Categories
AGENDA NASIONAL

Waris bergelang merah jambu diminta tidak hantar keperluan ke PKRC Serdang

PUTRAJAYA, 24 JULAI: Waris pesakit yang memakai gelang pink diingatkan agar tidak menambah risiko jangkitan Covid-19 kepada petugas di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang dengan bertindak menghantar barangan keperluan kepada ahli keluarga masing-masing.

Teguran dibuat oleh Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Ramacantiran M Ananthan kerana mendapati individu bergelang pink sama ada dijangkiti atau menjadi kontak rapat kes positif hadir ke PKRC MAEPS untuk menghantar barangan keperluan kepada waris yang sedang menjalani rawatan.

Mengakui tindakan sedemikian tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri, beliau berkata ia boleh mendedahkan petugas di pondok keselamatan MAEPS yang menerima serahan tersebut kepada risiko jangkitan kerana mereka tidak dilengkapi pakaian perlindungan diri (PPE).

“Kita faham keadaan waris, mengharapkan ahli keluarga mereka selesa dengan menyediakan barangan keperluan tetapi mereka perlu berfikir tentang 1,300 petugas di PKRC MAEPS yang menguruskan keperluan ahli keluarga mereka sedang terdedah kepada risiko, jangan menambah lagi risiko kami di sini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Ramacantiran berharap waris pesakit yang positif Covid-19 atau menjalani kuarantin kerana kontak rapat tidak sesekali datang ke PKRC MAEPS untuk menghantar barangan kepada ahli keluarga mereka dan bersama-sama mengambil tanggungjawab dalam usaha mengekang penularan.

Katanya, usaha membendung jangkitan adalah tanggungjawab bersama dan jangan menyalahkan pihak yang sedang berusaha menyelamatkan nyawa dan negara kerana petugas barisan hadapan di PKRC MAEPS juga perlu melindungi keluarga mereka daripada jangkitan virus itu.

Menurut Ramacantiran, penghantaran barangan keperluan oleh waris pesakit didapati agak keterlaluan sejak kebelakangan ini dengan petugas JKM perlu menguruskan lebih 300 beg setiap hari.

“Sejak kebelakangan ini, JKM perhatikan barang yang dihantar oleh waris kepada pesakit keterlaluan dan terlalu banyak. Pesakit dirawat di PKRC MAEPS berada di sini maksimum 10 hari namun barangan keperluan yang dihantar itu seumpama untuk kegunaan sebulan. Ada menghantar makanan dan pakaian dalam bagasi yang terlalu besar,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua individu pakai gelang merah jambu dikompaun di Putrajaya

PUTRAJAYA, 17 JAN: Dua lelaki antara lima individu pemakai gelang merah jambu dikenakan kompaun kerana ingkar tatacara oprasi piawai (SOP), sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 13 Jan lepas.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali berkata individu pemakai gelang pink itu didapati ingkar arahan Pejabat Kesihatan Daerah untuk menjalani kuarantin di rumah dan dikesan masing-masing berada di kawasan perumahan di Presint Diplomatik dan pusat komersial Ayer 8.

“Selain itu, satu kompaun dikeluarkan semalam (16 Jan) melibatkan penganjur program pengedaran ayam beku percuma secara pandu lalu kerana menganjurkan program yang mengundang kehadiran orang ramai,” katanya kepada Bernama selepas meninjau operasi pematuhan SOP PKP di sekitar Putrajaya hari ini.

Jumaat lepas, tular di media sosial mengenai gambar kesesakan di kawasan Presint 9 apabila orang ramai beratur untuk mendapatkan ayam beku percuma yang dianjurkan oleh Pemuda Umno Putrajaya.

Katanya, hasil siasatan mendapati penganjur tidak mendapat kelulusan polis untuk menganjurkan program selain penjarakan fizikal sukar dilaksanakan serta menyebabkan berlaku kesesakan jalan raya.

Selain itu, Mohd Fadzil berkata, satu kompaun dikeluarkan terhadap pemandu kerana membawa melebihi kapasiti dan satu lagi kompaun dikenakan terhadap pekerja pasar raya borong kerana gagal mendaftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera.

Mohd Fadzil berkata setakat hari ini, polis Putrajaya melakukan pemeriksaan terhadap 2,541 individu, 2,230 kenderaan dan 833 premis.

Justeru, beliau menasihati komuniti Putrajaya agar menangguh aktiviti yang melibatkan pengumpulan orang ramai dan sentiasa mematuhi SOP PKP serta tidak mengambil mudah dengan situasi penularan Covid-19 yang dilihat semakin meningkat.

