Categories
AGENDA NASIONAL

Pandangan industri penting tambah baik, perkemas SOP halal – menteri

PUTRAJAYA, 25 JAN: Kerajaan akan mendapatkan ulasan dan pandangan pihak berkepentingan termasuk pemain industri dan kedutaan asing untuk menambah baik prosedur pengiktirafan badan pensijilan halal luar negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata kerajaan mahu mendengar dan mengambil kira pandangan pihak berkepentingan sebelum menggariskan tatacara operasi piawai (SOP) yang bersesuaian untuk pengiktirafan pensijilan halal dari luar negara.

“Ini adalah usaha untuk memperkukuhkan pensijilan halal Malaysia, dengan memperkemas prosedur pengiktirafan badan pensijilan halal luar negara,” katanya dalam sidang media secara dalam talian hari ini selepas menyampaikan amanat sempena perhimpunan agensi di bawah jabatannya secara dalam talian.

Beliau difahamkan prosedur itu akan dimasukkan ke portal www.halal.gov.my untuk dibuka bagi ulasan awam pihak berkepentingan.

Dalam usaha mendalami isu berkaitan dengan pensijilan halal, Zulkifli berkata pihaknya juga sudah turun padang melawat beberapa kilang dan tempat penyimpanan daging di negara ini.

“Maklum balas yang kita terima sangat positif dan mereka menunjukkan komitmen dalam memastikan bekalan yang diperoleh adalah daripada sumber halal,” katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata Majlis Halal Malaysia (MHM) akan diaktifkan semula setelah beberapa perbincangan diadakan dengan pelbagai agensi berkaitan isu kartel daging import haram dan pertemuan bersama pengimport dan pengedar daging serta produk daging pada bulan ini.

Apabila diaktifkan semula, majlis itu akan turut dianggotai kementerian lain, badan profesional dan pakar dalam bidang halal, yang akan berfungsi untuk memantau dasar dan arahan yang dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perihal halal, katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

RM4.5 juta Tabung Musa’adah disalur kepada individu terjejas Covid-19

PUTRAJAYA, 18 SEPT: Hampir 80 peratus daripada RM4.5 juta kutipan Tabung Musa’adah Covid-19 disalurkan kepada golongan terjejas akibat pandemik itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata dana tabung Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) itu disalurkan kepada golongan yang terjejas Covid-19 tanpa mengira latar belakang, sempadan geografi atau agama.

“Kita mempunyai kriteria siapa penerima sumbangan dan setakat ini, kita telah santuni Orang Asli, gelandangan serta asnaf,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan sumbangan Tabung Musa’adah Covid-19 Jakim-YWM hari ini.

Beliau menyampaikan sumbangan RM22,000 kepada Pertubuhan Kebajikan Orang Kurang Upaya (OKU) Autisme Selangor yang diwakili Pengarah Eksekutifnya Mohd Zulkafli Abdullah, dan sumbangan RM260,500 bagi komuniti LGBT peserta program Mukhayyam Jakim yang diwakili Pengerusi Pertubuhan Hijrah Republique Network Mohd Al Khusyairi Mohd Ariff.

“Saya galakkan orang ramai untuk menderma dengan tabung ini (Tabung Musa’adah Covid-19) kerana ia adalah saham akhirat dan perkara ini perlu diteruskan,” kata Zulkifli.

Sementara itu, ditanya adakah masjid di Sabah akan ditutup berikutan peningkatan kes Covid-19 di negeri berkenaan, Zulkifli berkata ketetapan itu hanya akan diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Setakat ini, kita hanya ikut keputusan MKN contohnya di Kedah, MKN yang maklumkan masjid ditutup sementara dan kita lakukan perkara itu dan semua masjid diwajibkan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) dalam mengekang penularan virus Covid-19,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Zulkifli: Kerajaan halusi perketat bahas isu agama di media sosial

IPOH, 12 OGOS: Kerajaan sedia memperhalusi cadangan memperketatkan peraturan berhubung perkongsian di media sosial yang menjurus kepada pandangan bertentangan dengan ajaran agama Islam, terutama oleh golongan liberalisme dan murtad, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.

