Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

YIDE santuni mangsa kebakaran

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 31 JAN: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) menghulurkan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan asas kepada dua keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran berlaku di rumah mereka, baru-baru ini.

Sumbangan di sampaikan oleh Pengurus Operasi YIDE, Md Arifin Jaafar kepada dua keluarga berkenaan, semalam.

Menerusi laman Facebook YIDE, mangsa berkenaan kini ditempatkan di penempatan sementara Dewan Sebaguna Taman Seri Wangi.

Terdahulu, kebakaran itu berlaku di rumah nombor 28 dan 30, Jalan Kiyai Sujak 5, Taman Sri Wangi, Kapar, Klang.

Difahamkan, api marak dengan pantas sehingga sebahagian mangsa tidak sempat mengalihkan barangan keperluan ke tempat selamat.

Sementara itu, YIDE mengingatkan masyarakat untuk menyalurkan sebarang kejadian berkaitan musibah dan bencana kepada Pegawai Kebajikan YIDE, Muhammad Zubair di talian 017-7569476 untuk tindakan lanjut.

=EZY=

Categories
AGAMA SELANGOR

YIDE santuni pelajar tahfiz mangsa banjir

OLEH SHEEDA FATHIL

KAJANG, 31 JAN: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) tampil menghulurkan bantuan sumbangan ‘ad-hoc’ wang tunai kepada mangsa banjir kilat membabitkan Madrasah Tahfiz Al-Aziz, Sungai Sekamat, semalam.

Sumbangan disampaikan Pengurus Operasi dan Sumbangan YIDE, Md Arifin Jaafar kepada Muhammad Saari Md Yusof selaku Pengerusi Madrasah terbabit.

Md Arifin berkata, bantuan itu merupakan insiatif YIDE menyumbang tenaga dengan memberi bantuan khususnya kepada rakyat negeri ini bagi meringankan beban setiap mangsa yang terjejas akibat bencana banjir.

“Program ini merupakan satu aktiviti kemasyarakatan atau tanggungjawab sosial korporat (CSR) YIDE kepada masyarakat setempat khususnya masyarakat di negeri Selangor,” katanya.

Menurut Muhammad Saari, kejadian banjir itu berpunca daripada sungai yang berada di bahagian belakang madrasah naik mendadak akibat cuaca hujan tidak menentu sekaligus menyebabkan limpahan air mulai naik.

“Kejadian seumpama ini sering berlaku kerana kedudukan madrasah yang berada berhampiran sungai sehingga terdapat juga hakisan tanah berlaku.

“Madrasah ini berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan menempatkan 40 pelajar lelaki yang terdiri daripada sekolah menengah dan rendah,” katanya.

Saari berkata, jumlah kerugian dianggarkan RM10,000 bagi membeli kelengkapan baru yang sudah ditenggalami air.

=EZY=

Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

YIDE santuni ibu tunggal OKU kehilangan suami

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 30 JAN: Seorang wanita orang kelainan upaya (OKU) menerima sumbangan wang tunai dan barang keperluan asas harian daripada Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) selepas kehilangan suaminya, baru-baru ini.

Pengurus Operasi Bahagian Promosi dan Sumbangan, Md Arifin Jaafar berkata, Mas Suni merupakan golongan OKU sejak lahir dan kini berkhidmat di Jabatan Kebajikan Masyarakat Cawangan Kajang.

Katanya, beliau telah kehilangan suami akibat serangan jantung ketika menghantar anaknya ke Sekolah Kebangsaan Jalan 6 di Bandar Baru Bangi.

“Ketika YIDE menerima berita tersebut, Mas Suni berada di Kelantan kerana sedang berpantang anak ketiga di rumah ibu bapanya.

