Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

World #QuranHour: PPAS pilih surah Al-Kahfi

SHAH ALAM, 30 MEI: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) memilih Surah Al-Kahfi untuk dibaca dan dihayati sempena sambutan World #QuranHour di seluruh negara, hari ini.

Pengarahnya, Mastura Muhamad berkata, ayat yang dikhususkan pada kali ini adalah 10 ayat awal, iaitu ayat 1 hingga 10 dan 10 ayat akhir, iaitu ayat 101 hingga 110.

“Bagi saya surah Al-Kahfi sangat ‘evergreen’, intipatinya kita boleh aplikasi bukan sahaja pada waktu kerja, malah ketika bersama keluarga.

“Kalau kita balik pada al-Quran, insyaAllah kita dapat bekerja dengan baik, sekali gus berkhidmat pada masyarakat dengan lebih baik. Apabila masyarakat menjadi baik, maka membuatkan negara kita menjadi harmoni,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi bacaan dan tadabur al-Quran selama satu jam, bermula 12 tengah hari tadi, di sini.

Pengisian tadabur Surah Al-Kahfi itu disampaikan Imam Masjid Al-Ikhlas Seksyen 13, Ustaz Umar Abdul Aziz manakala bacaan al-Quran dipimpin empat kakitangan PPAS.

Seramai 250 peserta daripada jabatan kerajaan, pelajar tahfiz, kakitangan PPAS dan pengunjung perpustakaan Shah Alam hadir memeriahkan program terbabit.

Sementara itu, Mastura berkata, program yang diadakan pada tahun keempat itu turut diadakan di 104 perpustakaan di seluruh Selangor secara serentak, pada hari ini.

World #QuranHour 2019 dicetuskan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) yang bermula dengan penubuhan Rumah Ngaji dengan tujuan menggalakkan umat Islam kerap berinteraksi dengan al-Quran melalui Baca, Faham dan Amal.

Categories
NASIONAL

World #QuranHour: Surah Al-Kahfi jadi pilihan tahun ini

SHAH ALAM, 25 APRIL: Surah Al-Kahfi yang mempunyai pelbagai kisah pengajaran yang boleh dijadikan pedoman dijadikan surah pilihan bagi program World #QuranHour, iaitu kempen membaca al-Quran secara serentak selama satu jam, pada 30 Mei ini.

Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) selaku penganjur program, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata surah Al-Kahfi menjadi pilihan pada #QuranHour tahun ini kerana ia memberi persediaan dari aspek fizikal, emosi, intelek dan spiritual kepada masyarakat dalam menangani dunia masa kini.

Beliau berkata kefahaman dari surah Al Kahfi akan menjadi benteng dan landasan agar ummah berupaya mengemudi kehidupan mengikut panduan Al-Quran seperti yang digariskan oleh Allah.

“Program World #QuranHour bertemakan “Solusi Cabaran Sejagat” yang akan diadalan’ pada 30 Mei bersamaan 25 Ramadan 1440H nanti adalah kempen untuk membentuk landasan solidariti ummah seluruh dunia dengan mengambil semangat dan keberkatan 10 malam terakhir Ramadan.

“Ia adalah usaha membentuk komitmen untuk melakukan tranformasi diri ke arah lebih baik, program World #Quran Hour merupakan program penyatuan ummah tanpa mengira latar belakangbagi mewujudkan sebuah dunia yang Rahmah, berbudi dan penyayang,”katanya pada majlis pelancaran dan taklimat sinergy media Malaysia sempena World#QuranHour di sini hari ini.

Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah turut berkenan menyertai Program World#QuranHour tahun ini yang dijadual berlangsung di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Program kali ini turut mendapat kerjasama media cetak dan MEDIA elektronik utama negara yang akan bersama-sama mempromosikan program berkenaan.

Bernama adalah antara organisasi media tersebut selain Utusan Malaysia, Kosmo!, Kumpulan Media Karangkraf, Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), Astro, Kumpulan Media Prima dan TV AlHijrah.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

World #QuranHour beri peluang warga MDHS dalami al-Quran

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 10 JUN: Lebih 100 kakitangan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) memeriahkan program World #QuranHour di Dewan Merdeka, Kuala Kubu Bahru, baru-baru ini.

Pegawai Komunikasi Korporatnya, Junainah Abdullah berkata, program kerjasama Karangkraf dan Majlis Pengarah-pengarah Perpustakaan Se-Malaysia itu bertujuan memupuk warga kerja MDHS menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup.

“Kami juga mahu menerusi program ini, ia menjadi satu landasan solidariti Umat Islam membawa kitab suci itu pada peringkat tertinggi.

