Categories
AGENSI SELANGOR

Yide galak transaksi tanpa tunai, sumbang guna e-dompet Touch n Go

SHAH ALAM, 16 OGOS: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) mengalu-alu orang ramai menyumbang menerusi e-dompet Touch n Go bagi menggalakkan penggunaan transaksi tanpa tunai.

Pengurus besarnya berkata kemudahan disediakan lebih efisien dan mengikut keadaan semasa serta tiada caj perkhidmatan dikenakan kepada pendema bagi Tabung Infaq Dana Yide.

“Dengan kaedah terbaharu ini orang awam boleh menderma secara terus sekali gus memudahkan kami menguruskan aktiviti kebajikan di negeri ini,” kata Nur Mohd Razali Abdullah dalam kenyataan.

Pada 13 Ogos lalu, Yide dengan rasminya menerima serahan e-dompet Touch n Go bagi kegunaan di ibu pejabatnya dan enam cawangan Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Selangor.

Penyerahan itu disampaikan menerusi kod QR oleh wakil bahagian produk dan pembangunan industri kecil sederhana Touch n Go, Azam Maszelan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Yide sumbang RM291,500 kepada 17 rumah anak yatim

SHAH ALAM, 15 OGOS: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) mengagihkan RM291,500 kepada 17 rumah anak yatim seliaannya di Rumah Kasih Harmoni, Paya Jaras di sini pada Rabu lalu.

Pengurus besarnya berkata sumbangan fasa pertama itu bersempena Majlis Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-63 dengan edaran Jalur Gemilang juga kepada wakil rumah berkaitan selain enam Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Selangor.

“Yide turut menganjurkan pertandingan menghias rumah anak yatim dengan tawaran hadiah RM1,000 kepada seorang pemenang,” kata Nur Mohd Razali Abdullah dalam kenyataan.

Tahun lalu, Yide memperuntukkan RM561,000 untuk agihan kepada Rumah Kebajikan Anak Yatim seliaan mereka.

Yide menyeru orang ramai, syarikat korporat, agensi berkaitan kerajaan untuk terus memuliakan golongan ini dengan menyumbang melalui platform sumbangan terus ke akaunnya, Bank Islam (1223 40100 07330) atau melalui dalam talian Billplz: https://yide.com.my/donations/infaq-dana-anak-yatim/ atau Jom Pay (Biller Code: 81059 dan aplikasi Snap and Pay.

Setiap sumbangan diberikan akan dikecualikan cukai pendapatan dan potongan di bawah Subseksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967, Nombor Rujukan LHDN 01/35/42/51/179-6.7622, bertarikh 15 November 2019 melalui resit rasmi Yide.

Categories
AGENSI SELANGOR

Lima keluarga mangsa kebakaran dapat bantuan Yide

SHAH ALAM, 11 JULAI: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) semalam menghulurkan sumbangan kepada lima keluarga yang tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Changkat, Gombak pada 6 Julai lalu.

Agensi itu memaklumkan bantuan kewangan dan keperluan harian seperti selimut, tuala, baju serta kain bertujuan meringankan beban semua mangsa terbabit.

“Dua daripada rumah setinggan itu musnah sepenuhnya termasuk barangan peribadi serta dokumen penting malah mereka mengatakan wang tunai untuk bayaran pendahuluan rumah baharu juga hangus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, sumbangan disampaikan Pegawai Kebajikan Yide, Muhammad Zubair Azizan dan disertai Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Changkat, Rosli Abd Ghani.

Yide berkata buat masa ini sebuah keluarga terjejas sedang menghuni di Dewan Orang Ramai MPKK Kampung Changkat manakala empat lagi menumpang di rumah saudara-mara terdekat.

“Kita percaya, pihak berkaitan akan menyalurkan bantuan lain kepada mangsa terjejas terutama melibatkan baik pulih rumah,” katanya.

Difahamkan, tiada kemalangan jiwa dalam kejadian pada jam 10 pagi itu.

