katanya.

Dalam kejadian hujan lebat dan angin kencang akibat taufan Lekima itu, tujuh negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Terengganu dan Pahang terlibat, mengakibatkan banyak kejadian pokok tumbang dan bumbung diterbangkan, selain kerosakan fizikal terhadap kemudahan awam dan menjejaskan lalu lintas.

Di Kedah, 2,325 rumah dan lebih 70 sekolah termasuk kuarters guru terkesan manakala dua nyawa terkorban.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Seni khat tiada kaitan agama-Dr Wan Azizah

PUTRAJAYA, 5 OGOS: Tulisan khat adalah satu cabang seni penulisan dan ia tidak membabitkan elemen keagamaan, demikian menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum keresahan masyarakat Cina apabila kerajaan akan memperkenal tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat, pada tahun hadapan.

“Kita akan membincangkannya lebih lanjut, tetapi sebenarnya ia adalah seni,” katanya kepada media berhubung isu bantahan penggunaan tulisan khat.

Terdahulu, Dr Wan Azizah melancarkan Pertandingan Video Kreatif “Hentikan! Stop It!” dan Soal Selidik Mengenai Gangguan Seksual di sini, hari ini.

Sabtu lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat boleh diteruskan dan bantahan sesetengah pihak berhubungnya hanya membabitkan sebahagian kecil masyarakat.

Dr Wan Azizah berkata, beliau mengambil maklum kenyataan perdana menteri, namun akan berjumpa dengan Tun Dr Mahathir untuk berbincang lebih mendalam mengenainya.

“Saya mengambil maklum perkara itu dan akan bincang dengan perdana menteri, walaupun beliau sudah mengeluarkan kenyataan kita akan berjumpa dan berbincang dengan lebih mendalam,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Wakil rakyat perlu diberi latihan peka sensitiviti jantina

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Sesi kepekaan jantina perlu dijalankan, terutama bagi wakil rakyat yang dipilih dan dilantik supaya punca dan kesan keganasan terhadap wanita difahami bersama.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, menyalahkan wanita untuk perilaku buruk lelaki adalah sesuatu yang tidak masuk akal dan tidak boleh diterima.

“Kaum wanita perlu dilindungi daripada jenayah. Bagaimana pula kaum wanita disalahkan kerana menyebabkan berlakunya jenayah terhadap mereka?

“Kedua-dua kaum Adam dan Hawa mempunyai peranan dalam membangunkan negara. Kenyataan seperti ini tiada tempat dalam sebuah negara yang mendukung prinsip Malaysia Baharu,” katanya yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, dalam kenyataan hari ini.

Dr Wan Azizah berkata, walaupun beliau menyambut baik tindakan Senator Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid menarik balik serta memohon maaf atas kenyataannya di Dewan Rakyat semalam, namun senator KEADILAN itu perlu lebih prihatin dan sensitif.

Katanya, lebih-lebih lagi ia membabitkan pendirian parti berhubung isu keganasan terhadap wanita, termasuk isu gangguan dan keganasan seksual.

“Para pemimpin politik termasuk wakil rakyat perlu memainkan peranan dalam memastikan kaum wanita malah lelaki juga, sentiasa dilindungi daripada jenayah seksual.

“Saya sememangnya terkejut membaca cadangan Mohamad Imran supaya undang-undang gangguan seksual diperkenalkan untuk melindungi lelaki daripada tergoda akibat perlakuan, percakapan dan pemakaian kaum wanita yang boleh menyebabkan mereka terjebak dengan jenayah seperti sumbang mahram, rogol, meraba dan pornografi,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 14,800 wanita terima manfaat saringan kanser serviks percuma

KUALA LUMPUR, 28 JUL: Perkhidmatan saringan kanser serviks percuma di bawah seliaan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah dimanfaatkan oleh 14,875 wanita setakat Julai lalu, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Kerajaan menyediakan peruntukan RM7 juta untuk pelaksanaan ujian HPV DNA berkenaan di klinik Nur Sejahtera LPPKN.

