Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia rugi RM5 bilion setahun akibat nelayan asing

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Kerajaan bercadang meningkatkan aset penguatkuasaan laut negara dalam usaha untuk mengawal pencerobohan bot nelayan asing yang menyebabkan Malaysia kehilangan hasil RM5 bilion setahun, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, kementeriannya akan mengemukakan perkara itu kepada Kabinet termasuk cadangan untuk memiliki kapal induk bagi memudahkan lagi operasi penguatkuasaan di laut.

“Sebelum ini, kerajaan sendiri telah mengambil tindakan tegas dengan melakukan Operasi Naga dan kita akan teruskan lagi dengan komitmen tiga kementerian iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan.

“Kita mesti bertanggungjawab supaya aset dan penguat kuasa ini ditingkatkan selain nelayan tempatan turut menjadi mata dan telinga kerajaan supaya dapat membanteras nelayan asing daripada memasuki perairan negara ini,” katanya pada sesi jawab lisan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahmad Amzad Mohamed (PAS-Kuala Terengganu) yang bertanyakan tentang jumlah kerugian negara akibat pencerobohan nelayan asing dan langkah meningkatkan keberkesanan Op Naga.

Terdahulu, Ahmad Amzad turut bertanya sama ada kemunculan paus Orca (paus pembunuh) di perairan Kerteh, Terengganu berhampiran dengan Pelantar Dulang Petronas baru-baru ini mengganggu sumber perikanan negara.

Menjelaskan perkara itu, Salahuddin berkata, kajian yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Terengganu mendapati paus, yang muncul di perairan itu pada 16 Julai lepas, tidak mengancam sumber perikanan negara dan nelayan tempatan kerana migrasi populasi spesies itu tidak kerap.

“Spesies itu merupakan daripada jenis sub spesies Paus Pilot Sirip Pendek dan ia sentiasa bergerak dalam kumpulan populasi antara 10 hingga 50 ekor. Ia dipercayai menjadikan Laut China Selatan sebagai laluan migrasi ekoran musim sotong pada waktu itu,” katanya.

Paus Orca, katanya disenaraikan dalam spesies mamalia akuatik terancam dan dilindungi di bawah penguatkuasaan Seksyen 27 Akta Perikanan Negara 1985 dan seekor daripada spesies berkenaan didapati pernah mati terdampar di Sarawak pada 2013.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Perubahan LPP diteruskan, tidak patah balik

KUALA LUMPUR, 24 Mei:Pelaksanaan pindaan terhadap Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 adalah untuk kebaikan semua pihak di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) khususnya untuk kepimpinan pertubuhan itu, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.

Katanya, kepimpinan LPP perlu diremajakan semula, bagi memastikan pertubuhan itu dapat membuat reformasi baharu untuk lebih maju dan mengorak langkah ke hadapan.

“Pada peringkat awal ini kita telah buat pindaan. Walaupun ada segelintir yang tidak bersetuju tetapi saya yakin 900,000 anggota peladang boleh terima pindaan ini, dan melihat tentang objektifnya.

“Bagi mereka yang membantah…itu hak mereka. Saya dengar dan teliti (bantahan), tetapi perubahan harus diteruskan. Saya tidak boleh berpatah balik dan saya harus melangkah ke hadapan demi kebaikan anggota peladang,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Bersama warga LPP di sini, hari ini.

Katanya selagi status quo diberikan kepada orang terdahulu yang telah bertahun-tahun memegang jawatan, mereka tidak ke mana-mana (maju) dan tidak beri satu dinamik kepada peladang (LPP) itu sendiri.

“Kalau kepimpinan tak berubah dan diterajui oleh orang yang sama, ada yang rugi ( anak syarikat) dan ada anak syarikat tutup. Jadi tidak kemana-mana. Sebagai menteri, saya mesti berani untuk melihat bahawa peladang ini perlu diremajakan kepimpinannya,” katanya diminta mengulas mengenai bantahan beberapa pihak berkenaan pewartaan pindaan tersebut.

Sebelum ini, beberapa PPN seperti PPN Kedah dan PPN Kelantan menyuarakan bantahan dan menggesa kerajaan membatalkan pindaan warta itu, kerana berpandangan ia membelakangkan prinsip demokrasi kerana diluluskan tanpa melalui proses perbincangan, dengan semua pihak terlibat.