Categories
AGENSI SELANGOR

Yide sumbang keperluan asas, wang tunai bantu sekolah terjejas

SHAH ALAM, 9 JULAI: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menyumbang barang keperluan asas dan wang tunai kepada Sekolah Agama Menengah (SAM) Sungai Merab Luar, Kajang yang rosak akibat ribut.

“Kejadian ini menyebabkan kerosakan teruk pada bahagian bumbung kantin, asrama lelaki dan perempuan termasuk pejabat sekolah dan bilik guru sehingga menyebabkan gangguan elektrik serta kebocoran,” kata Pengurus Operasi Yide Md Arifin Jaafar dalam kenyataan.

Md Arifin menyampaikan sumbangan terbabit ketika turun padang bagi melihat keadaan sekolah itu semalam.

Selain bangunan sekolah itu, dilaporkan 30 rumah di Kampung Sungai Merab Luar, Kajang turut mengalami kerosakan teruk akibat ribut dan angin kencang pada Ahad lalu.

Orang ramai boleh berkongsi maklumat sekiranya berlaku musibah atau malapetaka di kawasan masing-masing dengan menghubungi talian khas Yide di 017-7569476.

Categories
AGENSI SELANGOR

Yide selesai agih RM827,000 bantuan hari raya, PKP

SHAH ALAM, 9 JUN: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) mengagihkan RM827,000 bantuan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada anak yatim, petugas barisan hadapan dan keluarga mangsa Covid-19, kata pengurus operasinya.

Md Arifin Jaafar berkata daripada jumlah itu sebanyak RM742,000 sumbangan Hari Raya Aidilfitri diagihkan kepada 7,420 anak yatim seliaan yayasan itu sekitar negeri ini.

“Manakala, selebihnya adalah bantuan PKP iaitu bekalan set kelengkapan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada hospital dan klinik kesihatan di Selangor serta bekalan barangan keperluan asas kepada keluarga pesakit Covid-19 dan petugas barisan hadapan,” katanya kepada SelangorKini.

Md Arifin berkata pihaknya menzahirkan terima kasih kepada penyumbang dan semoga sumbangan ini diteruskan lagi pada masa akan datang.

“Yide harap individu atau mana-mana agensi teruskan menyumbang kerana setiap sumbangan anda akan mendapat pengecualian cukai. Sumbangan secara dalam talian boleh dibuat menerusi laman sesawang Yide di www.yide.com.my,” kata beliau.

Categories
AGENSI SELANGOR

Yide hulur barang asas, wang tunai bantu mangsa kebakaran

SHAH ALAM, 27 APRIL: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menghulurkan bantuan barang keperluan asas dan wang tunai kepada sebuah keluarga yang terjejas ditimpa musibah kebakaran di Jalan Kampung Kerdas Batu 6, Gombak dekat sini baru-baru ini.

Agensi itu dalam kenyataan memaklumkan sumbangan segera diberi kepada mangsa, Arifin Rahmat, selepas pihaknya menerima maklumat daripada wakil kariah Ahli Masjid Lama Batu 6 berhubung kejadian terbabit.

“Sumbangan ini bertepatan dengan fokus utama Yide untuk membantu mangsa ditimpa musibah khususnya di Selangor. Kita akan terus tekad membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Sumbangan tersebut disampaikan pegawai Hal Ehwal Kebajikan Yide, Muhammad Zubair Azizan.

Sementara itu, Arifin berkata kebakaran pada 18 April lalu berlaku dengan pantas sehingga menyebabkan hampir keseluruhan struktur dua rumah miliknya hangus.

Bagaimanapun, beliau yang mendiami rumah berkenaan lebih 30 tahun bersyukur kerana kejadian itu tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Categories
AGENSI SELANGOR

Yide – MCG sumbang alat kelengkapan perlindungan kepada PPUKM

SHAH ALAM, 7 APRIL: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) dengan kerjasama Muslim Care Global (MCG) menyumbang alat kelengkapan perlindungan kepada Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) semalam, kata pengurus besarnya.

