Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

10 universiti tempatan dalam kelompok 110 terbaik Asia

PUTRAJAYA, 25 NOV: Sepuluh universiti tempatan terdiri daripada tujuh universiti awam dan tiga universiti swasta – berada dalam kelompok 110 universiti terbaik Asia berdasarkan laporan Ranking Universiti Dunia Quacquarelli Symonds (QS) : Asia 2021.

Menurut laporan QS yang dikeluarkan hari ini, Universiti Malaya (UM) mendahului universiti lain dengan berada di tempat kesembilan, diikuti Universiti Putra Malaysia ke-28, Universiti Sains Malaysia (ke-34) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (ke-35).

Universiti Teknologi Malaysia di tempat ke-39, Universiti Teknologi Petronas (ke-70), Taylor’s University (ke-89), Universiti UCSI (ke-105), Universiti Utara Malaysia (ke-107) dan Universiti Teknologi Mara (ke-108).

“Kejayaan ini merupakan kejayaan terbaik negara setakat ini dan membuktikan bahawa hala tuju Pendidikan Tinggi Negara berada di atas landasan yang betul,” kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dalam satu kenyataan hari ini mengenai pencapaian berkenaan.

Noraini berkata kejayaan itu juga secara tidak langsung akan terus menempatkan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi di rantau Asia dan dapat membantu institusi dalam menjalinkan kerjasama dengan penyelidik terkemuka dunia.

Noraini berkata UM buat kali pertamanya telah berjaya disenaraikan sebagai 10 universiti terbaik di Asia dalam penarafan kali ini dengan mendapat tempat kesembilan berbanding tempat ke-13 pada penarafan tahun lepas.

UM juga, menurutnya berjaya mengatasi Shanghai Jiao Tong University yang menduduki tempat-10 dalam penarafan tahun ini.

Shang Jiao Tong University merupakan universiti terkemuka yang memperkenalkan Ranking Akademik Universiti-universiti Dunia atau lebih dikenali sebagai “Shanghai Jiao Tong University Rankings” yang menilai kekuatan penyelidikan universiti di seluruh dunia.

Pada siri penarafan kali ini, 35 universiti tempatan tersenarai iaitu pertambahan enam universiti berbanding dengan 29 universiti yang tersenarai pada tahun lepas, katanya.

“Sebanyak 24 universiti berjaya memperbaiki kedudukan berbanding tahun lepas, tiga buah universiti mengekalkan kedudukan dan dua buah universiti jatuh dari kedudukan tahun lepas,” katanya.

Dalam laporan QS itu juga menyatakan Malaysia merupakan antara negara yang menunjukkan peningkatan terbaik di dalam penarafan kali ini, katanya.

“Sistem pendidikan negara diterima sebagai bereputasi tinggi di kalangan akademik dan majikan di peringkat Asia,” katanya.

Noraini berkata 2020 merupakan separuh penggal pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) (PPMPT) dan telah menunjukkan peningkatan kualiti dan kecemerlangan institusi pendidikan tinggi tempatan dalam tempoh yang singkat.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Tempoh mohon UPU dilanjutkan ke 17 April

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: Permohonan kemasukan pelajar ke Universiti Awam (UA), Institut Pendidikan Guru (IPG), Kolej Matrikulasi, Politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dilanjutkan ke 17 April, dari 7 April sebelum ini.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad dalam kenyataan juga memaklumkan hari terakhir bagi pemohon membeli nombor Unik ID melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi tujuan permohonan itu adalah pada 16 April.

“Sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, saya memahami calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf sukar untuk mendapatkan akses internet,” katanya.

Hebahan keputusan permohonan calon SPM bagi kemasukan ke UA, IPG, Kolej Matrikulasi, Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA dijangka diumumkan pada 3 Jun ini.

Keputusan permohonan calon STPM atau setaraf bagi kemasukan ke program Ijazah Sarjana Muda ke UA dijangka diumumkan pada 18 Ogos.

Maklumat terkini atau pertanyaan, sila layari laman rasmi Facebook UPU di https://www.facebook.com/UPUonlineBPKPJPT/ atau tontoni Facebook Live yang diadakan setiap hari sehingga 14 April dari 10-11 pagi dan 3-4 petang.

Menurut kenyataan itu, KPT bersedia menjawab sebarang pertanyaan semasa sesi tersebut dijalankan.

-BERNAMA