Categories
SELANGOR

YIDE: Sumbangan Ad-Hoc bantu mangsa kebakaran

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 15 SEPT: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) menyampaikan sumbangan ‘Ad-Hoc’ kepada sebuah keluarga terlibat kebakaran di Jalan Kubur, Batu 4, Ijok baru-baru ini.

Pegawai Perhubungan Korporatnya, Muhammad Hafiz Bahari berkata, pihaknya menghulurkan bantuan berbentuk wang tunai dan barang keperluan asas harian.

b3e54dcc-fb86-4415-a5fa-7c07a6723a0d“Sumbangan ini adalah satu aktiviti kemasyarakatan atau tanggungjawab sosial korporat YIDE kepada masyarakat setempat khususnya masyarakat di negeri Selangor,” katanya.

Sementara itu,mangsa kebakaran, Mat Ujalan Supian, 55, berkata beliau menyedari rumahnya dipenuhi asap dan api ketika sedang berehat di ruang tamu rumah beliau.

“Api mula marak dengan cepat sekitar jam 5 petang dan pihak bomba berjaya mengawal kebakaran 30 minit kemudian.

“Alhamdulillah semua ahli keluarga saya selamat, dan rumah bahagian belakang sahaja yang terbakar.

“Bomba memberi tahu punca kebakaran disebabkan litar pintas dan kerugian dianggarkan sekitar RM 50,000,” katanya

Categories
SELANGOR

YIDE tampil bantu Baitul Barokah

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 1 OGOS: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) menyampaikan sumbangan ‘Ad-Hoc’ kepada Rumah Anak-Anak Yatim Pertubuhan Kebajikan Baitul Barokah Wal Mahabbah yang terlibat dalam kebakaran, baru-baru ini.

Pengurus Operasi Bahagian Sumbangan dan Promosi YIDE, Md Arifin Jaafar berkata, sumbangan RM1,000 itu antara inisiatif YIDE membantu individu atau organisasi dalam meringankan beban setelah ditimpa musibah.

YIDE (1)“Selain bantuan wang tunai, barangan keperluan harian seperti pakaian, keperluan diri dan harian turut diberikan.

“Selain memberi bantuan bencana kepada rakyat, YIDE juga berperanan menguruskan hal ehwal anak yatim selain menawarkan Perkhidmatan Rawatan Hemodialisis melalui Pusat Dialisis MAIS yang mempunyai enam cawangan serata Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Guru merangkap Pegawai Pentadbiran Pertubuhan Kebajikan Baitul Barokah, Mohd Sulaiman Sanusi berkata, kebakaran di dua bilik asrama lelaki itu disebabkan litar pintas.

Kejadian menyebabkan hampir 80 peratus kelengkapan asrama musnah terbakar dengan kerugian hampir mencecah RM 150,000.

“Blok asrama dihuni 43 pelajar tahfiz lelaki berumur di antara 8 ke 12 tahun itu disedari mula terbakar ketika pelajar bersiap untuk menunaikan solat tahajud pada jam 4.00 pagi.

“Buat masa ini, kesemua pelajar terbabit akan menginap di bangunan kelas sehingga kerja pembaikan dan baik pulih, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku,” katanya.

Categories
SELANGOR

YIDE: 66 anak yatim terima duit raya RM100

OLEH SYAZWANI SUFIAN

AMPANG, 19 JUN: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri sebanyak RM6,600 kepada 66 anak yatim di Rumah Bakti Dato’ Harun, Ampang, di sini, semalam.

Sumbangan diperuntukkan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) itu bertujuan menggembirakan anak yatim sempena menyambut Aidilfitri.

Turut hadir Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

2234Sehingga hari ini, sejumlah RM1.2 juta diperuntukkan YIDE bagi menyalurkan sumbangan kepada anak yatim di semua daerah.

YIDE adalah sebuah organisasi milik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dipertanggungjawab menjaga hal ehwal kebajikan anak-anak yatim di seluruh negeri.

YIDE turut berperanan menyalurkan sumbangan kecemasan ‘Ad-Hoc’ kepada mangsa musibah atau malapetaka seperti kebakaran dan banjir dengan menyalurkan kit barangan asas keperluan harian dan wang tunai.

Categories
SELANGOR

YIDE-Selgate Corporation jalin kerjasama jaga kebajikan anak yatim

OLEH HAFIZAN TAIB

SUNGAI BESAR, 4 JUN: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) dan Selgate Corporation Sdn Bhd (Selgate Corporation) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berkaitan pengeluaran Kad Peduli Sihat kepada anak yatim di Selangor.

Pengerusi YIDE, Dato’ Mohamad Adzib Mohd Isa, berkata dengan termeterainya MoU itu hari ini, pihaknya dan Selgate Corporation menjalin kerjasama bagi menjaga hal ehwal kesihatan khususnya anak yatim.

“Selgate Corporation akan mengeluarkan 8,000 Kad Peduli Sihat kepada anak yatim berdaftar dengan YIDE.

IMG_20170604_141631-1280x853Beliau berkata demikian dalam majlis Penyerahan Sumbangan Aidilfitri kepada anak yatim Daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam di Masjid Ma’muniah, Sungai Nipah, Simpang Lima, di sini.

