Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: KKM rangka pelan tindakan lindungi zon hijau

PUTRAJAYA 23 NOV: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang merangka kriteria dan pelan tindakan untuk melindungi kawasan zon hijau daripada dijangkiti virus Covid-19 dari zon merah.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pelan tindakan tersebut akan merangkumi garis panduan mengenai perkara yang boleh atau tidak boleh dilakukan untuk mencegah jangkitan merebak di zon hijau pada peringkat daerah dan negeri.

“Di Sarawak misalnya, sekatan jalan raya digunakan bagi menghalang penduduk dari Kuching yang merupakan zon merah untuk pergi ke daerah lain,” katanya pada sidang media Covid-19 hari ini.

Jika boleh, Dr Noor Hisham juga menasihatkan orang ramai agar tidak ‘balik kampung’ kerana kadang kala seseorang itu tidak mengetahui jika dia dijangkiti Covid-19 atau tidak.

Beliau berkata, tindakan ‘tidak balik kampung’ pada masa ini juga merupakan salah satu cara terbaik untuk melindungi warga tua yang merupakan kumpulan berisiko tinggi.

Golongan tua dan mereka yang mempunyai beberapa masalah kesihatan seperti darah tinggi dan kencing manis juga tidak mempunyai antibodi yang kuat seperti golongan muda, katanya.

Beliau berkata salah satu langkah yang boleh digunakan untuk melindungi zon hijau adalah melaksanakan ujian saringan termasuk menggunakan ujian antigen Rapid Test Kit (RTK).

Ditanya mengenai kebimbangan dalam kalangan penduduk sekitar kilang Top Glove di Klang, Selangor berikutan peningkatan mendadak kes positif dalam kalangan pekerja kilang itu, Dr Noor Hisham memberi jaminan pihaknya kini menjalankan pengesanan aktif kontak rapat.

“Ini bagi mengenal pasti sekiranya terdapat kes baharu dalam kalangan bukan pekerja kilang sarung tangan itu. Kilang juga diarahkan tutup secara berperingkat dan kita (KKM) akan jalankan saringan ke atas 13,000 pekerja Top Glove. Kita harap dapat kawal penularan jangkitan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan keadaan masih terkawal di kilang tersebut ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 17 Nov lalu di lokaliti tersebut.

“Semua kes positif dimasukkan ke hospital dan kontak rapat mereka dikuarantin bagi mengelak jangkitan kepada pekerja lain,” kata Dr Noor Hisham.

Ditanya mengenai langkah pencegahan Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir, beliau berkata KKM membangunkan Panduan Pencegahan dan Pengurusan Covid-19 di pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir bagi mengelakkan berlakunya jangkitan wabak.

Katanya, saringan Covid-19 dilakukan sekiranya terdapat kes positif atau yang melibatkan kontak rapat.

“KKM ingin ingatkan semua mangsa kena patuh tatacara operasi piawai (SOP) walaupun dalam keadaan banjir. Antara tindakan KKM bagi mengelak jangkitan Covid-19 di PPS, antaranya penggunaan penghadang yang diletakkan dalam jarak dua meter, ada tempat mencuci tangan, pemakaian pelitup muka serta kena jaga kebersihan semasa banjir.

“Saringan akan dijalankan kalau ada indikasi ataupun ada gejala tetapi bukan keseluruhan. KKM akan menjalankan saringan sekiranya ada kes seperti kontak rapat atau kes positif,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

STFC: Kuala Selangor, mukim Jeram kembali zon hijau

SHAH ALAM, 13 OKT: Daerah Kuala Selangor dan mukim Jeram kembali berstatus zon hijau selepas tiada kes Covid-19 direkodkan sehingga jam 12 tengah hari tadi, kata Pasukan Petugas Covid-19 Selangor (STFC).

Bagaimanapun agensi memaklumkan mukim Labu di Sepang dan Batang Kali di Hulu Selangor kini menjadi zon kuning selepas masing-masing merekodkan satu kes daripada 76 kes keseluruhan negeri ini.

“Selangor merekodkan 377 kes aktif iaitu individu yang boleh menjangkiti orang lain dan 125 kes melibatkan individu yang mendapat jangkitan di negeri lain,” katanya menerusi Facebook.

STFC menjelaskan Klang masih berada di zon merah selepas mukim Klang merekodkan pertambahan tujuh kes baharu menjadikan 78 kes sedang dirawat sementara tambahan tiga kes di Kapar.

Selain Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Kuala Langat turut berasa di zon hijau sementara lima yang lain iaitu Petaling, Hulu Langat, Gombak, Sepang dan Hulu Selangor masih zon kuning.

Setakat ini, negeri ini mencatat jumlah kumulatif 2,746 kes selain pertambahan satu kluster baharu dinamakan kluster Bah Kenangan di Hulu Langat.

Categories
ADN AGENDA NASIONAL SELANGOR

ADN pertikai kuat kuasa PKPB di zon hijau

SHAH ALAM, 13 OKT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama mempertikaikan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabak Bernam walaupun tidak merekodkan jangkitan Covid-19.

Jamaliah Jamaluddin berkata PKPB bermula esok termasuk di beberapa kawasan zon hijau bakal memberi kesan kepada sektor ekonomi selain petugas barisan hadapan terpaksa bekerja lebih masa.

“Pengumuman tanpa sebarang perancangan terperinci akan menyusahkan semua pihak. Setakat ini, kawasan membimbangkan hanya di Klang, Gombak, Hulu Langat dan sebahagian Petaling.

