Categories
AGENDA NASIONAL

Waris korban banjir mahu kongsi bantuan RM10,000 dengan anggota bomba

KUALA LANGAT, 4 JAN: Seorang waris mangsa korban banjir berhasrat memberi sebahagian bantuan RM10,000 kepada anggota bomba yang menjumpai mayat bapanya pada 22 Disember.

Hanya mahu dikenali sebagai Tan, beliau menjelaskan keputusan tersebut dipersetujui ahli keluarganya sebagai penghargaan kepada petugas hadapan dalam insiden banjir di Bukit Changgang di sini.

“Kita akan bagi sumbangan kepada anggota bomba yang jumpa ayah. Saya ada tanya polis siapa yang jumpa dan kami perlu cari kerana anggota itu difahamkan dari Melaka,” katanya kepada Selangorkini.

Mengimbau tragedi berkenaan, Tan berkata mereka sekeluarga tidak menyedari bapa mereka ke kebun bunga yang diusahakan bersama rakan.

“Kami termasuk ayah tinggal di Kuala Lumpur. Kalau tahu dia ke kebun memang (kami) tidak benarkan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Fadil Md Safi, 36, yang menerima bantuan RM1,000 daripada Kerajaan Negeri berhasrat membeli tilam untuk lima anaknya selepas mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang.

Beliau turut berterima kasih atas inisiatif Selangor mengecualikan bayaran bil air selama sebulan, yang meringankan bebannya selepas perlu membersihkan rumah pascabanjir.

“Saya fikir anak sahaja sekarang ini, kami sekeluarga tinggal sehelai sepinggang dengan mereka tidur beralaskan kotak sebelum menerima toto sumbangan orang ramai,” kata pemandu lori itu.

Hampir 700 keluarga yang terjejas banjir di Kuala Langat dan Sepang hari ini menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) yang diserahkan EXCO Pembangunan Luar Bandar Borhan Aman Shah.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Waris bergelang merah jambu diminta tidak hantar keperluan ke PKRC Serdang

PUTRAJAYA, 24 JULAI: Waris pesakit yang memakai gelang pink diingatkan agar tidak menambah risiko jangkitan Covid-19 kepada petugas di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang dengan bertindak menghantar barangan keperluan kepada ahli keluarga masing-masing.

Teguran dibuat oleh Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Ramacantiran M Ananthan kerana mendapati individu bergelang pink sama ada dijangkiti atau menjadi kontak rapat kes positif hadir ke PKRC MAEPS untuk menghantar barangan keperluan kepada waris yang sedang menjalani rawatan.

Mengakui tindakan sedemikian tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri, beliau berkata ia boleh mendedahkan petugas di pondok keselamatan MAEPS yang menerima serahan tersebut kepada risiko jangkitan kerana mereka tidak dilengkapi pakaian perlindungan diri (PPE).

“Kita faham keadaan waris, mengharapkan ahli keluarga mereka selesa dengan menyediakan barangan keperluan tetapi mereka perlu berfikir tentang 1,300 petugas di PKRC MAEPS yang menguruskan keperluan ahli keluarga mereka sedang terdedah kepada risiko, jangan menambah lagi risiko kami di sini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Ramacantiran berharap waris pesakit yang positif Covid-19 atau menjalani kuarantin kerana kontak rapat tidak sesekali datang ke PKRC MAEPS untuk menghantar barangan kepada ahli keluarga mereka dan bersama-sama mengambil tanggungjawab dalam usaha mengekang penularan.

Katanya, usaha membendung jangkitan adalah tanggungjawab bersama dan jangan menyalahkan pihak yang sedang berusaha menyelamatkan nyawa dan negara kerana petugas barisan hadapan di PKRC MAEPS juga perlu melindungi keluarga mereka daripada jangkitan virus itu.

Menurut Ramacantiran, penghantaran barangan keperluan oleh waris pesakit didapati agak keterlaluan sejak kebelakangan ini dengan petugas JKM perlu menguruskan lebih 300 beg setiap hari.

“Sejak kebelakangan ini, JKM perhatikan barang yang dihantar oleh waris kepada pesakit keterlaluan dan terlalu banyak. Pesakit dirawat di PKRC MAEPS berada di sini maksimum 10 hari namun barangan keperluan yang dihantar itu seumpama untuk kegunaan sebulan. Ada menghantar makanan dan pakaian dalam bagasi yang terlalu besar,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

MB: Selaras data agih bantuan kewangan waris pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 15 JUN: Selangor sedang menyelaras agihan bantuan kewangan kepada waris pesakit Covid-19 di negeri ini yang meninggal dunia.

Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya merujuk Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) yang memiliki data pesakit maut akibat wabak berkenaan.

“Dalam minggu ini kita akan maklumkan. Jumlah (mangsa) ada dalam data JKNS dan sekarang kita nak tahu di mana mereka (ahli keluarga).

“Maklumat itu bukan mudah untuk dikongsi memandangkan sebahagiannya rahsia. Jadi, kita kena aturkan dengan JKNS untuk pastikan ahli keluarga mangsa dapat dibantu,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui pada program Selangor Prihatin Asatizah di pekarangan bangunan Jabatan Agama Islam Selangor di sini hari ini.

Rabu lalu, Amirudin mengumumkan bantuan khairat kematian RM1,000 untuk pesakit wabak yang meninggal dunia membabitkan peruntukan berjumlah RM1.5 juta.

Inisiatif sebahagian bawah Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta bagi membantu rakyat terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pelan bertemakan ‘Bersama-sama Menuju Kejayaan’ memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat termasuk golongan berpendapatan rendah, pelajar, usahawan kecil, petani serta penggiat pelancongan.

