Categories
AGENDA NASIONAL

Proton catat eksport tertinggi dalam 98 bulan sejak 2013

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Proton Holdings Bhd berjaya menyerahkan sejumlah 669 unit kenderaan kepada pengedar luar negara pada Mei 2021, sekali gus mencatat angka jualan eksport tertinggi dalam tempoh 98 bulan sejak Mac 2013.

Dalam kenyataannya pada Rabu, pengeluar kereta nasional itu berkata pada akhir Mei 2021, jumlah jualan setakat tahun ini adalah 174 peratus daripada sasaran ditetapkan serta kurang enam peratus daripada angka keseluruhan 2020.

Proton menyifatkan pertumbuhan itu dipacu oleh permintaan di pasaran tertentu, termasuk pasaran baharu serta sedia ada.

“Pakistan misalnya merupakan pasaran baharu syarikat namun muncul sebagai pasaran ekport terbaik bagi tempoh lima bulan pertama 2021.

“Selain itu, Brunei yang telah menjual kereta Proton sejak 1987 pula di tempat ketiga dari segi jualan tahun ini. Malah pada Mei lepas, pengimport Proton PAD Motors telah mencatat jualan terbaik syarikat sejak penubuhannya,” katanya.

Alpha Ezz El-Arab yang merupakan pengimport dan pengedar di Mesir, juga berjaya menjual sejumlah 350 unit setakat tahun ini dan di tempat kedua bagi pasaran eksport Proton.

Pengarah Jualan Antarabangsa Proton, Steven Xu berkata perancangan bagi 2021 adalah untuk meningkatkan jualan eksport secara agresif.

“Walaupun terdapat kekangan antarabangsa serta peningkatan kos penghantaran akibat COVID-19, kami kekal yakin dapat mencapai sasaran berikutan pelan jualan pengimport selain kelebihan produk-produk yang kami tawarkan.

“Selepas lima bulan, kami hampir menggandakan jumlah jualan berbanding sasaran awal dan berharap ini menjadi petanda kejayaan berterusan untuk tahun ini,” katanya.

Selain itu, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha membendung penularan COVID-19 juga  menyaksikan operasi syarikat automotif terbatas berikutan penutupan sementara pusat jualan yang dijangka mempengaruhi jualan keseluruhan industri bagi tempoh beberapa bulan.

“Namun, Proton kekal optimis berikutan prestasi bahagian jualan antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Xu berkata sejajar dengan peningkatan pertumbuhan jualan domestik, pemasangan model Proton di pasaran eksport juga penting bagi memastikan sasaran jangka panjang dapat dicapai.

Ini termasuk permulaan pemasangan tempatan bagi model Proton Saga di Kenya dan seterusnya di Pakistan.

“Jika semuanya berjalan lancar, rakan kongsi kami di Pakistan iaitu Al-Haj Automotive akan memulakan operasi pemasangan Proton Saga pada akhir Julai atau awal Ogos di kilang baharu di Karachi.

“Susulan itu, pemasangan Proton X70 akan dijalankan dan kami menaruh harapan tinggi perkembangan ini akan meningkatkan lagi pertumbuhan jualan di rantau Asia Selatan,” katanya.

Selain itu, walaupun pertumbuhan jualan di pasaran eksport menjadi bukti penerimaan luas jenama Proton dan produknya, teras pencapaian sasaran jangka panjang adalah menerusi usaha mengekalkan pertumbuhan di pasaran ASEAN.

Rantau ini juga merupakan pasaran sengit dengan kehadiran pelbagai jenama antarabangsa melabur dalam kemudahan pengeluaran untuk pasaran tempatan dan eksport selain persaingan pengilang tempatan.

Menurut Xu, walaupun kehadiran Proton di pasaran ASEAN lebih terhad kepada Brunei pada masa ini, namun syarikat itu menyasarkan untuk memasuki semula dua pasaran terbesar rantau ini iaitu Thailand dan Indonesia dalam masa terdekat.

“Bagi membolehkan Proton menduduki tempat ketiga dari segi jualan tertinggi di ASEAN, kami perlu mencatat kedudukan secara meluas di Thailand dan Indonesia.

“Sebagai pasaran automotif terbesar rantau ini, kedua-dua negara itu mempunyai potensi jumlah (pasaran) meluas walaupun persaingannya juga amat sengit.