Salahuddin berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan di peringkat tertinggi dalam kementerian itu bersama LPP dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sebelum pewartaan pindaan tersebut dilakukan.

Warta berkenaan telah dibuat pada 19 April lepas oleh Pengerusi LPP, Mazlan Aliman dan diluluskan pada tarikh yang sama oleh Salahuddin serta dikuatkuasakan pada 1 Mei lalu.

Pindaan tersebut meliputi tiga peringkat iaitu Pertubuhan Peladang Negeri (PPN), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Nafas.

Antara perkara yang dipinda adalah komposisi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) di PPN terdiri daripada empat anggota dipilih dalam mesyuarat agung tahunan dan lima dilantik menteri. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Lebih 2,000 usahawan tani, nelayan terima manfaat

KUALA LUMPUR, 23 APR: Sebanyak 2,769 individu terbabit dalam bidang pertanian dan nelayan menerima manfaat daripada pelbagai inisiatif dan program dilaksanakan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam tempoh hampir setahun kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) mentadbir negara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, antara inisiatif paling berjaya ialah Program Agro Nisaa’- I, yang menyediakan kemudahan pembiayaan mikro khusus untuk usahawan wanita terutamanya golongan berpendapatan rendah (B40).

Menerusi program tersebut, katanya memanfaatkan 1,719 peserta dengan jumlah pembiayaan RM 5.3 juta sejak dilancarkan pada November tahun lalu.

Menurutnya, program dengan kerjasama Agrobank itu juga membuahkan hasil dalam jangka masa singkat apabila berjaya menjana pendapatan kepada penerima peruntukan tersebut.

“Saya juga berjumpa dengan seorang ibu tunggal yang menerima peruntukan tersebut dan kita dapati dia berjaya memperoleh pendapatan RM200 ke RM300 sehari dan menjual produknya di gerai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan,” katanya pada sidang media khas sempena setahun PAKATAN mentadbir negara di sini, semalam.

Selain itu, kata Salahuddin, di bawah program Agropreneur Muda pula peruntukan sebanyak RM6.2 juta disediakan kepada 403 usahawan agro muda berumur 18 hingga 40 tahun.

“Setiap usahawan muda ini menerima bantuan bernilai antara RM10,000 dan RM20,000 bagi menjana ekonomi dan meningkatkan pendapatan mereka dalam bidang diceburi,” katanya.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata Program Pasar Nelayan yang meminimumkan rantaian pemasaran dan melepaskan nelayan daripada cengkaman orang tengah pula memanfaatkan 532 nelayan dengan nilai urus niaga berjumlah RM47.7 juta.

“Selain itu, 113 usahawan dan 25 Pertubuhan Peladang Kawasan menerima manfaat hasil model perniagaan industri pengeluaran ayam yang lengkap di sepanjang rantaian nilai,” katanya ketika menyenaraikan beberapa pencapaian kementerian dalam tempoh setahun ini.

Anggota Parlimen Pulai itu turut mengetengahkan pencapaian kementerian berkenaan untuk membuka laluan pasaran durian sejuk beku dalam bentuk biji ke China pada 20 Ogos tahun lepas, menyaksikan 67 ladang durian didaftar di bawah Jabatan Pertanian untuk mengeksport produk tersebut.

— BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tidak masuk campur dalam siasatan SPRM –  Salahuddin

PUTRAJAYA, 2 APR: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub menegaskan tidak akan campur tangan dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penahanan setiausaha politiknya.

Dalam kenyataan malam tadi, Salahuddin berkata, beliau dimaklumkan mengenai penahanan setiausaha politiknya.

“Ingin saya tegaskan bahawa saya tidak akan campur tangan dalam siasatan pihak SPRM dan saya akan membiarkan undang-undang mengambil tempatnya,” katanya.

Menurutnya, setiausaha politik beliau adalah seperti rakyat Malaysia lain yang tertakluk kepada undang-undang.

“Saya berpegang teguh kepada prinsip keluhuran undang-undang dan saya yakin dan percaya pihak SPRM akan menyiasat kes ini dengan adil dan bebas,” katanya.

