Categories
NASIONAL

Perpecahan Undi Melayu Beri Manfaat Untuk Rakyat, Negara

SHAH ALAM, 29 FEB: Perpecahan undi Melayu yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) lalu dianggap sebagai satu perkembangan yang sihat dalam politik negara.

Senario itu juga berlaku disebabkan masyarakat Melayu mulai sedar bahawa Umno tidak boleh diharapkan untuk membantu masyarakat kaum itu memajukan diri untuk bersaing dengan kaum-kaum lain di negara ini.

Demikian menurut Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dalam Wacana Sinar Siri Ke 11 yang berlangsung di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di Shah Alam hari ini.

Menurut beliau yang juga merupakan ahli jawatan kuasa PAS Pusat, pemikiran orang-orang Melayu sebelum alaf baru telah ditanam dengan mitos bahawa Umno merupakan satu-satunya parti yang berjuang untuk orang-orang Melayu.

“Hakikatnya undi Melayu telah berpecah semenjak pilihan raya pertama dahulu tetapi ianya tak ketara seperti sekarang kerana pada masa itu minda orang-orang Melayu telah ditanam dengan mitos bahawa hanya Umno yang perjuangkan nasib Melayu.

“Tetapi zaman sekarang adalah zaman pencerahan, Melayu sudah mula celik politik, semakin bijak, tahu bahawa Umno bukanlah parti yang boleh diharapkan untuk memperjuangkan nasib orang Melayu.

“Maka undi Melayu yang dahulu majoriti sokong Umno dengan cuma sedikit ke parti pembangkang, sekarang dah mula beralih sokongan mereka dalam PRU-12 lalu.

“Sekarang orang Melayu dah nampak dan jelas bahawa perpecahan undi itu adalah sesuatu yang positif dalam mematangkan politik orang-orang Melayu dan banyak beri manfaat kepada rakyat dan negara ini,” beritahu beliau,” katanya dalam siri wacana bertajuk ‘Mengapa Undi Melayu Pecah?’ itu.

Beliau juga menganggap perpecahan undi di kalangan orang Melayu tidak harus dijadikan isu oleh Umno untuk kepentingan politik mereka.

“Sebenarnya perpecahan undi orang Melayu ini tidak menimbulkan pertikaian akademik pun tetapi isu sebenarnya ialah mengapa undi Umno berlaku penguncupan.

“Lalu Umno jadikan isu ini sebagai satu senjata dengan memainkan politik ketakutan terhadap orang-orang Melayu agar terus menyokong Umno supaya Umno terus dapat berkuasa,” ujar Dr Dzulkefli lagi.

Selain Dr Dzulkefli wacana yang dihadiri kira-kira 500 orang itu turut menampilkan panelis Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Ong Tee Keat, Ketua Penerangan Pertubungan Peribumi Perkasa, Ruslan Kasim dan Pengerusi PKR negeri Johor, DatukĀ  Chua Jui Meng.

Leave a Reply

Your email address will not be published.