Categories
NASIONAL

Kerajaan Dan Kroni Didakwa Bolot Untung Saman Pengangkutan

PETALING JAYA 04 JULAI : PKR hari ini mendakwa Kementerian Pengangkutan berkongsi kompaun saman yang dikenakan ke atas rakyat bersama dua syarikat yang diberikan kontrak projek ‘Automated Enforcement System’ (Aes).

Bendahari Agung PKR, William Leong berkata mengikut kedua-dua laporan syarikat Ates Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd menyatakan setiap RM16 bagi satu saman yang dikeluarkan akan diberikan kepada kedua-dua syarikat terbabit.

Katanya, RM16 itu akan diberikan sehingga saman yang dikeluarkan mencecah lima juta.

Manakala, selepas mencecah lima juta saman, Kementerian akan mendapat 50 peratus manakala 50 peratus lagi akan diberikan kepada syarikat terbabit sehingga syarikat itu mendapat keuntungan RM272 juta setahun.

“Oleh kerana itu, kedua-dua syarikat terbabit mensasarkan untuk mengeluarkan sekurang-kurangnya 10 juta saman setiap tahun,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR.

Disebabkan itu, Ahli Parlimen Pakatan Rakyat membantah Akta Pindaan Pengangkutan yang menyatakan denda minimum sebanyak RM300 dan maksimum RM2000 akan dikenakan bagi setiap kesalahan.

“Ini satu angka keuntungan yang besar kerana apabila selepas jumlah itu, mereka akan berkongsi sebanyak 7.5 peratus lagi,” katanya.

Ahli Parlimen Selayang itu juga mendakwa, salah satu pengarah syarikat Beta Tegap Sdn Bhd iaitu Datuk Arianta Alikusno mempunyai hubungan dengan pemimpin MCA.

“Ini kerana Arianta ini pernah diberikan satu kontrak yang besar pada tahun 2005 daripada Kementerian Kesihatan melalui syarikat Mediharta Sdn Bhd.

“Dalam senarai pemegang saham syarikat Beta Tegap Sdn Bhd yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati Arianta dan anaknya Dr Andres Teoh serta isterinya, Yap Kim See @ Yap Ai Lin dan seorang iaitu Datuk Mohd Yunus Othman merupakan antara pemegang saham syarikat itu.

“Begitu juga dengan syarikat Mediharta Sdn Bhd, adalah orang yang sama,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan bidang kepakaran kedua-dua syarikat itu.

“Apakah kepakaran dan pengalaman mereka dalam Aes?. Apa yang kita tahu teknologi yang digunakan oleh syarikat Beta Tegap hanya daripada sebuah syarikat Australia iaitu Reflex Pty Limited dan apakah kepakaran mereka dalam ‘security hologram’ yang diberikan kontrak daripada Kementerian Kesihatan?” katanya.

Justeru, beliau meminta Presiden MCA, Datuk Chua Soi Lek memberi penjelasan berhubungan kaitan dengan nama-nama terbabit.

“Kenapa Kementeria Pengangkutan tidak memberi kontrak terus kepada syarikat Reflex? Kenapa guna wakil? Ini kerana mereka mahu mengaut keuntungan,” katanya.