“Pihak kami sedang berusaha mengenal pasti rakan kongsi untuk mewujudkan satu rangkaian memastikan model perniagaan yang berdaya maju. Oleh itu, matlamat kami adalah untuk kembali ke pasaran Thailand pada 2022,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

11,411 unit Proton dijual Nov 2020, naik 18 peratus

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Jualan kereta Proton meneruskan trajektori pertumbuhannya dengan mencatatkan prestasi kukuh pada akhir 2020 selepas dengan 11,411 unit dijual pada November, 2020, kadar pertumbuhan sebanyak 18 peratus tahun ke tahun.

Dalam satu kenyataan, Proton Holdings Bhd (Proton) berkata jualan yang dicatatkan pada November menjadikan jumlah unit kereta Proton dijual setakat tahun ini adalah 96,410 unit.

“Walaupun jualan untuk model Proton lain untuk bulan ini sedikit menurun berbanding Oktober, penghantaran Proton X50 yang baharu mula mendapat momentum dengan 1,756 unit telah dihantar, menjadikannya kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen B (lima tempat duduk) terlaris di Malaysia.

“Digabungkan dengan jualan 2,157 unit Proton X70, ini menjadikan Proton sebagai mendahului jualan SUV secara keseluruhan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah.

Jualan kereta Malaysia terus mengungguli unjuran pasaran dari awal tahun ini, dengan jumlah keseluruhan industri dianggarkan melebihi 56,000 unit untuk bulan ketiga berturut-turut.

“Sebilangan besar ini adalah disebabkan oleh tawaran akhir tahun oleh jenama kereta.

“Tahun ini kami dapat memasukkan insentif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan pelancaran model baharu yang popular seperti Proton X50 sebagai pemacu pertumbuhan volum,” kata Roslan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Jualan Proton naik empat bulan berturut, tempahan lepasi jangkaan

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Momentum jualan Proton Holdings Bhd (Proton) meningkat dari bulan Ogos ke September apabila syarikat automotif nasional itu mencapai keputusan positif bagi kadar jualan tahun ke tahun untuk bulan keempat berturut-turut.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton EDAR, Roslan Abdullah berkata jumlah jualan pada September adalah 11,935 unit, ia adalah kedua tertinggi bagi 2020 bersamaan dengan penambahan 4.9 peratus berbanding Ogos dan 12.5 peratus berbanding pada bulan sama pada 2019.

“Proton menjual sebanyak 73,607 unit kenderaan pada tahun ini, bersamaan dengan pegangan pasaran 21.6 peratus dan menduduki tempat kedua dalam industri automotif Malaysia,” kata Proton dalam kenyataan.

Tiga model Proton mencatatkan jualan tertinggi untuk segmen masing-masing, sama seperti Ogos, tiga model Proton mendahului segmen tersendiri pada bulan ini.

SUV terlaris di Malaysia, Proton X70 mencatat jualan sebanyak 2,849 unit, prestasi jualan yang kedua terbaik dalam tahun 2020. Proton Persona dan Proton Exora juga kekal sebagai model terlaris dalam kelas masing-masing, katanya.

Proton X50 mendapat 20,000 tempahan dalam masa dua minggu. Proton X50 adalah model terbaharu Proton, pembuatan model ini di kilang pengeluaran baharu Proton di Tanjung Malim bermula pada 15 September lepas dan tempahan mula diterima pada hari berikutnya.

“Selepas jualan keseluruhan industri (TIV) melebihi 50,000 unit untuk tiga bulan berturut-turut, kami boleh membuat anggapan bahawa pasaran automotif Malaysia berada dalam keadaan stabil ketika ini.

“Proton merasa lega kerana pencapaian jualan bulanan ini melebihi jumlah jualan bulanan pada tahun lepas dan ini adalah penunjuk bahawa kita kembali ke tahap penjualan lestari,” katanya.

Setakat ini, dalam masa dua minggu selepas tempahan mula diterima, jumlah tempahan melebihi jangkaan.

“Pihak Proton ingin berterima kasih kepada para pelanggan yang menunjukkan minat yang amat tinggi kepada Proton X50. Kami di Proton akan memberi tumpuan kepada proses pengeluaran untuk memenuhi permintaan pelanggan dalam tiga bulan terakhir bagi 2020 dan pada masa sama, turut memberi penekanan terhadap kualiti produk,” kata Roslan.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

X70: SUV paling laris setakat suku pertama 2019

KUALA LUMPUR, 2 APR: Proton X70 berjaya mencatatkan nombor pendaftaran yang memberangsangkan, dengan 2,979 unit didaftarkan pada Mac 2019, menjadikannya kenderaan utiliti sukan (SUV) paling laris untuk bulan tersebut dan SUV paling popular secara keseluruhan untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini, menurut Proton Holdings Bhd.

