Categories
AGENDA NASIONAL

SSM galak pelanggan guna sistem dalam talian

KUALA LUMPUR, 21 JUN: ​Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menasihatkan para pelanggan untuk memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan dalam talian yang disediakan bagi mengelakkan terpaksa beratur panjang untuk berurusan di kaunter semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini.

SSM dalam satu kenyataan hari ini berkata bergantung kepada jenis transaksi, para pelanggan boleh menggunakan perkhidmatan dalam talian Portal Ezbiz (https://ezbiz.ssm.com.my/) untuk urusan berkaitan entiti perniagaan tunggal dan perkongsian, Portal MyCOID (https://mycoid2016.ssm.com.my/) untuk urusan berkaitan entiti syarikat dan Portal MyLLP (https://www.myllp.com.my/) untuk urusan berkaitan entiti perkongsian liabiliti terhad.

Selain itu, para pelanggan juga boleh menggunakan perkhidmatan dalam talian Portal e-Info (https://www.ssm-einfo.my) dan Portal MyData (https://www.mydata-ssm.com.my) untuk urusan berkaitan maklumat korporat syarikat dan perniagaan, Portal MBRS (https://www.ssm4u.com.my/Pages/default.aspx ) untuk urusan berkaitan serahsimpan penyata kewangan dan penyata tahunan dan Portal e-secretary (https://esecretary.ssm.com.my/) untuk urusan berkaitan pendaftaran setiausaha syarikat.

“Sekiranya perlu berurusan di kaunter, hanya para pelanggan yang mempunyai temu janji sahaja yang dibenarkan untuk hadir berurusan di pejabat SSM di seluruh negara.

“Borang temu janji boleh di dapati di portal rasmi SSM, www.ssm.com.my,” kata suruhanjaya itu.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Rugi Bawah BN, PNSB Jana Untung Bawah PR

SHAH ALAM, 18 JULAI: Rugi untuk empat tahun berturut-turut di bawah pentadbiran Umno-BN Selangor, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) mula mencatat keuntungan di bawah Pakatan Rakyat.

Menurut Setiausaha publisiti DAP, Tony Pua, PNSB mengalami kerugian selepas cukai berjumlah RM 0.9 juta pada tahun 2005, RM7.5 juta (2006), RM1 juta (2007) dan RM15.6 juta pada 2008.

“Selepas beralih kepada Pakatan, PNSB merekodkan keuntungan RM8 juta pada 2009, RM23.4 juta pada 2010 dan RM 28.4 juta pada 2011,” kata Pua semalam di petik daripada portal web Free Malaysia Today.

Berdasarkan dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),menunjukkan PNSB mempunyai jumlah aset berjumlah RM761 juta bagi tahun 2010 dan RM823 juta bagi tahun 2011.

Pada tahun 2008 dan 2009 PNSB masing-masing memiliki aset bernilai RM111 juta dan RM115 juta.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata demikian bagi menjawab dakwaan Pengerusi Biro Profesional Muda MCA, Chua Tee Yong mengenai beban hutang yang terpaksa ditanggung PNSB ekoran pembelian tanah di Bukit Beruntung 2 dan Bestari Jaya dari Kerajaan Negeri.

Beritahunya lagi, berdasarkan laporan akaun PNSB tahun 2009, perbadanan itu dalam keadaan kewangan yang sihat, bebas hutang serta memiliki wang tunai dan simpanan tetap sebanyak RM76 juta.

Tony turut mengulangi cabaran kepada Chua untuk berdebat bagi membuktikan kebenaran tentang isu ini.

“Walaupun Chua menolak tawaran debat saya, saya berharap bahawa dia akan menimbang semula tawaran itu untuk membahaskan hutang Talam yang dia bangkitkan atau mungkin sekurang-kurang boleh mengajar saya tentang perakaunan yang sepatutnya,” ujarnya lagi.

Categories
NASIONAL

Kerajaan Dan Kroni Didakwa Bolot Untung Saman Pengangkutan

PETALING JAYA 04 JULAI : PKR hari ini mendakwa Kementerian Pengangkutan berkongsi kompaun saman yang dikenakan ke atas rakyat bersama dua syarikat yang diberikan kontrak projek ‘Automated Enforcement System’ (Aes).

Bendahari Agung PKR, William Leong berkata mengikut kedua-dua laporan syarikat Ates Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd menyatakan setiap RM16 bagi satu saman yang dikeluarkan akan diberikan kepada kedua-dua syarikat terbabit.

Katanya, RM16 itu akan diberikan sehingga saman yang dikeluarkan mencecah lima juta.

Manakala, selepas mencecah lima juta saman, Kementerian akan mendapat 50 peratus manakala 50 peratus lagi akan diberikan kepada syarikat terbabit sehingga syarikat itu mendapat keuntungan RM272 juta setahun.

“Oleh kerana itu, kedua-dua syarikat terbabit mensasarkan untuk mengeluarkan sekurang-kurangnya 10 juta saman setiap tahun,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR.

Disebabkan itu, Ahli Parlimen Pakatan Rakyat membantah Akta Pindaan Pengangkutan yang menyatakan denda minimum sebanyak RM300 dan maksimum RM2000 akan dikenakan bagi setiap kesalahan.

“Ini satu angka keuntungan yang besar kerana apabila selepas jumlah itu, mereka akan berkongsi sebanyak 7.5 peratus lagi,” katanya.

Ahli Parlimen Selayang itu juga mendakwa, salah satu pengarah syarikat Beta Tegap Sdn Bhd iaitu Datuk Arianta Alikusno mempunyai hubungan dengan pemimpin MCA.

“Ini kerana Arianta ini pernah diberikan satu kontrak yang besar pada tahun 2005 daripada Kementerian Kesihatan melalui syarikat Mediharta Sdn Bhd.

“Dalam senarai pemegang saham syarikat Beta Tegap Sdn Bhd yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati Arianta dan anaknya Dr Andres Teoh serta isterinya, Yap Kim See @ Yap Ai Lin dan seorang iaitu Datuk Mohd Yunus Othman merupakan antara pemegang saham syarikat itu.

“Begitu juga dengan syarikat Mediharta Sdn Bhd, adalah orang yang sama,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan bidang kepakaran kedua-dua syarikat itu.

“Apakah kepakaran dan pengalaman mereka dalam Aes?. Apa yang kita tahu teknologi yang digunakan oleh syarikat Beta Tegap hanya daripada sebuah syarikat Australia iaitu Reflex Pty Limited dan apakah kepakaran mereka dalam ‘security hologram’ yang diberikan kontrak daripada Kementerian Kesihatan?” katanya.

Justeru, beliau meminta Presiden MCA, Datuk Chua Soi Lek memberi penjelasan berhubungan kaitan dengan nama-nama terbabit.

“Kenapa Kementeria Pengangkutan tidak memberi kontrak terus kepada syarikat Reflex? Kenapa guna wakil? Ini kerana mereka mahu mengaut keuntungan,” katanya.