Categories
NASIONAL

Jual Rahsia Negara: SAMM Buat Laporan Polis Seluruh Negara

SHAH ALAM, 11 JUN: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) telah membuat tujuh laporan polis dalam usaha mengadakan laporan di seluruh negara berhubung penjualan maklumat pertahanan negara kepada DCNS Perancis yang di dedahkan SUARAM baru-baru ini.

Pengarah Seketariat SAMM Kebangsaan, Zulkifli Ibrahim dalam kenyataan medianya berkata tujuh laporan polis tersebut adalah di Balai Polis Yong Peng Johor, Kedah di IPD Sik, Pulau Pinang di IPD Bayan Baru, Terengganu di IPK K.Terengganu, Selangor di IPD Sabak Bernam, Pahang di IPK Kuantan dan Wilayah Persekutuan di IPD Dang Wangi.

Beberapa negeri lain termasuk Melaka, N.Sembilan, Perak dan Perlis akan menyusul laporan polisnya hari ini.

Menurut Zulkifli, pendedahan tersebut menimbulkan tandatanya besar bagaimana dokumen sulit ketenteraan boleh denganmudah dijual kepada syarikat pertahanan asing.

“Perbuatan ini adalah jelas merupakan perlanggaran undang-undang negara malah boleh diklasifikasikan sebagai pengkhianatan kepada negara.

“SAMM dalam laporan polisnya meminta suatu siasatan yang telus dan professional dijalankan oleh pihak berkuasa dan membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan.

“Siasatan hendaklah dibuat ‘without fear or favour’ termasuk terhadap Menteri Pertahanan ketika itu (PM sekarang) kerana beliau bertanggungjawab secara langsung di atas keselamatan negara.

“Perbuatan menjual rahsia negara tidak boleh dipandang ringan kerana mengancam keselamatan negara. DS Najib Razak, yang pada ketika skandal penjualan dokumen rasmi pertahanan negara ini berlaku memegang portfolio Menteri Pertahanan.” jelas Zulkifli.

Pada 30 Mei lalu, SUARAM melalui artikel yang bertajuk “FRENCH SUBMARINES DIVING MALAYSIA INTO DEEP CONTROVERSY” di laman sesawang rasmi pertubuhan itu menyebut – Dokumen itu berkaitan laporan penilaian prestasi kapal selam Scorpene berasaskan keperluan pertahanan yang digariskan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Dokumen sulit itu dijual pada harga 36 juta Euro (bersamaan RM142 juta).

Dipercayai juga bahawa Terasasi Limited ini dimiliki oleh Abdul Razak Baginda dan bapanya Abdul Malim Baginda yang merupakan sekutu kuat dan penasihat utama Dato Sri Najib Razak. Maklumat juga mempercayai mereka juga adalah proksi Najib dalam skandal penyelewengan pembelian Scorpene.