Categories
NASIONAL SELANGOR

Adun Kuang Bohong, Tapak Tadika Dibina Bangunan Komersil

SHAH ALAM 22 NOV : Tanah dua lot di Sekinchan dan Tanjong Karang yang dimiliki Umno dengan bayaran premium RM1 bagi membina tadika dan Dewan Serbaguna bertukar menjadi bangunan komersil lima tingkat dan dijual dengan harga lebih RM5 juta dakwa Adun Sekinchan, Ng Suee Lim.

Semalam, dalam sidang Dewan Negeri Selangor, Adun Kuang, Abdul Syukur Idrus yang juga Ketua Penerangan BN negeri itu memaklumkan tanah itu dibeli oleh Umno-BN untuk tujuan pembinaan dewan serbaguna dan tadika.

Mengulas lanjut, Suee Lim berkata ia merupakan satu pembohongan yang tidak boleh diterima kerana tanah itu juga sudah dijual dan dimiliki oleh syarikat swasta Bumi Utama Building Material Sdn Bhd yang beralamat di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Selasa lalu, Suee Lim mendedahkan skandal 23 kes pemilikan tanah di Selangor oleh parti komponen Umno-BN.

Beliau berkata tanah tersebut melibatkan 23 kawasan di tujuh daerah seluruh Selangor dari 1999 hingga 2008 yang diperoleh ketika era pentadbiran Umno-BN melibatkan harga  sebanyak RM20 juta.

Ia melibatkan parti komponen dan pemimpin Umno-BN termasuk Umno, MCA, MIC dan Gerakan di mana parti-parti tersebut hanya dikenakan bayaran premium RM 1 satu meter persegi.

Sehubungan itu, Suee Lim berkata pihaknya akan mendapatkan anggaran harga yang betul bagi kesemua 23 lot tanah itu dan akan mendedahkannya akan datang serta mengumumkan penyelesaian yang akan dilakukan oleh Kerajaan Negeri.

Dalam pada itu, Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafei meminta Umno-BN menyerahkan kembali hak pemilikan satu lot tanah yang diberi kepada Umno Bukit Raja di daerah Klang.

Hal itu kerana tanah itu bukan dibangunkan Pusat Belia dan Rekreasi tetapi projek perumahan mewah yang terbengkalai kini.

“Jika Umno-BN tidak mahu memulang kembali kepada Kerajaan Negeri, mereka perlu membayar semua pampasan mengikut premium semasa,” katanya dalam sidang media di Lobi Bangunan Annex.

Hadir sama beberapa pemimpin PR dari semua parti.

Tanah yang berkeluasan tujuh ekar itu dikongsi bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), bagaimanapun kesemua cukai tanah dibayar oleh MBSA kerana ia dibawah satu geran.