SPRM menahan setiausaha politik berkenaan kerana disyaki menerima suapan berbentuk seutas jam tangan bernilai kira-kira RM28,000.

Menurut sumber SPRM, lelaki berusia 47 tahun itu ditahan kira-kira jam 5 petang ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Sumber memberitahu penerimaan jam tangan itu sebagai dorongan untuk membolehkan sebuah syarikat pembangunan mendapatkan projek di bawah kementerian tersebut.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

MAHA2018: Terokai teknologi moden, upaya agro makanan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 JUL: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) berharap Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2018 (MAHA 2018) menampilkan beberapa teknologi pertanian yang lebih baik bagi membantu negara membangunkan industri agro makanan.

Menterinya, Salahuddin Ayub berkata, MOA mengharapkan kejayaan lebih besar dalam penganjuran kali ini yang bakal bermula 20 November sehingga 2 Disember depan.

“Acara dwitahunan ini akan diketuai Ketua Setiausaha Kementerian, Dato’ Mohd Sallehhuddin Hassan dan berada dalam peringkat akhir bagi memastikan kejayaan dalam pnganjuran kali ini.

“Kita memberikan fokus terhadap teknologi dalam pertanian dalam memastikan pembangunan Malaysia sebagai hub halal bagi agro makanan,” katanya.

Beliau berkata dalam sidang media di Putrajaya selepas mempengerusikan Mesyuarat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dgn Exco-Exco Pertanian Negeri Bil 2/2018, hari ini.

Katanya, MAHA 2018 dimanfaatkan sebaik mungkin bagi mempromosi hasil pertanian disamping meningkatkan sektor yang dilihat mampu memberikan impak pasaran eksport ke Tanah Besar China iaitu durian musang king, sarang burung, buah nangka dan ikan hiasan.

“MAHA 2018 cuba mempromosi lebih giat mengenai durian Musang King. Kita mampu menjadikan Musang King sebagai industri dengan memasuki pasaran antarabangsa tanpa sebarang halangan sebelum ini.

“Dalam pertemuan singkat dengan Duta China Ramadan lalu, mereka secara tidak rasmi memberikan kesediaan mengurangkan birokrasi antara dua negara,” katanya.

Katanya, kementerian kini dalam proses mendapatkan tandatangan protokol bagi empat sektor yang disebutkan bagi memudahkan urusan eksport ke pasaran antarabangsa mengikut piawaian ditetapkan selain memperkukuh hubungan dagang dua hala dalam memastikan urusan kemasukan tidak berdepan sebarang halangan.

Dalam perkembangan lain, beliau berharap kerjasama antara kementerian dan semua negeri termasuk yang tidak ditadbir Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi memastikan bekalan industri makanan negara mencukupi.

Categories
NASIONAL

MOA pantau harga pasar tani sepanjang Aidilfitri

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 10 JUN: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) memberi jaminan harga barangan keperluan dan makanan dijual di pasar tani seluruh negara sepanjang musim perayaan Aidilfitri, berpatutan serta kompetitif.

Menterinya, Salahuddin Ayub berkata, kementeriannya juga akan memastikan barangan dijual di  732 pasar tani seluruh negara itu bermutu dan berkualiti untuk kegunaan pengguna.

“Kita mahu 732 pasar tani itu berperanan sebagai pusat pengumpulan barangan keperluan dan makanan terutamanya kepada pengguna yang sedang membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

“Dengan cara itu, pengguna mempunyai lebih banyak pilihan kerana barangan pasar tani termasuk ayam, daging, ikan dan sayur yang ditawarkan jauh lebih segar serta dijual dengan harga berpatutan berbanding pasar raya, pasar besar dan kedai runcit,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jualan Jimat Belanja Aidifitri di pasar tani Seksyen 13 di sini, hari ini.

Turut hadir, Exco Pertanian Selangor Ir Izham Hashim dan Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Ahmad Ishak.

Salahuddin berkata, kementeriannya dengan kerjasama agensi lain juga akan membuat pemantauan secara berterusan bagi memastikan peniaga pasar tani tidak menaikkan harga barang sewenang-wenangnya.