“Selain menghulurkan bantuan keperluan asas, kita turut membantu mendaftarkan ketiga anaknya iaitu Muhammad Adam Arfan Hakim Mohd Idrus,8 tahun, Muhammad Danial Afi Hakim Mohd Idrus, 7 tahun dan Muhammad Firas Arfa Hakim Mohd Idrus, 8 hari dibawah seliaan YIDE supaya bantuan yang disalurkan khususnya bantuan wang saku semasa bulan Ramadan dapat diterima,” katanya dalam kenyataan.

Md Arifin turut memuji sikap masyarakat setempat yang cakna dengan persekitaran kerana ramai yang hadir dan menyalurkan sumbangan kepada keluarga ini tanpa mengira bangsa.

Selain YIDE, Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor turut hadir memberi sokongan moral dan sumbangan bagi meringankan beban keluarga itu.

=EZY=

Categories
SELANGOR

YIDE rancang tambah pusat dialisis setiap daerah

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 13 JAN : Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) berhasrat memperluaskan khidmat rawatan hemodialisis dengan penambahan beberapa lagi Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) di setiap daerah di negeri ini.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YIDE, Ami Nardin Ishak berkata, objektif YIDE ingin memperluaskan pusat dialisis di setiap daerah kerana jumlah pesakit buah pinggang semakin meningkat.

“Inisiatif ini dilakukan bertujuan membantu pesakit buah pinggang di setiap daerah negeri ini di samping memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka.

“Rawatan hemodialisis adalah salah satu peranan YIDE untuk memberi khidmat sokongan kebajikan khususnya dalam bidang kesihatan dan perubatan,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan kepada Anak-anak Yatim di Masjid Nurul Jannah, Meru, di sini, hari ini.

Ami Nardin berkata, YIDE juga memerlukan sumbangan dari agensi korporat yang sudi menyumbangkan mesin hemodialisis bagi menggantikan mesin lama.

“Kami memerlukan sumbangan agensi korporat khususnya untuk memberi sekurang-kurangnya 20 mesin hemodialisis bagi menggantikan mesin lama yang tamat tempoh memandangkan kos penyelenggaraan sama sahaja seperti membeli mesin baharu.

“Pada masa sama kita dapat menyediakan perkhidmatan terbaik dan dapat mempertingkatkan lagi kualiti Pusat Dialisis MAIS,” katanya.

Terdahulu, YIDE adalah sebuah yayasan yang memberi khidmat sokongan kebajikan dalam bidang kesihatan dan perubatan seperti rawatan hemodialisis yang dikawal selia Pusat Dialisis MAIS.

YIDE mengurus selia enam cawangan Pusat Dialisis MAIS membabitkan Pusat Dialisis MAIS Shah Alam, Kapar, Kuala Selangor, Sungai Besar, Taman Melawati dan Bukit Jelutong.

Kesemua pusat dialisis itu menyediakan 43 mesin hemodialisis bagi menampung kapasiti 258 pesakit daripada pelbagai peringkat umur.

Malah, YIDE turut berperanan menguruskan hal ehwal anak yatim di Selangor dengan melaksanakan program agihan sumbangan kewangan dan bantuan pendidikan.

Sebelum ini, YIDE pernah menyalurkan bantuan kesihatan dengan mengagihkan Kad Peduli Sihat kepada anak yatim dan penjaga melalui Selgate Corporation Berhad sekaligus ia jelas menunjukkan Kerajaan Negeri komited menyantuni masyarakat di Selangor.

=EZY=

Categories
SELANGOR

YIDE santuni anak yatim, agih 2,000 baju sekolah

OLEH: SHEEDA FATHIL
GAMBAR OLEH: MUHAMMAD ASRI SAPFIE

KLANG, 13 JAN: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) menyantuni anak-anak yatim dengan mengagihkan 2,000 pakaian seragam sekolah dan kelengkapan alat tulis hasil sumbangan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI Selangor) di Masjid Nurul Jannah, Meru, di sini, hari ini.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YIDE, Ami Nardin Ishak berkata, jalinan kerjasama bersama MBI melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) adalah julung kali diadakan bertujuan membantu anak-anak yatim di negeri ini yang berdaftar dibawah pengurusan YIDE.

