MB : Dasar Penswastaan Dr Mahathir Tidak Tolong Melayu

MB pc kuning couch 01

SHAH ALAM 11 MAC : Dasar penswastaan di zaman Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak membela orang Melayu, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Malah katanya, hanya beberapa peratus sahaja kekayaan dan saham di dalam pelbagai projek penswastaan yang sampai ke tangan golongan Melayu.

“Beliau (Mahathir) dulu laksanakan Dasar Ekonomi Baru, tapi yang dapat bukan orang Melayu,” kata Abdul Khalid ketika mengulas kenyataan Dr Mahathir beberapa hari lalu.

Dr Mahathir berkata Selangor perlu diselamatkan daripada Pakatan Rakyat (PR) bagi memastikan hak dan kedudukan orang Melayu serta Bumiputera terus kekal di Selangor dan kedudukan Islam kekal sebagai agama rasmi negara.

Mahathir sebelum ini berkata PR yang sudah pun menguasai ekonomi di Selangor kini mempunyai keinginan yang tinggi untuk menguasai politik di negeri itu.

Mengulas lanjut perkara itu, Abdul Khalid berkata penggunaan masjid dan surau lebih rancak di bawah pentadbiran PR berbanding Umno-BN.

“Contohnya program malam Qiamullail, sekurang-kurangnya lima ribu rakyat hadir dalam satu masjid. Ini tidak berlaku zaman Mahathir.

“Begitu juga apabila terdapat perayaan di masjid, yang mana beribu-ribu orang akan hadir.

?Jadi dari segi umat Islam dan penggunaan rumah ibadat Islam sangat diterima rakyat Selangor,? katanya kepada pemberita selepas Merasmikan Seminar Eksekutif Halal dan Dialog Industri, di Hotel Blue Wave, di sini.

“Saya ingat beliau (Mahathir) tidak mengikuti perkembangan yang berlaku. Saya harap sangat beliau berhenti dalam usaha ini sebab beliau sudah melampaui masa kita perlukan beliau,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tempoh Seminggu Untuk Chua Soi Lek Minta Maaf

 

KUALA LUMPUR, 24 OKT – Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) memberikan tempoh seminggu kepada Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataan penghinaan terhadap hudud.

Desakan ini dinyatakan oleh Setiausaha DPMM, Khairul Faizi Ahmad Kamil ketika menyampaikan memorandum bantahan tersebut di Wisma MCA di sini hari ini.

Tegasnya, sekiranya Soi Lek gagal berbuat demikian, DPPM akan menggerakan satu himpunan besar ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada Yang Di Pertuan Agong.

Jelasnya, kenyataan biadap ini hanya untuk menarik kembali sokongan kaum Cina kepada MCA-BN yang semakin goyah dengan kebangkitan rakyat.

“Kenyataan Chua Soi Lek serta pemimpin MCA yang lain sebagai keterlaluan dan melampau.

“Perkara ini menyentuh sensitiviti umat Islam dan tidak boleh diterima sama sekali dan mengundang kemarahan seluruh umat Islam di negara ini,” katanya.

Memorandum bantahan ini diserahkan oleh Khairul Faizi sambil diiringi oleh Ahli Jawatankuasa Kerja PAS, Ustaz Idris Ahmad dan Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin kepada Pegawai Pemuda MCA, Leonnard Tan Soon Huat pada jam 3.15 petang.

Hadir sama, NGO Jingga 13 yang turut menyerahkan memorandum berasingan melalui setiausahanya Dk Vicky dengan desakan sama seperti yang dikemukakan DPPM.

Hampir 150 orang penyokong hadir berkumpul di luar perkarangan Wisma MCA, Jalan Ampang sambil melaungkan Takbir dan membawa sepanduk ‘Soi Lek Wajib Minta Maaf’ dan ‘Jangan Hina Islam’.

Shamsul dalam ucapan ringkas menyatakan, kebiadapan Soi Lek ini ‘diwarisi’ dari Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

“Perkara ini (penghinaan hudud) sudah lama berada di dalam Umno.

“Mahathir semasa menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri menyatakan perkara mengenai janggut. Tiada pisau cukur Gillette. Sekarang giliran Chua Soi Lek,” tegasnya.

Datuk Seri Chua Soi Lek pada 18 Oktober mendakwa hudud akan menjejaskan mata pencarian seramai 1.2 juta rakyat Malaysia.

Seterusnya, beliau membawa isu berkenaan ke perhimpunan agung MCA pada Ahad lalu dengan dakwaan bahawa, lapan daripada 11 negara yang melaksanakan hudud dianggap sebagai antara negara paling korup, tidak stabil dan tidak selamat.

Hadir sama membantah pada petang ini ialah artis wanita popular Abby Abadi, Adam Ahmad, Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamad dan Ketua Penerangan Pemuda PAS, Ridhuan Mohd Nor.