Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Raja Permaisuri Agong ke Konsert Diraja KPM

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Konsert Diraja Kementerian Pendidikan (KPM) 2019, di Panggung Sari, Istana Budaya, malam tadi.

Keberangkatan tiba Tunku Azizah pada kira-kira pukul 8.25 malam disambut oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK) KPM, Zainal Abas.

Konsert itu membuka tirai dengan persembahan tarian tradisional negeri Pahang iaitu Walinongsari oleh 36 murid daripada pelbagai sekolah rendah dan menengah seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Tunku Azizah dan lebih 1,400 penonton yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian yang didendangkan oleh murid serta guru sekolah di bawah KPM antaranya Sekolah Seni Sabah Malaysia.

Konsert Diraja KPM 2019 dianjurkan BSKK dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional (BSN) itu disertai 127 peserta terdiri daripada murid dan guru selain menampilkan persembahan penyanyi dan pelakon popular, Ayda Jebat.

Tunku Azizah yang berkenan menyaksikan konsert yang berlangsung hampir dua jam itu berangkat pulang kira-kira pukul 11.20 malam sebelum berkenan bersalaman serta bergambar kenangan bersama peserta yang menjayakan konsert.

Konsert diakhiri dengan persembahan lagu medley irama tradisional, antaranya ‘Joget Pahang’ dan ‘Joget Sayang Di Sayang’ sebelum semua peserta menyanyikan lagu ‘Dirgahayu Tuanku’ sebagai tanda ‘Sembah Tuanku’.

Sementara itu, Zainal ketika ditemui Bernama, berkata konsert berkenaan mula diperkenalkan pada 1997 sebagai tanda menjunjung kasih warga KPM kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

“Konsert itu diilhamkan sejajar dengan hasrat untuk mewujudkan bangsa Malaysia yang kaya dengan budaya warisan dan kesenian yang luhur serta beridentiti.

“Konsert ini juga merupakan platform kepada generasi muda untuk mempamerkan bakat dan potensi mereka dalam seni persembahan yang merangkumi seni muzik, tarian, teater dan seni visual,” tambahnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Tunku Azizah berkenan melawat Muzium Tekstil Jakarta

JAKARTA, 27 OGOS: Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan berangkat ke Pameran ‘World Ikat Textiles 2019- Ikat: Ties That Bind’ di Muzium Tekstil, di sini.

Lawatan itu merupakan antara program Raja Permaisuri Agong yang mengiringi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam lawatan negara ke Indonesia, bermula semalam.

Tunku Azizah yang cukup meminati seni tekstil berkenan menyaksikan pameran itu yang menampilkan hampir 100 koleksi tenun dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Indonesia, Vietnam, dan Thailand.

Terdahulu, Raja Permaisuri Agong berkenan berangkat ke Kwartir Nasional Gerakan Pramuka Indonesia serta ke Kongres Wanita Indonesia (Kowani).

Dalam rangka lawatan itu, Seri Paduka berdua turut dijadual berangkat ke Yogyakarta dan mengadakan pertemuan dengan Sultan Yogyakarta dan Gubernur Daerah Istimewa Yogyakarta, Sri Sultan Hamengkubuwono X serta melawat beberapa tempat bersejarah di sana.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Menu kampung pilihan Agong, Raja Permaisuri

KUANTAN, 31 JUL: Sering disajikan pelbagai juadah di restoran dan hotel terkemuka, ramai pasti tertanya-tertanya apakah menu santapan harian Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong sering nikmati.

Jawapan itu ada pada tukang masak Istana Abdulaziz, Hasnah Koming, 65, yang berkongsi dengan Bernama bahawa Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah adalah peminat juadah masakan Melayu serta gemar bersantap masakan yang disediakan di istana.

Hasnah juga mengakui Seri Paduka berdua tidak cerewet dalam juadah santapan harian, dan antara lauk yang biasa dihidangkan ialah Opor Pahang.

Opor, sama ada menggunakan bahan utama ayam, daging atau burung adalah juadah kegemaran Sultan Abdullah selain ikan patin masak tempoyak, kari ikan dan ikan masak taucu.

KUANTAN, 15 Mei — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kelihatan ceria ketika berkenan berbuka puasa bersama rakyat Pahang di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MKP) Satu berhadapan Masjid Sultan Ahmad.
Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (kanan).
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Tunku Azizah pula gemar bersantap masak kicap, asam pedas atau stew daging. Untuk sayur, kegemaran baginda berdua adalah petola tumis air, sayur campur goreng, sawi masak sos tiram dan kobis masak lemak.

