Categories
SELANGOR

Penduduk Serdang Raya Digesa Beri Kerjasama Kepada MPSJ

SERDANG, 22 JUN : Penduduk kawasan Serdang Raya digesa bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bagi menjayakan program membasmi tikus di kawasan itu.

Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching berkata, pihak MPSJ menghadapi kesulitan berikutan penduduk disitu membuat penutup longkang konkrit di hadapan rumah mereka.

“Saya menyeru semua penduduk disini supaya mengalihkan penutup longkang konkrit tersebut bagi memudahkan pihak MPSJ meletakkan racun di dalam longkang tersebut,” katanya ketika ditemui disini.

Sebelum ini, MPSJ melancarkan program Pembasmian Kacau Ganggu Tikus di kawasan komersial Seri Serdang dan program ini adalah yang ketujuh dianjurkan.

Rata-rata penduduk serta peniaga yang ditemui menyambut baik usaha yang diambil oleh MPSJ dalam melaksanakan program Zon Bersih di kawasan ini.

Seorang peniaga runcit, Sin Lean Fatt, 48, berkata, semua pihak perlu memainkan peranan penting dalam menjaga kebersihan seperti tidak membuang sampah di dalam longkang yang boleh menjadi tempat pembiakan tikus.

“Penduduk serta peniaga janganlah membuang sampah di hadapan rumah dan di tepi longkang sebaliknya letaklah di tong sampah supaya tempat ini sentiasa bersih,” katanya ketika ditemui di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published.