Beliau berkata bagi tujuan itu, pihaknya sedia bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Kita telah berbincang tapi untuk perkara itu, kita perlu lebih tepat lagi dan mengadakan perjumpaan lebih kerap untuk memperhalusi pelbagai isu dan sudut-sudut lain mengenai perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Syahadah dan Meraikan Pengislaman Masyarakat Orang Asli Daerah Kinta, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 60 orang dalam kalangan masyarakat Orang Asli Ulu Kinta memeluk agama Islam dengan mengucapkan dua kalimah syahadah yang dipimpin Zulkifli.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata pihaknya juga bersedia mengadakan sesi dialog dan berbincang secara harmoni dengan golongan liberalisme dan murtad agar masing-masing lebih memahami serta menghormati antara satu sama lain.

“InsyaAllah kita akan cuba mengemukakan sebuah jawapan apa-apa yang berkaitan dengan kekeliruan tentang Islam selain memberi pencerahan dan penerangan kepada masyarakat. Apa-apa kemusykilan, InsyaAllah kita akan jawab,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan negeri Mohd Akmal Kamarudin berkata pihaknya akan terus membimbing golongan mualaf menerusi dakwah yang dilaksanakan Majlis Agama Islam Perak (MAIPk) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Seramai 45 mubaligh Islam dilantik MAIPk dan 57 Penggerak Masyarakat Orang Asli di bawah lantikan Jakim yang jumlahnya 102 orang akan terus membantu membimbing mualaf ini,” katanya.

Katanya pendakwah itu akan ditugaskan di setiap perkampungan orang Asli di seluruh daerah di Perak dan akan dipantau dari semasa ke semasa oleh pihak kerajaan negeri.

Seorang saudara baharu, Apar Bengal, 71, dari Kampung Pos Dipang, Sahom, Kampar berkata dia mengkaji mengenai agama Islam sejak 10 tahun lepas sebelum terbuka hati untuk mengenali dan memeluk agama itu.

“Saya juga sebelum ini telah mempraktikkan ibadah berpuasa sekurang-kurangnya 15 hari pada setiap bulan Ramadan.

“Saya sendiri berminat untuk memeluk agama Islam dan empat orang anak saya juga sudah lama memeluk agama ini selain saya sendiri sering dijemput dalam majlis-majlis agama” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jarak sosial jemaah solat Jumaat kekal – Menteri

KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Penjarakan sosial di antara jemaah dalam solat Jumaat akan dikekalkan buat masa ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata perkara itu dilaksanakan dengan mengambil kira pandangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) berikutan penularan wabak Covid-19.

“Untuk menjustifikasikan hal ini kami merujuk ulama-ulama sedunia temasuk Syaikhul Al-Azhar dan Mufti Mesir serta ulama-ulama di Arab Saudi,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam) yang membangkitkan mengenai tatacara operasi piawai (SOP) had jumlah jemaah solat Jumaat.

Zulkifli berkata sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) bermesyuarat tujuh kali bagi membincangkan isu berkaitan pelaksanaan ibadah agama Islam.

Beliau berkata ia sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara apabila jawatankuasa berkenaan duduk bermesyuarat dengan sebegitu banyak dalam tempoh yang singkat.

Zulkifli berkata hasil mesyuarat itu, antaranya SOP yang dikeluarkan pihaknya dengan kerjasama MKN dan KKM.

Perkara itu antara lain meliputi mengenai kaedah pelaksanaan ibadah dalam bulan Ramadan; kedudukan saf solat; pelaksanaan ibadah korban; solat sunat Aidilfitri; solat musafir; perkahwinan orang Islam secara dalam talian; selain panduan hukum ujian saringan dan prosedur rawatan pesakit Covid-19 dalam bulan Ramadan.

“Mengambil kira keperluan umat Islam untuk memahami wabak Covid-19 dengan lebih mendalam dari sudut agama, saya sendiri mengambil inisiatif mengarang dua buah buku iaitu ‘Inilah Doaku’ dan ‘Soal Jawab Fiqh Covid-19’.

Kedua-dua buku ini boleh didapatkan secara percuma di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan juga dilaporkan lebih 50,000 pengunjung laman sesawang memuat turun buku ini tidak termasuk yang disebarkan melalui medium lain seperti WhatsApp dan Telegram Messenger,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) yang mahu tahu usaha yang dibuat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam menyelesaikan isu agama berkaitan pelaksanaan ibadah yang timbul sepanjang penularan wabak Covid-19.

– BERNAMA