Categories
SELANGOR

Muzium Kosong, Monorel Rosak dan Lapangan Terbang Sunyi Legasi Umno-BN Melaka

Taman Jurassic Melaka 01

SHAH ALAM 21 MAC : Monorel yang kerap kali rosak dan muzium kereta yang hanya ada tiga kereta proton. Itu lah keadaan dua projek pelancongan di Melaka yang diheboh-hebohkan oleh pimpinan Umno-BN negeri itu, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin.

Shamsul Iskandar juga mendakwa Lapangan terbang Antarabangsa Melaka (MIA) hanya digunakan oleh dua kapalterbang. Manakala taman haiwan purba “Jurassic Park” yang akan dibina dengan kos RM 200 juta dikhuatiri juga akan menjadi satu lagi projek gajah putih.

“Datuk Seri Ali Rustam nak buat taman haiwan ala Jurassic Park bernilai RM 200 juta. Sekarang hutang ditanggung kira-kira RM 800 juta.

“Apa kebaikan dan manfaat yang rakyat akan dapat? Rakyat bukan nak tengok sangat haiwan dinosaur ni,” katanya di dalam ceramah Pakatan Rakyat (PR) di Bukit Piatu, Melaka semalam .

Beliau menjelaskan PR tidak menolak pembangunan tetapi mahu setiap projek dirancang dan dilaksanakan untuk kebaikan rakyat.

Apa dipersoalkan, katanya, segala dijalankan Kerajaan Melaka setakat ini tidak membawa perkembangan positif tetapi lebih memberi kerugian negeri tersebut.

“Banyak projek yang mendatangkan kerugian. Projek monorel Ali Rustam kata bagus tetapi 27 kali rosak. Muzium kereta di Air Keroh pula hanya tiga kereta yang ada. Itupun kereta Proton,” dakwanya.

Pada 25 Februari lalu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengumumkan pembinaan taman “Jurassic Park” sebagai taman tarikan pelancong.

Mohd Ali berkata, taman itu akan mempamerkan 200 spesies dinosaur melalui kaedah hidrolik dan elektronik.

“Jurassic Park” itu akan dibina bersebelahan dengan sebuah lagi taman tema iaitu Melaka Sea World, membabitkan kawasan seluas 12.1 hektar yang akan dilaksanakan secara usahasama oleh Yayasan Melaka dan syarikat swasta, Eden Incorporation Berhad.

Categories
SELANGOR

Prof Dr Anuar-UNISEL Bakal Menjadi Sebuah Universiti Terkemuka Di Malaysia

SHAH ALAM, 4 JULAI : Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Profesor Dr Anuar Ahmad memberi jaminan bahawa institusi tersebut bakal menjadi sebuah universiti terkemuka di Malaysia dalam tempoh empat tahun akan datang.

Menurutnya, pelbagai rancangan sedang diatur bagi menaiktaraf dan meningkatkan kemudahan prasarana di UNISEL seiring dengan peningkatan jumlah pelajarnya tahun ini.

“Pada permulaannya, bulan Februari 2011 lalu, nama universiti ini ditukar dari Universiti Industri Selangor kepada Universiti Selangor bagi menjadikan ia lebih umum dengan menyediakan pelbagai program dan kursus kepada pelajarnya,” katanya ketika ditemubual di pejabat TVSelangor hari ini.

Beliau berkata, UNISEL sedang mempertimbangkan untuk mengadakan kursus Undang-Undang Perniagaan yang di letakkan di bawah Fakulti Perniagaan di universiti ini.

“Saya akan menghantar cadangan ini kepada Kementerian Pengajian Tinggi berkaitan kursus ini kerana keperluan di dalam bidang ini tinggi,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau berkata, tahun ini UNISEL berjaya menempa nama apabila berjaya melahirkan dua pelajar terbaik bidang kejuruteraan dan perakaunan yang mendapat pengiktirafan dari Institut Kejuruteraan Malaysia (IEM) dan Institut Akauntan Malaysia (MIA).

“Ini membuktikan pelajar di UNISEL mampu bersaing bersama pelajar-pelajar dari Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang lain seterusnya menangkis dakwaan bahawa graduan universiti ini tidak berkualiti,” katanya.

Katanya, UNISEL sentiasa peka dan mengambil kira faktor ?kebolehpasaran? graduannya kerana turut menyediakan kursus kejururawatan di universiti ini.

“Kita sedar bahawa industri perkhidmatan dapat memberikan pulangan hasil kepada negara seperti perkhidmatan kesihatan yang mampu mengubati penyakit tertentu seterusnya menarik orang asing ke negara ini,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri menyalurkan RM 2.65 juta bagi meningkatkan prasarana IT apabila UNISEL dipilih untuk menyediakan pengajian jarak jauh kursus Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua(TESL).

“Saya mewakili UNISEL mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana memberikan dana ini bagi meningkatkan kemudahan dan prasarana di universiti ini,” katanya.