Categories
NASIONAL

Malaysia alu-alukan persetujuan TMC-AFCF sambung rundingan

SEREMBAN, 15 JUN: Kerajaan Malaysia mengalu-alukan persetujuan yang dicapai baru-baru ini antara Majlis Tentera Peralihan (TMC) dan Alliance of Freedom and Changes Forces (AFCF) untuk menyambung semula rundingan mengenai pembentukan majlis kedaulatan bersama yang akan menerajui peralihan politik di negara itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Malaysia juga menggesa semua pihak di Sudan supaya bertenang dan mengelakkan daripada keganasan berterusan terhadap orang awam dan menghormati hak asasi manusia.

“Kami mengalu-alukan kedua-dua pihak yang mengadakan rundingan dan kami berharap mereka juga akan dapat penyelesaian.

“Kami mengutuk serangan terhadap orang awam yang tidak bersalah dan menyeru agar insiden itu disiasat dengan teliti, dan mereka yang bertanggungjawab dikenakan tindakan dengan segera,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Negeri Sembilan anjuran kerajaan negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian terkini di Sudan yang menyaksikan puluhan orang terbunuh dan cedera.

Wan Azizah berkata Malaysia juga mengecam keras keganasan dan serangan terhadap penunjuk perasaan itu.

“Kami bersama-sama pihak lain menggesa supaya siasatan menyeluruh dijalankan terhadap insiden itu sementara pelakunya harus bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, beliau melahirkan rasa syukur kerana kesemua 48 rakyat Malaysia di Sudan berada dalam keadaan selamat.

Ditanya sama ada kerajaan akan membawa pulang kesemua rakyat Malaysia yang berdaftar termasuk 26 pelajar di negara itu ekoran perkembangan politik dan keselamatan terkini di negara itu, beliau berkata: “Setakat ini rakyat kita selamat…mungkin lebih baik duduk di tempat itu (kerana ia) tidak merebak di kawasan mereka sebagai pelajar”.

Media melaporkan bahawa kerajaan Sudan semalam mengaku ia telah memberi arahan bagi menumpaskan penunjuk perasaan daripada pihak pembangkang yang menyebabkan puluhan orang terbunuh dan cedera.

Pada awal Jun, pasukan keselamatan secara keras telah menyuraikan protes di luar bangunan Kementerian Pertahanan. TMC sebelum ini menafikan bahawa ia mempunyai peranan dalam operasi itu.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Teruskan amalan, tarbiah Ramadan di bulan lain – TPM

KUALA LUMPUR, 26 MEI: Umat Islam di negara ini diharap meneruskan amalan tarbiah atau pengasuhan di bulan Ramadan, pada bulan-bulan lain, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, umat Islam (pada Ramadan) bukan sahaja dituntut berpuasa, tetapi juga menahan diri daripada segala perbuatan tidak baik dan maksiat, sebaliknya memenuhi waktu malam dengan solat tarawih, tadarus dan sedekah.

“Sesungguhnya Ramadan dan puasa seperti disebut di dalam salah satu hadis Rasulullah SAW iaitu perisai yang dapat menahan diri dari gejala-gejala tidak sihat, sama ada daripada segi fizikal atau mental, seterusnya mencegah daripada seksaan api neraka.

“Saya harap amalan di bulan tarbiah ini dapat dikekalkan di bulan-bulan seterusnya. Bulan penuh barakah ini penuhilah dengan amal kebaikan apatah lagi di sepuluh hari-hari terakhir Ramadan,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Perdana Parlimen Pandan bersama ahli Kariah dan golongan asnaf di Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan Dalam di sini, malam tadi.

Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, apabila amalan baik itu dikekalkan dan diamalkan secara berterusan ia akan menjadi momentum untuk setiap daripada kita menjadi insan yang lebih baik.

Pada majlis itu turut disampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada 350 penerima golongan asnaf Parlimen Pandan serta diadakan jamuan berbuka puasa yang dihadiri seramai 2,500 ahli kariah masjid berkenaan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

TPM: Akta khusus lindungi warga emas dalam kajian

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Akta khusus bagi melindungi kebajikan dan hak asasi warga emas sedang dalam kajian, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata pakar dari Universiti Malaya (UM) dipilih menjalankan kajian bagi menggubal rang undang-Undang (RUU) berkenaan.

