Categories
SELANGOR

Nyamuk Toxo Dapat Kurangkan Populasi Aedes

PUCHONG 30 JUL : Usaha mengurangkan populasi nyamuk Aedes melalui pembiakan nyamuk ?Toxo? (Toxorhynchites) dilihat membuahkan hasil dengan penurunan kadar kes demam denggi di Kampung Seri Aman Berkat di sini.

Menurut Pengarah Kesihatan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Dr. Roslan Mohamed Hussin, program yang masih di bawah peringkat kajian dan pemantauan setakat ini memberikan hasil positif.

“Mengikut laporan, tahun lepas, kes demam denggi di kampung ini mencatat angka 27 kes dilaporkan namun kini kes menurun kepada di bawah 15 kes sahaja.

“Ini kerana, nyamuk Toxo dapat berkembang biak menjadi ejen kawalan nyamuk Aedes secara berterusan dan ia juga mempunyai jangka hidup yang lebih lama berbanding Aedes,” jelas beliau.

Jentik-jentik nyamuk Toxo atau dikenali sebagai ?nyamuk gajah? bertindak memakan jentik-jentik nyamuk Aedes sekaligus mengurangkan pembiakan pembawa demam denggi itu.

Beliau hadir menemani Timbalan Yang Di Pertua MPSJ, Abdullah Marjunid menyempurnakan Fasa Ketiga melepaskan 400 ekor nyamuk Toxo peringkat dewasa selain 100 lagi di peringkat larva.

Program yang bermula sekitar Jun 2011 ini merupakan usahasama antara MPSJ dengan Universiti Sains Malaysia (USM) dan CIMB Bank yang turut bertindak memberi suntikan dana sebanyak RM 60, 000 bagi menjayakannya.

Fasa Pertama pada 29 Oktober 2011 disempurnakan Exco Kerajaan Negeri, Teresa Kok yang melepaskan nyamuk Toxo di Kampung Seri Aman Berkat sementara Fasa Kedua diadakan pada 17 Januari tahun ini.

Pihak MPSJ juga tidak menolak kemungkinan untunk melepaskan lagi nyamuk dewasa Toxo berdasarkan penyelidikan USM.

“Kita difahamkan program ini akan melalui beberapa fasa pelepasan Toxo, jadi kita akan patuhi segala pandangan pakar dari USM bagi melancarkan program ini,” tambah Abdullah.

Leave a Reply

Your email address will not be published.