“Ramai yang sukar untuk percaya bila saya katakan juadah kegemaran Tuanku adalah lauk-pauk ringkas…mereka beranggapan menu di sini (Istana Abdulaziz) istimewa setiap hari,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Hasnah secara berseloroh mengakui beliau tidak reti memasak juadah yang rumit, kerana kemahiran yang ada padanya hanya diperoleh secara ‘tidak rasmi’ selepas diterima masuk bekerja pada 1980 di Istana Abu Bakar di Pekan sebagai pembantu dapur.

Katanya, dari situ beliau mula mempelajari selok-belok memasak daripada tukang masak sebelumnya, dan kini ‘tradisi’ itu diturunkan pula kepada pembantu dapur yang lebih muda.

Menariknya, kerana sudah terlalu lama memasak, Hasnah yang digelar ‘Mak’ dalam kalangan kakitangan istana yang bersara pada 2015 dititahkan untuk kembali bekerja kerana air tangannya sudah serasi dengan selera Seri Paduka.

“Jika memasak untuk Sultan Abdullah, kepedasannya di tahap sederhana berbanding Tunku Azizah yang memang kuat pedas. Jadi, kita kena tahu bagaimana untuk menyeimbangkan rasa pedas supaya Tuanku berdua boleh bersantap hidangan yang sama,” katanya.

Hasnah yang mengakui kehebatan Tunku Azizah di dapur berkata, baginda juga tidak pernah murka jika masakan hari itu ‘tidak menjadi’, sebaliknya akan menegur dengan lembut supaya kesilapan tersebut tidak berulang.

KUALA LUMPUR, 18 Mei — Reaksi ceria Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika menyediakan bahan-bahan untuk bubur lambuk resepi istimewa baginda pada Program Bubur Lambuk Perdana Masjid-Masjid di Wilayah Persekutuan 2019 anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Masjid Jamek Kampung Baru.
Dua kawah bubur lambuk yang dimasak oleh Tunku Azizah itu adalah sebahagian daripada keseluruhan 71 buah kawah bubur lambuk termasuk satu penyertaan daripada Persatuan Anak Melayu Johor yang dimasak secara gotong-royong melalui program berkenaan.–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Tunku Azizah juga, menurut Hasnah, banyak menurunkan ilmu mengenai masakan Johor kepadanya selain tangkas di dapur termasuk semasa menyediakan hidangan dalam kuantiti yang besar untuk majlis di Istana.

Beliau juga berkongsi cerita Sultan Abdullah amat menggemari ‘juadah rumah’ sehingga Seri Paduka lazimnya akan bersantap sebelum berangkat ke sesuatu majlis atau jika kesuntukan waktu, akan menjamah hidangan selepas pulang ke istana.

“Baginda juga tidak suka membazir. Jika pada sebelah malam saya memasak kari, kuahnya akan dipanaskan pada keesokan hari untuk Tuanku bersantap dengan roti canai atau capati,” katanya.

Hasnah berkata lazimnya dapur istana mula beroperasi bagi santapan tengah hari kerana sarapan baginda sama ada nasi lemak, roti canai atau capati dibeli manakala kuih seperti karipap, jemput-jemput pisang dan kuih talam dijadikan pilihan minum petang.

Bercakap mengenai keperibadian Sultan Abdullah dan Tunku Azizah, Hasnah menyifatkan Seri Paduka berdua amat prihatin dengan kebajikan pekerja termasuk menitahkan hidangan tengah hari disediakan di dapur istana, walaupun semasa ketiadaan baginda berdua.

“Tuanku juga sangat menghormati tetamu. Tunku Azizah misalnya berkali-kali berpesan supaya semua tetamu dijaga makan minumnya. Jika kedatangannya secara mengejut, apa yang ada perlu disajikan.

“Paling tidak, tetamu Istana Abdulaziz perlu dihidangkan air…baginda bertitah siapa sahaja yang datang adalah tetamu baginda jadi kita yang kerja di sini perlu tahu apa yang hendak dilakukan,” katanya.

Berkongsi cerita, Hasnah berkata Sultan Abdullah lazimnya akan membawa ‘bekal’ jika ke luar negara terdiri daripada sambal bilis kacang dan rendang dendeng manakala Tunku Azizah gemar membawa acar buah.

Hasnah berkata sambal belacan resepi Tunku Azizah sering dijadikan buah tangan kepada rakan terdekat dan pembesar sama ada di dalam atau luar negara.

“Mereka yang sudah tahu mengenai sambal belacan ini pasti akan mencarinya jika datang ke Istana Abdulaziz. Biasanya kami pastikan stoknya setiasa ada di peti ais, di simpan dalam balang-balang kecil.