“Kita juga nak adakan beberapa perbincangan sebelum membentangkan RUU ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan jerayawara Boost e-donation, di sini, hari ini.

Penggubalan akta itu telah dipersetujui ketika mesyuarat Majlis Penasihat dan Perundingan Warga Emas Negara yang dipengerusikan Dr Wan Azizah pada Disember lepas.

Akta tersebut juga antara lain bagi mewujudkan sistem sokongan yang diperlukan warga emas.

Sementara itu, ditanya sama ada kementeriannya akan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap bekas ketua eksekutif syarikat telekomunikasi yang didakwa menceroboh dan mengancam bekas isterinya dan keluarga, Dr Wan Azizah berkata kes tersebut berada di bawah bidang kuasa polis.

“Saya difahamkan kes tersebut NFA (No Further Action), NFA dikeluarkan oleh pihak DPP (Timbalan Pendakwa Raya) bukan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat setelah menerima input daripada siasatan polis dan pemeriksaan doktor,” katanya.

Akhbar berbahasa Inggeris hari ini melaporkan bekas isteri lelaki terbabit telah membuat sekurang-kurangnya 15 laporan polis sejak 2015, selepas pasangan itu bercerai dengan mendakwa bekas suaminya turut mencabul kehormatan anak mereka.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tolak ekstremis dan perkauman-Dr Wan Azizah

KUALA LUMPUR, 18 MEI: Rakyat diseru untuk bangkit bersama membangunkan Malaysia Baharu kerana ia perlu mengambil masa dan tidak dapat dicapai dalam sekelip mata.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Malaysia Baharu yang sedang dibentuk adalah hasil kerjasama setiap rakyat dan menolak segala bentuk ekstremis agama serta perkauman.

“Malaysia Baharu adalah mengenai kita bersama. Malaysia Baharu yang sedang dibentukkan adalah hasil kerjasama setiap kita rakyat Malaysia.

“Kita menolak semua bentuk ekstremis agama dan perkauman. Itulah formula Malaysia kita. Saya doakan supaya formula ini dapat diteruskan dan diperkukuhkan,” katanya pada perutusan sempena Hari Wesak yang disambut esok.

Katanya, tempoh setahun kerajaan Pakatan Harapan memerintah adalah masa yang sangat singkat untuk melihat perubahan ketara berbanding kerajaan dulu yang berkuasa selama 61 tahun.

“Anda semua membawa kekecewaan anda kepada kotak mengundi dan telah menulis sejarah dengan menukar kerajaan buat pertama kalinya sejak Malaysia mencapai kemerdekaan.

“Saya faham harapan adalah tinggi dan perubahan yang diingini dijangka dapat dicapai dengan cepat,” katanya.

Dr Wan Azizah turut mendoakan setiap rakyat Malaysia mengetepikan sebarang perbezaan demi kebaikan menyeluruh dan tidak ketinggalan mengucapkan selamat menyambut Hari Wesak kepada penganut agama Buddha.

Hari Wesak yang akan disambut esok adalah bagi menandakan tiga peristiwa penting dalam kehidupan Buddha iaitu hari lahir beliau, kesedaran dan kematiannya.

Ia antara festival paling meriah dengan perarakan kereta berhias yang diserikan dengan hiasan dan bunga berwarna-warni.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

TPM kongsi inisiatif Malaysia tangani bencana

GENEVA, 16 MEI: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini mengambil bahagian dalam sesi meja bulat peringkat menteri Platform Global Bagi Pengurangan Risiko Bencana (GPDRR) pada hari terakhir lawatan kerja tiga hari beliau di sini.

Dalam sesi dua jam bertajuk “Pelaburan Mengambil kira Risiko dan Ekonomi Pengurangan Risiko Bencana (DRR)”, beliau berkongsi inisiatif Malaysia dalam membantu sektor swasta dan awam untuk membuat pelaburan yang mengambil kira risiko.