Categories
SELANGOR

67 waris terima RM100,500 sumbangan SMUE

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 JUN: Seramai 67 waris di DUN Kuang menerima sumbangan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) fasa kedua yang bernilai RM100,500 baru-baru ini.

Pewaris menerima RM1,500 setiap seorang yang disampaikan Penyelaras DUN, Salasiah Disa.

Salasiah berkata, sumbangan terbabit adalah penghargaan Kerajaan Negeri yang prihatin terhadap rakyat Selangor.

photo 3(1)“Ia adalah usaha menjaga kebajikan rakyat. Saya berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu pewaris,” katanya.

SMUE diperkenalkan Kerajaan Negeri apabila terdapat kematian bagi warga emas berumur 60 tahun ke atas.

Waris akan mendapat bantuan awal pengurusan jenazah RM1,000 dan diikuti bayaran tambahan RM1,500 dalam masa dua bulan.

Pada masa sama, seramai 30 wanita khususnya surirumah menyertai kursus memasak biskut raya di Bandar Tasik Puteri.

Salasiah berkata, penganjuran itu secara tidak langsung mewujudkan kepakaran penyediaan biskut raya, sekali gus membuka peluang golongan terbabit mencari pendapatan tambahan.

“Kita menyediakan kursus penyediaan secara percuma bagi membantu meningkatkan kemahiran mereka supaya boleh menambah pendapatan keluarga,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

SMUE berjaya sumbang RM135 juta kepada 54,982 waris

Oleh: Naeem Raffi

SHAH ALAM, 11 FEB: Skim Mesra Usia Emas (SMUE) berjaya menghulurkan sumbangan RM135 juta kepada 54,982 waris yang layak sejak dilancarkan, pada 1 Oktober 2008 sehingga 31 Disember lalu.

Ketua Pegawai Operasi Rantaian Mesra Sdn Bhd, Kamsani Nasir berkata, SMUE akan mempertingkatkan kecekapan operasi dalam memastikan lebih ramai warga emas yang layak dapat menyertai program pro-rakyat itu.

SMUE Petaling“Pencapaian setakat ini amat memberangsangkan. Kami akan terus bekerja keras memastikan penyertaan warga emas yang layak dapat dipertingkatkan tahun ini,” katanya kepada Selangor Kini.

SMUE adalah salah satu daripada tujuh agenda Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor (MES) fasa 1 yang mula diperkenalkan Kerajaan Pakatan Rakyat ketika mula mentadbir Selangor, pada Mac 2008.

Setakat ini,Kerajaan Negeri memperkenalkan lebih 16 skim di bawah Program MES.

Berasaskan skim khairat kematian, SMUE diwujudkan bagi menghargai jasa dan peranan warga emas tanpa mengira jantina, kaum, agama, fahaman politik, status ekonomi dan sosial, bahkan turut ditawarkan kepada Orang Kelainan Upaya (OKU) yang layak.

SMUE2“Selain meringankan beban pewaris menyelesaikan urusan berkaitan dengan si mati, sumbangan RM2,500 berperanan menampung pembayaran kos pengurusan jenazah dan pengkebumian atau menyelesaikan hutang si mati,” katanya.

Mengikut rekod, pada 2008, SMUE menghulurkan sejumlah RM870 ribu, jumlah itu ditingkatkan kepada RM20 juta pada 2009, diikuti 2010 (RM21.5 juta), 2011 (RM20.7 juta), 2012 (24.7 juta), 2013 (RM21.6 juta) dan 2014 (RM30.3 juta) iaitu jumlah tertinggi pernah dicatatkan.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Sidang Media MH370 petang ini, waris minta kerajaan tak terburu-buru

SHAH ALAM. 29 JAN: Satu kumpulan sokongan waris penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370 mengingatkan kerajaan tidak bertindak terburu-buru dalam mengumumkan nasib pesawat berkenaan yang masih dalam pencarian.

Peringatan itu muncul ekoran dakwaan bahawa pihak berkuasa akan membuat pengumuman penting berkenaan nasib pesawat yang membawa 239 orang penumpang dan anak kapal terbabit, petang ini.

Grafik MASPesawat itu hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing selepas berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, 8 Mac tahun lalu.

Persatuan untuk Keluarga Penumpang dan Anak Kapal MH370, Voice370 berkata, mereka hairan kerana kerajaan akan membuat pengumuman ketika Fasa 1 pencarian masih berjalan.

“Kami, waris kepada mangsa MH370 hairan mengapa pihak berkuasa Malaysia terburu-buru untuk membuat pengumuman, sedangkan tempoh pencarian masih lama sebelum berakhir.

“Setidak-tidaknya, kami jangka mereka akan bersabar untuk menunggu sehingga fasa pertama tamat,” kenyataan Voice370 dipetik dari Malaysia Kini.

Menurut kumpulan itu, Pusat Penyelaras Agensi Bersama (JACC) memberi jaminan bahawa pencarian di Selatan Lautan Hindi masih berjalan seperti dirancang dan hampir sepertiga dairpada kawasan itu sudah diliputi.

Mas-1“Mereka memberi jaminan kepada kami bahawa usaha tidak akan dihentikan sehingga kawasan seluas 60,000 kilometer persegi sudah diliputi.

“Kami sudah nyatakan sebelum ini dan menekankan sekali lagi, bahawa kami bersedia dengan apa jua kemungkinan, termasuk hakikat jika saudara kami yang tersayang tidak akan pulang lagi.

“Bagaimanapun, hampir semua anggota keluarga sependapat dengan pendirian bahawa kami tidak akan mengisytiharkan bahawa saudara kami sudah meninggal dunia tanpa sebarang bukti,” katanya.