Categories
NASIONAL SELANGOR

Langat 2 : Saranan Menteri Pusat Akan Bebankan Pengguna Dengan Tariff Tinggi


SHAH ALAM, 14 JULAI : Membina loji dan projek pemindahan air Langat 2 sebelum kenaikan tariff  air dibincangkan mampu melonjakkan harga air sebanyak 70 peratus.

Oleh itu, perlaksanaan projek itu perlu ditangguhkan sehingga kuasa pengurusan seluruh industri air dikembalikan daripada syarikat konsensi kepada kerajaan negeri, kata Exco Selangor Dr Xavier Jayakumar.

Xavier menyifatkan saranan dua Menteri Kerajaan Pusat Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dan Datuk Seri Noh Omar agar Langat 2 disegerakan dan perbincangan tariff dilakukan kemudian, sebagai ?tidak bertanggungjawab?.

Kenyataan Peter (Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air) dan Noh (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani) dianggap seolah-olah untuk Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS).

“SYABAS adalah sebuah syarikat ‘profit making’ kerana selepas projek ini siap, SYABAS akan mengenakan tarif air yang tinggi sehingga 70 peratus kepada rakyat Selangor bagi membayar balik kos projek ini,” katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Di satu forum air pada Julai 12, Noh berkata beliau dan kerajaan pusat sedia untuk berbincang mengenai kenaikan tariff air sekiranya Kerajaan Selangor meluluskan projek Langat 2 dahulu.

Di laporkan sebelum ini bahawa Kerajaan Selangor mahu pengurusan industri air seperti pengedaran, operasi rawatan dan kuasa menentukan harga dikembalikan ke kerajaan negeri seperti termaktub di dalam Akta Perkhidmatan Air 2006.

Kerajaan Negeri sedang mendesak Kerajaan Pusat supaya proses tersebut berlaku sebelum Langat 2, yang akan menelan kos RM6 bilion, dilaksanakan.

“Peter Chin seharusnya menggunakan kuasanya untuk menguatkuasa akta tersebut bagi menyelesaikan krisis air di negeri ini,” kata Dr Xavier  yang juga terlibat dalam menyelesaikan isu air di Selangor.

Sementara itu, beliau menegaskan bahawa tujuh empangan yang membekalkan air mentah di negeri ini mencukupi dan tiada keperluan bagi mengambil air daripada Pahang seperti yang akan dilakukan oleh Langat 2.

Katanya, Kerajaan Negeri terpaksa membayar royalti air kira-kira RM 60 juta setiap tahun kepada Pahang sekiranya projek ini diteruskan.

Menurutnya, Selangor memahami bahawa Kerajaan Pusat didesak oleh Japan International Cooperative Agency (JICA) iaitu pihak yang memberi pinjaman untuk projek ini.

“Kerajaan Negeri faham bahawa sebahagian dana pinjaman kos projek ini telah digunakan dan berpendapat tiada sebab ianya harus diteruskan tanpa memikirkan ianya akan membebankan rakyat Selangor,” ujarnya.

Selain itu, rakyat Selangor akan melakukan ‘referendum’ samada mahukan projek Langat Dua ini diteruskan atau tidak di dalam Pilihanraya Umum ke 13 akan datang.

“Saya minta menteri-menteri yang ‘beriya-iya’ mendesak mahukan projek itu disegerakan agar belajar bersabar,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.