Dr Wan Azizah berkata, inisiatif berkenaan termasuk pelan bencana menyeluruh yang membolehkan pengguna mengenal pasti kawasan yang mudah terdedah kepada bencana sebelum membuat keputusan pelaburan mereka, selaras dengan komitmen Malaysia terhadap Rangka Kerja Sendai.

Inisiatif lain termasuk penggunaan garis panduan pembinaan dan bangunan yang mengambil kira keperluan pengurangan bencana, pengurangan risiko bencana arus perdana dalam perancangan pembangunan dan penglibatan dengan sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi masyarakat.

“Kami berharap dengan menyatukan sumber dan pelaburan semua pihak berkepentingan, dasar dan program yang lebih inklusif dan efektif mengenai DRR dapat dilaksanakan,” katanya pada sesi berkenaan yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Geneva (CICG), di sini.

Dr Wan Azizah mengetuai delegasi Malaysia ke edisi keenam GPDRR, acara dwitahunan yang diselaraskan oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pengurangan Risiko Bencana dan adalah forum paling utama di peringkat antarabangsa untuk perkongsian strategik, koordinasi, pembangunan perkongsian dan semakan pembangunan pelaksanaan instrumen pengurusan risiko bencana.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan juga mengambil inisiatif untuk mengenal pasti mekanisme kewangan untuk menyokong daya tahan dengan meneroka perkongsian awam-swasta, termasuk rancangan untuk mewujudkan skim pemindahan risiko dan insurans bencana.

“Sudah pasti, keperluan untuk pelaburan dalam daya tahan adalah penting, tetapi dilema yang kita hadapi ialah kos usaha pengurangan risiko bencana mengalihkan sumber kewangan kepada keutamaan lain,” katanya, dan menambah bahawa kerajaan seperti banyak negara lain memperuntukkan dana kebanyakannya untuk menghadapi bencana dan bukan untuk pencegahan dan pengurangan.

Beliau berkata, Malaysia kini menghadapi cabaran dalam memberikan lebih banyak keutamaan kepada usaha pencegahan dan pengurangan melalui pelaburan DRR kerana didapati lebih ekonomi untuk memberi tumpuan kepada persiapan, bukannya bertindak balas terhadap bencana.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Malaysia perkasa peranan wanita dalam pengurusan risiko bencana

GENEVA, 15 MEI: Malaysia akan terus berusaha untuk memperkasakan peranan wanita dalam pengurusan risiko bencana untuk memastikan 100 peratus penduduk dilindungi dan mendapat manfaat daripada usaha pengurangan risiko dan pembentukan daya tahan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pendekatan Malaysia kepada pengurangan risiko bencana (DRR) adalah berpandukan kepercayaan bahawa peranan wanita adalah penting dalam menjadikan masyarakat lebih berdaya tahan dan berada dalam kesiapsiagaan yang lebih baik bagi menghadapi perubahan landskap bencana berterusan.

“Wanita merupakan kumpulan di lapangan, dan wanita yang mampu menggerakkan keluarga dan komuniti mereka jika diberi peranan, pengetahuan, dan pemerkasaan yang sewajarnya.

“Wanita tidak sepatutnya dilihat sebagai mangsa semata-mata, kerana seperti lelaki mereka juga memiliki kemahiran dan kemampuan untuk mempersiapkan, memberi respon dan pulih dari bencana, serta mengurus risiko dan membina ketahanan,” katanya ketika berucap pada sesi khas Kepimpinan Wanita dalam DRR pada Platform Global bagi Pengurangan Risiko Bencana (GPDRR) di sini hari ini.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri bertanggungjawab bagi Pengurusan Bencana berkata, di Malaysia, peranan dan kepimpinan wanita dalam DRR telah berkembang pesat dan kira-kira 30 peratus daripada mereka yang memegang jawatan pembuat keputusan di Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA ) adalah wanita.

Beliau berkata Malaysia percaya bahawa wanita adalah tenaga kekuatan dalam pembinaan daya tahan dan DRR dan oleh itu, kerajaan akan memanfaatkannya untuk memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus penglibatan wanita dalam perancangan pengurusan bencana dan program DRR.