Nur Mohd Razali Abdullah berkata peralatan itu termasuk topeng muka, botol cecair pembasmi kuman, CPE penutup kasut, CPE penutup kepala dan CPE gaun kakitangan.

“Sumbangan ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban petugas barisan hadapan menghadapi cabaran wabak Covid-19 yang berada pada tahap pengawasan tertinggi.

“Dengan pertambahan kluster terbaharu dan gelombang ketiga bakal dihadapi, keutamaan perlu diberikan kepada mereka semua yang terdedah kepada risiko,” katanya.

Menurut beliau agihan itu hasil daripada sumbangan Tabung Prihatin Covid-19 yang ditubuhkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan Tabung Prihatin Covid-19 Mais boleh terus ke http://fpx.mais.gov.my/epay/sedekah.php atau pindahan wang ke nombor akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) (12038010134961) atas nama Majlis Agama Islam Selangor. (Nyatakan:Tabung sumbangan Covid19).

Categories
AGENSI SELANGOR

Yide sumbang bekalan makanan basah kepada tujuh rumah anak yatim

SHAH ALAM, 3 APRIL: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menyumbang bekalan makanan basah termasuk ayam dan ikan kepada tujuh rumah anak yatim seliaannya semalam, kata pengurus besarnya.

Nur Muhd Razali Abdullah berkata 272 kilogram (kg) ayam dan 144 kg ikan diserah kepada Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash Shakur (Pekeas), Pertubuhan Rahoma Darul Fakir Malaysia, Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras dan Rumah Anak Yatim Raudhatul Al Faeez, Lembah Keramat.

Katanya, Rumah Anak Yatim dan Al Hidayah Al Hijrah, Hulu Langat, Pertubuhan Rumah Jalinan Kasih Anak-Anak Yatim Miskin Wilayah Selangor dan Rumah Amal Baitul Kasih turut menerima bantuan sama.

“Dalam waktu Perintah Kawalan Pergerakan fasa kedua ini kemungkinan bekalan makanan mentah terhad untuk mereka dan sebagai agensi kebajikan di bawah Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Yide sentiasa mengambil berat keperluan rumah anak yatim berdaftar di Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Orang ramai yang mahu menyalurkan bantuan untuk Tabung Prihatin Covid-19 Mais di http://fpx.mais.gov.my/epay/sedekah.php atau pindahan wang ke nombor akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) (12038010134961) atas nama Majlis Agama Islam Selangor (Nyatakan: tabung sumbangan Covid19).

Categories
AGENSI SELANGOR

Yide terima sumbangan 192kg gula, agih ke rumah anak yatim

SHAH ALAM, 31 MAC: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) terima 192 kilogram (kg) gula dari Central Sugar Refinery (CSR) Sdn Bhd untuk diagihkan kepada rumah anak yatim seliaan agensi itu.

Yide dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menzahirkan ribuan terima kasih kerana banyak berikan pelbagai bentuk sumbangan dan khidmat sejak mula kerjasama pada 2008.

“Sumbangan amal ini amat memberi makna kepada Yide agar dapat memastikan kebajikan dan perlindungan di rumah anak yatim terpelihara dan terjaga khususnya sewaktu arahan Perintah Kawalan Pergerakan ini,” kata kenyataan itu, hari ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai peranan Yide, boleh hubungi Ibu Pejabat Yide di talian 03-5510 3931, email ke publisiti [email protected] atau layari www.yide.com.my.

Categories
AGENSI SELANGOR

Yide edar cecair pembasmi kuman kepada anak yatim

SHAH ALAM, 19 MAC: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) mengedarkan 25 botol cecair pembasmi kuman kepada penghuni Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim seliaannya kelmarin.

Ketua Pegawai Hal Ehwal Kebajikannya, Muhammad Zubair Azizan berkata langkah itu diambil susulan kebimbangan peningkatan kes jangkitan Covid-19 di seluruh negara ketika ini.

“Ini merupakan langkah awal bagi membendung penularan wabak Covid-19 di antara kanak-kanak yang mudah terdedah dengan risiko jangkitan.

