Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Kapten Selangor FA pilih UNISEL

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 5 OKT: Universiti Selangor (UNISEL) menjadi pilihan utama kapten pasukan Selangor FA, Razman Roslan, melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi, dalam jurusan Pengurusan Industri Sukan.

Beliau yang mula menyertai pasukan bola sepak kebangsaan pada 2010 berkata, program ‘UNISEL Athlete Academic’ yang ditawarkan mendorongnya untuk memilih bidang pengajian itu.

Katanya, program berkenaan turut memberi peluang kepada atlet profesional sepertinya fokus kepada pelajaran, sekali gus tidak menjejaskan latihan di padang.

“Hasrat menyambung pengajian ini kerana mahu mengubah mentaliti masyarakat terhadap pemain bola bahawa kami bukan sahaja jaguh, di padang sahaja.

“Saya mahu orang luar bukan sahaja menilai kami pada bakat di padang, malahan menjadi contoh dari aspek akademik,” katanya ketika mendaftar di UNISEL Kampus Bestari Jaya, di sini, hari ini.

Turut hadir, bekas pemain bola sepak kebangsaan, Rudie Ramli, yang turut serta mendaftar sebagai pelajar baharu UNISEL bagi kursus sama.

Beliau yang juga Bendahari Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) berkata, semua pemain bola profesional amat digalakkan menyambung pengajian di peringkat tertinggi bagi mengubah persepsi masyarakat terhadap mereka secara keseluruhan.

“Program ‘UNISEL Athlete Academic Track’ ini dapat membantu bukan sahaja pemain bola sepak, bahkan atlet dari bidang sukan yang lain untuk melanjutkan pengajian.

“Selain itu, ia memberi fleksibiliti kepada atlet daripada segi tempoh pengajian, kaedah pembelajaran dan penilaian kursus,” katanya.

Terdahulu, Presiden PFAM merangkap bekas pemain pasukan kebangsaan, Rezal Zambery Yahya, berjaya mengikuti pengajian bagi program sama, pada sesi kemasukan Jun 2018.

Turut sama bergelar pelajar UNISEL adalah EXCO PFAM yang lain termasuk Mohd Fairuz Abdul Aziz, Mohd Shahrom Abdul Kalam dan Mohd Fauzi Saari.

Categories
SELANGOR

Dua pelajar UNISEL raih pingat Taekwando Terbuka

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 27 JUL: Dua pelajar Universiti Selangor (UNISEL) berjaya meraih pingat dalam Kejohanan CK Classic International Open Taekwando Championship Malaysi yang berlangsung di Stadium Melawati, di sini, pada 23 hingga 26 Ogos.

Pengarah Komunikasi Korporat, Hasril Abu Hassan berkata, dua pelajar tersebut adalah Jagdeep Singh Gurdeep Singh dan Siti Nurul Ainil Hilmizan.

“Dalam kejohanan tersebut, Jagdeep berjaya meraih pingat perak manakala Siti Nurul Ainil memenangi pingat gangsa.

“Semoga kejayaan mereka menjadi inspirasi buat pelajar lain dalam mengharumkan nama universiti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Difahamkan, mereka yang juga wakil Malaysia dalam acara tersebut adalah pelajar Diploma Pengurusan Industri Sukan dan di bawah program “UNISEL Athlete Academic Track”.

Terdahulu, UNISEL memperkenalkan “UNISEL Athlete Academic Track” khas kepada pelajar baharu prasiswazah dan pascasiswazah, pada pengambilan pelajar Jun 2018.

Pengarah Pusat Sukan, Nurul Hanim Mohd Amin berkata, program itu bagi membuka ruang kepada atlet melanjutkan pengajian dengan fleksibiliti tempoh pengajian, kaedah pembelajaran dan penilaian kursus.

“Iai bersifat ‘custom made’ bersesuaian dengan kesibukan jadual latihan dan kejohanan atlet.

“Program ini dibangunkan atas kesedaran dan keprihatinan UNISEL terhadap masa depan kerjaya atlet di Malaysia khususnya,” katanya.

Categories
SELANGOR

IRIISE: Tiga pensyarah UNISEL raih pingat perak

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 23 OGOS: Hasil ciptaan ‘Teh Mikania’ berjaya melonjakkan nama tiga pensyarah Universiti Selangor (UNISEL) apabila merangkul pingat perak sempena International Research Innovation Invention Solution Exposition (IRIISE), di Universiti Malaya, baru-baru ini.