“Justeru, kerajaan Malaysia kini bekerjasama rapat dengan NGO tempatan kami untuk mewujudkan lebih banyak peluang untuk wanita terlibat secara aktif dalam membina daya tahan dan DRR.

“Satu hasil daripada kesalinghubungan ini adalah perubahan reka bentuk tempat perlindungan sementara untuk bencana dan penyediaan makanan untuk ibu hamil dan wanita yang menyusukan anak serta mereka yang memerlukan perhatian khusus,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata untuk memperkasa dan menggalakkan wanita untuk terlibat secara aktif dalam DRR, akses mereka kepada pendidikan dan kemudahan kesihatan perlu dijamin.

Dr Wan Azizah berkata dalam konteks ini, kerajaan Malaysia melalui pelbagai mekanisme memastikan bahawa dasar diskriminasi yang menghalang akses wanita kepada pendidikan dan kesihatan dihapuskan sepenuhnya.

“Pada 2018, pencapaian pendidikan wanita kita lebih tinggi daripada lelaki. Tahun lepas, kadar enrolmen wanita dalam pendidikan tinggi adalah 48 peratus berbanding 38 peratus bagi lelaki. Sekiranya kita mengambil kira faktor jangka hayat untuk menunjukkan akses kepada kemudahan kesihatan, wanita pada umumnya hidup lebih lama daripada lelaki di Malaysia, ” kata beliau.

Dr Wan Azizah berkata purata jangka hayat untuk wanita di Malaysia bagi tahun 2018 ialah 77.2 tahun, iaitu 10 tahun lebih panjang berbanding lelaki.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Peranan keluarga penting bantu usaha tangani perubahan iklim

KUALA LUMPUR, 15 MEI: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, fenomena perubahan iklim ini banyak dipengaruhi oleh aktiviti manusia, sehubungan itu keluarga berperanan penting dalam membantu usaha dunia menanganinya.

Katanya, keluarga diharap memberi perhatian kepada perubahan iklim yang turut memberi kesan kepada keluarga seperti penipisan lapisan ozon, pengeluaran karbon dioksida berlebihan, pengurangan kawasan hijau serta pencemaran air laut dan sungai.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkata justeru kerajaan menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) akan terus memperkasa peranan keluarga dan komuniti dalam memupuk kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar.

“Menerusi Program Pemerkasaan Keluarga dan Komuniti (FACE) yang telah diperkenalkan di 33 komuniti terpilih seluruh Malaysia, ia turut menggerakkan lapan domain intervensi, salah satunya berkaitan perumahan dan persekitaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya usaha tersebut selaras dengan matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030, sempena Sambutan Hari Keluarga Antarabangsa (HKA) yang diraikan pada setiap 15 Mei oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dengan tema Keluarga dan Tindakan Iklim.

Dr Wan Azizah berkata, tema tersebut adalah selari dengan usaha kerajaan untuk membudayakan amalan penjagaan alam sekitar dalam kalangan keluarga dan komuniti sekali gus dapat meningkatkan kelestarian penduduk dengan alam sekitar.

Sehubungan itu, usaha penyebaran maklumat dan kesedaran juga perlu lebih banyak dilakukan dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk kerajaan, pihak swasta, institusi pendidikan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), tambahnya.

– BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

TPM zahir penghargaan buat jururawat

SERDANG, 12 MEI: Jururawat wajar diberi penghormatan oleh kerana mereka memainkan peranan penting dan memberi bantuan besar terutama ketika doktor menghadapi tekanan berat, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mengimbau peristiwa semasa beliau baru saja lulus dari pusat pengajian perubatan, Dr Wan Azizah berkata sokongan yang diberikan oleh jururawat yang bekerja dengannya pada waktu itu menjadikan beliau rasa lebih yakin bekerja.

“Kerana itulah saya tampil hari ini untuk memberi penghormatan kepada jururawat. Ketika saya menjadi doktor, saya menghargai jururawat saya semasa pembedahan oleh kerana jururawat dapat membaca fikiran saya dengan begitu tepat, lantas memberikan saya alat yang betul yang saya perlukan,” kata Dr Wan Azizah dalam ucapannya semasa melancarkan Hari Jururawat Antarabangsa 2019 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dihadiri oleh 3,000 jururawat dari seluruh negara di sini hari ini.

