Categories
AGENDA NASIONAL

Harga barangan keperluan harian dijangka stabil menjelang Januari

BUKIT MERTAJAM, 11 DIS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjangkakan harga barangan keperluan harian, akan kembali stabil sepenuhnya menjelang bulan Januari depan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan oleh pihaknya ketika ini mendapati, harga barangan mula stabil dengan sayur-sayuran juga telah menunjukkan penurunan harga.

“Harga barang (keperluan harian) mula stabil dan sayur pun sudah menunjukkan penurunan, ia berikutan beberapa faktor (harga stabil) antaranya macam sayur-sayuran di mana cuaca di kawasan pengeluarannya semakin baik.

“Selain itu, Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang menawarkan barangan keperluan harian dengan harga sehingga 20 peratus rendah daripada harga pasaran dan usaha mengimport ayam sejuk beku juga antara faktor harga kembali stabil, kita jangka menjelang Januari atau Februari (harga barang) stabil semula,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan PKJM yang dijalankan di perkarangan Masjid Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), di Perda yang turut hadiri Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang Mohd Ridzuan Ab Ghapar.

Mengulas lanjut, Rosol berkata PJKM yang dilancarkan pada 2 Dis lepas oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu telah dijalankan di 15 kawasan parlimen di seluruh negara setakat ini dan sehingga semalam hasil jualan di program tersebut ialah sebanyak RM423,844.

Katanya program itu yang dirancang dilaksanakan dua kali sebulan menerima sambutan yang cukup menggalakkan daripada orang ramai kerana mereka mahu membeli barangan dengan harga yang lebih murah berbanding harga pasaran.

“Sehingga semalam seramai 28,000 pengunjung hadir di program itu untuk membeli barangan keperluan harian yang dijual antaranya ayam, ikan, telur, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung dan beras,” katanya.

Beliau berkata pelaksanaan PJKM yang dikendalikan oleh KPDNHEP diadakan sebagai inisiatif kerajaan untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat, terutamanya dalam kalangan mereka yang berpendapatan rendah dan menangani situasi kenaikan harga barangan yang melanda.

“Program ini dilaksanakan di semua 222 kawasan parlimen di seluruh negara sehingga bulan Mac tahun depan, dan jika ada keperluan selepas itu mungkin kita teruskan namun jika harga barangan keperluan harian sudah kembali, kami akan membuat pemantauan berterusan bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Waris bergelang merah jambu diminta tidak hantar keperluan ke PKRC Serdang

PUTRAJAYA, 24 JULAI: Waris pesakit yang memakai gelang pink diingatkan agar tidak menambah risiko jangkitan Covid-19 kepada petugas di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang dengan bertindak menghantar barangan keperluan kepada ahli keluarga masing-masing.

Teguran dibuat oleh Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Ramacantiran M Ananthan kerana mendapati individu bergelang pink sama ada dijangkiti atau menjadi kontak rapat kes positif hadir ke PKRC MAEPS untuk menghantar barangan keperluan kepada waris yang sedang menjalani rawatan.

Mengakui tindakan sedemikian tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri, beliau berkata ia boleh mendedahkan petugas di pondok keselamatan MAEPS yang menerima serahan tersebut kepada risiko jangkitan kerana mereka tidak dilengkapi pakaian perlindungan diri (PPE).

“Kita faham keadaan waris, mengharapkan ahli keluarga mereka selesa dengan menyediakan barangan keperluan tetapi mereka perlu berfikir tentang 1,300 petugas di PKRC MAEPS yang menguruskan keperluan ahli keluarga mereka sedang terdedah kepada risiko, jangan menambah lagi risiko kami di sini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Ramacantiran berharap waris pesakit yang positif Covid-19 atau menjalani kuarantin kerana kontak rapat tidak sesekali datang ke PKRC MAEPS untuk menghantar barangan kepada ahli keluarga mereka dan bersama-sama mengambil tanggungjawab dalam usaha mengekang penularan.

Katanya, usaha membendung jangkitan adalah tanggungjawab bersama dan jangan menyalahkan pihak yang sedang berusaha menyelamatkan nyawa dan negara kerana petugas barisan hadapan di PKRC MAEPS juga perlu melindungi keluarga mereka daripada jangkitan virus itu.

Menurut Ramacantiran, penghantaran barangan keperluan oleh waris pesakit didapati agak keterlaluan sejak kebelakangan ini dengan petugas JKM perlu menguruskan lebih 300 beg setiap hari.

“Sejak kebelakangan ini, JKM perhatikan barang yang dihantar oleh waris kepada pesakit keterlaluan dan terlalu banyak. Pesakit dirawat di PKRC MAEPS berada di sini maksimum 10 hari namun barangan keperluan yang dihantar itu seumpama untuk kegunaan sebulan. Ada menghantar makanan dan pakaian dalam bagasi yang terlalu besar,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

UDA Holdings sumbang barang keperluan petugas Hospital Sungai Buloh

KUALA LUMPUR, 8 MAC: UDA Holdings Berhad (UDA), sebuah syarikat pembangunan hartanah dan pengurusan aset, sekali lagi terpanggil dalam menghulurkan sumbangan kepada petugas barisan hadapan di Hospital Sungai Buloh susulan surat terbuka daripada doktor hospital berkenaan yang disiarkan oleh media baru-baru ini.

UDA menerusi kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya menyumbangkan barangan keperluan seperti mesin penyaman udara, penapis air, ketuhar gelombang mikro, meja, kerusi serta set sofa yang keseluruhannya bernilai RM70,000.

Surat tersebut menzahirkan kesedihan dan pengalaman mereka yang keletihan serta berada dalam ketidakselesaan serta waktu kerja yang panjang tanpa rehat yang selesa demi melawan pandemik COVID-19.

“Sumbangan UDA merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat di bawah UDA Cares – Project RE (ReAct, ReBuild, ReEnergize). Ia bagi memberi keselesaan dan meningkatkan semangat petugas barisan hadapan,” menurut kenyataan itu.

Sumbangan disampaikan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA Mohd Salem Kailany, dalam satu majlis ringkas di sini hari ini.

Selain itu, UDA melalui anak syarikatnya AnCasa Hotel Kuala Lumpur juga telah menyediakan mesin kopi dan pakej makanan untuk petugas barisan hadapan selama 50 hari bersempena ulang tahun ke-50 UDA pada tahun ini.

-BERNAMA