Categories
AGENDA NASIONAL

KKM kaji pendekkan tempoh beri dos kedua AstraZeneca

PUTRAJAYA, 19 JUN: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengkaji sama ada tempoh masa pemberian dos kedua vaksin AstraZeneca boleh dipendekkan daripada 12 minggu kepada enam minggu, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata ia bergantung kepada laporan pakar terhadap situasi Covid-19 negara sama ada penerima memerlukan kesan maksimum perlindungan daripada dos kedua dengan lebih cepat.

“Kita masih perlu melakukan aktiviti penjujukan genom yang berterusan untuk mengesan jika wujud varian baru Covid-19 lebih ganas yang akan mengganggu keberkesanan vaksin AstraZeneca. Keputusan akan dibuat oleh JKJAV (Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin) jika tempoh dos kedua perlu diberi dalam masa lebih cepat (enam minggu selepas dos pertama),” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Pada masa ini, tempoh antara dos pertama dan kedua vaksin AstraZeneca adalah 12 minggu atau tiga bulan.

Sementara itu, katanya kerajaan akan mengkaji laporan pakar kesihatan negara dan pihak berkuasa kesihatan Australia berikutan negara itu menghentikan penggunaan AstraZeneca kepada rakyat 60 tahun ke bawah susulan terdapat kebimbangan vaksin itu ada kaitan dengan kejadian darah beku untuk golongan tersebut.

Dr Adham berkata ia terutamanya bagi bekalan AstraZeneca dikeluarkan oleh pembekal dari Thailand yang akan tiba pada Julai ini.

“Pakar-pakar kita akan membuat penilaian kembali sama ada AstraZeneca kali ini sesuai diberikan kepada 60 tahun ke bawah,” katanya.

Malaysia sebelum ini membuat perolehan vaksin Covid-19 keluaran AstraZeneca melalui dua kaedah iaitu secara terus dengan pengeluar dan melalui fasiliti COVAX.

Dr Adham berkata setakat ini menurut data secara keseluruhan vaksin AstraZeneca tidak melaporkan sebarang kemudaratan teruk terhadap penerima di negara ini.

Mengulas mengenai ‘1st dose strategy’ (mengutamakan pemberian dos pertama) dalam pemberian vaksin, Dr Adham berkata buat masa ini kerajaan tidak akan melaksanakannya kerana bekalan vaksin yang ditempah adalah mencukupi untuk penduduk negara ini.

Menerusi strategi itu suntikan dos pertama vaksin Covid-19 diberikan kepada lebih ramai orang dengan melanjutkan tempoh pemberian dos kedua. Strategi berkenaan telah dilaksanakan oleh negara-negara seperti United Kingdom dan Jerman.

Dalam pada itu, Dr Adham berkata kerajaan menjalankan kaedah ‘suntik dahulu, daftar kemudian’ bagi golongan yang sukar mendapat akses pendaftaran vaksinasi, terutamanya mereka di kawasan pedalaman.

Dr Adham berkata ia dengan mengaktifkan ‘mobile team’ melibatkan kerjasama pelbagai kementerian bagi menjejaki golongan sasaran yang sepatutnya menerima vaksin dalam fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Pada fasa dua kita sasarkan untuk suntik 9.4 juta penerima, tetapi hingga kita dapati hanya 4.4 juta sahaja yang telah berdaftar dengan MySejahtera, jadi kita sedang sedaya upaya untuk mengerah pasukan untuk kita capai semua penerima ini, baru kita boleh teruskan dengan fasa ketiga,” katanya.

Fasa kedua program imunisasi itu bermula April lepas yang mengutamakan warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan golongan berpenyakit kronik.

Sementara itu, Dr Adham berkata rakyat yang telah divaksinasi perlu kekal melakukan tindakan kesihatan awam kendiri agar risiko penularan jangkitan dapat dibendung dengan berkesan.

“Masih ada kebarangkalian untuk individu yang telah diberikan vaksin mendapat jangkitan Covid-19 kerana kita masih terdedah kepada risiko jangkitan virus tersebut memandangkan ia telah berada dalam komuniti. Norma baharu seperti memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan, menjaga jarak fizikal dan elak daripada mengunjungi tempat sesak serta elak daripada bersentuhan perlu terus diamalkan,” katanya.

Katanya, vaksinasi Covid-19 berfungsi melindungi penerima daripada mendapat jangkitan yang lebih teruk, justeru kerajaan melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) akan memastikan apa-apa sahaja vaksin digunakan telah dipastikan ia selamat, berkesan dan berkualiti tinggi.

Mengulas mengenai pemberian vaksin kepada golongan berusia 12 hingga 17 tahun, KKM kini sedang merangka strategi bagi memvaksin golongan tersebut yang berjumlah 3.5 juta.

Terdahulu kerajaan meluluskan penggunaan vaksin Comirnaty buatan Pfizer-BioNTech bagi golongan berusia 12 tahun dan ke atas.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

SELangkah tidak tempah slot vaksin AstraZeneca

SHAH ALAM, 28 MEI: Pengurusan Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) tidak terlibat dalam kecelaruan tempahan vaksin AstraZeneca.

Menolak sekeras-kerasnya dakwaan Badan Bertindak Imunisasi Covid-10 Kebangsaaan (CITF) termasuk membuat tempahan tanpa kebenaran pemohon, ketua pegawai eksekutif menyifatkan tuduhan itu tidak berasas sama sekali.

Tengku Iesta Tengku Alaudin juga menegaskan mereka tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap badan itu berikutan dakwaan palsu yang menjejaskan reputasi SELangkah.

“Pihak SELangkah menegaskan bahawa kami tiada sebarang penglibatan berkenaan tempahan slot vaksin Astrazeneca seperti yang didakwa.

“Kami juga tidak pernah dihubungi oleh pihak CITF berhubung perkara ini seperti yang didakwa,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Dalam kenyataan hari ini, CITF mengenal pasti punca sebilangan individu diberi janji temu penerimaan vaksin walaupun tidak membuat tempahan.

Mereka kemudian menuduh SELangkah memberi beberapa slot vaksin tersebut dalam jumlah besar tanpa semakan pangkalan data dan persetujuan individu.

CITF juga menyebut pengurusan SELangkah telah memberi jaminan untuk bekerjasama dengan mereka bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Selasa lalu, orang ramai merungut berikutan mereka berdepan kesukaran memuktamadkan tempahan menerusi laman sesawang atau aplikasi MySejahtera untuk slot penerimaan vaksin tersebut.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih sejuta dos vaksin AstraZeneca buat warga emas

KUALA LUMPUR, 23 MEI: Sebanyak 1,240,000 dos suntikan vaksin AstraZeneca ditawarkan kepada warga emas bagi pusingan kedua inisiatif pelawaan pengambilan vaksin itu yang dibuka untuk tempahan slot janji temu pada 12 tengah hari, hari ini.

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam kenyataan semalam memaklumkan pemberian suntikan itu akan dimulakan pada 7 Jun hingga 27 Julai untuk dos pertama di lapan Pusat Pemberian Vaksin AstraZeneca (PPVAZ).

PPVAZ yang terlibat ialah Pusat Konvensyen Setia SPICE, Pulau Pinang; Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru; Pusat Konvensyen Borneo Kuching, Sarawak; dan Institut Kemahiran Belia Negara Miri, Sarawak.

Selain itu PPVAZ lain ialah di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur; Universiti Malaya, Kuala Lumpur; Universiti Kebangsaan Malaysia, Selangor; dan Pusat Konvensyen Ideal, Shah Alam, Selangor.

“Seperti yang diumumkan, tempahan ini hanya dibuka kepada warga emas (60 tahun ke atas) di lima negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak.

“Ini adalah satu daripada langkah untuk memastikan warga emas yang termasuk dalam kumpulan berisiko tinggi terus dilindungi,” menurut kenyataan itu.

Mereka yang berminat boleh mula membuat tempahan di www.vaksincovid.gov.my.

CITF turut mengalakkan golongan muda untuk membantu warga emas dalam membuat tempahan slot janji temu pengambilan vaksin itu bagi memudahkan urusan mereka.

Menurut kenyataan itu mereka yang telah mendaftarkan nama di bawah senarai menunggu sewaktu tempahan slot pada 2 Mei lepas akan dimasukkan secara automatik ke dalam tempahan slot vaksinasi AstraZeneca pusingan ini.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Fasa kedua vaksin AstraZeneca tumpu warga emas, tempah mulai 23 Mei

PUTRAJAYA, 17 MEI: Fasa kedua tempahan pengambilan vaksin AstraZeneca secara sukarela khusus untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas akan dibuka tiga hari bermula 23 Mei ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata pendaftaran janji temu melibatkan 1.1 juta dos vaksin itu diperluaskan untuk penduduk Lembah Klang, Johor, Sarawak dan Pulau Pinang.

Beliau berkata slot tempahan boleh dibuat di laman web rasmi manakala Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) juga akan melakukan pendaftaran warga emas di kawasan masing-masing.

Selain warga emas, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Invosi, berkata fasa kedua itu juga akan memberi keutamaan kepada kira-kira 250,000 individu yang berada dalam senarai menunggu fasa pertama vaksin AstraZeneca yang dibuka 2 Mei lalu.

“Selepas 26 Mei, tawaran akan dibuka kepada mereka yang berusia di bawah 60 tahun,” katanya dalam sidang media bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba mengenai perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang diadakan secara maya hari ini.

Ditanya sama ada Sarawak bersetuju menggunakan vaksin AstraZeneca, Khairy berkata negeri itu sudahpun bersetuju dan pihaknya akan berhubung dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mengenai kaedah pelaksanaan vaksinasi di negeri itu.

Katanya pihaknya akan membuka tawaran secara dalam talian minggu depan kepada orang ramai seperti pelajar ke luar negara untuk menendekkan jarak antara pengambilan dua dos vaksin AstraZeneca.

Menurutnya, Malaysia menetapkan jarak antara kedua-dua dos itu selama 12 minggu selari dengan kelulusan Badan Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan amalan negara lain seperti Australia, Belanda, Finland dan Portugal.

Syor kumpulan pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah antara lapan hingga 12 minggu.

Berhubung laporan media bahawa Indonesia menghentikan penggunaan satu kumpulan vaksin AstraZeneca ekoran berlaku kes kematian, Khairy berkata Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) mendapati tiada kesan sampingan serius berlaku di Malaysia.

Malaysia akan meneruskan pemberian vaksin tersebut, katanya.

Media antarabangsa melaporkan Indonesia menghentikan sementara penggunaan kumpulan CTMAV547 vaksin AstraZeneca susulan kematian seorang lelaki berusia 22 tahun di Jakarta sehari selepas vaksinasi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Suntikan vaksin AstraZeneca bermula hari ini

SHAH ALAM, 5 MEI: Program suntikan vaksin Covid-19 AstraZeneca kepada sukarelawan dimulakan hari ini, maklum Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut kementerian, pemberian meliputi individu yang tinggal di Kuala Lumpur dan Selangor yang berjaya menempah slot pada 2 Mei lalu.

“Empat pusat pemberian vaksin khas dibuka iaitu Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dan Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam.

“Dokumen yang diperlukan ialah kad pengenalan atau pasport dan telefon yang digunakan untuk mendaftar dengan aplikasi MySejahtera,” tulis KKM di Facebook.

Permohonan bagi mendapatkan suntikan vaksin AstraZeneca pada 2 Mei ditutup dalam tempoh kurang empat jam apabila kesemua 268,000 dos laris ditempah.

Pelalian secara percuma ditawarkan mulai jam 12 tengah hari kepada individu berusia 18 tahun ke atas dan menetap sama ada di Selangor atau Kuala Lumpur.

Semalam, Menteri Sains Khairy Jamaluddin berkata penerima suntikan vaksin AstraZeneca mendapat perlindungan insurans jika mengalami kesan sampingan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Penerima vaksin AstraZeneca dapat pampasan jika ada kesan sampingan

SHAH ALAM, 4 MEI: Penerima suntikan vaksin AstraZeneca mendapat perlindungan insurans jika mengalami kesan sampingan, kata menteri sains.

Khairy Jamaluddin berkata perkara itu berikutan vaksin berkenaan sebahagian Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), lapor Berita Harian.

“Ya, vaksinasi menggunakan AZ (AstraZeneca) dilindungi menerusi Dana Kecederaan Vaksin Covid-19.
Meskipun AZ ditawarkan secara sukarela, keseluruhannya ia masih sebahagian daripada PICK.

“Ia juga (diberikan secara) percuma kepada penduduk memandangkan ia sebahagian dariapada PICK,” tulisnya di Twitter pada Sabtu.

Pada 22 Mac, kerajaan memperuntuk RM10 juta bagi Dana Kecederaan Vaksin Covid-19 untuk menampung bayaran pampasan kepada individu yang mengalami kesan sampingan.

Penerima vaksin yang mengalami kesan sampingan teruk bakal diberikan pampasan RM50,000 manakala RM500,000 jika cacat kekal atau meninggal dunia.

Kelmarin, permohonan bagi mendapatkan suntikan vaksin AstraZeneca ditutup dalam tempoh kurang empat jam apabila kesemua 268,000 dos laris ditempah.

Pelalian secara percuma ditawarkan mulai jam 12 tengah hari kepada individu berusia 18 tahun ke atas dan menetap sama ada di Selangor atau Kuala Lumpur.

Proses suntikan dijadual berlangsung di empat pusat pemberian vaksin khas mulai esok meliputi Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam, Dewan 1, Bangunan Peperiksaan Universiti Malaya dan Dewan Gemilang Universiti Kebangsaan Malaysia.

Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksin AstraZeneca diberi kepada individu secara sukarela

SHAH ALAM, 28 APRIL: Vaksin AstraZeneca akan diberikan kepada orang ramai secara sukarela melalui pusat pemberian vaksin (PPV) khas dalam tempoh terdekat.

Menteri Sains Khairy Jamaluddin menjelaskan keputusan dibuat selepas mengambil kira kegusaran masyarakat terhadap tahap keselamatan vaksin berkenaan, lapor Berita Harian.

“Dalam hal ini, saya dan Dr Adham Baba (Menteri Kesihatan) sudah berbincang dengan teliti mengenai penggunaan vaksin AstraZeneca.

“Kita tidak mahu bazirkan tetapi memahami dalam keadaan hari ini mungkin sains dan fakta tidak dapat mengatasi kebimbangan orang ramai dan berita palsu,” katanya.

Bercakap dalam sidang media di Putrajaya hari ini, Khairy berkata vaksin itu diagih dalam sistem tempahan secara ‘siapa cepat dia dapat’ selain tiada had.

Vaksin AstraZeneca yang dihasilkan oleh Serum Institute of India (SII) dikaitkan dengan insiden pembekuan darah yang jarang berlaku di beberapa negara.

Program suntikan vaksin di seluruh negara bermula pada 24 Februari dengan sasaran 500,000 petugas barisan hadapan dan wakil rakyat.

Fasa kedua imunisasi bermula April hingga Ogos membabitkan 9.4 juta warga emas dan golongan berisiko tinggi.

Fasa ketiga pula dijadual pada Mei hingga Februari tahun depan yang menyasar sekitar 13.7 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas.

Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksin AstraZeneca selamat, diguna untuk golongan 60 tahun ke atas

PUTRAJAYA, 26 APRIL: Vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca adalah selamat dan akan digunakan dalam proses vaksinasi golongan berusia 60 tahun ke atas, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata vaksin berkenaan akan digunakan dalam Fasa 2 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang telah bermula pada 19 April lepas untuk golongan warga emas dan mereka yang mempunyai komorbiditi.

“Saya ingin sahkan vaksin Astrazeneca ini selamat untuk digunakan dan ia berkesan. Kita akan gunakan kepada mereka berusia 60 tahun ke atas dan ia yang paling sesuai,” katanya dalam sidang media mingguan Covid-19 di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Kheong dan Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal, Institut kesihatan Negara (NIH) Dr Kalaiarasu M. Peariasamy.

Malaysia menerima 268,800 dos vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca yang diperoleh melalui fasiliti COVAX pada Sabtu lepas.

Dr Kalairasu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pemilihan Calon Vaksin Covid-19 (JKKPCV) Kementerian Kesihatan berkata dari segi praklinikal, vaksin COVID Astrazeneca yang menggunakan platform viral vektor itu adalah baik untuk digunakan bagi mencegah Covid-19.

Menurutnya, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang dipengerusikan oleh Dr Adham dan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin telah memohon pendapat jawatankuasa panel diketuai oleh Dr Hishamshah berhubung penggunaan vaksin Astrazeneca itu.

Beliau berkata seramai 22 pakar daripada pelbagai disiplin telah menyertai panel tersebut dan tiga syarat ditetapkan dalam menentukan penggunaan vaksin AstraZeneca iaitu mampu kurangkan kemasukan ke hospital, kurangkan kemasukan ICU (unit rawatan rapi) dan risiko kematian akibat Covid-19.

Dr Kalairasu berkata setelah meneliti pelbagai jenis data, panel berpendapat yang vaksin Astrazeneca mendatangkan kebaikan dan kes pembekuan darah adalah kurang berlaku.

“Jika dibandingkan risiko dan kebaikan vaksin itu, vaksin berkenaan sesuai digunakan untuk golongan berusia 60 tahun ke atas,” katanya, serta menambah vaksin itu telah mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada 2 Mac lepas.

Dr Kalairasu berkata pihaknya akan meneliti data dari negara lain berhubung penggunaan vaksin Astrazeneca untuk golongan dewasa yang berusia 18 dan 40 tahun ke atas.

“Syor penggunaan vaksin Astrazeneca ini akan disesuaikan semula selepas kita teliti data-data yang ada,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia teruskan perolehan vaksin AstraZeneca

PUTRAJAYA, 15 MAC: Malaysia akan meneruskan proses penerimaan dan pembelian vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca memandangkan tiada bukti menunjukkan vaksin itu menyebabkan darah beku, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata Malaysia telah menerima maklumat daripada AstraZeneca berhubung kesan vaksinasi dan setakat ini, tiada data menunjukkan kaitan langsung antara pemberian suntikan vaksin itu dengan kes darah beku yang menyebabkan kematian di beberapa negara.

“Buat masa ini, tidak ada pendirian lain berhubung penerimaan dan pembelian AstraZeneca kerana ia masih kekal (seperti dahulu),” katanya dalam sidang media perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di sini hari ini bersama dengan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beberapa negara seperti Denmark, Norway, Iceland dan Thailand dilaporkan menggantung sementara penggunaan vaksin itu susulan laporan berlaku pembentukan darah beku ke atas beberapa individu selepas menerima suntikan.

Khairy, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata pihaknya akan meneliti data klinikal mengenai AstraZeneca serta insiden di luar negara bagi membolehkan pakar membuat rumusan mengenai isu penggunaan vaksin itu.

Dr Adham pula berkata Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) melakukan penelitian rapi terhadap apa jua vaksin Covid-19 yang akan digunakan di Malaysia.

“Kita percaya dengan NPRA dan untuk vaksin AstraZeneca ini, kita lihat terhadap kualiti serta keselamatan vaksin itu sendiri,” katanya.

Vaksin AstraZeneca telah diberikan kelulusan pendaftaran bersyarat oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada 2 Mac lepas.

Khairy turut memaklumkan Malaysia akan menerima tambahan vaksin Pfizer BioNTech secara berperingkat bagi menjayakan fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Beliau berkata proses penghantaran vaksin Pfizer-BioNTech hari ini melibatkan 83,070 dos dan sebanyak 124,020 dos akan diterima pada 22 Mac manakala 125,190 lagi diterima pada 26 Mac.

“Secara kumulatifnya, Malaysia akan menerima 1,000,350 dos vaksin dan ini melengkapkan penghantaran untuk suku tahun pertama,” katanya sambil menambah sejumlah 100,000 dos vaksin jenis Sinovac juga akan diterima hari ini.

Ditanya mengapa Malaysia membuat perolehan vaksin Covid-19 dalam jumlah yang besar, Khairy berkata langkah itu adalah bagi memudahkan proses mitigasi iaitu mengurangkan risiko kelewatan penghantaran vaksin ke Malaysia.

“Terdapat kemungkinan kita perlu beri ‘booster shot’ iaitu satu lagi dos pada tahun depan sekiranya wabak ini masih ada, (jadi) ada baiknya kita ada stok,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga sedang melihat kemungkinan memberikan vaksin Covid-19 kepada golongan remaja.

Katanya pengeluar vaksin Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca sedang menjalankan ujian klinikal ke atas individu berumur lingkungan 12 hingga 16 tahun.

Khairy juga berpendapat semua vaksin Covid-19 yang mendapat pengiktirafan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sewajarnya diterima oleh semua negara dan disertakan dalam pasport vaksin.

“Kalau kita nak guna kelulusan regulatori masing-masing, susah. Sekurang-kurangnya jika vaksin itu mempunyai kebenaran WHO untuk digunakan semasa kecemasan, maka semua negara patut boleh menerimanya,” katanya.

Beliau berkata Malaysia akan mengadakan perbincangan dengan Kesatuan Eropah (EU) serta beberapa negara lain berhubung isu pasport vaksin.

Khairy berkata demikian ketika ditanya kemungkinan kesukaran rakyat negara ini untuk ke negara di benua itu ekoran laporan mengenai cadangan pasport vaksin EU hanya sah dengan vaksin diluluskan Agensi Perubatan Eropah (EMA).

Daripada lima dalam portfolio vaksin Malaysia, EU telah mengiktiraf Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca manakala Sputnik V sedang dalam pertimbangan EMA.

Vaksin lain dalam portfolio Malaysia ialah Sinovac dan CanSinoBIO.

– BERNAMA