“Terima kasih diucapkan kepada MBI kerana sudi menjayakan ‘Pilot Project’ ini sekaligus ia dapat mengurangkan beban anak-anak yatim di samping membuatkan mereka terasa dihargai.

“YIDE turut membuka peluang dan ruang kepada mana-mana agensi korporat untuk bersama menyalurkan sumbangan bagi terus membantu masyarakat khususnya di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan kepada Anak-anak Yatim di sini, hari ini.

Terdahulu, majlis penyerahan pakaian seragam sekolah itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Dr Abdul Rani Osman.

Manakala, Ami Nardin berkata, perancangan bersempena tahun baru, YIDE sedang merangka pelbagai program yang lebih komprehensif supaya yayasan itu lebih dikenali umum pada masa akan datang.

Selain itu, Abdul Rani turut menyokong inisiatif yang dilakukan YIDE dan MBI dengan memberi bantuan kepada anak-anak yatim adalah suatu perkara yang patut dipuji.

“Saya sempat bertanyakan kepada anak-anak yatim, mereka sendiri tidak pernah mendapat sumbangan sebegini jadi inisiatif ini sememangnya harus dipuji sekaligus dapat memberi mereka sinar kegembiraan,” katanya.

Pada masa sama, Abdul Rani turut memberi peluang kepada masyarakat sekiranya mempunyai cadangan yang ingin diusulkan samada memperluaskan bantuan kepada anak-anak yatim boleh dikemukakan untuk beliau bawa ke Sidang Dewan Selangor akan datang.

=EZY=

Categories
SELANGOR

YIDE bantu ibu tunggal mangsa kebakaran Pelabuhan Klang

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 JAN: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) menyumbangkan beg kelengkapan diri dan bantuan kewangan kepada ibu tunggal bersama lapan orang anak yang terbabit dalam kejadian kebakaran kuarters kerajaan di Jalan Aur, Pelabuhan Klang, baru-baru ini.

Pengurus Operasi Bahagian Promosi dan Sumbangan YIDE, Md Ariffin Jaafar berkata, bantuan itu adalah inisiatif YIDE dalam menyumbang tenaga dengan memberi bantuan, khususnya kepada rakyat Selangor bagi meringankan beban setiap mangsa yang terjejas.

“Program ini merupakan satu aktiviti kemasyarakatan atau tanggungjawab sosial korporat YIDE kepada masyarakat setempat khususnya di Selangor.

“Selain memberi bantuan bencana kepada rakyat Selangor, YIDE juga berperanan menguruskan hal ehwal anak yatim dengan melaksanakan program agihan sumbangan kewangan dan bantuan pendidikan.

“Kita juga menawarkan perkhidmatan Rawatan Hemodialisis yang dikawal selia Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Selangor (MAIS),” katanya.

YIDE adalah agensi yang dipertangungjawab menjalankan aktiviti kebajikan di negeri ini.

Ketika kejadian yang berlaku sekitar jam 10.15 pagi, Suriyati Yusuf bersama dua orang anaknya berumur 21 dan 15 tahun sedang membuat persiapan ke sekolah selepas mendapati terdapat asap tebal dari rumah kosong sebelah rumah mangsa.

Hasil siasatan awal pihak bomba, kebakaran berpunca dari tinggalan sisa aktiviti dari penagih dadah di rumah kosong terbabit.

Operasi memadamkan api membabitkan 18 pegawai dan anggota bomba dari Pelabuhan Klang serta Kota Raja serta dibantu orang ramai.

Categories
SELANGOR

MAIS dan anak syarikat bantu mangsa banjir Utara

OLEH LIZAWATI MADFA

KULIM, 14 NOV: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menerusi Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) menggerakkan Misi Bantuan Pasca Banjir ke Kedah dan Pulau Pinang, baru-baru ini.