“Ujian HPV DNA secara percuma ini boleh dilakukan di mana-mana Klinik Nur Sejahtera LPPKN sehingga hujung tahun ini selain perkhidmatan subsidi mamogram dan vaksinasi HPV,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program saringan serviks percuma kelolaan Etiqa bersama ROSE Foundation, di sini, hari ini.

Kerajaan menggalakkan wanita Malaysia menjalani ujian HPV DNA untuk mengesan kehadiran virus HPV atau ‘human papillomavirus’ dengan lebih awal sebelum berlaku perubahan pada sel tisu di kawasan serviks.

Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, menarik perhatian bahawa ini antara inisiatif kesihatan itu bagi membantu wanita khususnya daripada golongan berpendapatan rendah B40.

Terdahulu, dalam ucapan pada majlis pelancaran itu, Dr Wan Azizah menyatakan penghargaan atas usaha sama Etiqa dan ROSE Foundation kerana mengadakan program saringan kanser serviks percuma bermula di kawasan Pandan di sini.

Menurutnya, Etiqa menyumbang RM1.2 juta kepada Rose Foundation untuk menyediakan program berkenaan kepada 6,000 wanita golongan B40 berusia antara 30 dan 49 tahun.

“Saya difahamkan program saringan ini dijadual diadakan di Miri, Sarawak pada Ogos ini dan di Bakri, Johor pada September,” katanya.

Inisiatif ROSE atau ‘Removing Obstacles to Cervical Screening’ dilancarkan beliau pada Januari lalu.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Malaysia-China setuju tingkat kerjasama TVET

BEIJING, 9 JUL: Malaysia dan China bersetuju mempertingkat kerjasama dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi melahirkan modal insan berkemahiran tinggi bagi membantu peningkatan ekonomi negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, persetujuan itu dicapai ketika mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatan, Naib Perdana Menteri Sun Chunlan bersempena lawatan rasmi empat hari ke negara itu bermula Isnin.

Beliau berkata, antara usaha yang boleh dilakukan termasuk mengalakkan kerjasama strategik bersama syarikat China di Malaysia dengan institusi pengajian tinggi Malaysia dengan kepakaran khusus dalam TVET.

BEIJING, 9 Julai — Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden Pakatan Harapan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengadakan pertemuan bersama Pengarah Jabatan Perhubungan Antarabangsa Parti Komunis China (CPC) Song Tao bagi membincangkan program-program untuk merapatkan hubungan parti politik antara Pakatan Harapan dan CPC hari ini.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Saya telah menyarankan agar kerajaan China mengiktiraf lebih banyak universiti tempatan dan universiti asing Malaysia bagi menarik lebih ramai pelajar dan penyelidik China ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam bidang pertanian dan asas tani, Dr Wan Azizah berkata, China bersetuju memperkukuh kerjasama dengan Malaysia dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) pertanian.

“Sun turut menyatakan kesediaan kerajaan China untuk mengimport lebih banyak produk agrikomoditi Malaysia termasuk kelapa sawit dan getah,” katanya.

Dalam pada itu, mengenai bidang pengurusan dan pengurangan risiko bencana, Dr Wan Azizah yang juga Pengerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berkata Malaysia dan China bersetuju untuk berkongsi amalan terbaik, bertukar-tukar lawatan antara pegawai, latihan bersama dan perkongsian ilmu.

Katanya, persetujuan itu dicapai semasa pertemuan beliau bersama Penasihat Negara Wang Yong yang juga bertanggungjawab terhadap pengurusan bencana di China.

“Kami bersetuju Malaysia dan China mempelopori kerjasama dalam bidang ini terutamanya sains dan teknologi dalam pengurangan risiko bencana,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya kerajaan China turut bersetuju untuk berkongsi pengalaman dalam penstrukturan semula sembilan jabatan dan agensi kepada sebuah kementerian yang dinamakan Kementerian Pengurusan Bencana yang dilakukan rentetan daripada gempa bumi pada 2008.