Mewakili Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat (FSKH), ia diketuai Sarimah Mat Nawi termasuk dua pensyarah lain iaitu Nurhafizah Ibrahim dan Nurkhairul Bariyah, serta dua pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Pengarah Komunikasi Korporatnya, Hasril Abu Hassan berkata, ciptaan kreatif dan inovatif itu terhasil daripada produk herba sejenis tumbuhan iaitu ‘Mikania Micrantha’ yang sudah dikeringkan.

“Daun Mikania telah terbukti secara saintifik dapat membekalkan tenaga, baik untuk kesihatan dan memperkuatkan sistem ketahanan badan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Beliau berkata, IRIIISE diadakan bagi memupuk budaya inovasi dalam kalangan pelajar dan penyelidik serta menggalakkan gabungan antara akademik juga industri.

“Justeru, seluruh warga UNISEL mengucapkan tahniah dan syabas atas kejayaan mengharumkan nama UNISEL,” katanya.

Categories
SELANGOR

UNISEL raih empat pingat ‘STEM Computational Thinking Game Design Competition’

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 13 OGOS: Universiti Selangor (UNISEL) dianugerahkan dua perak dan dua gangsa dalam ‘STEM Computational Thinking Game Design Competition’ di Universiti Malaya, baru-baru ini.

Bahagian Komunikasi Korporatnya, Nik Nabilah Nik Aziman berkata, dua pingat perak itu disumbangkan menerusi modul matematik dibangunkan pensyarah Pusat Pengajian Asasi dan Umum (CFGS).

Katanya, dua pingat gangsa lagi menerusi modul Kimia dan Sains Forensik, hasil kerjasama antara CFGS dan Jabatan Sains Bioteknologi, Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat (FKSH).

“Pasukan UNISEL terdiri daripada 10 pensyarah dan lapan pelajar yang diketuai Dr Hazeeq Hazwan Azman, manakala Timbalan Dekan CFGS membentangkan tiga kertas kerja penyelidikan STEM.

“Pembentangan ini merupakan hasil daripada kajian sampingan semasa projek Mentor Mentee STEM sepanjang 2017 bersama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), dan ia berlangsung di sekolah sekitar Kuala Selangor, Hulu Selangor serta Sabak Bernam,” katanya.

Beliau berkata, pasukan STEM UNISEL juga merupakan ahli ‘National STEM Movement’ yang bakal menyertai perbincangan STEM ASEAN di Acheh, Indonesia.

“Semoga penglibatan UNISEL bakal menjadi nadi penggerak dalam usaha memperkasa STEM di peringkat kebangsaan dan serantau Asia.

Sementara itu, Dr Hazeeq menyifatkan pengiktirafan diterima berjaya membuktikan kredibiliti modul ‘Fun with STEM’ yang dibangunkan pensyarah UNISEL.

“Saya berharap, dengan kemenangan ini akan mampu meletakkan UNISEL sebagai antara peneraju utama STEM di Malaysia,” katanya.

Categories
SELANGOR

Contohi dasar pelaburan Selangor, kurang bergantung pekerja asing

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 1 OGOS: Kerajaan Persekutuan disaran mencontohi dasar Kerajaan Selangor dengan menggalakkan pelaburan asing langsung (FDI) berteknologi tinggi yang berpaksikan teknikal sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Dekan Pusat Pembangunan Asasi Universiti Selangor (UNISEL), Profesor Madya Dr Hamdan Dato’ Salleh berkata, negara berhadapan masalah mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing sekiranya masih fokus dengan industri 2.0 dan 3.0.

“Usaha yang perlu antaranya dengan mempercepatkan usaha menggalak industri berpaksi automasi sepenuhnya di mana mampu mengurangkan kebergantungan kepada pekerja skil rendah terutama dalam bidang pertanian.

“Dasar bersepadu dan merentas pelbagai agensi perlu dimulakan sekarang andai ingin melihat hasrat ini tercapai di mana ini memerlukan iltizam politik dan tekad ekonomi bagi melaksanakan dasar berpaksikan memberi pekerjaan kepada pekerja tempatan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Hamdan berkata, sektor perladangan yang ada ketika ini banyak menggunakan tenaga buruh dan masih tidak berorientasikan teknologi automatik.

Katanya, usaha menarik FDI berasaskan teknikal itu membantu kerajaan melaksanakan dasar gaji minima yang cuba dilaksanakan Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN).

Katanya lagi, isu ini perlu diberi perhatian segera sekiranya hasrat PAKATAN mahu mengurangkan pekerja asing daripada enam juta kepada 2.5 juta orang dicapai dalam tempoh lima tahun ini.

“Setakat ini belum ada langkah konkrit dan bersolusi berkaitan isu kebergantungan kepada pekerja asing yang jumlahnya sudah mencecah enam juta orang.

