Categories
SELANGOR

MB: Tingkat Kredibiliti Untuk Jana Perkhidmatan Terbaik

SHAH ALAM, 5 MAC : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengingatkan penjawat awam di negeri ini untuk mempertingkatkan kredibiliti sejajar usaha kerajaan negeri memperkukuhkan integriti kakitangan awam demi memastikan memberi mutu perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Abdul Khalid berkata demikian semasa Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor yang dihoskan oleh Jabatan Perkhidmatan Veteriner Selangor yang diadakan di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di sini.

” Jika saudara menjadi pemimpin yang mempunyai kreadibiliti, maknanya bukan saudara yang menentukan,tetapi orang yang berhubung dengan saudara itu yang menentukan samada saudara mempunyai kreadibiliti,” kata beliau.

Beliau juga menegaskan buku bertajuk “Credibility: How Leaders Gain and Lose It, Why People Demand It ” hasil tulisan Jossey-Bass, perlu dibaca oleh kalangan penjawat awam kerana buku tersebut memperincikan pengertian kreadibiliti dalam kepimpinan dan hubungan antara manusia supaya dapat diaplikasikan dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Exco Selangor, Teresa Kok, Rodziah Ismail,Ronnie Liu, Dr Xavier Jeyakumar, Dr Yunus Hairi, Dr Halimah Ali, Ean Yong Hian Wah, Dr Yaakob Sapari dan Pengarah Perkhidmatan Jabatan Veteriner Selangor, Dr Abdul Latif Borhan.

” Masyarakat lebih cenderung untuk memilih pemimpin bukan disebabkan oleh kuasa tetapi adalah hasil yang ada pada kuasa dia, kerana pemimpin itu memimpin melebihi jangkaan iaitu maknanya pimpinan itu akan menghasilkan apa yang dijanjikannya.

” Lebih 80 peratus mereka menilai kepimpinan itu kalau pemimpin itu boleh dipercayai,apabila pemimpin itu dipercayai maka dia tidak lagi perlu menjerit untuk memberikan arahan ke sana dan ke sini agar pekerja bawahannya melaksanakan kerja , ” katanya.

Abdul Khalid juga mengingatkan penjawat awam juga terus melaksanakan dan menghayati konsep amanah dalam menjalankan tugas.

” Saya ingin membawa negeri Selangor menjadi satu negeri yang mempunyai kredibiliti,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Veteriner Selangor, Dr Abdul Latif Borhan dalam ucapannya berkata Jabatan Perkhidmatan Veteriner telah membangunkan sembilan tapak projek ternakan yang baru berkeluasan enam puluh hektar di Hulu Selangor bagi program translokasi penternak.

“Pertembungan antara kawasan penempatan manusia dan kawasan penternakan telah menyebabkan isu alam sekitar dan kacau ganggu semakin hangat diperdebatkan pada masa ini.

Notis penutupan ladang ternakan telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan kerana lokasi ladang ternakan berkaitan tidak lagi sesuai dengan pembangunan kawasan sekitarnya,” katanya.

Menurut beliau lagi, berlaku operasi penutupan ladang telah dikuatkuasakan melibatkan sembilan buah ladang lembu tenusu dan dijangkakan banyak lagi operasi seumpamanya akan digerakkan.

“Jabatan Perkhidmatan Veteriner akur dengan keputusan kerajaan ini, malah akan terus membantu pihak berkuasa tempatan yang berkaitan memindahkan ternakan yang terlibat ke tempat lain.

“Namun selaku penjana dan pemelihara industri haiwan tempatan,jabatan ini juga prihatin dengan masalah yang dihadapi penternak yang terlibat,” kata beliau.

Kira-kira lebih 400 penjawat awam dari Jabatan Perkhidmatan Veteriner Selangor hadir dalam majlis perhimpunan bulanan itu.

 

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.