Penyelaras misi berkenaan, Md Arifin Jaafar berkata, ia merupakan inisiatif MAIS dan anak syarikat meringankan beban mangsa banjir di kawasan terjejas di kedua negeri berkenaan.

Katanya, bantuan dihulurkan menerusi tiga bahagian iaitu sumbangan pek makanan dan minuman, bantuan perubatan serta pembersihan kawasan.

“Kami cakna dengan musibah yang melanda utara tahun ini, dengan membawa seramai 120 sukarelawan untuk melengkapkan misi bantuan.

“Ia perkara sama yang kami lakukan pada 2015 dengan menyalurkan sumbangan serupa kepada mangsa banjir di Kelantan,” katanya.

Misi berkenaan turut disertai Bakti Suci Holdings Berhad (BSHB), Lembaga Zakat Selangor (LZS), Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), Teraju Ekonomi Asnaf (TERAS), Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Yayasan Kasih Tauhid (YKT) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Antaranya, LZS dan TERAS memberikan sumbangan makanan sementara (PPUM) juga menyediakan khidmat kaunseling dan bimbingan kepada mangsa banjir yang trauma.

Md Arifin berkata, kerja pembersihan di Kedah dimulakan di Kampung Lunas, Kulim dan pihaknya turut menyampaikan sumbangan berbentuk barang keperluan asas harian dan pek makanan kepada mangsa terlibat.

“Di Pulau Pinang, mangsa di kawasan terjejas seperti Kampung Padang Menora, dan Kampung Masjid, Bukit Bendera turut diberikan bantuan pembersihan berserta barang keperluan,” katanya.

 

=EZY=

Categories
SELANGOR

YIDE santuni keluarga mangsa kebakaran pusat tahfiz

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 22 SEPT: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menghulurkan bantuan kewangan dan khidmat kaunseling kepada dua keluarga dan waris mangsa tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Keramat, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nur Mohd Razali Abdullah berkata, bantuan itu salah satu inisiaitf YIDE menyantuni keluarga mangsa yang kehilangan orang tersayang selain memulihkan semangat mereka.

“Ini adalah satu aktiviti kemasyarakatan atau tanggungjawab sosial korporat YIDE kepada masyarakat setempat khususnya di Selangor.

“Masyarakat juga disaran untuk bersama menghulurkan bantuan terus kepada waris mangsa bagi mengelakkan sebarang penyalahgunaan kuasa pihak luar yang cuba mengambil kesempatan atas kesulitan ini,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, YIDE turut berperanan menguruskan hal ehwal anak yatim di Selangor dengan melaksanakan program agihan sumbangan kewangan, bantuan pendidikan dan menawarkan perkhidmatan rawatan hemodialisis yang dikawal selia Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Mais (MAIS).

Nur-Mohd-Razali-CEO-YIDE-menyerahkan-sumbangan-kepada-Fawah-Wahidah-Ibu-kepada-Arwah-AimanJPG-300x200Antara waris mangsa yang menerima bantuan ialah bapa kepada Allahyarham Umar Al-Khatab, 6, Helmi Khalil dan ibu kepada Allahyarham Muhammad Aiman Ramzanudin, 12, Farah Wahidah Wahid.

Sementara itu, Helmi berkata, beliau redha terhadap ketentuan Ilahi dan menyifatkan anaknya seorang yang manja dan menghafaz dua juzuk al-Quran sepanjang enam bulan berada di pusat tahfiz berkenaan.

“Adik kepada Allahyarham Umar iaitu Muhammad Nasrullah yang kini berusia empat tahun juga akan dimasukan ke pusat tahfiz terbabit demi meneruskan delegasi Allahyarham abangnya yang tidak kesampaian untuk menjadi seorang huffaz,” katanya

Categories
SELANGOR

Exco, YIDE bantu mangsa kebakaran Taman Kapar Ria

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 30 OGOS : Kerajaan Negeri dengan kerjasama Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) menyampaikan sumbangan ‘Ad-Hoc’ wang tunai dan barang keperluan asas kepada dua buah keluarga yang terlibat dalam kebakaran di Taman Kapar Ria, baru-baru ini.

