Categories
AGENDA NASIONAL

Kuliah dalam talian program asasi dan diploma mulai Ogos

KUALA LUMPUR, 30 JULAI: Pengajaran dan pembelajaran penuntut baharu program Asasi dan Diploma sesi akademik 2021/2022 akan dijalankan sepenuhnya secara dalam talian bermula Ogos.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kenyataan di sini malam ini menyatakan keputusan itu mengambil kira situasi semasa penularan Covid-19 dalam negara ketika ini.

Bagaimanapun, menurut KPT universiti awam (UA) boleh mempertimbangkan kemasukan penuntut Asasi dan Diploma ke kampus secara fizikal bermula pada Oktober atau pada semester berikutnya bergantung kepada kesediaan dan ketetapan UA masing-masing.

Ibu bapa dan penuntut yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Bilik Gerakan Covid-19 KPT yang dibuka 24 jam di talian 03-8870 6777/6949/ 6623/6628.

Mereka juga boleh melayari laman web institusi pengajian tinggi (IPT) atau terus menghubungi pegawai penyelaras di IPT masing-masing.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

10 universiti tempatan dalam kelompok 110 terbaik Asia

PUTRAJAYA, 25 NOV: Sepuluh universiti tempatan terdiri daripada tujuh universiti awam dan tiga universiti swasta – berada dalam kelompok 110 universiti terbaik Asia berdasarkan laporan Ranking Universiti Dunia Quacquarelli Symonds (QS) : Asia 2021.

Menurut laporan QS yang dikeluarkan hari ini, Universiti Malaya (UM) mendahului universiti lain dengan berada di tempat kesembilan, diikuti Universiti Putra Malaysia ke-28, Universiti Sains Malaysia (ke-34) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (ke-35).

Universiti Teknologi Malaysia di tempat ke-39, Universiti Teknologi Petronas (ke-70), Taylor’s University (ke-89), Universiti UCSI (ke-105), Universiti Utara Malaysia (ke-107) dan Universiti Teknologi Mara (ke-108).

“Kejayaan ini merupakan kejayaan terbaik negara setakat ini dan membuktikan bahawa hala tuju Pendidikan Tinggi Negara berada di atas landasan yang betul,” kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dalam satu kenyataan hari ini mengenai pencapaian berkenaan.

Noraini berkata kejayaan itu juga secara tidak langsung akan terus menempatkan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi di rantau Asia dan dapat membantu institusi dalam menjalinkan kerjasama dengan penyelidik terkemuka dunia.

Noraini berkata UM buat kali pertamanya telah berjaya disenaraikan sebagai 10 universiti terbaik di Asia dalam penarafan kali ini dengan mendapat tempat kesembilan berbanding tempat ke-13 pada penarafan tahun lepas.

UM juga, menurutnya berjaya mengatasi Shanghai Jiao Tong University yang menduduki tempat-10 dalam penarafan tahun ini.

Shang Jiao Tong University merupakan universiti terkemuka yang memperkenalkan Ranking Akademik Universiti-universiti Dunia atau lebih dikenali sebagai “Shanghai Jiao Tong University Rankings” yang menilai kekuatan penyelidikan universiti di seluruh dunia.

Pada siri penarafan kali ini, 35 universiti tempatan tersenarai iaitu pertambahan enam universiti berbanding dengan 29 universiti yang tersenarai pada tahun lepas, katanya.

“Sebanyak 24 universiti berjaya memperbaiki kedudukan berbanding tahun lepas, tiga buah universiti mengekalkan kedudukan dan dua buah universiti jatuh dari kedudukan tahun lepas,” katanya.

Dalam laporan QS itu juga menyatakan Malaysia merupakan antara negara yang menunjukkan peningkatan terbaik di dalam penarafan kali ini, katanya.

“Sistem pendidikan negara diterima sebagai bereputasi tinggi di kalangan akademik dan majikan di peringkat Asia,” katanya.

Noraini berkata 2020 merupakan separuh penggal pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) (PPMPT) dan telah menunjukkan peningkatan kualiti dan kecemerlangan institusi pendidikan tinggi tempatan dalam tempoh yang singkat.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Ahli akademik, bekas profesor pertikai cadangan darurat

SHAH ALAM, 25 OKT: Sekumpulan ahli akademik dan bekas profesor mempertikai cadangan pengisytiharan darurat yang dikhuatiri mewujudkan monopoli kuasa dan menjejaskan urus tadbir kerajaan.

Menamakan diri mereka Kumpulan Akademik Prihatin, mereka berkata pelaksanaan berkenaan memberi kuasa kepada badan eksekutif tanpa proses semak dan imbang.

Dalam kenyataan yang ditandatangani 91 individu, mereka berkata darurat juga merosakkan kedudukan negara pada peringkat antarabangsa, reputasi kewangan, iklim pelaburan dan kredibiliti pemerintahan negara.

“Sekiranya kita tidak mengambil berat perkara penggantungan dan pengabaian institusi demokrasi ini, akibatnya nanti menjerumuskan negara kita ke jalan kemunduran iaitu pemerintahan autoriter dan diktator,” kata mereka lagi.

Kumpulan itu juga menjelaskan negara ketika ini tidak berhadapan sebarang ancaman membabitkan keselamatan, ekonomi atau ketenteraman awam.

Sebaliknya, mereka khuatir cadangan tersebut didorong situasi politik tidak menentu berikutan kerajaan sedia ada bimbang Belanjawan 2021 ditolak pada sidang Parlimen November depan.

Mereka mengakui negara berdepan krisis ekonomi dan kesihatan awam berikutan pandemik Covid-19 terutama di Sabah tetapi yakin masalah itu boleh diatasi melalui undang-undang sedia ada.

“Meskipun demikian, Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kesihatan memiliki sejumlah pilihan undang-undang dan juga pilihan langkah perubatan yang mencukupi demi meratakan lengkung jangkitan Covid-19, seperti dilakukan pada gelombang kedua,” katanya.