“Orang ramai kena serius, sekiranya tiada kawalan, penularan akan terus merebak. Kita harap semua pihak dapat terus patuh SOP sehingga penularan terkawal,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Wanita gelang merah jambu diiring polis pulang ke rumah

MELAKA, 9 NOV: Seorang wanita memakai gelang berwarna merah jambu diiringi polis pulang ke rumah selepas disyaki melanggar syarat kuarantin Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) Covid-19 dengan membeli barangan keperluan Deepavali di sebuah pasar raya di Batu Berendam, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Afzanizar Ahmad berkata bertindak atas aduan yang dibuat oleh pengawal keselamatan pasar raya itu kira-kira 6.45 petang, sepasukan anggota polis ke premis berkenaan dan menjumpai wanita berusia 33 tahun itu bersama saudara lelakinya.

“Sebelum anggota polis tiba di lokasi, pengawal keselamatan menyuruh wanita yang memakai jaket lengan panjang berwarna hijau dan gelang merah jambu di tangan kanan itu keluar daripada pasar raya berkenaan dan memintanya menunggu di hadapan pejabat pengawal keselamatan.

“Selepas anggota polis mengambil butiran diri wanita itu, dia diarahkan pulang dan menyambung kuarantin di rumah dengan diiringi anggota polis bagi memastikan dia benar-benar tiba di rumah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata berdasarkan semakan, pihak Kementerian Kesihatan memaklumkan dan mengesahkan wanita itu adalah pesakit bawah pengawasan (PUS) dan tempoh kuarantin akan berakhir pada Khamis (12 Nov) ini.

“Tiada tangkapan dilakukan kerana wanita itu akan menyerah diri di balai polis selepas tempoh kuarantin berakhir dan selepas disahkan keputusan negatif Covid-19. Selain itu, tiada rakaman percakapan ke atas PUS, bagaimanapun siasatan masih diteruskan selepas keputusan PUS adalah negatif,” katanya.

Kes diklasifikasi menurut Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22B Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Sebanyak 327 kes positif Covid-19 direkodkan di Melaka sehingga semalam dan terdapat kluster baharu di negeri ini iaitu Kluster Berendam yang dikesan di Daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Polis sahkan lelaki bergelang merah jambu ditangkap di Klang

SHAH ALAM, 11 OKT: Seorang lelaki yang memakai gelang merah jambu yang ditemui di stesen minyak Bukit Tinggi, Klang ditangkap polis malam tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata suspek berusia 30 tahun bekerja sebagai jurutera minyak di Sabah dan pulang ke Semenanjung pada 3 Oktober.

“Suspek yang juga warga tempatan tinggal di kawasan Klang. Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (No. 3) 2020,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, tular di media sosial rakaman video seorang lelaki memakai gelang merah jambu, dipercayai dalam tempoh kuarantin berada di sebuah stesen minyak.

Menurut Bernama, rakaman tersebut menunjukkan insiden tegur-menegur antara seorang petugas kesihatan wanita dengan lelaki terbabit.

Susulan itu, Polis Klang Selatan segera bertindak mengenal pasti suspek dan membuat tangkapan selepas mendapat pengesahan suspek bebas Covid-19 daripada Pejabat Kesihatan Daerah Klang.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lelaki Perancis bergelang merah jambu di Langkawi negatif Covid-19

LANGKAWI, 20 OGOS: Saringan pertama ke atas lelaki warga Perancis yang dikesan memakai gelang berwarna merah jambu di Lapangan Terbang Antarabangsa (LTAB) Langkawi, petang tadi, negatif Covid-19.

Ketua Polis Daerah Langkawi Supt Mohd Iqbal Ibrahim berkata lelaki berusia 64 tahun itu menjalani saringan Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus tiba dari Doha, Qatar pagi tadi.

Terdahulu, beliau berkata pihaknya menerima maklumat mengenai lelaki berkenaan yang tiba di LTAB Langkawi dari KLIA kira-kira pukul 3.30 petang.

“Hasil siasatan mendapati lelaki yang bekerja dari rumah di Langkawi itu telah menaiki pesawat Qatar Airways dari Paris ke Doha, Qatar seterusnya menaiki pesawat yang sama ke KLIA semalam (19 Ogos).

“Lelaki itu tiba pada pukul 8.25 pagi tadi dan telah disaring oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di KLIA dan keputusan saringan adalah negatif Covid-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Iqbal berkata susulan keputusan negatif, lelaki terbabit dibenarkan menjalani kuarantin di rumahnya di Langkawi.

“Pihak KKM KLIA juga telah mengarahkan lelaki itu untuk bertemu dengan pihak Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kedah pada 1 Sept depan sebelum dijadual menjalani ujian calitan kali kedua sehari kemudian (2 Sept).

Mohd Iqbal berkata polis dan petugas Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi akan membuat pemantauan ke atas lelaki itu di kediamannya dari semasa ke semasa untuk memastikan perintah kuarantin dipatuhi.

“Saya nasihatkan agar masyarakat jangan panik dan sentiasa mengamalkan tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan KKM sepanjang berada di Langkawi,” katanya.

-BERNAMA