Categories
SELANGOR

Prof Dr Anuar-UNISEL Bakal Menjadi Sebuah Universiti Terkemuka Di Malaysia

SHAH ALAM, 4 JULAI : Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Profesor Dr Anuar Ahmad memberi jaminan bahawa institusi tersebut bakal menjadi sebuah universiti terkemuka di Malaysia dalam tempoh empat tahun akan datang.

Menurutnya, pelbagai rancangan sedang diatur bagi menaiktaraf dan meningkatkan kemudahan prasarana di UNISEL seiring dengan peningkatan jumlah pelajarnya tahun ini.

“Pada permulaannya, bulan Februari 2011 lalu, nama universiti ini ditukar dari Universiti Industri Selangor kepada Universiti Selangor bagi menjadikan ia lebih umum dengan menyediakan pelbagai program dan kursus kepada pelajarnya,” katanya ketika ditemubual di pejabat TVSelangor hari ini.

Beliau berkata, UNISEL sedang mempertimbangkan untuk mengadakan kursus Undang-Undang Perniagaan yang di letakkan di bawah Fakulti Perniagaan di universiti ini.

“Saya akan menghantar cadangan ini kepada Kementerian Pengajian Tinggi berkaitan kursus ini kerana keperluan di dalam bidang ini tinggi,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau berkata, tahun ini UNISEL berjaya menempa nama apabila berjaya melahirkan dua pelajar terbaik bidang kejuruteraan dan perakaunan yang mendapat pengiktirafan dari Institut Kejuruteraan Malaysia (IEM) dan Institut Akauntan Malaysia (MIA).

“Ini membuktikan pelajar di UNISEL mampu bersaing bersama pelajar-pelajar dari Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang lain seterusnya menangkis dakwaan bahawa graduan universiti ini tidak berkualiti,” katanya.

Katanya, UNISEL sentiasa peka dan mengambil kira faktor ?kebolehpasaran? graduannya kerana turut menyediakan kursus kejururawatan di universiti ini.

“Kita sedar bahawa industri perkhidmatan dapat memberikan pulangan hasil kepada negara seperti perkhidmatan kesihatan yang mampu mengubati penyakit tertentu seterusnya menarik orang asing ke negara ini,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri menyalurkan RM 2.65 juta bagi meningkatkan prasarana IT apabila UNISEL dipilih untuk menyediakan pengajian jarak jauh kursus Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua(TESL).

“Saya mewakili UNISEL mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana memberikan dana ini bagi meningkatkan kemudahan dan prasarana di universiti ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.