Pengeluar kereta nasional itu berkata, ia telah menerima lebih 25,000 tempahan untuk X70 sekali gus, menjadikannya model Proton paling popular pada 2019.

Katanya jumlah keseluruhan industri (TIV) meningkat 11.8 peratus tahun ke tahun pada Mac, dan syarikat telah mengatasi pasaran dengan peningkatan pendaftaran sebanyak 46.1 peratus, bersamaan dengan kadar pertumbuhan hampir empat kali lebih tinggi daripada keseluruhan industri.

“Bagi tempoh tiga bulan pertama 2019, angka kumulatif adalah 43.5 peratus, atau lebih daripada enam kali bilangan TIV sebanyak 6.7 peratus.

“Kedudukan keseluruhan jualan Proton merupakan yang paling hadapan berbanding jenama pesaing lain bagi bulan itu dan suku pertama 2019,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Li Chunrong berkata, pencapaian itu berdasarkan pembukaan cawangan 3S/4S (khidmat jualan, servis, alat ganti serta ketuk dan cat), kualiti produk yang meningkat dan tumpuan kepada perkhidmatan pelanggan.

“Dengan pelancaran pelbagai lagi model oleh syarikat pada tahun ini, Proton yakin pelaburannya dalam perniagaan akan terus memberi kelebihan kepada pertumbuhan jualan.

“Dengan jumlah penyerahan Proton X70 yang meningkat, kami berharap dapat mengurangkan masa menunggu pelanggan kami.

“Pada masa sama, kami berusaha untuk memastikan setiap unit yang diserahkan mempunyai tahap kualiti yang tinggi kerana matlamat kami adalah untuk SUV baharu ini menjadi kenderaan yang diberi nilai tertinggi untuk Kajian Kualiti Awal (IQS) Malaysia pada 2019,” kata Li dalam kenyataan.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Proton X70 terima tempahan lebih 200 sehari

KUALA LUMPUR, 28 DIS: Proton X70, kenderaan utiliti sukan (SUV) yang diperkenalkan Proton Holdings Bhd dengan kerjasama Zhejiang Geely Holding Group dari China, menerima 200 hingga 300 tempahan sehari sejak dilancarkan, pada 12 Disember lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd, Datuk Abdul Rashid Musa berkata, lebih 60 peratus tempahan adalah untuk varian premium yang menunjukkan pembeli tertarik dengan ciri dan tahap peralatannya serta berpandangan ia berbaloi.

“Sokongan kukuh itu berterusan dan ini adalah maklum balas terbaik diterima Proton,” katanya lapor BERNAMA.

Pembuat kereta nasional itu mencatatkan lebih 15,000 tempahan selepas kempen prapelancaran untuk model SUV pertamanya.

X70 yang menerapkan ciri model terbaik Boyou Geely akan dihasilkan sepenuhnya, di China dan diimport sebagai unit siap bina (CBU) ke Malaysia.

Proton dan Geely bercadang mengeluarkan versi pemanduan sebelah kanan (RHD) di kilang Proton, di Tanjung Malim sebagai pemasangan tempatan (CKD) tahun depan dengan pelaburan RM1.2 bilion.

Abdul Rashid berkata, dengan kilang di Tanjung Malim dinaik taraf untuk pengeluaran RHD SUV berkenaan, Proton boleh menjual seberapa banyak unit CBU X70 melalui permit import sambil menunggu barisan pengeluaran CKD siap sekitar Oktober 2019.

X70 dilengkapi teknologi komunikasi mudah alih, sistem maklumat kokpit bersepadu maju yang menawarkan pelbagai fungsi pengguna selain keupayaan untuk disambungkan dengan peralatan mudah alih.

Proton menawarkan pembeli X70 pakej tambah nilai khas termasuk alat ganti dan kos buruh percuma untuk servis pertama selain kos buruh percuma untuk lima servis berjadual bagi 100,000 kilometer atau lima tahun.

Ia juga menawarkan kadar faedah rendah bermula 2.34 peratus setahun untuk pembeli yang layak, jaminan perbatuan tidak terhad sehingga lima tahun dan data internet satu gigabait sebulan untuk lima tahun.

“Tempahan baru X70 berpeluang menerima kereta berkenaan dalam masa dua ke tiga bulan daripada tarikh tempahan, bergantung kepada varian dan warna yang dipilih,” kata Abdul Rashid.