“Kita juga mengharapkan kesan rantaian daripada sifar GST yang telah dilaksanakan 1 Jun lepas akan turut akan memberikan pulangan faedah kepada rakyat.

“Tidak guna sekiranya kita perjuangkan untuk GST ini tetapi rakyat tidak mendapat manfaatnya,” katanya.

Categories
NASIONAL

Elaun Sara Hidup Nelayan diteruskan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 31 MEI: Kerajaan akan meneruskan Elaun Sara Hidup Nelayan untuk dinikmati 55,000 nelayan laut dan 5,400 nelayan darat.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub berkata, ketetapan itu diambil selepas menyemak kementerian itu mempunyai bajet mencukupi untuk meneruskan pembayaran elaun.

“Kementerian juga akan mengkaji kenaikan elaun tersebut jika keadaan kewangan negara dapat dipulihkan dengan kadar segera.

“Sekiranya keadaan ekonomi negara dapat dipulihkan secepat mungkin dan kita dapat meningkatkan pendapatan negara, saya mengambil tanggungjawab memastikan elaun kumpulan ini dapat ditambah dan saya akan mohon bajet yang lebih untuk kementerian,” katanya.

Katanya, ketika ini nelayan zon A menikmati elaun sebanyak RM300 sebulan, manakala RM250 bagi nelayan zon B, C dan C2.

Perkara itu dijelaskan bagi menjawab isu yang mengaitkan elaun bulanan persatuan itu akan ditamatkan susulan perubahan pucuk pimpinan Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Dalam pada itu, beliau berkata Kabinet hari ini turut meluluskan penubuhan Majlis Penasihat Pertanian Negara dan anggota majlis itu akan diperkenalkan selewat-lewatnya Isnin depan.

“Anggota majlis tidak lebih 10 orang. Peringkat pertama mungkin akan lantik lima hingga enam orang dan selepas itu kita akan lihat individu dan kepakaran tertentu yang akan kita isi kemudian,” katanya.

-Bernama

Categories
NASIONAL

Najib tiada idea tingkat pendapatan negara, patut jadikan Malaysia hub minyak mentah

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak gagal berfikiran inovatif bagi meningkatkan pendapatan negara kecuali dengan mengambil jalan mudah mengenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) terhadap rakyat.

Keadaan ini diburukkan lagi apabila Kerajaan Pusat dalam Belanjawan 2015 baru-baru ini mengurangkan perbelanjaan bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi meningkatkan inovasi dalam pelbagai bidang yang berpotensi menambah pendapatan negara.

pelantarNaib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, inilah menyebabkan beberapa negara seperti Korea Selatan dan Singapura yang pada suatu masa dahulu berada pada garisan sama kini sudah jauh meninggalkan Malaysia.

“Dahulu Korea Selatan menghantar satu pasukan untuk belajar dengan Felda tetapi selepas itu mereka balik dan melakukan inovasi memajukan pertanian mereka dan sekarang jauh meninggalkan kita.

“Begitu juga dengan sukan seperti bola sepak dulu kita bersaing dengan Korea Selatan juga sekarang kita ketinggalan,” kata Salahuddin.

Kata Salahuddin, Najib juga sepatutnya mengkaji untuk menjadikan Malaysia sebagai hub simpanan minyak mentah dunia.

Salahuddin menganggap langkah ini sangat praktikal dan boleh direalisasikan memandangkan Malaysia mempunyai pesisir pantai panjang di Sarawak yang boleh dimanfaatkan dan situasi negara pengeluar minyak di Asia Barat sentiasa bergelora serta diancam peperangan.

Tambah Salahuddin, dengan menawarkan kepada Iran, Syria dan lain-lain negara pengeluar minyak Asia Barat menyimpan minyak mentah mereka di pesisir pantai Malaysia mampu mencetuskan ledakan positif ekonomi negara khasnya bagi penduduk di Sarawak.

“Sekurang-kurangnya saya pasti GST boleh ditangguhkan perlaksanaannya kerana kita mempunyai pendapatan tinggi dari sumber ini,” kata beliau lagi.

