Categories
NASIONAL SELANGOR

Pahlawan Sedia Khidmat Guaman Percuma Kepada Tentera Dituduh Sertai HKR112

Pahlawan Guaman Percuma 01

PETALING JAYA, 6 FEB: Pertubuhan Prihatin Bekas Anggota Keselamatan Malaysia (Pahlawan) menyediakan khidmat guaman percuma kepada anggota tentera yang dikenakan tindakan atas pertuduhan menyertai Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR112).

Ini ekoran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengenalpasti beberapa anggota yang hadir dalam perhimpunan tersebut dan kini akan disabitkan dalam pertuduhan dibawah Akta ATM.

Pengerusi Pahlawan, Asri Buang berkata, kehadiran mereka adalah atas kapasiti individu tanpa menyertai mana-mana pergerakkan NGO atau parti politik.

Ini disebabkan perasaan ingin tahun tentang perkembangan politik semasa secara langsung.

Tambah Asri, mereka ini akan dikenakan tindakan dibawah Seksyen 87 Akta Memudaratkan Perkhidmatan.

“Pahlawan memandang serius perkara tersebut.

“Ini kerana menurut undang-undang yang ada, anggota tentera yang masih berkhidmat dalam perkhidmatan bebas menyertai mana-mana perhimpunan yang dibenarkan oleh undang- undang Malaysia dengan syarat tidak menyertai mana-mana NGO atau parti politik serta tidak membahayakan keselamatan negara,” katanya.

Difahamkan seramai lima anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan seorang anggota tentera darat bakal berhadapan tindakan berkenaan.

Sementara itu, setakat ini tidak ada aduan dilaporkan mengenai jumlah anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dikenakan tindakan.

Beliau menambah, kesemua mereka dikesan menghadiri himpunan berkenaan melalui paparan gambar di laman sosial Facebook dan kemudiannya dimaklumkan oleh keluarga masing-masing berhubung perkara berkenaan.

Categories
NASIONAL

Jual Rahsia Negara: SAMM Buat Laporan Polis Seluruh Negara

SHAH ALAM, 11 JUN: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) telah membuat tujuh laporan polis dalam usaha mengadakan laporan di seluruh negara berhubung penjualan maklumat pertahanan negara kepada DCNS Perancis yang di dedahkan SUARAM baru-baru ini.

Pengarah Seketariat SAMM Kebangsaan, Zulkifli Ibrahim dalam kenyataan medianya berkata tujuh laporan polis tersebut adalah di Balai Polis Yong Peng Johor, Kedah di IPD Sik, Pulau Pinang di IPD Bayan Baru, Terengganu di IPK K.Terengganu, Selangor di IPD Sabak Bernam, Pahang di IPK Kuantan dan Wilayah Persekutuan di IPD Dang Wangi.

Beberapa negeri lain termasuk Melaka, N.Sembilan, Perak dan Perlis akan menyusul laporan polisnya hari ini.

Menurut Zulkifli, pendedahan tersebut menimbulkan tandatanya besar bagaimana dokumen sulit ketenteraan boleh denganmudah dijual kepada syarikat pertahanan asing.

“Perbuatan ini adalah jelas merupakan perlanggaran undang-undang negara malah boleh diklasifikasikan sebagai pengkhianatan kepada negara.

“SAMM dalam laporan polisnya meminta suatu siasatan yang telus dan professional dijalankan oleh pihak berkuasa dan membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan.

“Siasatan hendaklah dibuat ‘without fear or favour’ termasuk terhadap Menteri Pertahanan ketika itu (PM sekarang) kerana beliau bertanggungjawab secara langsung di atas keselamatan negara.

“Perbuatan menjual rahsia negara tidak boleh dipandang ringan kerana mengancam keselamatan negara. DS Najib Razak, yang pada ketika skandal penjualan dokumen rasmi pertahanan negara ini berlaku memegang portfolio Menteri Pertahanan.” jelas Zulkifli.

Pada 30 Mei lalu, SUARAM melalui artikel yang bertajuk “FRENCH SUBMARINES DIVING MALAYSIA INTO DEEP CONTROVERSY” di laman sesawang rasmi pertubuhan itu menyebut – Dokumen itu berkaitan laporan penilaian prestasi kapal selam Scorpene berasaskan keperluan pertahanan yang digariskan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Dokumen sulit itu dijual pada harga 36 juta Euro (bersamaan RM142 juta).

Dipercayai juga bahawa Terasasi Limited ini dimiliki oleh Abdul Razak Baginda dan bapanya Abdul Malim Baginda yang merupakan sekutu kuat dan penasihat utama Dato Sri Najib Razak. Maklumat juga mempercayai mereka juga adalah proksi Najib dalam skandal penyelewengan pembelian Scorpene.