“Selain berkaitan dasar untuk pengendali makanan yang kemudiannya ditangguhkan serta penubuhan jawatankuasa khusus, belum ada dasar konkrit sejak kerajaan baru mengambil alih teraju pemerintahan negara.

“Usaha sedia ada terutama pelan pada 2010 dan kemudian 2014 boleh ditambahbaik terutama dalam melibatkan pelbagai kementerian termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam usaha mengurangkan pekerja asing terutama Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI),” katanya.

Categories
SELANGOR

Syarikat akhbar mungkin tutup, pelajar komunikasi tidak perlu bimbang

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 25 JUL: Industri percetakan mengalami kemerosoton melampau sehingga menyebabkan beberapa buah syarikat akhbar gulung tikar.

Profesor Fakulti, Seni Visual dan Pengkomputeran (FKSVP) Universiti Selangor (UNISEL), Prof Dr Azmuddin Ibrahim berkata, bagaimanapun isu tersebut tidak sepatutnya membimbangkan mahasiswa yang sedang mengambil jurusan komunikasi khasnya.

“Kemahiran kewartawanan yang dipelajari mahasiswa di universiti mahupun kolej bukanlah melatih untuk mereka bekerja sebagai wartawan surat khabar semata-mata, sebaliknya kemahiran untuk industri kewartawanan ini cukup luas.

“Sekarang syarikat besar memerlukan jurucakap atau penulis yang pandai dalam bidang tersebut, jadi mereka memerlukan individu yang mahir dalam penulisan, disebabkan itu saya katakan graduan komunikasi tidak perlu bimbang,” katanya kepada SelangorKini.

Azmuddin turut menyampaikan Siri Syarahan Profesor bertajuk ‘Prophetic Journalism : the solution to unethical media?’ di Dewan Pro Canselor UNISEL pagi tadi.

Melalui syarahannya, beliau berkata, media sosial pada masa kini menjadi medium penting dalam penyebaran berita.

“Ada baik dan buruknya pada media sosial ini, jika dilihat pada sudut positif, kejadian Tsunami di Acheh pada 2004 membuatkan ramai yang menyebarkan berita itu dalam masa yang singkat sahaja sehingga membolehkan ramai sukarelawan berkumpul.

“Tetapi jika dari sudut negatif, ramai juga yang cuba menyebarkan berita palsu, sebaiknya sebelum kita menyebarkan berita biarlah cari kebenaran, janganlah menjadi penyebar kepada penipuan, sebaliknya kita jadilah orang yang cuba menghentikan penipuan,” katanya.

Categories
SELANGOR

CMC UNISEL rai 30 anak yatim

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 24 MEI: Kegembiraan jelas terpancar pada wajah 30 anak yatim apabila dirai dalam majlis iftar jama’ie anjuran Kelab Komunikasi Media (CMC) Universiti Selangor (UNISEL), di Ruang Seksyen 16, di sini, semalam.

Kanak-kanak terbabit termasuklah tiga kanak-kanak Rohingya yang juga sebahagian daripada penghuni Asrama HALUAN Penyayang Darul Miftah As-Sa’adah, berusia lingkungan lapan hingga 17 tahun.

Pengarah Projek, Nur Ashikin Md Zain berkata, acara tahunan itu adalah usaha murni CMC bagi mendekati golongan kurang bernasib baik, khususnya anak-anak yatim.

“Ia merupakan penganjuran kali kedua dan kami mengambil kesempatan memanfaatkan bulan mulia ini dengan melaksanakan aktiviti kebajikan.

“Selain menjalin hubungan erat antara warga kelab dan pensyarah, majlis dihasratkan untuk menyemarakkan Ramadan serta berkongsi kesyukuran bersama mereka yang memerlukan perhatian,” katanya kepada SelangorKini.

Majlis turut dihadiri Dekan Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran (FCVAV), Haslinda Sutan Ahmad Nawi serta pensyarah jabatan komunikasi.

Pada majlis sama, CMC turut menyalurkan sumbangan kepada anak-anak yatim bagi persiapan sambutan Aidilfitri.

Sementara itu, Pengetua Asrama HALUAN Penyayang, Abdul Manas teruja dan berterima kasih kerana CMC sudi menjemput dan meraikan mereka pada majlis berbuka puasa itu.

“Sudah tentu majlis sebegini dapat membakar semangat kepada anak-anak ini untuk berjaya, sekali gus membuktikan mereka tidak disisihkan,” katanya.