BEIJING, 9 Julai — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail diiringi Presiden Persatuan Islam China Sheikh Hasan Yang Faming ketika mengadakan lawatan ke Masjid Dongsi, yang juga sebuah masjid bersejarah berusia 660 tahun, yang ditubuhkan sejak zaman Dinasti Yuan (Keturunan Mongol), hari ini. Dr Wan Azizah dalam rangka lawatan rasmi empat hari ke China bermula semalam. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Terdahulu, dalam sesi berasingan Dr Wan Azizah berpeluang mengunjungi Masjid Dongsi yang merupakan antara masjid tertua di Beijing berusia lebih 600 tahun yang juga menempatkan ibu pejabat Persatuan Islam Beijing.

“Semasa di Masjid Dongsi, saya telah berjumpa dengan Sheikh Hasan Yang Faming, Pengerusi Persatuan Islam Beijing.

“Dalam perbincangan bersama Sheikh Hasan, saya telah memaklumkan bahawa rakyat Malaysia sentiasa berminat dan prihatin terhadap hal ehwal masyarakat Islam di negara luar. Justeru itu, lawatan saya ke masjid Dongsi adalah untuk mengetahui lebih lanjut kehidupan masyarakat Islam di China,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Pertemuan tiga pemimpin kanan China kukuh hubungan diplomatik – TPM

BEIJING, 9 JUL: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan hasil pertemuan beliau bersama tiga pemimpin kanan China hari ini sebagai usaha bersama kedua-dua kerajaan untuk mengukuh hubungan dua hala Malaysia-China ke tahap yang lebih tinggi dan strategik.

Dr Wan Azizah, yang kini dalam rangka lawatan rasmi empat hari ke China, bermula Isnin berkata kunjungan beliau ke republik itu juga sebagai satu daripada program bagi meraikan sambutan ulang tahun ke-45 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.

Timbalan Perdana Menteri telah memulakan hari kedua lawatan dengan kunjungan hormat ke atas Naib Presiden Wang Qishan; disusuli Mesyuarat Dua Hala bersama rakan sejawatan Naib Perdana Menteri, Sun Chunlan dan pertemuan dengan Penasihat Negara, Wang Yong, yang juga bertanggungjawab terhadap pengurusan bencana di China.

Pelbagai perkara dibincangkan semasa ketiga-tiga pertemuan itu, merangkumi aspek hubungan dan kerjasama dua hala serta isu lain yang mempunyai kepentingan bersama.

“Secara ringkasnya, kedua-dua pihak berpuas hati dengan status hubungan dua hala yang sedia erat dan mengulangi komitmen untuk sama-sama memperluas dan memperkukuhkan lagi hubungan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ketika perbincangan bersama Wang Qishan, Malaysia telah mengulangi sokongan dan kesediaan untuk bekerjasama dengan China untuk melaksana Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

“Malaysia percaya inisiatif BRI yang telus, inklusif dan adil boleh mengukuhkan lagi kesinambungan, meningkatkan perdagangan dan memberi lebih banyak peluang ekonomi serantau,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata, ketika perbincangan itu juga beliau telah menyuarakan cadangan kepada Wang agar kedua-dua negara mempererat kerjasama dalam bidang tadbir urus yang baik dan anti-rasuah, selari dengan fokus utama kerajaan Malaysia dan China.

Bagi hasil pertemuan dengan rakan sejawat beliau, Naib Perdana Menteri, Sun Chunlan pula Dr Wan Azizah berkata perbincangan mereka tertumpu kepada kerjasama perdagangan dan pelaburan, isu-isu pembangunan wanita, masyarakat dan sosial, pendidikan, pelancongan dan kebudayaan, pertanian dan industri asas tani.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau menggalakkan lebih banyak perdagangan dan pelaburan China yang berkualiti ke Malaysia dan pada masa yang sama mengambil kesempatan untuk meningkatkan kerjasama di antara kedua-dua negara di bawah rangka BRI seperti ekonomi digital, Artificial Intelligence (AI) dan automobil.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata, Malaysia juga ingin mempelajari kejayaan dan pengalaman China dalam membentuk program memperkasa wanita, cabaran dalam “ageing society” (penuaan masyarakat) dan program pembangunan bagi kanak-kanak istimewa.