“Di sini, kami gelarkan sambal belacan itu sebagai sambal belacan dunia kerana telah berjalan ke pelbagai tempat. Malah ada masanya rakan-rakan Tunku Azizah akan bertanya jika stok mereka habis,” katanya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PERSONALITI PILIHAN MINGGUAN RENCANA

Tunku Azizah permaisuri bertakhta di hati rakyat

KUALA LUMPUR, 28 JUL: Tanggal 30 Julai ini, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah secara rasminya menduduki singgahsana Istana Negara sebagai Raja Permaisuri Agong.

Selepas 33 tahun menjadi permata hati rakyat Pahang, baginda akan berada di samping suami tercinta Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang bakal ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-16 pada tarikh berkenaan.

Menjelang momen bersejarah itu, Tunku Azizah dalam wawancara pertama baginda sebagai Raja Permaisuri Agong berkongsi dengan Bernama tentang pelbagai perkara termasuk isi hati baginda mengenai pelantikan sebagai Wanita Utama negara.

Baginda turut berkongsi harapan serta kisah cinta baginda bersama Seri Paduka yang boleh dijadikan inspirasi oleh kalangan rakyat jelata.

Belum mencerna realiti

Santai memulakan bicara, Tunku Azizah yang dikenali ramai sebagai insan yang sentiasa merendah diri, mengakui realiti fasa kehidupan baharu baginda belum sepenuhnya dihayati kerana ia berlaku terlalu pantas.

Pemasyhuran Sultan Abdullah sebagai Sultan Pahang keenam pada 15 Jan lepas disusuli dengan pemasyhuran Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Jan lalu sekali gus merubah kedudukan Tunku Azizah daripada Tengku Puan Pahang kepada Tunku Ampuan Pahang dan seterusnya Raja Permaisuri Agong hanya dalam masa beberapa hari sahaja.

“Semasa November, tidak ada bayangan pun Tuanku nak menjadi Sultan (Pahang) dan dalam dua minggu (kemudian), terus jadi Yang di-Pertuan Agong…sehingga kini, perkara ini (bahawasanya baginda kini adalah Raja Permaisuri Agong) belum ‘masuk’ atau bahasa Inggeris kata ‘has yet to sunk in me’ (belum dapat dihayatinya).

“Jadi, saya selalu ketawa…ada kalanya saya masih bahasakan diri saya sebagai Tengku Puan dan anak-anak saya pun bahasakan Tengku Puan,” titah Tunku Azizah yang merupakan adinda kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Mengenai kehidupan baginda sekeluarga di ibu negara, Permaisuri Agong yang berjiwa besar itu mengakui masih kekok berada di Istana Negara khususnya untuk menyesuaikan diri dengan protokol dan peraturan istana.

“It is totally a new life (Ia adalah suatu kehidupan baharu di Istana Negara). Dahulu di Pahang…walaupun saya Tengku Puan Pahang, saya bebas, boleh masak, pergi pantai, tetapi saya sedar tugas saya di sini (Istana Negara) lain, tugas saya di Pahang agak lain.

“Di sini agak ‘restricted’ (terhad) sedikit ‘movement’ (pergerakan)…mungkin sekarang tanggungjawabnya lebih kerana Tuanku now is representing the whole country (kini ketua negara),” titah baginda yang diputerikan pada 5 Ogos 1960.

Namun, Tunku Azizah menegaskan bahawa di sebalik tugas dan tanggungjawab baharu itu, secara peribadinya baginda masihlah insan seperti dahulu.

“I am still the same, I have not changed (Saya masih insan yang sama, saya tidak berubah pun)…tak adalah nak duduk melawa-lawa sahaja,” titah baginda dalam nada ceria.

Kisah cinta Tunku Azizah

Kasih suami membawa bahagia, kasih isteri membawa ke syurga. Keserasian dan kasih sayang antara puteri raja Johor yang disunting menjadi suri hati putera Pahang sejak 33 tahun lepas sering mendapat pujian rakyat jelata yang mengikuti kisah pasangan diraja ini.

Mengimbau kenangan awal perkenalan dengan Sultan Abdullah, Tunku Azizah mengakui tidak bercinta seperti pasangan lain kerana sebagai puteri yang dibesarkan dalam lingkungan istana, segala perlakuan baginda sentiasa dalam perhatian.

“Pertama kali jumpa Tuanku adalah waktu saya berumur 12 (tahun), Tuanku 13 (tahun)…(dan) 13 tahun kemudian baru kami melangsungkan perkahwinan. Ayahanda saya (Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail) cukup strict (tegas), ini kira orang lama betul. Jadi, tak ada dating (berjanji temu), tak ada keluar tengok wayang, have dinner (makan malam), tak ada langsung,” titah baginda.

Atas kekangan itu, hanya kiriman surat menjadi pengganti diri namun surat yang diterima itu juga harus melalui Almarhum ayahanda baginda sebelum sampai ke tangan Tunku Azizah.