Terdahulu, majlis turut disemarakkan dengan solat maghrib berjemaah, bacaan al-quran dan qasidah serta persembahan nasyid.

Categories
SELANGOR

UNISEL kini lebih hijau

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 13 MEI: Seramai 500 warga Universiti Selangor (UNISEL) menyertai program gotong-royong menanam pokok bertujuan menjadikan universiti itu sebuah kampus hijau.

Presiden dan Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, sebanyak 385 batang anak pokok dari spesis Kelat Paya berjaya ditanam, hari ini.

Redzuan berkata, aktiviti itu dianjurkan susulan kemenangan Pakatan Harapan (PAKATAN) di Selangor dan Kerajaan Persekutuan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 baru-baru ini.

“Dengan terbentuknya kerajaan baharu di peringkat persekutuan akan memberikan kelebihan buat UNISEL yang dijadikan model dalam Janji 50 kerajaan PAKATAN untuk mengembalikan kewibawaan universiti awam dan pengajian tinggi.

“Kerjasama dengan Kerajaan Selangor juga akan diteruskan dibawah pimpinan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan juga akan kita laksanakan kelak,” katanya dalam kenyataan.

Hadir sama memeriahkan program penanaman pokok ini adalah ADN Permatang, Rozana Zainal Abidin, pengurusan tertinggi UNISEL serta ketua-ketua jabatan.

Turut hadir memeriahkan program adalah mantan Timbalan Naib Canselor UNISEL, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin yang kini merupakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia.

Categories
SELANGOR

UNISEL bertemu Duta Turki, minat jalin pendidikan lebih erat

SHAH ALAM, 17 APR: Pengurusan tertinggi Universiti Selangor (UNISEL) mengadakan pertemuan dengan Duta Turki ke Malaysia, Dr Marve Kavakci, pada 13 April lalu.
Rombongan diketuai Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman itu adalah lanjutan daripada pertemuan bersama Duta Turki di Ankara, pada Oktober tahun lalu.
Dr Mohammad Redzuan berkata, melalui perbincangan itu, UNISEL menyuarakan minat untuk mengadakan kerjasama pendidikan lebih erat dengan Turki.
“Semoga perbincangan ini merintis kepada kerjasama yang meletakkan UNISEL sebagai universiti berperanan dalam mengembangkan Pengajian Turki di Malaysia,” katanya.
Pertemuan itu turut dihadiri Timbalan Naib Caselor Pembangunan dan Jaringan Global, Prof Mohd Nor Nawawi dan  Pengarah Pelajar Antarabangsa, Eric Kimathi Buantai.
Terdahulu, UNISEL mengadakan pertemuan dengan Marve Safa Kavaci, di Ankara, Turki, pada 5 Oktober 2017.
Dalam pertemuan itu, Dr Mohammad Redzuan turut menyerahkan buku Islam dan Proses Politik di Turki dan UNISEL, Menerajui Tranformasi.
Categories
SELANGOR

UNISEL mahu Shah Alam kekal hijau

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 11 APR: Penuntut Universiti Selangor (UNISEL) mahu Shah Alam terus kekal hijau selari dengan namanya Shah Alam Bandar Lestari.

Pengarah Projek Kempen Go Green, Mohammad Hafiq Atan, 23 berkata, masyarakat setempat perlu mengekalkan kehijauan berkenaan dengan mengamalkan kempen kitar semula.

“Kempen kitar semula ini memang kedengaran klise, namun jika tidak dilakukan mungkin status bandar lestari tidak wujud lagi.

“Pada 2016, kajian mendapati setiap isi rumah menghasilkan 15,000 tan metrik sampah sehari, jumlah berkenaan juga dipercayai boleh memenuhkan bangunan KLCC, jadi sudah tentu masalah ini perlu dipandang serius semua pihak,” katanya ketika Kempen Go Green di Unisel Shah Alam, pagi tadi.

Kempen yang berlangsung selama tiga hari itu turut melibatkan lebih 100 penuntut Fakulti Perniagaan dan Perakaunan.

Selain forum kitar semula, penuntut UNISEL turut berpeluang mempamer serta mengutip barangan terpakai daripada penduduk Shah Alam.

Mohammad Hafiq berkata, kempen UNISEL membudayakan kitar semula dilihat berjaya walaupun dianjurkan secara kecil-kecilan.

“Penduduk Shah Alam khasnya menyedari barang terbuang boleh menjana pendapatan sampingan, sekarang kita mempergiatkan lagi usaha dengan menanam budaya ini menerusi amalan 3R iaitu ‘Reduce’, ‘Reuse’ dan ‘Recycle’.

“Sekiranya ini benar-benar mencapai matlamat yang ditetapkan, Shah Alam akan menjadi kawasan lebih bersih pada masa depan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Akademik bukan penentu kejayaan masa depan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 11 APR: Mahasiswa cemerlang tidak seharusnya didefinisi berdasarkan gred mahupun pointer diperolehi, tetapi harus dinilai dari sudut kecemerlangan sahsiah.

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar (HEP), Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Selangor (Unisel), Azrin Abd Rahim berkata, mahasiswa perlu mengimbangi kecemerlangan akademik dan pembangunan sahsiah dituntut agama dan nilai mulia sekali gus berjaya menentukan hala tuju dan masa depan negara.

“Amat tidak wajar jika nilaian kecemerlangan itu diukur melalui kemampuan akademik, sedangkan untuk menempatkan diri dalam sektor pekerjaan dan menjadi ahli masyarakat berguna, graduan itu perlu memiliki tahap rasional tinggi, disiplin, kekuatan sahsiah dan akhlak mulia.

“Disebabkan itulah kini masih terdapat 500,000 graduan diploma dan juga ijazah yang masih menganggur, ini kerana majikan di luar sana tidak memandang akademik semata-mata,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Kempen Unisel Go Green di Dewan Pro Canselor Unisel, hadir sama 100 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7 dan 50 penuntut Unisel.

Azrin berkata, mahasiswa perlu melibatkan diri dalam pelbagai program yang dianjurkan universiti mahupun kolej kediaman.

“Program bukan akademik akan mengasah bakat komunikasi, keterampilan dan keyakinan dalam diri mahasiswa.

“Majikan mahu mahasiswa berinteraksi dengan baik kerana itu dianggap bonus dan paling penting nilai sahsiah itu dapat diterapkan dalam kerja berpasukan.

“Bagi yang masih bergelar mahasiswa kumpul sijil sebanyak mungkin kerana itu penentu masa depan anda yang lebih cemerlang,” katanya.

Categories
NASIONAL

Manfaat peluang, orang muda tekad mengundi

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 11 APR: Manfaatkan peluang mengundi pada Pilihanraya Umum ke 14 (PRU14) sebaiknya, itu antara pandangan sebahagian penuntut Universiti Selangor (UNISEL).

Muhd Rafiq Shamsul Nahar, 24 dari Fakulti Perniagaan dan Perakaunan berkata, mengundi itu hak rakyat memilih pemimpin berkaliber untuk mentadbir negara.

“Ibu-bapa dan guru perlu menerapkan semangat mengundi sejak dari kecil lagi, barulah pengundi muda seperti saya sedar nilai undi itu boleh diibaratkan seperti emas.

“Kita berpeluang melihat negara dipimpin sesebuah kumpulan pemerintah khasnya dari parti tertentu dalam tempoh masa empat hingga ke lima tahun, hasilnya selepas itu kita yang menilai dan seterusnya kita membuat pilihan semula melalui pilihanraya,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Sebagai golongan muda, Muhd Rafiq juga mahu pemimpin adil dan matang mentadbir negara selepas PRU14 kali ini.

“Bidang pendidikan sudah tentu perlu dipandang serius memandangkan kami terbelenggu dengan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Saya berharap supaya kerajaan akan datang menangguhkan bayaran buat graduan berpendapatan RM4,000 ke bawah,” katanya.

Bagi A.Kaviarasan, 25 pula berpendapat golongan muda perlu memilih pemimpin yang dapat mengawal kenaikan kos hidup daripada mencanak saban tahun.

“Saya lihat golongan muda begitu mudah tersenarai status bankrap disebabkan beban hutang dan punca utamanya ialah kos hidup tinggi,” katanya.

Penuntut Fakulti Perniagaan dan Perakaunan itu juga berharap supaya pelajar universiti mahupun kolej yang sudah layak mengundi menunaikan kewajipan tersebut.

“Pilihlah dengan baik, jangan semberono sahaja, buatlah kajian terlebih dahulu dan peka dengan isu semasa,” katanya.

Sementara itu, Nur Aidilia Amir Hamzah, 26 berkata, satu undi diibaratkan seperti satu bongkah jongkong emas.

“Ini adalah masa depan negara, jika kita salah memilih pemimpin sudah tentu generasi akan datang mengalami pelbagai masalah termasuk beban hutang dan mungkin ada diantara golongan muda tidak mendapat hak sewajarnya.

“Disebabkan itulah saya mengatakan ia emas, bayangkan jika kita tidak menggunakan emas ini sebaiknya, sudah tentu ia mendatangkan kerugian,” katanya.