“Kami telah bertukar pandangan berkaitan amalan terbaik bagi dasar-dasar yang dapat membantu golongan warga emas dan penduduk yang semakin menua dan usaha yang boleh dilaksana bagi menggalakkan lebih ramai golongan wanita menyertai pasaran tenaga kerja,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Enam langkah jangka pendek atasi kesesakan di pintu masuk negara

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Enam langkah jangka pendek diputuskan bagi menangani kesesakan teruk di pintu masuk negara khususnya di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Abu Bakar (KSAB) di Johor.

Langkah itu diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Kajian Cadangan Penubuhan Badan Tunggal Menjaga Sempadan Negara dan Pintu Masuk Termasuk Pelabuhan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang antara agenda utamanya adalah memudahcara perdagangan.

Menurut kenyataan daripada Pejabat Timbalan Perdana Menteri, mesyuarat berkenaan mengambil maklum berkaitan isu kesesakan dan cabaran pengurusan di CIQ BSI dan CIQ Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) (CIQ Second link) serta bersetuju supaya prasarana dan sistem dipertingkatkan keberkesanannya bagi memastikan isu kesesakan di kedua-dua pintu masuk itu dapat diatasi.

JKenyataan itu menyebut pelaksanaan langkah pendek bagi menangani senario kesesakan adalah pembukaan semula kaunter Malaysia Automated Clearance System di KSAB pada 19 Jun; perolehan tender bagi MACS bernilai RM9 juta dijangka selesai pada akhir Dis ini; memobilisasi pegawai bertugas di kaunter tidak sesak ke kaunter yang lebih sesak.

Turut diputuskan adalah pembukaan laluan kontra di laluan ketibaan kereta; mewajibkan kerja lebih masa semasa pertukaran syif (7 pagi – 8 pagi); dan pembukaan penuh kaunter motosikal Mbike, kata kenyataan itu.

Di samping itu, mesyuarat berkenaan juga memutuskan langkah jangka panjang iaitu penambahan bilangan kaunter MBike bagi motosikal keluar dari Malaysia; pengecualian biometrik bagi pelawat yang keluar; pengisian perjawatan Jabatan Imigresen Malaysia pada kadar 99 peratus; kerjasama bilateral Malaysia-Singapura bagi “single clearance”.

Turut diputuskan adalah bagi memperluas penggunaan auto-gate kepada semua pelawat asing; penambahan mesin pengimbas Kastam; penambahan bilangan kaunter lori di KSAB menjadikan jumlah yang setara dengan Tuas; penggunaan kaunter hybrid; dan pembangunan immigration integrated system (IIS) dengan ciri-ciri automasi.

“Mesyuarat itu secara dasarnya bersetuju agar kajian cadangan penubuhan badan tunggal menjaga sempadan negara dan pintu-pintu masuk termasuk pelabuhan-pelabuhan dilaksanakan memandangkan ia adalah relevan dengan situasi masa kini serta kajian perlu mengambil kira kesemua keperluan seperti kewangan, sumber manusia, logistik dan akta-akta yang berkaitan,” kata kenyataan itu.

Pelaksanaan kajian berkenaan dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang juga bertindak sebagai urus setia selain turut menyebut skop kajian meliputi tiga domain iaitu darat, udara dan laut dan fokus kajian pada peringkat ini adalah domain darat. Kajian akan berakhir pada pertengahan tahun depan, kata kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, berdasarkan hasil dapatan awal terdapat tiga cadangan opsyen badan tunggal yang boleh dilaksanakan iaitu Selaras dan Integrasi (konsep reformatif), Baharu (konsep transformatif); dan Gabungan (konsep transformatif).