Baginda bertitah bahawa Almarhum ayahanda baginda sentiasa mengingatkan anakanda-anakanda baginda supaya menjaga maruah sebagai anak raja. Tunku Azizah merupakan anakanda keempat daripada 10 beradik.

“Almarhum ayahanda berpesan, anak orang lain boleh. Di tepi jalan pun dia boleh buat (berjanji temu) sebab orang tak akan bercakap, tapi awak tu anak sultan dan cucu sultan. Apa yang awak buat, satu dunia Johor akan bercakap. Jadi awak kena jaga maruah awak sebagai anak raja,” titah Tunku Azizah yang berkongsi pesanan titah Almarhum ayahanda, yang masih diingatinya sehingga sekarang.

Ketegasan didikan yang diterima itu turut dipraktikkan kepada kesemua putera dan puteri baginda iaitu Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, Tengku Puteri Iman Afzan, Tengku Puteri Iisha Ameera, Tengku Puteri Ilyana, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

Hubungan dua keluarga diraja kembali erat

Walaupun perhubungan Seri Paduka berdua terjaga batasannya, namun keluarga Diraja Pahang dan Diraja Johor terutamanya nenenda Sultan Abdullah, Almarhum Sultan Abu Bakar dan nenenda baginda, Almarhum Sultan Ismail, amat mengharapkan pernikahan antara Tunku Azizah dan Sultan Abdullah dimeterai.

Ia bertujuan mengeratkan kembali hubungan persaudaraan antara keluarga Diraja Pahang dengan keluarga Diraja Johor, yang berasal dari jurai keturunan Sultan Abdul Jalil, yang kedua-dua anakanda baginda pernah menjadi Raja di Pahang dan Raja di Johor.

“Tok (Almarhum Sultan Ismail) tahu Almarhum ayahanda saya tegas dalam hal hubungan cinta dan tahu saya tidak boleh keluar dating (berjanji temu). Jadi, Tok suruh Tuanku yang ketika itu Tengku Mahkota Pahang turun ke Johor untuk bermain polo… ketika itu, kejap-kejap Tok titah suruh saya turun ke padang polo untuk memberi peluang saya berjumpa Tuanku,” titah baginda.

Tiga minggu sebelum kemangkatan Sultan Ismail, baginda bertanyakan kepada Tunku Azizah bila cucundanya itu ingin berkahwin.

“Masa itu, saya jawab, nak kahwin dengan siapa Tok, patik tak ada boyfriend (teman lelaki). Kemudian Tok saya cakap, you ada boyfriend (teman lelaki), saya tahu… itu Pahang (merujuk kepada Sultan Abdullah) boyfriend you (teman lelaki anda).

“Saya kata lagi, nak kahwin macam mana Tok, orang tak meminang. Ketika itu, saya baharu berusia 21 tahun dan Tuanku 22 tahun. Tapi Tok kata dia nak tengok saya kahwin ,” titah baginda yang sesekali kelihatan menyeka air mata.

Namun, tiga minggu kemudian, Almarhum Sultan Ismail mangkat tanpa sempat menyaksikan pernikahan cucundanya itu.

Sultan Abdullah di mata Tunku Azizah

Berkongsi keperibadian Sultan Abdullah, Tunku Azizah bertitah: “Seri Paduka adalah insan yang paling baik hati dalam dunia, murah hati, suka bersedekah…saya tidak pernah dengar Tuanku naik suara, tak garang, baik hati, tak pernah cakap pasal orang.”

Bagaimanapun, baginda mengakui Seri Paduka adalah seorang yang sangat tegas serta mengambil serius tentang tugas dan tanggungjawab yang digalas.

“Di Pahang dulu, Tuanku akan baca ‘Exco paper’ (kertas Exco)…one by one (satu per satu dibaca Tuanku) (manakala) di sini, setiap Rabu sebelum nak jumpa Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad), Tuanku akan baca kabinet ‘paper’, semua sekali.

“Mungkin itu didikan daripada ayahanda dan ibunda kerana nak jadi raja adalah tanggungjawab besar. The moment (Apabila) Tuanku jadi Tengku Mahkota Pahang, hidup Tuanku bertukar…Tuanku tahu tanggungjawab baginda, Tuanku pergi melawat. He took it seriously, it is a life long job (Tuanku serius dalam melaksanakan tugas baginda, ia adalah tugas sepanjang hayat),” titah baginda.

Menyimpul harapan menjelang istiadat pertabalan itu, Tunku Azizah memanjatkan doa agar tugas berat yang diamanahkan oleh Raja-Raja Melayu, yang memilih Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16, dapat dilaksanakan Seri Paduka dengan sebaik mungkin mengikut landasan agama.

– BERNAMA