Categories
SELANGOR

Pendengaran Awam SELCAT Teliti Pembangunan Di Kelana Jaya


SHAH ALAM 22 JUN : Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) akan mengadakan Sesi Pendengaran Awam pada 27 dan 28 Jun ini.

Pendengaran awam berhubung Permohonan Pembangunan Tanah di Kelana Jaya tersebut akan berlangsung di Bilik Gerakan, Tingkat 2, Annex, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini bermula 10 pagi.

Ahli Jawatankuasa SELCAT, Haniza Talha ketika dihubungi TVSelangor bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai pendengaran awam itu.

“Apa yang pasti pendengaran ini tiada kaitan dengan isu padang PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor) di Kelana Jaya seperti yang ramai pihak jangkakan.

“Ianya sekadar menyentuh soal pembangunan tanah di Kelana Jaya secara keseluruhannya dan tidak akan melibatkan syarikat seperti PKNS dan sebagainya,” ulas beliau ringkas.

PKNS sebelum ini terlibat di dalam kontroversi pembangunan padang rekreasinya di Kelana Jaya yang mendapat bantahan daripada penduduk.

Akhirnya syarikat tersebut membatalkan rancangan untuk membangunkan padang itu setelah menyedari bahawa pelan projek itu direka berdasarkan maklumat yang bercanggah.

Pada Mac lalu, SELCAT melakukan pendengaran awam berhubung kes Kumpulan Semesta iaitu anak syarikat Kerajaan Negeri yang terlibat dengan perlombongan pasir.

SELCAT ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri untuk mengesan sebarang penyelewengan dan salah urus kerajaan pada masa lalu dan masa kini.

Leave a Reply

Your email address will not be published.