Dr Wan Azizah berterima kasih kepada jururawat kerana sumbangan mereka kepada negara dan menasihatkan mereka meningkatkan kemahiran, fokus kepada pembinaan kapasiti di samping mewujudkan imbangan kerja-kehidupan.

Hari Jururawat Antarabangsa yang disambut di seluruh dunia pada 12 Mei setiap tahun adalah juga tarikh lahir Florence Nightingale yang dianggp sebagai pengasas kejururawatan kontemporari.

Tema sambutan tahun ini ialah ‘Jururawat: Suara untuk Memimpin – Kesihatan untuk Semua’ yang menggalakkan jururawat menentukan suara mereka didengar bagi mempengaruhi perancangan dasar kesihatan.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut mengucapkan Selamat Hari Ibu untuk semua ibu di dunia terutama di Malaysia.

Beliau turut berharap semua individu menghargai ibu masing-masing kerana selain melahirkan dan membesarkan, ibu adalah pendidik pertama dalam hidup setiap orang.

Sementara itu Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, nisbah jururawat kepada penduduk di Malaysia pada masa ini ialah satu jururawat bagi setiap 300 penduduk berbanding nisbah yang dicadangkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu satu jururawat bagi setiap 200 penduduk.

Terdapat 3,500 kekosongan jururawat di seluruh negara dan daripada jumlah itu 980 lantikan secara berperingkat ke jawatan tetap akan dibuat mulai esok (13 Mei).

Baki kekosongan berkenaan akan diisi dengan lantikan kontrak secara berfasa, katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

i-Suri diperluas kepada Orang Asli, Orang Asal Sabah dan Sarawak

KUALA LUMPUR, 7 MEI: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kumpulan sasar yang layak memohon i-Suri akan diperluas kepada masyarakat Orang Asli dan Orang Asal Sabah dan Sarawak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, pihaknya akan memanjangkan penyelarasan daftar pemohon program berkenaan dengan agensi bertanggungjawab termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) untuk mendapatkan senarai mereka yang layak.

“Kita ambil maklum bahawa pihak Orang Asli dan mungkin Orang Asal Sabah dan Sarawak memerlukan jaringan ini, kalau boleh kita sama-sama selaraskan dengan data, data itu kita mesti adakan pemutihan juga kerana ada pertindihan banyak.

“Ideanya baik, tetapi sebab (dana) terhad kita kena fikir mana keperluannya,” katanya pada persidangan Dewan Negara, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Senator Datuk Isa Ab Hamid yang ingin tahu sama ada daftar pemohon i-Suri akan diperluas kepada masyarakat Orang Asli yang tidak termasuk dalam senarai e-Kasih yang digunakan kerajaan bagi menentukan pemohon yang layak bagi program itu.

Sementara itu, menjawab soalan asal Senator Asmak Husin mengenai pencapaian program berkenaan, Dr Wan Azizah menarik perhatian anggota Dewan Negara bahawa sasaran pendaftaran 100,000 suri rumah dan wanita di bawah program yang dilancarkan pada Ogos tahun lepas, kini telah tercapai.

Malah, beliau berkata sehingga 30 April, jumlah mereka yang mendaftar melebihi sasaran iaitu sebanyak 107, 619 orang.

Terdapat tiga fasa pelaksanaan program berkenaan iaitu caruman secara sukarela dengan insentif kerajaan melalui sumbangan ke akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Fasa kedua ialah caruman secara sukarela dengan insentif kerajaan melalui sumbangan ke akaun KWSP dan perluasan perlindungan sosial kepada suri rumah di bawah kendalian Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Fasa ketiga pula caruman wajib suami melalui potongan dua peratus caruman KWSP kepada isteri atau suri rumah,” katanya.

Tambah beliau, bagi fasa ketiga, draf pindaan Akta KWSP 1991 telah disediakan dan dijangka dibentang di Parlimen, Julai ini dan pelaksanaannya dijangka bermula pada suku ketiga tahun hadapan.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Pekerja amanah teras kemajuan negara – TPM

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan pekerja beramanah merupakan teras kemajuan sesebuah negara.

Dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja yang bakal disambut hari ini, Dr Wan Azizah berkata isu-isu penyalahgunaan kuasa, rasuah dan penyelewengan dapat dielakkan sekiranya pekerja mempunyai sifat amanah.

“Seseorang pekerja yang setia kepada negaranya tidak akan terlibat dalam perbuatan salah laku.

“Perkhidmatan yang jujur dan amanah serta berdedikasi adalah penting untuk membangunkan negara… pembangunan negara tercinta ini adalah tanggungjawab yang kita pikul bersama,” katanya di laman Facebook.

Menurutnya, nilai amanah juga sangat penting dalam diri seseorang kerana ia adalah tuntutan dalam agama Islam.

Dr Wan Azizah juga menyedari hakikat bahawa banyak keluarga memerlukan lebih ramai ibu bapa untuk keluar bekerja dalam era globalisasi kini.

“Kerajaan prihatin terhadap keluarga-keluarga nukleus di mana kedua ibu-bapa bekerja dan tidak ada saudara-mara yang tinggal bersama membantu menjaga anak-anak,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata beberapa inisiatif telah diusahakan oleh kerajaan untuk memberi ketenangan kepada ibu bapa semasa bekerja, termasuk mengadakan taska di hampir setiap kementerian.

Katanya, kerajaan memperuntukkan RM10 juta untuk menambah 50 buah Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di bangunan kerajaan dalam usaha meringankan bebanan ibu bapa yang bekerja.

Tambahnya, kerajaan juga dalam usaha memperkenalkan Waktu Kerja Anjal yang merupakan konsep aturan waktu bekerja bagi memberikan peluang kepada pekerja untuk menentukan sendiri waktu kerja masing-masing.

Dr Wan Azizah berkata langkah ini dapat membina jaringan antara majikan dan pekerja untuk meningkatkan keseimbangan kehidupan harian dan kerja.

Katanya kerajaan akan terus berusaha untuk mewujudkan persekitaran pekerjaan yang mesra pekerja dan juga menangani isu-isu yang berbangkit.

Beliau turut mengakui dua belas bulan yang lalu merupakan ujian mencabar untuk kerajaan Pakatan Harapan dan sedang berusaha sedaya upaya membina Malaysia Baharu yang diimpikan selain mengajak rakyat untuk turut sama merealisasikannya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Cadangan kurang saiz penjawat awam tidak jejas kuota OKU

KUALA LUMPUR, 20 APRIL: Cadangan kerajaan untuk mengurangkan saiz penjawat awam tidak akan menjejaskan dasar satu peratus penyertaan orang kurang upaya (OKU) dalam perkhidmatan awam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, jawatan yang dikhususkan untuk OKU akan tetap dikekalkan.

“Kita (kerajaan) hendak ramai lagi OKU menyertai perkhidmatan awam. Sekarang ini pun belum lagi penuh (satu peratus) jadi tempat yang boleh dikhususkan untuk OKU kita kekalkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Pencapaian Kecemerlangan Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) 2017/2018, di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan juga memberi tumpuan untuk memenuhi sasaran dasar satu peratus OKU dalam perkhidmatan awam sebelum merancang untuk meningkatkan sasaran itu.

Selain itu, katanya, pelbagai usaha diambil kerajaan bagi menggalakkan penyertaan golongan OKU dalam sektor swasta termasuk pengecualian cukai terhadap majikan yang mengeluarkan belanja untuk keperluan pekerja OKU.

Terdahulu ketika berucap, Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, menurut Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, setakat hujung tahun lepas, kira-kira 3,800 OKU atau 0.31 peratus dilantik untuk mengisi pelbagai jawatan dalam perkhidmatan awam.

Beliau berkata kementeriannya melepasi sasaran satu peratus dengan 144 jawatan atau 1.77 peratus yang diisi oleh OKU daripada keseluruhan 8,138 jawatan.

