Categories
NASIONAL

PAS Pertaruh Husam Tawan Putrajaya

PAS Pertaruh Husam Tawan Putrajaya 01

KUALA LUMPUR, 9 APRIL: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa diumumkan sebagai calon Parlimen Putrajaya bagi mencabar penyandang semasa, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Sementara arkitek berpengalaman Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah diumumkan bertanding di Parlimen Kuala Terengganu.

Perkara ini diumumkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini.

Abdul Hadi turut mengumumkan tiga lagi kerusi Parlimen yang bakal ditandingi tiga pimpinan tertinggi PAS Pusat.

Mereka adalah Timbalan Presiden, Mohammad Sabu (Mat Sabu) yang diumumkan bertanding di Parlimen Pendang, Kedah, Naib Presiden, Salahuddin Ayub di Parlimen Pulai, Johor manakala Datuk Mahfuz Omar kekal bertanding di Pokok Sena.

Pada sidang media sama turut dimaklumkan Abdul Hadi kekal bertanding di Parlimen Marang.

Turut diumumkan, mantan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Fauzi Shaari bertanding di Parlimen Larut dan artis terkenal Wan Aisyah Wan Arifin bertanding di Parlimen Jempol, Negeri Sembilan.

Abdul Hadi turut menyatakan kesemua calon PAS yang bertanding di peringkat negeri akan diumumkan sendiri PAS negeri masing-masing manakala calon dari Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) akan diumumkan kemudian.

Datuk Husam Musa yang menggalas cabaran PAS di Parlimen Putrajaya dalam ucapannya mengakui bakal berdepan tugas sukar untuk memenangi kawasan berkenaan namun mengambil pendekatan positif dalam menjadi penyumbang kemenangan di kerusi Parlimen Pakatan Rakyat (PR).

“(Tengku Adnan) Tokoh yang hebat. Seorang strategis.

“Kawasan ini pengundinya sangat kecil. Kemudahan asas sudah baik. Tidak seperti masalah dikampung.

“Saya minta bantuan rakan-rakan media,” katanya yang juga Adun Salor, Kelantan.

Menurutnya lagi, beliau akan turun mendengar aspirasi rakyat yang perlu diketengahkan selain mengingatkan petugas PAS agar tidak menaikkan sebarang bendera parti di jalan protokol memandangkan Putrajaya menempatkan pelbagai agensi pentadbiran negara.

Beliau berharap agar kempen dapat berlaku secara aman tanpa sebarang diskriminasi.

Bagi Salahuddin Ayub, amanah yang diberikan parti untuk bertanding di Parlimen Pulai akan digalas sebaik mungkin dan percaya Johor boleh menyumbang 12 kerusi Parlimen bagi bantu PR ke Putrajaya.

“Terima kasih atas kepercayaan parti walaupun ini tugas besar, sehinggakan BN kata ‘Gali kubur Sendiri’

“PR tidak akan sampai ke Putrajaya tanpa sumbangan kerusi parlimen ke putrajaya

“Terima kasih kepada rakyat Johor, kerana memberikan sambutan baik sejak setahun lalu.

“Kawan-kawan berkumpul memberikan sumbangan. Keluarga kembali dekat. Ini sangat menarik. Saya akan pikul,” katanya.

Secara keseluruahan, PAS bertanding 76 kerusi Parlimen dan 230 kerusi DUN dalam PRU-13.