Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

11,411 unit Proton dijual Nov 2020, naik 18 peratus

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Jualan kereta Proton meneruskan trajektori pertumbuhannya dengan mencatatkan prestasi kukuh pada akhir 2020 selepas dengan 11,411 unit dijual pada November, 2020, kadar pertumbuhan sebanyak 18 peratus tahun ke tahun.

Dalam satu kenyataan, Proton Holdings Bhd (Proton) berkata jualan yang dicatatkan pada November menjadikan jumlah unit kereta Proton dijual setakat tahun ini adalah 96,410 unit.

“Walaupun jualan untuk model Proton lain untuk bulan ini sedikit menurun berbanding Oktober, penghantaran Proton X50 yang baharu mula mendapat momentum dengan 1,756 unit telah dihantar, menjadikannya kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen B (lima tempat duduk) terlaris di Malaysia.

“Digabungkan dengan jualan 2,157 unit Proton X70, ini menjadikan Proton sebagai mendahului jualan SUV secara keseluruhan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah.

Jualan kereta Malaysia terus mengungguli unjuran pasaran dari awal tahun ini, dengan jumlah keseluruhan industri dianggarkan melebihi 56,000 unit untuk bulan ketiga berturut-turut.

“Sebilangan besar ini adalah disebabkan oleh tawaran akhir tahun oleh jenama kereta.

“Tahun ini kami dapat memasukkan insentif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan pelancaran model baharu yang popular seperti Proton X50 sebagai pemacu pertumbuhan volum,” kata Roslan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Jualan Proton naik empat bulan berturut, tempahan lepasi jangkaan

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Momentum jualan Proton Holdings Bhd (Proton) meningkat dari bulan Ogos ke September apabila syarikat automotif nasional itu mencapai keputusan positif bagi kadar jualan tahun ke tahun untuk bulan keempat berturut-turut.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton EDAR, Roslan Abdullah berkata jumlah jualan pada September adalah 11,935 unit, ia adalah kedua tertinggi bagi 2020 bersamaan dengan penambahan 4.9 peratus berbanding Ogos dan 12.5 peratus berbanding pada bulan sama pada 2019.

“Proton menjual sebanyak 73,607 unit kenderaan pada tahun ini, bersamaan dengan pegangan pasaran 21.6 peratus dan menduduki tempat kedua dalam industri automotif Malaysia,” kata Proton dalam kenyataan.

Tiga model Proton mencatatkan jualan tertinggi untuk segmen masing-masing, sama seperti Ogos, tiga model Proton mendahului segmen tersendiri pada bulan ini.

SUV terlaris di Malaysia, Proton X70 mencatat jualan sebanyak 2,849 unit, prestasi jualan yang kedua terbaik dalam tahun 2020. Proton Persona dan Proton Exora juga kekal sebagai model terlaris dalam kelas masing-masing, katanya.

Proton X50 mendapat 20,000 tempahan dalam masa dua minggu. Proton X50 adalah model terbaharu Proton, pembuatan model ini di kilang pengeluaran baharu Proton di Tanjung Malim bermula pada 15 September lepas dan tempahan mula diterima pada hari berikutnya.

“Selepas jualan keseluruhan industri (TIV) melebihi 50,000 unit untuk tiga bulan berturut-turut, kami boleh membuat anggapan bahawa pasaran automotif Malaysia berada dalam keadaan stabil ketika ini.

“Proton merasa lega kerana pencapaian jualan bulanan ini melebihi jumlah jualan bulanan pada tahun lepas dan ini adalah penunjuk bahawa kita kembali ke tahap penjualan lestari,” katanya.

Setakat ini, dalam masa dua minggu selepas tempahan mula diterima, jumlah tempahan melebihi jangkaan.

“Pihak Proton ingin berterima kasih kepada para pelanggan yang menunjukkan minat yang amat tinggi kepada Proton X50. Kami di Proton akan memberi tumpuan kepada proses pengeluaran untuk memenuhi permintaan pelanggan dalam tiga bulan terakhir bagi 2020 dan pada masa sama, turut memberi penekanan terhadap kualiti produk,” kata Roslan.

-BERNAMA