Bantuan disampaikan Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi dan Pengurus Operasi Bahagian Sumbangan dan Promosi YIDE, Md Arifin Jaafar.

Menghargai komitmen itu, Dr Daroyah berkata, Kerajaan Negeri konsisten memastikan rakyat yang terkesan akibat bencana atau musibah akan terus dibantu.

“Buat masa ini, mangsa kebakaran telah ditempatkan di Dewan Sri Kerayong dan InsyaAllah akan ada lagi bantuan dari pihak-pihak yang lain,” katanya.

YIDESementara itu, turut hadir pada majlis penyampaian bantuan wakil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pihak Pengurusan Bencana Negeri Selangor dan juga Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Kapar.

Minggu lalu, kebakaran melibatkan empat unit teres terdiri daripada dua unit kosong dan dua unit berpenghuni, bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Terdahulu, YIDE adalah sebuah agensi di bawah MAIS yang dipertangungjawabkan menjalankan aktiviti-aktiviti kebajikan di dalam negeri.

Md Arifin Jaafar berkata, agensi itu akan terus melaksanakan tanggungjawab sosial dengan memberi sumbangan dan barangan secara ‘Ad-Hoc’ kepada golongan sasaran dalam bentuk kewangan tunai dan lain-lain keperluan harian kepada mangsa-mangsa yang ditimpa musibah dan malapetaka.

“Selain memberi bantuan bencana kepada rakyat negeri Selangor, YIDE juga berperanan menguruskan hal ehwal anak yatim di negeri Selangor dan menawarkan Perkhidmatan Rawatan Hemodialisis melalui Pusat Dialisis MAIS yang mempunyai 6 cawangan dalam negeri Selangor.

“YIDE akan terus menyampaikan sumbangan kebajikan kepada rakyat negeri Selangor dalam menjadikan negeri Selangor sebuah negeri yang berkebajikan,” katanya.

=EZY=

Categories
AGAMA

YIDE, LZS cari dana tambahan bantu rakyat Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 22 MEI: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperkenalkan infaq atau sumbangan yang dikeluarkan melalui kupon sebanyak RM2 dalam usaha mencari dana tambahan bagi membantu masyarakat di Selangor.

Pegawai Perhubungan Korporat Yide, Muhammad Hafiz Bahari berkata, kupon infaq itu akan diedarkan kepada Ketua Amil dan Penolong Ketua Amil di daerah Petaling sebagai ‘pilot project’ sebelum diedarkan di daerah lain.

Katanya, kupon terbabit adalah alternatif kepada orang ramai menyalurkan sumbangan kepada individu yang mengalami musibah atau malapetaka, rawatan hemodialisis dan program untuk anak yatim.

LZS ZAKAT“Pembayar zakat fitrah juga boleh menyumbang dana ini ketika menunaikan kewajipan zakat dengan mendapatkan kupon infaq ini yang akan diedarkan bersama kupon zakat fitrah,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, beliau berkata, terdapat banyak individu meminta sumbangan dengan cara yang salah.

“Melalui infaq ini, ia akan disalurkan secara betul. Saya minta orang ramai supaya menyalurkan sumbangan ke saluran yang memerlukan dan pastikan mendapat keratan kupon infaq selepas melaksanakan infaq,” katanya.

Jumlah asnaf fakir dan miskin di negeri ini semakin meningkat setiap tahun, LZS terpaksa menangguhkan beberapa jenis bantuan ekoran sumber tidak mencukupi.

Daerah Petaling mencatatkan jumlah asnaf fakir dan miskin paling tinggi iaitu 8,110 diikuti Klang 7,657.

Categories
SELANGOR

YIDE bantu keluarga mangsa lemas

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 MAC: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) melawat dan menyalurkan bantuan kewangan kepada waris mangsa tragedi lemas Bukit Beruntung, baru-baru ini.