Dr Wan Azizah berkata Kementerian Pertahanan berada di tempat kedua dengan 0.98 peratus jawatan diisi oleh OKU manakala Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu di tempat ketiga dengan pencapaian 0.97 peratus.

Dasar pengambilan satu peratus OKU dalam sektor awam diperkenalkan pada 1988 dan dilaksanakan menerusi pekeliling perkhidmatan pada 2008 dan 2010, menggariskan penyelesaian afirmatif untuk dilaksanakan oleh kementerian, agensi serta pihak berkuasa yang dilantik, katanya.

KUALA LUMPUR, 20 April — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail beramah mesra bersama para penerima anugerah yang terdiri daripada Orang Kurang Upaya (OKU) cacat penglihatan pada Anugerah ‘MAB Excellence Achievement for the Blind and Visually Impaired’ 2017/2018 hari ini.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Beliau berkata pelbagai kementerian dan agensi telah menetapkan dasar, program dan bantuan untuk meningkatkan tahap sosio ekonomi serta kesejahteraan golongan OKU.

“Kementerian saya, menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat, menyalurkan bantuan wang tunai kepada OKU yang berdaftar, iaitu bantuan peralatan sokongan, elaun bagi pekerja kurang upaya berjumlah sehingga RM400 sebulan di samping peruntukan Geran Pelancaran sehingga RM2,700 bagi OKU mengusahakan projek yang menjana pendapatan,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata perancangan kementeriannya bagi 2019 adalah untuk mengadakan dua kajian berkaitan OKU khususnya berhubung peluang pekerjaan bagi OKU dan sistem sokongan bagi penjaga OKU.

“Kedua-dua kajian akan diketuai oleh Institut Sosial Malaysia. Proses pelaksanaan bagi kedua-dua kajian ini telah bermula dan sedang dalam proses untuk mengenal pasti pasukan penyelidikan paling sesuai bagi projek terbabit.

“Saya yakin sebaik sahaja kajian ini siap, kementerian akan dapat menganggarkan situasi semasa OKU dan berkemungkinan menggubal hala tuju khusus di samping dasar serta pogram berasaskan bukti membabitkan kumpulan sasaran ini,” katanya. -BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

TPM: Isi kemenangan dengan beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat

KUANTAN, 13 APR: Wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) perlu mengisi kemenangan diperoleh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan menjadikan pusat khidmat komuniti sebagai pusat sehenti, menghubungkan agensi kerajaan dengan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, penyediaan pusat khidmat komuniti itu juga merupakan salah satu cara kerajaan PH berterima kasih kepada rakyat, dengan wakil rakyatnya perlu bekerja keras mengatasi permasalahan setempat.

“Proses penyampaian dasar kerajaan perlu dilaksanakan dengan berkesan di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) agar tiada kelompok masyarakat terpinggir daripada proses pembangunan negara, tidak kira sama ada mereka mengundi PH atau tidak, pada PRU lalu.

“Hidupkan pusat khidmat dengan aktiviti-aktiviti ilmiah dan santai, agar kehadiran kita sebagai kerajaan baru PH dirasai penduduk setempat, dan mana-mana rakyat yang tidak mengundi kita sebelum ini akan merasa lebih yakin serta beralih kepada PH selepas ini.

“Dalam masa yang sama juga petugas di pusat khidmat komuniti harus bekerja rapat dengan agensi kerajaan, supaya kita dapat menyampaikan perkhidmatan dengan lebih efisien,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pusat Komuniti PH, DUN Beserah di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah yang juga Anggota Parlimen Indera Makota.

Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Pahang dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu Lee Chean Chung.

Dalam masa yang sama, beliau turut meminta supaya wakil rakyat supaya bekerja lebih keras menarik lebih rakyat penduduk di negara ini keluar dari kepompong kemiskinan.

“Selaku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, saya mengajak semua pihak bekerjasama dengan pihak kementerian dan agensi-agensi di bawahnya bagi membantu rakyat tempatan khususnya golongan B40.

“Kita tidak mahu belenggu kemiskinan membawa kepada masalah-masalah sosial, jenayah seksual, dan keganasan jenayah rumah tangga,” katanya.

SUMBER: BERNAMA