“Selepas kenyataan dibuat hingga lewat malam tadi, penduduk bertanya garis panduan PKPB malah turut mempersoalkan keperluannya dikuat kuasa seluruh Selangor. Persoalan boleh dijawab sekiranya ADN diberikan pencerahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesal terhadap perkara itu, Jamaliah berkata kejadian ini berulang lagi selepas ia berlaku hampir sama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan Mac lalu.

“Sama juga ketika PKPB mukim Klang diisytiharkan minggu lalu. Pengumuman tanpa rundingan bersama Kerajaan Selangor hingga kekeliruan berlaku,” katanya.

Semalam Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPB seluruh negeri ini serta Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula esok hingga 27 Oktober ekoran peningkatan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari akan menghantar cadangan balas kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan segera susulan beberapa kawasan masih dikategorikan zon hijau dan kuning seperti Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Covid-19: Selangor catat lebih banyak zon hijau

SHAH ALAM, 10 JULAI: Selangor mencatat perkembangan positif apabila Gombak hari ini, bertukar status daripada kuning kepada hijau.

Justeru, Dato’ Menteri Besar menyeru rakyat di negeri ini terus berdisiplin kerana virus berkenaan masih wujud.

“Tahniah Selangor lebih banyak zon hijau dicapai, enam daerah sudah diklasifikasi sebagai zon hijau.

“Kekalkan disiplin virus masih belum terhindar sepenuhnya hingga vaksin ditemui,” tulis Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter, hari ini.

Hari ini Selangor mencatatkan enam kes dan semuanya membabitkan kes import membabitkan pengembara dari Indonesia, India, United Kingdom dan Rusia.

Sehingga kini, hanya tiga lagi daerah merekodkan zon kuning iaitu Petaling dengan dua kes aktif sementara Hulu Selangor dan Sepang masing-masing satu kes aktif.

Categories
AGENDA NASIONAL

Buka semula sempadan antarabangsa masih dibincang

BERA, 5 JULAI: Malaysia masih tidak akan membuka sempadan antarabangsa kepada pelancong dan pekerja warga asing, kerana perbincangan dengan negara yang dikategorikan zon hijau, masih berjalan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam perbincangan itu, Malaysia menekankan untuk memperolehi timbal balas, iaitu kebenaran rakyat Malaysia memasuki negara berkenaan.

“Kita mahu timbal balas, iaitu kita buka negara kita dan mereka juga perlu buka negara mereka. Kalau mereka masih memperketat syarat untuk rakyat kita, kita juga tak akan benarkan rakyat mereka untuk datang.

“Perkara ini sedang dibincangkan oleh Kementerian Luar. Namun begitu ia masih bergantung kepada nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebab ada negara yang dahulu zon hijau, kini menjadi merah semula, kita akan lihat keadaan semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Petugas Barisan Hadapan Covid-19, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi Negeri Pahang Datuk Seri Norolazali Sulaiman, di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata KKM sebelum ini mengenal pasti enam negara zon hijau Covid-19, bagi pembukaan semula sempadan antarabangsa negara secara bersyarat iaitu Singapura, Brunei, New Zealand, Jepun, Australia dan Korea Selatan.

Beliau bagaimanapun berkata, empat kategori pengecualian bagi warga asing untuk masuk ke negara ini dengan menjalani tatacara operasi piawai (SOP) tertentu masih kekal, iaitu bagi diplomat, ekspatriat kategori EP1, peserta Malaysia My Second Home dan pelajar yang mahu meneruskan pengajian.

Sementara itu beliau berkata, Malaysia sudah mengenal pasti lokasi dan jumlah rakyatnya yang masih terkandas di luar negara, kerana kawalan pergerakan di negara berkenaan.

Katanya, mereka terbahagi kepada dua kategori, iaitu rakyat Malaysia yang melawat negara luar, dan pelajar, dengan Kementerian Luar akan memperincikan statistik mereka.

“Kita akan bincang kategori mana yang mendesak untuk dibawa balik. Kementerian luar akan beri cadangan dan kita akan putuskan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Ampang catat sifar kes aktif Covid-19, kini zon hijau

SHAH ALAM, 11 MEI: Mukim Ampang di daerah Hulu Langat mencatatkan sifar kes aktif Covid-19 hari ini, sekali gus bertukar status dari zon kuning ke hijau.

Menurut Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor, mukim Ampang Pecah di Hulu Selangor pula kembali memasuki zon kuning berikutan pertambahan satu kes baharu.

“Tiada perubahan ketara untuk taburan data kes aktif bagi seluruh daerah dan mukim Selangor, perubahan cuma dicatatkan untuk mukim Ampang yang bersih dari kes aktif menjadikan statusnya bertambah baik ke zon hijau.

“Bagi mukim Ampang Pecah, terdapat kes aktif baru direkodkan menjadikannya berubah status kepada zon kuning,” tulisnya di Facebook.

Mengikut data Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Krisis negeri, Batu satu-satunya mukim zon merah yang merekodkan 129 kes dengan 49 daripadanya aktif.

Bagi daerah pula, Kuala Langat masih memegang status zon hijau selepas tiada lagi kes aktif dikesan setakat jam 12 tengah hari tadi.

Lima daerah lain yang berada dalam zon kuning iaitu Hulu Langat (31), Klang (15), Kuala Selangor (13), Hulu Selangor (11), Sepang dan Sabak Bernam masing-masing satu.

Dua daerah yang masih dikategorikan sebagai zon merah ialah Petaling (59) dan Gombak (55).

Hari ini, jumlah kes baharu positif Covid-19 di negeri ini menurun apabila merekodkan hanya tiga berbanding lapan semalam, menjadikan kes terkumpul 1,607 membabitkan 186 aktif.