“Malah, kunjungan kita ke sini selaras dengan usaha murni untuk memastikan kebajikan dan perlindungan anak-anak yatim sentiasa terpelihara dan terjaga,” katanya dalam kenyataan.

Categories
AGENSI SELANGOR

YIDE agih RM2.8 juta bantu golongan sasar

SHAH ALAM, 21 JAN: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) mengagihkan RM2.8 juta kepada golongan memerlukan dan pusat dialisis di negeri ini sepanjang tahun lalu, kata Pengurus Besarnya.

Nur Mohd Razali Abdullah berkata yayasan menyalurkan sumbangan daripada syarikat korporat, syarikat berkaitan kerajaan serta orang awam yang dianggap berjaya kerana jumlah agihan melebihi tahun sebelumnya.

“YIDE memberi RM900,000 kepada 9,000 anak yatim individu dengan setiap seorang menerima RM100 manakala RM500,000 kepada 15 rumah kebajikan.

“Kita juga membeli 10 mesin dialisis dan dua mesin penapis air layan diri bernilai RM600,000 disumbangkan kepada pusat dialisis selain RM100,000 kepada mangsa ditimpa musibah dan malapetaka,” katanya melalui kiriman WhatsApp.

Kaedah sumbangan YIDE juga dipelbagai dengan adanya Jom Pay Snap & Pay dan melalui payment gateway yang boleh diakses di https://yide.com.my/.

Sumbangan terbabit tidak termasuk RM2.5 juta daripada Central Spectrum (M) Sdn Bhd bagi membiayai pembangunan Kompleks Anak Yatim Pulau Indah.

Categories
AGENSI SELANGOR

80 kanak-kanak sertai program berkhatan anjuran YIDE

SHAH ALAM, 26 NOV: Seramai 80 kanak-kanak asnaf dan anak yatim menyertai Program Berkhatan Perdana anjuran Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) hari ini.

Majlis berkhatan di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong itu adalah julung kali diadakan dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS), Management and Science University, Medical Centre (MSU MC).

Pembantu EXCO Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, kesemua peserta terbabit terdiri daripada kanak-kanak berusia lingkungan tujuh hingga 15 tahun dari seluruh Selangor.

Pembantu EXCO Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni Melawat tempat berkhatan pada program berkhatan Perdana anjuran Yayasan Islam Darul Ehsan di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, Shah Alam. 26 November 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Katanya, inisiatif itu dilaksanakan untuk meringankan beban ibu bapa memandangkan kos untuk berkhatan masa kini agak mahal.

“Kita menggerakkan program ini melalui institusi agama seperti masjid dan surau bagi membantu golongan memerlukan terutama anak yatim serta fakir miskin dengan menawarkan harga berpatutan.

”Apabila tiba musim cuti persekolahan ibu bapa perlu menanggung banyak komitmen, bahkan ada di sesetengah kawasan yang kebanyakannya terdiri daripada keluarga miskin tidak mampu mengkhatankan anak mereka,” katanya ketika ditemui pemberita.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MSU MC, Dato’ Nasharuddin Shukor; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif YIDE, Nur Mohd Razali Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Mat Yusop.

Gelagat kanak-kanak pada program berkhatan Perdana anjuran Yayasan Islam Darul Ehsan di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, Shah Alam. 26 November 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Mohd Zawawi yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis berkata, MSU MC menyediakan seramai empat doktor pakar dengan menggunakan kaedah laser (Diathermy).

Katanya, kaedah berkenaan bukan sahaja mempercepatkan proses berkhatan, malahan memberi kesembuhan segera kepada kanak-kanak.

“Malah, berkhatan juga dituntut oleh agama Islam bagi penjagaan kesihatan dan kebersihan diri yang lebih sempurna,” katanya.

Pada masa sama, katanya, program seumpama itu akan dijadikan sebagai acara tahunan selaras dengan hasrat untuk terus menyantuni dan memperkasa kebajikan golongan memerlukan.