“Badan tunggal yang dicadangkan akan memudahcara perdagangan dan pada masa sama meningkatkan penguatkuasaan, kawalan keselamatan dan koordinasi antara agensi,” katanya.

Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet itu adalah susulan daripada keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 16 Nov tahun lalu yang menyatakan bahawa senario kesesakan teruk di pintu-pintu masuk negara khususnya di CIQ BSI masih berlarutan walaupun langkah-langkah tertentu telah diambil untuk menangani isu itu.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Manfaatkan sistem semak pesalah jenayah seksual-TPM

BANGI, 30 JUN: Ibu bapa dan mereka yang terbabit secara langsung dengan kanak-kanak digesa memanfaatkan sepenuhnya Sistem Semakan Pesalah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak (e-DKK).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, sehingga Jun lalu, sistem yang berkuat kuasa sejak 1 April itu menerima 68 permohonan daripada individu dan pelbagai agensi.

Daripada jumlah itu, semakan dibuat membabitkan 1,254 penama dari kalangan kakitangan dan bakal pekerja, katanya ketika berucap menutup program Khalifah Junior 2019 Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sini hari ini.

Dr Wan Azizah berkata sistem itu diwujudkan untuk membolehkan ibu bapa, individu dan majikan yang mengambil seseorang untuk menguruskan kanak-kanak membuat semakan latar belakang mereka yang berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat ia bagi memastikan individu tersebut tidak mempunyai sebarang rekod jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Atas sebab itu, kita menyeru kepada semua pihak yang berkaitan untuk menggunakan sistem yang disediakan secara percuma ini dengan sebaiknya, katanya.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata program intervensi bagi menangani masalah sosial dalam kalangan kanak-kanak atau Program Pengalihan (Program Diversion) akan dilaksanakan Ogos ini di tiga buah daerah iaitu Sepang, Selangor dan di Seremban serta Port Dickson di Negeri Sembilan.

Timbalan Perdana Menteri berkata projek rintis itu dilaksanakan bagi menilai kesesuain program, kesediaan serta kemampuan sumber yang terlibat dan memberi ruang kepada penambahbaikan sebelum dilaksanakan di seluruh negara.

Beliau berkata Program Diversion merupakan pendekatan alternatif untuk mengendalikan kanak-kanak yang mempunyai konflik dengan undang-undang tanpa melalui sistem keadilan sedia ada.

“Program ini dibuat supaya kanak-kanak yang telah didapati terbabit dengan jenayah ringan tidak perlu melalui proses hukuman, direman atau dipenjara.

“Kita tidak mahu mereka berada dalam suasana yang boleh menjerumuskan kanak-kanak itu kepada jenayah lebih serius disebabkan pergaulan semasa di dalam penjara,” katanya.

Mengikut laporan akhbar, Dr Wan Azizah sebelum ini dipetik sebagai berkata program yang dirangka itu antara lain akan mengandungi modul kaunseling, khidmat masyarakat, membayar ganti rugi atau membaik pulih kerosakan yang dilakukan.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Kadar tambang ETS disemak

PUTRAJAYA, 25 JUN: Kadar tambang Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) akan disemak, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (MTSHN) yang dipengerusikannya menerima cadangan Kementerian Pengangkutan untuk menyemak kadar tambang ETS melalui pemansuhan kawalan tambang dan pelaksanaan struktur tambang dinamik bagi ETS.

MTSHN juga menerima cadangan Kementerian Pengangkutan bagi Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk menguatkuasakan perlesenan terminal dan mengawal selia caj yang akan dikenakan pengendali terminal berdasarkan kualiti perkhidmatan dan kemudahan terminal, katanya

“Cadangan ini perlu mengambil kira kepentingan pengguna supaya tidak membebankan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat ketiga MTSHN di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin dan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata, Kementerian Pengangkutan akan mengawal selia caj terbabit dengan memberi gred A, B, atau C kepada terminal berkenaan dengan mengambil kira kemudahan yang disediakan termasuk fasiliti untuk orang kurang upaya (OKU) dan tahap kualiti perkhidmatan.

