Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Selangor Akan Mendapat Kembali Aset Yayasan Selangor

SHAH ALAM 20 MAC : Kerajaan Selangor akan memulakan usaha untuk mengesan dan mengembalikan aset-aset berjumlah RM500 juta yang hilang dari Yayasan Selangor akibat salah urus tadbir pemerintahan lama Umno-BN.

Pada peringkat permulaan, Kerajaan Selangor akan melantik unit audit forensik untuk meneliti akaun dan rekod Yayasan bagi mengenal pasti aset-aset yang hilang.

Aset-aset tersebut hilang kerana ketirisan yang berlaku antara tahun 1991 hingga 2008 semasa pengurusan lama badan itu, dipercayai melalui usaha-sama berat sebelah dan tidak menguntungkan Yayasan.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri akan cuba sedaya upaya untuk mengembalikan aset tersebut namun ini tertakluk kepada status aset tersebut dan perjanjian yang telah dibuat antara Yayasan dan pihak lain.

?Forensic audit akan dilakukan tetapi akan memakan masa enam bulan baru kita dapat keputsan yang boleh kita gunakan sebagai asas untuk (untuk tindakan lanjut).

?Ada projek yang perjanjian sudah dibuat dan dilaksanakan walaupun kita tahu keadaan itu tak sepatutnya berlaku tapi dah berlaku dan hanya tinggal fakta sahaja.

?Ini mesti dibuat dengan teliti dan mesti ada fakta yang cukup,? Abdul Khalid berkata apabila ditemui di luar Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Yayasan Selangor ditubuhkan dengan tujuan memberi bantuan kewangan kepada pelajar miskin luar bandar.

Kehilangan aset RM500 juta itu disedari apabila satu kajian dalaman aset dari tahun 1991 hingga Mac 2008 dilakukan Yayasan.

Kajian itu bagi menaksir Nilai Pembangunan Kasar (GDV) projek tanah Yayasan yang dimajukan secara usahasama dengan pemaju dalam tempoh 17 tahun itu.

GDV adalah nilai jualan sesuatu projek hartanah selepas ia siap dibina.

Yayasan mendapati banyak usahasama di mana ia hanya menerima 30 peratus dari GDV projek itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published.