EZY

Categories
NASIONAL

Kewujudan Permata & SPAD membazir, pertindihan fungsi tak produktif

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Langkah kerajaan mewujudkan beberapa agensi dengan fungsi bertindih dengan agensi sedia ada merupakan suatu pembaziran dan tidak produktif.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, langkah itu juga menunjukkan pentadbiran Najib kurang yakin terhadap kemampuan pegawai kerajaan sedia ada.

rosmah-permata-2Ini termasuk langkah mewujudkan Permata yang dinaungi isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

“Kerajaan membayar harga tinggi untuk penasihat Jawatankuasa Pemandu adakah kerana tidak yakin tehadap pegawai-pegawai kerajaan?

“Begitu juga kita dah ada Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) tetapi mengapa perlu ada Permata,” kata Salahuddin dalam forum forum Bicara Harakah yang bertajuk ‘Bajet 2015 – Di Mana Pincangnya’ di Galeri My Harakah Bazaar, di Jalan Pahang di sini, semalam.

Kata Salahuddin kerajaan sepatutnya memperkasakan Kemas dengan program baru melalui peruntukan yang disalurkan kepada Permata.

Keadaan sama juga berlaku dengan penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sedangkan negara mempunyai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang turut berfungsi mengawal pengangkutan awam darat.

Kata Salahuddin, kerajaan juga sepatutnya meningkatkan aset dan kepakaran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Polis Marin, bukan menubuhkan Jabatan Maritim untuk lakukan tugasan sama seperti TLDM dan Polis Marin.

EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

PNSB : Taman Alam Perdana diselamatkan, pembeli dapat CF – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 11102013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Pembeli projek perumahan Taman Alam Perdana, Kuala Selangor yang terbengkalai sejak 2004 dan dipulihkan kini memperoleh Sijil layak Menduduki (CF).

2. Kementerian Dalam Negeri (KDN) diminta meluluskan permohonan seorang warga emas untuk mendapatkan taraf kerakyatan dengan MyKad biru kerana dia didakwa memenuhi segala kelayakan ditetapkan.

3. Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub mendesak kerajaan membentangkan kertas putih berhubung perjanjian Perdagangan Trans Pasifik (TPPA) dalam sidang Parlimen akan datang lapor portal The Malaysian Insider.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Rafizi : Polis, DBKL Cuba Lengah #Blackout505 – BULETIN 13

Sinopsis

BULETIN 13 Untuk 07062013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT . Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendakwa polis dan DBKL cuba melengah-lengahkan Perhimpunan Aman #Blackout505 apabila mula berdolak-dalik berhubung kebenaran penggunaan Padang Merbok.

2. Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub dipanggil polis hari ini untuk disiasat berhubung penglibatan beliau dalam himpunan aman.

3. Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPP) yang bakal ditandatangani Malaysia, didakwa mampu menggugat kepentingan awam ekoran terma-termanya yang berat sebelah.

4. Tindakan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor dan enam yang lain termasuk akhbar NST untuk menyelesaikan kes saman di luar mahkamah merupakan satu kemenangan kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

5. Sebahagian daripada struktur jambatan kedua Pulau Pinang runtuh dalam satu kejadian yang dipercayai berlaku sekitar jam 7 malam tadi.

Categories
NASIONAL

Pakatan Yakin Gempur Johor – BULETIN 13


 

BULETIN 13 Untuk 11042013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 Tengahari, 3.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Lajnah Undang-undang PAS Pusat sekurang-kurangnya menyediakan 100 orang peguam yang akan ditempatkan di semua kerusi Parlimen yang ditandingi parti itu bagi membantu kelancaran Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

95 peratus peguam ini terdiri daripada golongan anak muda profesional yang akan membantu kerja-kerja di bilik gerakan dan lapangan kempen.

2. Johor menjadi negeri sasaran Pakatan Rakyat dalam PRU-13 akan datang, dan Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution yakin peluang Pakatan Rakyat di kubu Barisan Nasional itu.

3. Sikap rakus dan agenda tersembunyi pemimpin Umno BN dalam urus tadbir Angkatan Tentera selama 55 tahun hanya boleh dihentikan apabila rakyat memberi mandat yang penuh kepada Pakatan Rakyat dalam PRU 13.