Majlis itu dihadiri DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang berkenan menyampaikan sumbangan berjumlah RM150,600 kepada 1506 anak yatim.

Mohamad Adzib berkata, YIDE dan Selgate Corporation juga akan bekerjasama dalam mewujudkan kemudahan pusat dialisis untuk masyarakat Selangor yang dikenali Pusat Dialisis MAIS-SELGATE.

“Pusat itu akan dibina di empat daerah iaitu Sepang, Hulu Langat, Hulu Selangor dan Kuala Langat,” katanya.

IMG_20170604_141129-1280x935Majlis MoU antara YIDE dan Selgate disempurnakan Mohamad Adzib dan Ketua Pegawai Eksekutif Selgate Corporation, Noor Hisham Mohd Ghouth serta disaksikan Raja Muda Selangor.

Turut bersama dalam majlis itu, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahamad Yunus Hairi; Exco Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi; Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim serta hadirin lain.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

YIDE salur RM800,000 sumbangan raya anak yatim

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 16 MEI: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) memperuntukkan RM800,000 untuk sumbangan Aidilfitri kepada anak-anak yatim seluruh Selangor, Ramadan ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif YIDE, Nur Muhammad Razali Abdullah berkata, penyerahan sumbangan melibatkan sembilan daerah dan lima masjid itu membabitkan 7,821 anak yatim.

Katanya, berdasarkan jumlah penerima itu terdapat peningkatan sembilan peratus jumlah anak yatim berdaftar di bawah YIDE tahun ini.

“Penyerahan akan dibahagi kepada lima zon mengikut daerah di masjid terpilih iaitu Masjid Ma’muniah (Sabak Bernam dan Kuala Selangor), Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Petaling dan Klang), Masjid Raja Haji Fisabilillah (Kuala Langat dan Sepang), Masjid Al-Khairiyah (Gombak dan Hulu Langat) serta Masjid Jamek Ar-Rahimah (Hulu Selangor).

YIDE“Kriteria pemilihan masjid ini dipilih berdasarkan tumpuan strategik yang boleh diakses setiap pihak yang akan hadir dan diambil kira kebesaran kawasan dewan utama yang akan digunakan ketika majlis berlangsung kelak,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berharap sumbangan itu dapat membantu persiapan menyambut hari raya dan menceriakan mereka dalam menjalani ibadah puasa.

Tambahnya lagi, pihaknya berbesar hati sekiranya syarikat GLC, Swasta mahupun individu yang ingin menginfaqkan sumbangan bagi membantu anak yatim meraikan hari lebaran akan datang.

YIDE adalah sebuah agensi dibawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang dipertangungjawabkan menjalankan aktiviti kebajikan meliputi memberi sumbangan dan barangan secara ‘Ad-Hoc’ kepada golongan sasaran dalam bentuk kewangan tunai serta barangan keperluan harian.

Categories
SELANGOR

YIDE perkenal Kupon Infaq bantu kumpulan memerlukan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 11 MEI: Buat julung kali Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperkenalkan Kupon Infaq dalam usaha mencari dana tambahan khusus membantu masyarakat memerlukan di Selangor.

Pegawai Perhubungan Korporat YIDE, Muhammad Hafiz Haji Bahari berkata, pembayar zakat fitrah boleh menyumbang semasa menunaikan kewajipan zakat dengan mendapatkan Kupon Infaq YIDE bernilai RM2 yang akan diedarkan bersama Kupon Zakat Fitrah kelak.

Katanya, infaq atau sumbangan yang dikeluarkan melalui kupon itu adalah inisiatif membantu dalam tiga aspek utama membabitkan hal ehwal malapetaka/musibah, perkhidmatan rawatan hemodialisis dan program anak yatim.

YIDE - Hafiz“Tiga skop utama ini bersesuaian dengan prinsip penubuhan YIDE adalah sebuah organisasi kebajikan yang ditubuhkan bagi membantu dan meringankan setiap beban individu yang memerlukan di negeri ini.

“Kupon infaq ini akan diedarkan kepada semua Ketua Amil dan Penolong Ketua Amil di Daerah Petaling dahulu buat masa ini sebagai ‘Pilot Projek’ dan akan diedarkan ke seluruh daerah kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi taklimat garis panduan pelaksanaan Kupon Infaq kepada 637 peserta terdiri daripada Ketua Amil Fitrah dan Penolong Amil Fitrah Daerah Petaling di Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Hafiz berkata, kupon infaq adalah salah satu alternatif kepada orang ramai menyalurkan sumbangan kepada individu yang memerlukan menerusi saluran yang betul.

“Banyak individu meminta sumbangan dengan menggunakan cara yang salah, seperti memaksa anak-anak kecil meraih simpati dan pemberi sedekah pula tidak mengetahui aliran wang didermakan.

“Oleh itu, saya menyeru kepada orang ramai supaya menyalurkan sumbangan kepada saluran betul kepada orang yang memerlukan. Dapatkan keratan kupon infaq YIDE setelah melaksanakan infaq kepada Amil-Amil Zakat dilantik,” katanya.