“Warga kerja turut diingatkan bahawa mempelajari al-Quran bukan setakat mempelajari cara membaca dan hukum tajwid, malah mengetahui dan memahami isi al-Quran,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, program dimulakan dengan taklimat pembacaan, disusuli sesi tadabbur dan tazakkur surah pilihan iaitu surah Al-Luqman ayat 1 hingga 34 oleh Ustaz Abdullah Shahrul.

“Melalui sesi tazakkur dan tadabbur ini semua yang hadir diingatkan untuk menjadikan al- Quran sebagai pegangan dan panduan serta sebagai asas dalam melaksanakan tugas dengan lebih berintegriti.

“Ia juga mengingatkan warga kerja untuk tidak mudah mengalah terutama ketika melaksanakan dasar dan peraturan ditetapkan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Cacat penglihatan tak halang Khusaini baca al-Quran

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 8 JUN: Seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) cacat penglihatan, Khusaini Saimon, tidak membataskan kekurangan yang ada pada dirinya itu untuk tidak membaca al-Quran.

Khusaini, 62, berkata, beliau amat teruja dan gembira apabila diberi peluang pertama kali mengikuti program World #QuranHour di Perpustakaan Raja Tun Uda, di sini, semalam.

Beliau yang juga dari KL Braille Resources itu berkata, fasiliti al-Quran Braille yang disediakan agensi berkenaan memudahkan golongan sepertinya untuk membaca dan memahami kitab suci itu.

“Setiap kali mengalunkan surah dalam kitab terbabit, hati saya berasa amat tenang dan sayu.

“Malah, tahun ini merupakan tahun kedua saya menyertai Pertandingan Tilawah Al-Quran Braille,” katanya.

Selain itu, beliau turut memuji inisiatif Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) kepada golongan cacat penglihatan terutamanya.

“Saya berharap program ini akan diteruskan pada masa akan datang dan semoga lebih ramai golongan seperti kami dapat mengikutinya,”katanya.

Sementara itu, Pengarah PPAS, Mastura Muhamad berkata, Pertandingan Tilawah Al-Quran Braille yang sudah memasuki tahun kelima itu akan dilaksanakan 9 Jun ini dengan penglibatan beberapa peserta OKU dari seluruh negara.

“Pertandingan seumpama ini akan dijadikan acara tahunan dengan penglibatan golongan dewasa dan kanak-kanak pelbagai peringkat umur tampil menunjukkan kemahiran mengalunkan ayat suci al-Quran.

“Langkah itu juga adalah sejajar dengan hasrat Selangor menjadikan sebagai sebuah pusat hab ilmu, maju dan berkebajikan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Lebih 700 peserta meriahkan World #QuranHour

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 7 JUN: Lebih 700 peserta memeriahkan program World #QuranHour yang diadakan di Perpustakaan Raja Tun Uda, di sini, hari ini.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mastura Muhamad berkata, program dengan kerjasama Karangkraf dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas itu menerima impak positif sejak mula dilaksanakan, pada 2015.

Beliau berkata, ia bermula dengan penubuhan Rumah Ngaji dan pelancaran Malaysia Ngaji bertujuan menggalakkan orang ramai ‘ketagih’ kepada al-Quran.

“Menerusi niat murni ini, World #QuranHour 2018 dapat dilaksanakan dengan kerjasama 104 perpustakaan seluruh negeri seperti kerjasama program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit.

“World #QuranHour 2018 yang dilaksanakan pada setiap 22 Ramadan adalah kempen membentuk landasan solidariti ummah seluruh dunia di bawah naungan al-Quran dengan mengambil semangat dan keberkatan 10 hari terakhir Ramadan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi bacaan al-Quran yang berlangsung selama satu jam bermula jam 12 tengah hari dan diteruskan dengan sesi tadabbur bersama Mohd Dzul Khairi Mohd Noor.

rpt

Sementara itu, Mastura berkata, beliau turut menggalakkan kakitangan mengambil masa sekurang-kurangnya 15 minit untuk membaca dan memahami maksud ayat al-Quran selepas solat dhuha antara jam 8.30 hingga 9 pagi.

“Implikasi bukan dinilai dari sudut kuantiti tetapi hasilnya melalui penghayatan dan spiritual yang menyebabkan kakitangan itu mempunyai semangat untuk bekerja,” katanya.

Mengulas program yang berlangsung itu, pihaknya mengundang tiga sekolah tahfiz untuk turut serta selain kakitangannya dianggarkan 150 orang.

“Program ini akan berterusan pada masa akan datang sebagai usaha menjadikan masyarakat ketagih membaca Al-Quran kembali kepada asas membentuk perwatakan dan negara.

“Saya akan mengusulkan supaya program sebegini dijalankan lebih kerap seperti sebulan sekali contohnya,” katanya.