Categories
NASIONAL

Serangan Zainudin Maidin Ke Atas BJ Habibie Dangkal Dan Berperasangka Keji

SHAH ALAM 12 DIS : Kenyataan Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin yang menyerang peribadi mantan Presiden Indonesia, BJ Habibie bersifat rasis dan tidak mewakili pendapat massa.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Zainuddin adalah sosok angkuh dan rasis yang merupakan salah satu penyebab tercetusnya krisis hubungan antara Malaysia dan Indonesia.

“Saya dimaklum dan terkesan dengan serangan jelek oleh Zainuddin Maidin ke atas mantan Presiden Indonesia, YTH Bapak BJ Habibie seperti yang diterbit oleh Utusan Malaysia, akhbar milik Umno.

?Tulisan Zainuddin Maidin sememangnya diketahui dangkal dan beliau mewakili sosok elit Umno yang berprasangka keji terhadap negara Indonesia,” kata Anwar dalam kenyataan medianya.

Tegas Anwar, ramai sedia maklum tentang latar belakang Zainuddin yang merupakan bekas editor akhbar milik Umno Utusan Malaysia.

Anwar berkata Zainuddin sering menuding jari dan melabel kelompok yang tidak sehaluan dengan Umno sebagai ?pengkhianat?.

“Zainuddin merupakan satu-satunya menteri kanan yang tewas dalam pilihan raya umum lalu kepada calon dari PKR.

“Justeru kita bisa memahami keresahan, dendam dan motif beliau dalam melancar serangan sebegini,” ujar Anwar.

Pada 6 Disember lalu, BJ Habibie atau nama sebenarnya Bacharuddin Jusuf Habibie hadir pada majlis makan malam di Shah Alam anjuran kerajaan Selangor yang turut dihadiri pimpinan PKR.

Beliau juga turut memberikan syarahannya kepada pelajar dan tokoh akademik yang diadakan di Universiti Selangor (UNISEL) berkenaan perkembangan politik dan ekonomi serantau.

Habibie yang menjadi presiden Indonesia ketiga terkenal dengan langkah-langkah membuka ruang demokrasi di dalam negara itu dengan memberikan kebebasan bersuara, berpersatuan dan kebebasan media.