Categories
SELANGOR SUKANKINI

MSL: PKNS FC tewaskan Selangor 0-4

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 17 FEB: PKNS FC melakar kemenangan pertama dalam saingan Unifi Liga Super bagi musim 2019 dengan menewaskan Selangor 0-4 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Shah Alam.

Turun sebagai pasukan pelawat, PKNS FC terlebih dahulu menguji gawang Selangor menerusi percubaan Muhamad Faizat Mohamad Ghazali pada minit ke-10 tetapi Mohd Khairulazhan Mohd Khalid lebih bersedia menepis bola keluar.

Mohd Syazwan Zainon turut menguji gawang pelawat menerusi satu rembatan kencang bagaimanapun gagal menepati sasaran.

Pemain import PKNS FC, Vathanaka Chan turut menguji gawang Selangor pada minit ke-18, namun berjaya ditepis keluar Mohd Khairulazhan

Kebuntuan jaringan akhirnya terlerai pada minit ke-27 apabila Nicholas Ryan Swirad berjaya menanduk masuk sepakan penjuru Vathanaka bagi kedudukan 0-1.

Red Ants berpeluang menambah jaringan menerusi sepakan percuma Ganriel Miguel Guerra pada minit ke-38 tetapi gagal menepati sasaran.

Menuju minit akhir babak pertama, Muhammad Syahmi Safari hampir menyamakan kedudukan buat Selangor tetapi percubaanya gagal menerjah jaring walaupun terkena pertahanan PKNS FC.

PKNS FC terus garang pada babak kedua dengan jaringan kedua pada minit ke-49 apabila Kpah Sean Sherman berjaya memperdaya pertahanan dan penjaga gol Selangor dengan lambungan tinggi yang terus menerjah gawang tuan rumah bagi kedudukan 0-2.

Mohd Syazwan hampir merapatkan jurang buat Selangor pada minit ke-55 tetapi percubaannya sekadar singgah di palang gol.

Selangor terus mengasak mencari gol pertama menerusi rembatan Rufino Segovia pada minit ke-61 tetapi berjaya ditangkap kemas Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin.

Rufino sekali lagi hampa pada minit ke-67 apabila rembatannya terus ke dakapan penjaga gol selepas menyambut sepakan percuma, Endrick Dos Santos.

 

Disaat Selangor terus mengasak, PKNS FC menambah jaringan ketiga pada minit ke-79 menerusi Vathanaka yang berjaya menolak masuk lorongan rakan sepasukan bagi kedudukan semasa 0-3.

Ketika menuju babak akhir permainan, Romel Morales memastikan derita buat Selangor dengan gol keempat pada minit ke-90 selepas berjaya melepaskan rembatan kencang di tepi gawang tuan rumah bagi tiga mata penuh pertama buat PKNS FC musim ini.

 

Categories
SUKANKINI

Masalah lampu limpah paksa aksi PKNP FC-Selangor dibatalkan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 24 MEI: Perlawanan Unifi Liga Super antara PKNP FC dan Selangor terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh lain susulan masalah lampu limpah sebelum sepak mula perlawanan, di Stadium Batu Kawan, semalam.

Perkara itu dimaklumkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menerusi laman Facebook rasmi mereka serta disahkan Komisioner Perlawanan, Baharim Jusoh.

“Jurutera stadium telah mengesahkan untuk memperbaiki masalah lampu limpah tersebut akan mengambil masa sehingga sebulan.

“Perlawanan turut tidak boleh ditunda bermain pada keesokan harinya kerana berada di dalam bulan Ramadhan dan lampu limpah tidak akan boleh dibaikpulih,” katanya

Justeru, perlawanan akan ditunda kepada satu tarikh baharu yang akan dimaklumkan kelak.

Setakat ini, PKNP FC menduduki tangga ketujuh liga dengan 14 mata sementara Selangor kesembilan dengan 11 mata.

Kredit Foto: Facebook Football Malaysia LLP

Categories
SUKANKINI

Amirudin yakin PKNS FC capai sasaran, cipta kejutan

OLEH SHEEDA FATHIL

SELAYANG, 17 APR: PKNS FC mampu berada dalam kelompok empat pasukan terbaik Unifi Liga Super musim ini berdasarkan prestasi semasa berbanding pencapaian musim lalu.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, kualiti pemain dan mutu persembahan dipamerkan ketika ini membuktikan mereka mampu menghadapi tekanan Unifi Liga Super.

“Dengan kedudukan sekarang, PKNS FC mampu berada pada kedudukan keenam dan bersungguh-sungguh mempertahankan empat teratas sehingga ke penghujung liga.

“Mungkin dalam musim pemindahan pemain mereka perlu membuat beberapa pertukaran terutamanya bahagian serangan atau pertahanan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pecah Tanah Pangsapuri Mampu Milik PKNS di Kampung Seri Temenggung, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Amirudin, optimis The Red Ants mampu mencapai sasaran dan mencipta kejutan apabila selepas kejayaan menewaskan Perak, 2-1 dalam perlawanan suku akhir pertama Shopee Piala FA.

“Walaupun kurang selesa, namun rekod pertemuan dengan Perak agak baik dan pernah menang di Lumut dan Shah Alam.

“Jadi, saya harap kesemua pemain dapat mengekalkan momentum tersebut sekali gus dapat melepasi cabaran untuk pusingan kedua suku akhir akan datang,” katanya.

Kemenangan 2-1 ke atas Perak di Stadium Shah Alam, 7 April lalu memberi sedikit kelebihan buat PKNS FC menjelang perlawanan suku akhir kedua di Stadium Perak, 21 April nanti.