“MTSHN juga memaklumkan supaya pelaksanaan cadangan ini perlu mengambil kira kepentingan pengguna dengan tidak menaikkan harga tiket yang akan membebankan pengguna,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Harga ikan RM10 sekilogram melalui Program QFish

OLEH NADIAH ZAMLUS

PUTRAJAYA, 25 JUN: Rakyat berpeluang membeli ikan serendah RM10 sekilogram selepas kerajaan bersetuju melaksanakan Program QFish ke seluruh negara, tidak lama lagi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, perkara itu diputuskan ketika Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), pagi tadi.

Katanya, Program QFish bertujuan menstabilkan harga ikan dan mengurangkan impak peningkatan kos sara hidup pengguna.

“Melalui program ini, kita akan menggunakan teknologi pembekuan ikan secara ‘Individual Quick Freezing’ bagi menjamin kualiti dan kesegaran, kemudian ikan-ikan melalui teknik pembekuan ini akan dijual apabila bekalan kurang.

“Program ini dijangka mampu mengawal harga ikan antaranya kembung, selar, pelaling dan selayang, dan harga jualan adalah sekitar RM10 sekilogram,” katanya dalam sidang media.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai Mesyuarat NACCOL bertempat di Bangunan Perdana Putra.

Hadir sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Mengulas lanjut, Wan Azizah berkata, hasil tinjauan menteri berkaitan mendapati ada diantara peniaga bertindak sesuka hati menjual harga ikan pada kadar tidak menentu.

“Saya dimaklumkan ketika tinjauan ada ikan kembung yang dijual pada harga berbeza iaitu RM11 dan RM22 untuk sekilogram.

“Oleh sebab itu Program QFish ini mampu membantu rakyat dan kita menyasarkan untuk meningkatkan pengeluaran kapasiti ikan daripada 561 tan metrik (MT) kepada 3,500MT setahun.

“Justeru, NACCOL bertesetuju untuk menerima cadangan penambahbaikan bagi mengembangkan Program QFish ke seluruh negara,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Isu Zakir Naik: TPM sokong pendirian PM

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

AMPANG, 16 JUN: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyokong pendirian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung keperluan menghantar pulang pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik ke negara asal.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, buat masa ini kerajaan tidak menerima sebarang permohonan dari India untuk mengekstradisi ulama berkenaan.

“Beliau (Perdana Menteri) mengatakan tidak perlu untuk Dr Zakir Naik dihantar kembali ke negara asal.

“Sekarang ini kerajaan Malaysia tidak menerima apa-apa permohonan daripada India untuk ekstradisi beliau (Zakir Naik). Perdana Menteri dah menjawab dan itu menjadi jawapan kita,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Pandan, di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya, di sini hari ini.

Isnin lalu, Dr Mahathir dalam satu program di Melaka dilaporkan berkata, Malaysia mempunyai hak untuk tidak mengekstradisi Zakir jika beliau tidak diberi keadilan sewajarnya.

Katanya, Malaysia juga mempunyai hak untuk menentukan sama ada pendakwah warga India itu akan mendapat perbicaraan adil di sana jika dihantar pulang.

Beliau turut mengulas laporan berhubung usaha Direktorat Penguatkuasaan India (ED) untuk mendapatkan waran tangkap terhadap Zakir dan individu lain dalam perbicaraan yang sedang didengar di mahkamah Mumbai di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2002.

Menurut laporan itu, mahkamah Mumbai akan memutuskan sama ada waran tangkap tanpa jaminan perlu dikeluarkan terhadap Zakir untuk pendengaran akan datang, yang dijadual pada 19 Jun ini.

Terdahulu, majlis yang dibanjiri lebih 5,000 pengunjung itu turut dihadiri Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; EXCO Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim serta EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa Dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail.