Categories
AGENDA NASIONAL

Bina 7,374 rumah mampu milik bantu warga ATM

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Kerajaan bercadang membina 7,374 unit rumah di bawah program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam masa terdekat bagi membantu warga Kementerian Pertahanan untuk membeli dan memiliki rumah sendiri.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata rumah SASaR ATM mampu milik akan dijual dengan harga dalam lingkungan RM150,000 sehingga RM250,000, manakala unit premium akan dijual pada harga RM350,000 hingga RM400,000.

“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Ogos lalu bersetuju secara prinsip terhadap cadangan Kementerian Pertahanan untuk membina rumah berkenaan di Kem Wardieburn dan Kem Genting Klang, Kuala Lumpur.

“Unit mampu milik akan dibina di Kem Genting Klang manakala unit premium akan dibina di Kem Wardieburn. Harga adalah 30 peratus hingga 50 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran semasa,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan Kementerian Pertahanan di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Pada majlis yang sama, Ismail Sabri turut merasmikan Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Kempen Pembudayaan Norma Baharu peringkat kementerian itu.

Selain itu, Ismail Sabri berkata sebanyak 2,367 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) sedang dibina di seluruh negara tahun ini bagi menambah bilangan RKAT sedia ada bertujuan menampung keperluan anggota ATM.

Menurut beliau, pembinaan dilakukan di Kem Oran (Perlis), Kem Tok Jalai (Kedah), Kem Syed Sirajuddin (Negeri Sembilan), Kem Tumbi (Kelantan), Kem Batu 10 dan Kem Sri Miri (Sarawak), dan Kem Lok Kawi (Sabah).

“Bagi kerja penyelenggaraan RKAT pula, Kementerian Kewangan memperuntukkan RM150 juta menerusi Bajet 2020 selain turut menerima suntikan RM50 juta melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Rakyat (PRE), dan juga akan digunakan untuk melaksanakan penyelenggaraan bangunan am dan teknikal.

“Sehingga kini sebanyak 3,113 unit RKAT sedang diselenggara dan dinaik taraf, yang dijangka siap sepenuhnya sebelum Oktober tahun ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri turut memaklumkan Kempen Tabung Pahlawan 2020 akan dilancarkan esok sehingga hujung tahun ini dan menyasarkan kutipan sebanyak RM10 juta.

“Dengan tema ‘Penghormatan Atas Pengorbanan’, objektif utama kempen adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai jasa pahlawan tanah air selain memupuk semangat cintakan negara dalam kalangan anak muda,” katanya.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

30 tahun ‘terabai’, MB salur RM7,000 pesara tentera DUN Paya Jaras

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SUNGAI BULOH, 24 MAC: Prihatin terhadap jasa bakti perajurit tanah air yang berjuang mempertahankan kemerdekaan negara, Kerajaan Negeri menghulurkan sumbangan kepada pesara tentera, Khairuddin Abu Omar, 64.

Bantuan RM7,000 disalurkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali di bawah peruntukan RM1 juta, sebagaimana pernah diumumkan pentadbiran negeri pada Oktober, tahun lalu.

“Bantuan seperti ini sudah dilaksanakan sejak dua tahun lalu, dengan peruntukan khas untuk menjaga kebajikan veteran tentera dengan jumlah peruntukan RM1 juta.

“Daripada jumlah itu, RM500,000 disumbangkan kepada Tabung Pahlawan Negeri sementara lainnya digunakan untuk tujuan pemberian bantuan turun padang.

“Sudah tentu Kerajaan Negeri merasakan menjadi tanggungjawab kami melihat kebajikan golongan ini terpelihara kerana ramai penjawat awam dan bekas tentera menetap di Selangor,” katanya.

Terdahulu, Mohamed Azmin ditemui media selepas hadir turun padang menyerahkan bantuan kepada bekas perajurit itu di kediaman Khairuddin Abu Omar di Paya Jaras.

Sementara itu, bagi Khairuddin Abu Omar, beliau yang menamatkan perkhidmatannya bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sangat menyambut baik inisiatif Selangor dalam mengangkat kebajikan golongan itu.

Beliau berkata, inisiatif sama perlu dilaksanakan di peringkat Persekutuan bagi menjamin kesejahteraan golongan itu, lebih-lebih lagi kepada anggota yang mengalami kecederaan kekal akibat peperangan.

“Sudah 30 tahun saya bersara, akhirnya pengorbanan kami dihargai. Walaupun tidak pernah menerima manfaat serupa di peringkat Persekutuan, namun saya cukup berterima kasih kepada Dato’ Menteri Besar.

“Walaupun sibuk, beliau sanggup turun padang dan menyerahkan bantuan itu sendiri kepada saya.

“Sedikit sebanyak bantuan ini akan digunakan untuk meneruskan kehidupan saya sebagi pesara tentera,” katanya.

=EZY=

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerajaan Negeri rai veteran anggota keselamatan negara

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 30 MAC: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali meraikan lebih 80 tetamu yang terdiri daripada bekas anggota keselamatan Selangor di Majlis Ramah Mesra dan Penyerahan Cek Bantuan Kewangan kepada Persatuan-Persatuan Veteran Anggota Keselamatan Negara di Bangunan Annex, di sini, hari ini.

Pada majlis makan tengahari itu, Mohamed Azmin menyerahkan sumbangan RM610,000 kepada empat persatuan veteran anggota keselamatan negara.

Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Selangor yang dipengerusikan Din Husni menerima sumbangan RM500,000, manakala Jeneral (B) Datuk Seri Rozali Daud selaku Pengerusi Persatuan Veteran Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerima RM50,000.

MB VETERAN SELANGOR (4)Persatuan Pesara-Pesara Pegawai Bomba dan Penyelamat Selangor turut menerima RM50,000 menerusi pengerusinya, Zainal Wagimiu sementara Malaysia Armed Forces Sikh Veterans Association (MAFSVA) yang menerima RM10,000 diwakili pengerusinya Mejer (B) Baldev Singh Ganda Singh.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri menghargai jasa dan sumbangan anggota keselamatan negara kerana mereka turut menjadi penyumbang kepada kejayaan cemerlang Selangor seperti dikecapi, hari ini.

“Keputusan ini diambil Kerajaan Negeri seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2017. Kita percaya dan menghargai jasa bekas anggota keselamatan membangunkan negara juga negeri.

“Kita memberikan sedikit pengiktirafan dan sumbangan selain memanjangkan sokongan kepada persatuan veteran TUDM, Bomba dan Sikh.

“Ini permulaan yang baik bagi menunjukkan rasa hormat serta penghargaan kita kepada mereka,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai program bagi meningkatkan kehidupan warga pesara anggota keselamatan.

Antara peluang yang disediakan adalah Skim Pinjaman Mikrokredit Hijrah Selangor (HIJRAH), Skim Peduli Sihat dan Rumah Selangorku.

-NFN-