Pengurus Operasi Bahagian Promosi dan Sumbangan, Md. Ariffin Jaafar berkata, ia adalah inisiatif YIDE menyumbang tenaga bagi meringankan beban waris keluarga dan memberi khidmat kaunseling.

Katanya, ia sebagai usaha agensi itu menaikan kembali semangat waris yang kehilangan orang tersayang.

“Antara waris mangsa yang ditemui, Mohd Khairul Amri (bapa kepada Allahyarham Amirul Hakimi) berkata, beliau adalah orang pertama sampai di tempat kejadian setelah dimaklumkan orang ramai.

“Beliau turut menyatakan tiada sebarang perubahan pada anaknya semasa hari kejadian.

En. Md Ariffin Jaafar, Pengurus Operasi YIDE menyampaikan sumbangan kepada En. Mohd Khairul Amri bapa kepada Allahyarham Amirul Hakimi“Allahyarham Amirul Hakimi disifatkan anak manja dan baik dan kehilangannya memberi kesan kepada abang juga adik Allahyarham kerana mereka sangat rapat antara satu sama lain,” katanya dalam kenyataan.

Pada 17 Mac lalu, lapan kanak-kanak berusia antara sembilan hingga 12 tahun dari kawasan perumahan berdekatan dihanyutkan air pasang besar ketika mereka menangguk ikan di sungai.

Seorang daripada mereka selamat manakala tujuh lagi ditemui lemas semasa operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Mereka yang lemas adalah pasangan adik-beradik, Shahrizat Abdullah, 12, dan Shahrizwan, 10; Amirul Hakimi Khairul Amru, 9, Muhammad Iskandar Shah, 12, dan Muhammad Aiman Fitri Md Asmadi, 12, Muhammad Aiman Kamarul Ariffin, 12 dan Muhammad Ikhwan Mohd Ridwan, 10.

-AA-

Categories
SELANGOR

Tiga keluarga mangsa kebakaran terima bantuan YIDE

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 18 MAC: Tiga keluarga mangsa kebakaran yang ditempatkan di Dewan Taman Gemilang, Dengkil menerima sumbangan beg kelengkapan diri dan kewangan daripada Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), baru-baru ini.

Pengurus Operasi Bahagian Promosi dan Sumbangan, Md Ariffin Jaafar berkata, ia merupakan inisiatif YIDE dalam menyumbang tenaga bagi meringankan beban mangsa terjejas akibat bencana berkenaan.

Katanya, YIDE turut mendapat kerjasama sukarelawan YIDE, Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Sepang dan RELA dalam mengagihkan sumbangan.

“Laporan awal yang diperolehi kebakaran melibatkan tiga unit rumah teres di Taman Gemilang.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak forensik bomba,” katanya dalam kenyataan.

Pada 9 Mac lalu, YIDE menyampaikan sumbangan kepada Sekolah Rendah Agama Seksyen 3 Shah Alam yang diwakili Guru Besar, Filzah Mohd Nor.

Terdahulu, sekolah berkenaan dilanda angin ribut dan menyebabkan sebahagian kantin tambahan yang digunakan untuk pelajar tahap 1 diterbangkan angin.

Pada tarikh sama, YIDE turut menyalurkan sumbangan bencana kepada empat keluarga mangsa kebakaran di Taman Bukit Kuantan, Klang melibatkan 15 mangsa.

Md Ariffin berkata, program bantuan merupakan tanggungjawab sosial korporat YIDE terhadap rakyat Selangor.

“Selain bantuan bencana, YIDE juga berperanan menguruskan hal ehwal anak yatim dengan melaksanakan program agihan sumbangan kewangan, bantuan pendidikan serta perkhidmatan Rawatan Hemodialisis yang dikawal selia Pusat Dialisis MAIS.

“YIDE akan terus menyampaikan sumbangan kebajikan kepada rakyat Selangor dalam usaha menjadikannya negeri berkebajikan,” katanya.

=EZY=